'Malek Noor kuat merajuk' - Isteri Malek Noor

'Suami kuat merajuk'DERAIAN ketawa yang bergema di sebuah banglo di pinggir bandar Kota Bharu semasa pertemuan dengan Datuk Malek Noor, 58, dan isteri, Datin Dr. Wan Asma Wan Ismail, 53, menjelaskan segala-galanya tentang kebahagiaan pasangan 'comel' ini. 
Setiap gerak geri dan kerlingan manja yang terzahir antara kedua-duanya membuktikan perkahwinan pada umur 'sangat matang' bukanlah kekurangan, bahkan berupaya membina ikatan dan perhubungan yang lebih utuh berbanding pasangan muda.

Meskipun ada kajian menyatakan tempoh lima tahun pertama adalah saat kritikal yang menentukan masa hadapan mana-mana pasangan suami isteri dalam kategori berkenaan, Malek dan Asma boleh dianggap sudah 'melepasi' tempoh ujian itu kerana perkahwinan mereka tidak berasaskan material atau kehendak duniawi.

Hakikatnya, usia pernikahan yang baru mencecah setahun empat bulan setelah diikat dengan sekali lafaz pada 12 Mac tahun lalu itu hanyalah sekadar satu kiraan masa untuk hitungan masyarakat umum.

"Saya rasa kami macam sudah 10 tahun kenal. Sedangkan saya tidak pernah minat atau tahu secara mendalam individu bernama 'Malek Noor' sebelum itu. Ini mungkin jawapan Allah kepada doa saya yang sering tertanya siapakah jodoh saya yang sebenarnya.

"Suami saya ini sangat humble dan gentleman. Saya rasa amat serasi dengannya dan sikapnya yang suka ketawa melengkapkan diri saya. Hanya dia satu-satunya lelaki yang memanggil saya 'ayang' (sayang)," kata Asma, pakar kanak-kanak di Hospital Pakar Perdana KPJ di Kota Bharu, Kelantan.

Wanita berkulit putih yang berasal dari Machang ini mempunyai tujuh orang anak hasil perkongsian hidup dengan bekas suami pertamanya. Beliau berkahwin dengan Malek setelah tujuh tahun menjanda.

Perkahwinan mereka telah dilangsungkan di Pusat Dagangan Kelantan (KTC) kira-kira empat bulan selepas pertemuan kali pertama juga di tempat yang sama.

Asma berkata, beliau sangat bersyukur kerana ketujuh-tujuh anaknya iaitu Dr. Siti Noor Munirah Ibrahim, 31; Dr. Siti Noorlali Aiza, 29; Siti Nooraini Aisyah, 26; Siti Noormaisarah Hanun, 25; Muhammad Yusuf Hafiz, 22; Muhammad Yusuf Haris, 17 dan Siti Noormasyitah Balqis, 12, menerima Malek dengan baik.

Mega bertuah kerana dapat bertemu beliau dan Malek yang menunaikan rutin mingguan pulang ke rumah isterinya itu di Cherang, Kota Bharu baru-baru ini.

Bekas jaguh bina badan Asia tersebut berulang alik dari kediamannya di Ampang Hilir, Kuala Lumpur ke Kota Bharu selama beberapa hari setiap minggu memandangkan isterinya tidak berapa menggemari suasana hiruk pikuk di ibu kota dengan udara yang tercemar.
- utusan.com.my

Tiada ulasan:

Catat Ulasan