Menjelang 1 Syawal, pertelingkahan Mahathir - Pak Lah kembali meletus

Shahbudin Husin
Selepas bertahun-tahun berdiam diri dan memendam rasa dengan kritikan dan serangan yang tidak sudah-sudah daripada Mahathir, Pak Lah akhirnya memilih untuk menjawab sebahagian daripada kritikan yang dilemparkan terhadanya itu melalui penerbitan sebuah buku bertajuk "Awakening - The Abdullah Badawi Years In Malaysia" yang akan berada di pasaran tidak berapa lama lagi.
Maklumat awal mengenai buku ini sudah dikeluarkan semalam, namun majlis pelancarannya dijangka diadakan selepas Hari Raya nanti dan akan dilakukan oleh Pak Lah sendiri.

Buku ini nampaknya menjadi medan untuk Pak Lah menjawab sebahagian daripada kritikan oleh Mahathir terhadapnya terutama mengenai pentadbiran negara, kedudukan kewangan yang ditinggalkan oleh Mahathir, keadaannya yang sering tertidur dan diketahui oleh Mahathir sebagai suatu penyakit tetapi sering digunakan untuk menunjukkan kelemahannya dan lain-lain lagi berkaitan pelbagai perkara sepanjang beliau menjadi Perdana Menteri.

Terbitnya buku ini selepas berakhirnya pilihan raya umum yang paling sengit dalam sejarah dan menjelang pemilihan Umno yang akan berlangsung kira-kira dua bulan lagi tentunya boleh mengundang tafsiran yang berbagai-bagai. Masa terbitnya buku ini tentunya bukan suatu kebetulan tetapi barang kali setelah ditapis dan dianalisa kesan buruk dan baik dalam pelbagai segi.

Apatah lagi sekarang ini anak Mahathir iaitu Mukhriz dan menantu Pak Lah, Khairy Jamaluddin, masing-masing mendapat jawatan sebagai Menteri Besar Kedah dan Menteri Belia dan Sukan dan dijangka bertanding jawatan kanan dalam pemilihan kali ini manakala Mahathir pula seakan mahu menunjukkan pengaruhnya yang berterusan dalam Umno dengan keaktifannya bersuara dan menghadiri pelbagai perjumpaan di sana-sini.

KJ dijangka akan terus mempertahankan jawatan Ketua Pemudanya manakala Mukhriz yang kalah di tangan KJ dalam pertandingan jawatan Ketua Pemuda empat tahun lalu pula sedang diasak untuk merebut salah satu jawatan Naib Presiden UMNO selepas faktor Mahathir dikatakan menjadi kunci kemenangan BN menawan semula Kedah daripada tangan Pas.

Ini menjadikan sementara bapa dan bapa mertua kedua-dua pemimpin itu terus berbalah, anak dan menantu mereka pula sedang meneruskan pendakian dalam hireaki UMNO.

Terbitnya buku Pak Lah ini menjelang sambutan 1 Syawal turut mengundang rasa teruja banyak pihak kerana selepas ini tentu akan menerima reaksi balas daripada Mahathir pula. Mengenali watak Mahathir yang tidak pernah mengalah dengan sesiapa yang cuba mencari pasal dengannya, adalah dijangkakan reaksi Mahathir mengenai buku ini dan apa-apa perkara melibatkan dirinya sebagaimana tertulis dalam buku itu pastinya lebih pedas dan panas lagi.

Sementara umat Islam lain menunggu untuk bermaaf-maafan dan melupakan persengketaan lama, episod pertelingkahan Mahathir dan Pak Lah ini nampaknya baru hendak meletus kembali menjelang sambutan 1 Syawal ini setelah agak lama ia menyepi dan harapan untuk melihat kedua-dua negarawan ini berbaik-baik kembali turut menjadi semakin tipis.

Sekiranya pada peringkat awalnya, buku ini mungkin mengganggu emosi Mahathir dan memgurangkan kegembiraannya menyambut Hari Raya pada tahun ini, jawapan balas daripada Mahathir mungkin pula menyebabkan Pak Lah turut terganggu dengannya.

Jika sekiranya selepas itu berlaku episod berbalas-balas kenyataan antara Mahathir dan Pak Lah dan tukang sampuk atau nasi tambah pula turut mengambil kesempatan, pertelingkahan kedua-dua bekas Perdana Menteri ini mungkin terus berlarutan dan tidak ada titik kesudahannya.

Mukhriz dan KJ pula mungkin menjadi anak dan menantu yang paling tidak gembira kerana terpaksa menyaksikan pelbagai pendedahan dan londeh-melondeh daripada bapa dan bapa mertua masing-masing serta dalam masa sama mengundang pula reaksi daripada pihak yang mungkin lebih tidak menyenangkan mereka. Tetapi itulah harga yang perlu dibayar oleh mereka kerana memilih menjadi pemimpin dan dalam masa sama menjadi anak kepada Mahathir dan menantu kepada Pak Lah.

Sebelum ini Mahathir bukan saja kerap mengkritik Pak Lah, baik dalam majlis terbuka atau perjumpaan tertutup, bahkan dalam buku memoir "A Doctor In The House" yang ditulisnya, Mahathir juga banyak mengkritik kepimpinan Pak Lah yang disifatkannya lemah dan mengundang banyak masalah kepada parti dan negara.

Namun Pak Lah, sejak berundur daripada jawatan Perdana Menteri tidak pernah menjawab walau sepatah perkataan pun terhadap kritikan yang dilemparkan terhadapnya manakala Mahathir pula seakan-akan tidak pernah puas melakukan serangan dengan sering mengaitkan apa saja masalah dalam Umno dan negara sebagai berpunca daripada era kepimpinan Pak Lah.

Rupa-rupanya Pak Lah berdiam diri selama ini kerana beliau sedang mengumpulkan fakta untuk menjawab dan menyerang kembali semula kritikan terhadapnya dan beliau memilih untuk menjawabnya melalui penerbitan sebuah buku.

Dengan terbitnya buku ini dan pertelingkahan Mahathir dan Pak Lah kembali menjadi panas, sebenarnya menarik juga untuk melihat apakah pendirian dan sikap Najib mengenainya. Walaupun pengaruh Pak Lah tidak sekuat Mahathir di dalam Umno tetapi Najib memang diketahui amat gembira dengan sikap dan pendirian Pak Lah yang sentiasa menyokongnya sedangkan Mahathir agak flip-flop terhadapnya, kadang-kadang menyokong dan kadang-kadang mengkririk.

Malah selepas berakhirnya pilihanraya umum lalu, walaupun menyokong supaya jawatan Presiden dan Timbalan Presiden Umno tidak ditandingi tetapi Mahathir diketahui mulai bersikap membelasah Najib terutama dalam perjumpaan tertutup dengan mereka yang bertemu dengannya.

Mungkinkah Najib sebenarnya gembira dan sedang tersenyum dengan terbitnya buku ini kerana sekurang-kurangnya ada orang lain sekarang ini sedang mengkritik Mahathir yang secara belakang-belakang turut mengkritiknya juga. Dengan kemungkinan berlakunya berbalas-balas kenyataan antara Mahathir dan Pak Lah selepas ini, secara langsung Najib tidak lagi menjadi tumpuan serangan oleh Mahathir dan beliau juga sudah boleh melupakan belasahan Mahathir terhadapnya sebelum ini.

Menjelang ketibaan 1 Syawal ini, lihatlah senyuman Najib pasti lebih melebar lagi. Dalam hatinya mungkin berbisik, terima kasih Pak Lah.
shahbudindotcom.blogspot.com 

Tiada ulasan:

Catat Ulasan