Giliran Pak Lah memangkah dan Dr Mahathir memusing gasing. Gasing siapa yang pecah.

Harakahdaily

KUALA LUMPUR: ‘The Awakening: The Abdullah Badawi years in Malaysia’ akan di pasaran tidak lama lagi dan ini satu penerbitan yang bakal menjadi topik hangat serta polemik besar mengikut jangkaan saya, tulis Aspan Alias.


Tulisnya lagi, the pre publication remarks yang kita nampak melihatkan satu polemik yang hebat kerana apa sahaja yang melibatkan Dr Mahathir terutamanya dalam UMNO dan kepimpinan negara akan menjadi tumpuan ramai.

Lebih-lebih lagi, menurutnya tentang isu perlagaan di antara Dr Mahathir dan pewaris kepimpinannya Abdullah Badawi.

“Dr Mahathir hanya bertahan selama setahun sahaja sebelum keluar ke depan untuk membidas pewaris kepimpinannya itu dan beliau terus menerus melemparkan segala aib kepimpinan negara kita kepada Abdullah Badawi,” tulisnya di dalam blognya http://aspanaliasnet.blogspot.com sebagaimana di bawah.

'The Awakening: The Abdullah Badawi years in Malaysia’ akan di pasaran tidak lama lagi dan ini satu penerbitan yang bakal menjadi topik hangat serta polemik besar mengikut jangkaan saya. ‘The pre publication remarks’ yang kita nampak melihatkan satu polemik yang hebat kerana apa sahaja yang melibatkan Dr Mahathir terutamanya dalam UMNO dan kepimpinan negara akan menjadi tumpuan ramai.

Lebih-lebih lagi tentang isu perlagaan di antara Dr Mahathir dan pewaris kepimpinannya Abdullah Badawi. Dr Mahathir hanya bertahan selama setahun sahaja sebelum keluar ke depan untuk membidas pewaris kepimpinannya itu dan beliau terus menerus melemparkan segala aib kepimpinan negara kita kepada Abdullah Badawi.

Segala-gala kemudharatan yang negara hadapi bermula dari Abdullah Badawi dan tidak ada sedikit pun ia bermula semasa pemerintahannya selama 22 tahun itu. Sekarang Abdullah pula memberikan pandangan dari sudut pemikirannya walaupun beliau (Abdullah) berdiam diri sahaja apabila Mahathir menyalahkan segala-galanya kepada Abdullah.

Mahathir berkata yang beliau belum lagi membaca penerbitan itu tetapi beliau akan memberikan respons mengikut apa yang beliau akan baca dan sudah menjadi kepastian Dr Mahathir akan membalasnya dengan lebih sinis lagi. Saya pun belum membacanya lagi tetapi dari apa yang disebutkan oleh Abdullah dalam publisiti ‘pre-launching’nya itu Abdullah telah memberikan pandangan yang bertentangan dengan Dr Mahathir dan itulah tanda-tanda ia akan menjadi topik hangat di mana-mana nanti.

Abdullah selama ini berdiam diri apabila di‘seksa’ oleh Dr Mahathir tetapi kali ini Abdullah keluar dan waktu dan masa ini adalah waktu yang paling terbaik bagi Abdullah untuk menjawab segala tuduhan dan kata-kata penghinaan Dr Mahathir terhadap beliau. Di antara Dr Mahathir dan Abdullah ini ibarat dua orang yang sedang bermain gasing.

Sudah begitu lama Dr Mahathir hanya memangkah sahaja. Nampaknya kali ini Abdullah pula mengambil giliran memangkah dan Dr Mahathir mengambil giliran memusing gasing itu pula. Gasing siapa yang pecah tidak pula kita ketahui kerana masing-masing dari hakikatnya adalah saling sandar menyandar dalam membuatkan politik negara kita menjadi sedemikian rupa.

Bagi saya jika ada kesalahan Abdullah itu, ia juga adalah kesalahan Dr Mahathir kerana Abdullah adalah ciptaan Dr Mahathir dalam kepimpinan negara. Mahathir telah mencipta Abdullah untuk dijadikan pemimpin yang boleh disuruh arah dan dipandu oleh pengaruh beliau setelah bersara. Media telah memaparkan Abdullah sebagai orang baik. Tetapi dari awal tidak pula media ini memaparkan sebagai seorang pemimpin yang baik, hanya sekadar orang baik sahaja.

Tetapi ciptaan Mahathir tidak menepati kegunaan yang diharapkan oleh beliau (Dr Mahathir), iaitu untuk menyuruh arah Abdullah. Mahathir terlupa yang Abdullah yang lembut itu adalah seorang yang degil. Abdullah tidak mudah melakukan sesuatu kerana memandang kearah telunjuk pemimpin yang telah mencipta beliau dan pengganti beliau (Dr Mahathir). Bagi Abdullah jika beliau dijadikan PM, jadikanlah beliau sebagai PM yang sebenarnya dan bukannya sebagai PM boneka kepada seseorang yang lain.

Itulah sebab bermulanya perselisihan di antara Abdullah dengan Dr Mahathir dan Mahathir bertindak cepat untuk mengkritik Abdullah secara terbuka dan kesemua kesalahan terhadap negara beliau lemparkan kepada Abdullah untuk bertanggungjawab. Sejak dari saat itu semua kesalahan terletak di bahu Abdullah dan bermula dari zaman pentadbiran Abdullah. Di sebaliknya semua yang boleh dipersepsikan sebagai baik adalah kepunyaan dan menjadi tuntutan Dr Mahathir sebagai sumbangan beliau kepada negara.

Apabila Dr Mahathir sedar yang Abdullah tidak mahu tunduk kepada kemahuannya maka Abdullah terpaksa menerima segala keburukan walaupun perkara itu dilakukan oleh Dr Mahathir sendiri. Segala keburukan berlaku dari zaman Abdullah Badawi.

Rasuah yang berlaku secara besar-besaran mengikut pandangan Dr Mahathir berlaku dari zaman Abdullah. Mengisi kepimpinan yang berbudaya mengampu dan ‘burung balam’ itu bermula dari zaman Abdullah.

Tidak siapa boleh percaya rasuah yang begitu besar dan dilakukan secara sistematik oleh kerajaan itu berlaku dari zaman Abdullah. Lazimnya rasuah yang sampai ke tahap seperti yang dialami negara sekarang memakan masa paling kurang dua puluh tahun untuk berkembang seperti yang kita lihat sekarang.

Mahathir tidak memberikan tumpuan untuk membina dan menyuburkan benih kepimpinan di kalangan UMNO kerana membina kepimpinan bermakna akan membunuh niat beliau untuk berkuasa dalam tempoh yang lama terhadap negara. Sedangkan semua mereka yang berkepimpinan dan yang terbina di zaman Tun Razak dan Hussein Onn pun diketepikan oleh Dr Mahathir dengan begitu halus, bagaimana seseorang itu boleh mengharapkan beliau untuk membina dan membentuk barisan pemimpin yang berkepimpinan.

Akhirnya Abdullah Badawi yang dari awal tidak pernah dilihat sebagai orang yang berpotensi untuk menjadi PM pun boleh manjadi PM dan mereka yang ada disekeliling Abdullah itu adalah dari ciptaan Mahathir senditri. Mereka mempunyai ciri yang serupa, baik Abdullah, Najib dan akan berterusan dengan kepimpinan acuan yang sama, baik Muhyiddin atau kesemua Naib-Naib Presiden UMNO yang ada pada hari ini.

Saya selalu menyebut sesiapa yang mentadbir negara selepas Dr Mahathir merupakan dari kumpulan yang sama, tidak boleh diharapkan apa-apa yang besar dari mereka. Mereka adalah ‘tot’ dari Dr Mahathir dan tidak mungkin ada dikalangan yang berkuasa dalam UMNO sekarang mampu memimpin negara dengan betul.

Dr Mahathir itu sendiri menerima akibat kritikan dan pemimpin yang mengambil beliau sebagai pemimpin negara. Hussein Onn sendiri pernah menzahirkan penyesalan beliau kerana memilih Dr Mahathir sebagai pengganti beliau tetapi cara mereka yang dibesarkan dalam keluarga yang baik mereka tidak mengkritik Dr Mahathir seperti Dr Mahathir mengkritik Abdullah dan sekarang kritikan beliau akan hinggap pula kepada batang tubuh Najib Tun Razak.

Walau bagaimana pun mari kita baca dahulu apa yang tertulis dalam ‘Awakening: Abdullah Badawi years in Malaysia’ yang akan dilancarkan oleh pemimpin pembangkang Nurul Izah Anwar itu.

Selepas itu kita bahaskan sama-sama. Apa yang saya komen ini hanyalah merupakan ‘preamble’ terhadap apa yang mungkin saya komen setelah membaca buku itu dengan sepenuhnya nanti.

Isu ini pastinya merupakan satu topik yang di minati ramai. Kita tunggu. Tidak lari gunung dikejar.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan