Bertanding di Kota Damansara Dari Sudut Akhlak Jamaah Islam

Khalid Samad
Beberapa hari yang lalu telah saya bahas dari sudut ijtihad atau keputusan strategi. Hari ini saya ingin bahas dari sudut yang lebih berat iaitu akhlak jamaah Islam.

Untuk membahas dari sudut akhlak jamaah Islam, satu persoalan utama perlu dijawab terlebih dahulu.

Persoalan ini ialah samada wakil rasmi PAS dalam mesyuarat perundingan kerusi di peringkat PR Pusat telah memberi persetujuan untuk menerima Dr. Nasir sekiranya beliau diturunkan sebagai calon PKR atau sebaliknya? Sekiranya persetujuan telah diberi oleh wakil rasmi PAS di mesyuarat tersebut, maka walau apa pun alasan yang diberi oleh kawasan dan cawangan-cawangan, tindakan PAS bertanding adalah salah dari segi akhlak jamaah Islam.

Sekiranya ianya tidak dibincang dan wakil PAS di mesyuarat perundingan kerusi PR Pusat telah dengan jelas menyatakan bahawa walau apa pun, calon PSM tidak boleh diterima, maka tindakan PKR meletak Dr. Nasir sememangnya menempah masalah.

Sememangnya setiap kerusi dibincang dan diputuskan di mesyuarat PR Pusat. Bukan untuk Kota Damansara sahaja tetapi untuk semua kerusi yang ditandingi. Setiap kerusi dibincang dan diagihkan di antara parti yang terlibat berdasarkan maklumat dari Negeri yang telah diambil dari kawasan. Oleh kerana PAS tiada pertindihan kerusi dengan DAP maka biasanya PAS akan berunding dengan PKR sambil PKR pula akan berunding dengan DAP berhubung kerusi majoriti bukan Melayu.

Dalam soal KD ianya telah ditandingi oleh PKR pada tahun 2008 dan Dr. Nasir jugalah calon yang diturunkan oleh PKR. PKR menurunkan Dr. Nasir sebagai calonnya di Kota Damansara pada 2008 dengan persetujuan mesyuarat PR dan beliau telah menang. Semua yang terlibat dengan mesyuarat PR mengetahui bahawa Dr. Nasir adalah dari parti PSRM pada asalnya tetapi keluar PSRM apabila PSRM disatukan dengan PKR. Dr. Nasir dan beberapa rakannya kemudiannya berusaha untuk mendaftarkan ‘PSM’ sejak sebelum 2008 lagi. Tanpa adanya parti sendiri maka mereka bersetuju untuk bertanding dengan menggunakan lambang PKR. PKR pun bersetuju untuk mengelak berlakunya 3 penjuru dan mesyuarat PR meluluskannya.

Pada 2013 PSM telah didaftarkan. Maka pada ketika itu mereka ingin bertanding atas lambang PSM. Perkara ini, sefaham saya, telah dibawa ke mesyuarat PR. Keputusan mesyuarat PR pada ketika itu ialah sekiranya mereka bertanding atas lambang PKR maka status quo akan kekal dan mereka akan diterima sebagai calon PKR dan dengan itu calon PR. Dan ini dipersetujui oleh wakil PAS di dalam mesyuarat tersebut yang turut menegaskan supaya elak pertandingan 3 penjuru.

Sebaliknya, sekiranya mereka bertanding atas lambang PSM maka mereka tidak mewakili PR. Dalam keadaan itu PKR akan bertanding juga walaupun berlaku 3 penjuru! Yang akan bertanding melawan PSM pada ketika itu adalah PKR bukan PAS! PAS tiada kena-mengena dengan kerusi tersebut kerana ianya kerusi PKR. Itu yang dipersetujui oleh wakil rasmi PAS.

Berbekalkan keputusan ini maka PKR berusaha memujuk ahli PSM untuk bertanding atas lambang PKR seperti pada 2008. Ini adalah untuk mengelak dari berlakunya 3 penjuru yang mungkin akan menyebabkan PKR dan PR kehilangan kerusi berkenaan. Calon PSM untuk DUN Semenyih yang bertanding atas lambang PKR pada tahun 2008 telah menolak tawaran tersebut. Maka PSM turun sebagai calon PSM dan oleh itu berlakulah 3 penjuru di antara PKR, PSM dan BN di Semenyih. PKR bertanding walaupun 3 penjuru adalah sepertimana yang diputuskan dan dipersetujui dalam mesyuarat PR. Hasilnya BN menang di Semenyih dan PSM dianggap membantu BN untuk mencapai kemenangan.

Di Kota Damansara, PKR berjaya memujuk Dr. Nasir untuk bertanding dengan lambang PKR. PKR mengarahkan bakal calon PKR sendiri, iaitu Sdr Razlan Jalaluddin seorang peguam untuk menarik diri dan beri laluan kepada Dr. Nasir. Sdr Razlan akur dengan keputusan tersebut dan menarik diri. Dr. Nasir seterusnya diturunkan sebagai calon PKR. PKR yakin keadaan 3 penjuru telah dielak dan terkejut apabila didapati PAS menurunkan calonnya untuk Kota Damansara pada pagi penamaan calon! Pada ketika itu, dan biarlah kita bercakap ikhlas dalam soal ini, jangan berputar-belit macam Yahudi, PAS turunkan calon menentang calon PKR bukan calon PSM!

Wakil rasmi PAS dalam mesyuarat PR Pusat telah dihubungi. Beliau berada di Sabah dan tidak ketahuan apa dan mengapa perkara tersebut berlaku. Setelah dimaklumkan, beberapa hari kemudian, beliau telah turun dari Sabah ke Kota Damansara untuk mengisytiharkan Dr. Nasir sebagai calon rasmi PR! Malangnya ahli PAS Kota Damansara menolak pendirian beliau sedangkan beliau adalah wakil rasmi PAS dalam soal perundingan kerusi!

Apa yang ditulis di atas adalah apa yang saya dimaklumkan oleh wakil rasmi PAS ke mesyuarat perundingan kerusi PR Pusat, iaitu Setiausaha Agung PAS, Dato Mustaffa Ali. Sekiranya apa yang diceritakan adalah benar, maka amat jelas PAS telah mungkiri janji.

Sekiranya begitu maka amat sangat malanglah keadaannya, lebih lebih lagi sekiranya PAS ingin terus menafikan bahawa PAS telah melakukan kesalahan dengan melanggar apa yang telah dipersetujui bersama. Soal perjanjian dan berpegang kepadanya adalah sesuatu yang amat dipentingkan oleh Islam. Oleh itu tindakan melanggar janji adalah satu tindakan yang tidak boleh dibenarkan dan didiamkan. Allah berfirman di dalam Al-Quran:

“Dan janganlah kamu jadikan perjanjian yang kamu sertai di antara kamu (sebagai bahan mainan). Akan tergelincir kaki setelah berdiri teguh. Dan akan kamu dilemparkan dengan kehinaan kerana kamu menjadi penghalang kepada jalan Allah (dengan perangai buruk kamu) dan di akhirat akan kamu menerima azab yang dahsyat.”
(An-Nahl 94)

Tindakan langgar perjanjian di dalam ayat ini di samakan Allah dengan tindakan menghalang manusia dari jalan Allah! Kerana dilihat oleh mereka bahawa orang Islam tidak berpegang pada janji. Maka mereka memandang hina terhadap orang Islam dan dengan itu menjadi punca mereka menjauhkan diri dari jalan Allah. Fikir-fikirkanlah. Tindakan tersebut sebagai sebuah ‘Parti Islam’ mempunyai implikasi luas dan terus terhadap tanggapan manusia mengenai Islam itu sendiri.

Untuk makluman, di peringkat Negeri Selangor, soal PAS bertanding di kerusi Kota Damansara tidak pernah timbul walau dalam apa-apa perbincangan. PAS Negeri dan Kawasan telah bersetuju bahawa kerusi itu adalah milik PKR dan PAS tidak akan bertanding di situ! PAS Kawasan Subang, iaitu kawasan di mana terdapat DUN Kota Damansara, bertemu berkali-kali dengan PAS Negeri tetapi hanya untuk berbincang persoalan calon Paya Jaras SAHAJA! Pendirian Negeri inilah yang diulangi di peringkat Pusat.

Adalah merupakan kebiasaan bahawa janji dan persetujuan yang dibuat oleh wakil rasmi sesebuah pertubuhan adalah merupakan janji dan persetujuan pertubuhan tersebut. Sekiranya PAS mempunyai tanggapan berbeza, di mana janji dan persetujuan wakil rasmi yang diberi mandat untuk mewakili PAS di dalam sesuatu perbincangan tidak mengikat PAS, maka perlu diberitahu pada semua dari awal. Dalam ertikata lain, PAS perlu beritahu bahawa wakil PAS boleh berjanji tetapi janji dan persetujuan itu boleh dibatalkan dan dilanggar pada bila-bila masa mengikut keseuaian tempat dan keadaan semasa.

Saya minta pendirian jelas dikeluarkan yang mengatakan begitu sekiranya benar itulah sikap PAS terhadap janji dan persetujuan yang diberi. TETAPI ketahuilah, sekiranya itulah sikap PAS maka tiada siapa akan membuat perjanjian dengan PAS kerana janji tersebut tidak bermakna!

Dalam soal ini hujjah ‘ijtihad pemimpin’ tidak boleh diguna-pakai. Kerana pemimpin tidak boleh berijtihad untuk melanggar perjanjian dan persetujuan yang telah dicapai sebelumnya dengan begitu sahaja. Untuk makluman di antara matlamat utama PR ialah untuk menentukan satu lawan satu menentang BN. PAS telah beri komitmennya untuk mengukuhkan PR. Tindakan bertanding di Kota Damansara bercanggah dengan apa yang dijanji dan dipersetujui.
عَنْ عَائِشَةَ رضي الله عنها قَالَتْ : قَالَ رَسُولُ اللَّهِ صلى الله عليه وسلم :
" إِذَا أَرَادَ اللَّهُ بِالأَمِيرِ خَيْراً ، جَعَلَ لَهُ وَزِيرَ صِدْقٍ ، إِنْ نَسِيَ ذَكَّرَهُ ، وَإِنْ ذَكَرَ أَعَانَهُ ، وَإِذَا أَرَادَ اللَّهُ بِهِ غَيْرَ ذَلِكَ ، جَعَلَ لَهُ وَزِيرَ سُوءٍ ، إِنْ نَسِيَ لَمْ يُذَكِّرْهُ ، وَإِنْ ذَكَرَ لَمْ يُعِنْهُ "
[ رواه أبو داود والنسائي ] .

Dari Ayesyah (RA): Telah berkata Rasulullah (SAW):-
Sekiranya Allah inginkan kebaikan bagi seseorang pemimpin, akan diadakan untuknya wazir yang bersifat benar. Sekiranya dia lupa akan diingatkannya dan sekiranya dia ingat akan dibantunya. Sekiranya diinginkan Allah sebaliknya, maka diadakan untuknya wazir yang jahat. Sekiranya dia lupa tidak diingatkannya dan sekiranya dia ingat, tidak dibantunya.
(Riwayat Abu Daud dan An-Nasaii)

Biarlah ahli PAS menjadi sebagai wazir yang Siddiq yang membantu kearah pengukuhan PR sepertimana yang diinginkan PAS. Maka apabila pimpinan lupa, sama-sama kita ingatkan dan apabila pimpinan ingat dan berusaha keras untuknya, sama-sama kita bantu.

Maka sekali lagi saya nyatakan, sekiranya persetujuan telah diberi oleh wakil rasmi PAS dalam mesyuarat PR bahawa PAS tidak akan bertanding di Kota Damansara apabila PKR menurunkan calon, walaupun calon itu adalah Dr. Nasir, maka tindakan PAS bertanding di Kota Damansara adalah salah, bercanggah dengan akhlak jamaah Islam dan menjatuhkan imej PAS dan Islam dikhalayak ramai.

Saksikan ya Allah bahawa saya telah tunaikan tanggung jawab saya kepada pimpinan saya!

WaLlahu 'Alam
KHALID SAMAD

Letak jawatan atau himpunan lebih besar?

AZIZ MUDA
KUALA LUMPUR: Gabungan NGO yang bercadang untuk mengadakan himpunan besar-besaran di Putrajaya atau Dataran Merdeka jika Pengerusi, Timbalan Pengerusi, Setiausaha dan pegawai-pegawai SPR yang ada sekarang tidak meletak jawatan, dianggap sebagai komitmen ikhlas rakyat mahukan sebuah pilihan raya adil, bebas dan bersih pada masa depan.

Naib Presiden PAS, Dato’ Mahfuz Omar berkata, dalam PRU13 lalu, rakyat dapat merasakan dan menyimpan pengalaman tersendiri berkenaan pelbagai penipuan dan penyelewengan yang dilakukan oleh SPR.
Katanya, SPR yang ada sekarang sudah tidak lagi dilihat sebagai badan bebas sejak dahulu, malah jelas berpihak kepada Umno-BN, sehingga badan itu gagal mengendalikan pilihan raya dengan bersih, adil dan telus seperti yang diingini oleh rakyat.

Menurut beliau, rakyat jelas ditipu oleh SPR dengan penggunaan dakwat kekal yang tidak kekal, walaupun pihak kerajaan telah membelanjakan lebih RM2 juta wang rakyat untuk menyediakan dakwat itu.

“Setelah keputusan PRU13 diumumkan dengan memberikan kemenangan kepada BN yang mencurigakan itu, kini rakyat bangkit menentang segala penipuan dan penyelewengan SPR menerusi beberapa siri Perhimpunan Black505 di beberapa tempat yang dihadiri puluhan malahan ratusan ribu rakyat,” kata Ahli Parlimen Pokok Sena itu.

Mahfuz berkata, rancangan untuk mengadakan perhimpunan besar-besaran itu adalah lanjutan kepada perhimpunan-perhimpunan yang telah diadakan sebelum ini sekiranya peneraju SPR tidak berubah.

Perhimpunan lebih besar tegasnya, memang wajar diadakan oleh gabungan NGO, jika tidak SPR tidak akan dirombak dan ditambahbaikan buat selamalamanya selagi BN menguasai badan ini.

Mahfuz berkata, rakyat telah pun memberikan ruang masa yang cukup kepada Kerajaan Umno-BN dan SPR untuk mengatasi segala kepincangan dan penyelewengan itu, tetapi segala desakan rakyat tidak juga dipedulikan oleh SPR.

Kemarahan rakyat, tegas Pesuruhjaya PAS Kedah itu, semakin memuncak apabila SPR tidak mengendahkan segala teguran dan aduan, sebaliknya sering mengeluarkan kenyataan yang menyebelahi BN, sehingga badan itu dilihat seperti menjadi jurucakap kepada Umno-BN pula.

Oleh kerana SPR bersikap tidak profesional dan bias, tidak hairanlah jika rakyat bangkit membantah dan menolak SPR sebagai badan bebas.

“Kerajaan BN tidak boleh menyalahkan rakyat lagi jika diadakan perhimpunan besar itu nanti. Sebaliknya, rakyat wajar diberikan hak untuk menyatakan rasa tidak puas hati mereka akibat penipuan dan penyelewengan SPR itu,” katanya.

Pontianak mengamuk kerana kain

SHAIFUL AZHAR AHMAD ALI 
Pontianak mengamuk kerana kain
Kain batik (dalam bulatan) diletakkan di atas bumbung garaj. Pontianak mengamuk kerana kain
Pontianak mengamuk kerana kain
Aziz menunjukkan lokasi kain batik dijumpai.
KULIM: Misteri kedengaran suara seolah-olah wanita dikatakan mengilai-ngilai pada sebelah malam di sebuah rumah terjawab apabila penghuninya menemui seorang pengamal perubatan tradisional.

Kejadian berkenaan dikatakan berpunca apabila sehelai kain batik yang ditemui di perkarangan rumah sewa yang baru siap dibina pemiliknya di Kampung Batu 4 ½ itu dibakar.

Kakitangan awam, Aziz Othman berkata, selepas dia menemui pengamal perubatan tradisional berkenaan barulah dia dan isterinya dapat mengenalpasti punca sebenar kejadian lembaga bertenggek dan membuat bunyi seperti cakaran pada bumbung rumahnya.

Kata pengamal perubatan berkenaan, kemungkinan mereka ada mengganggu barangan milik 'penunggu' itu.

"Semua ini berpunca dari kesalahan kami. Ketika mula-mula masuk ke rumah, saya dan isteri mengambil keputusan untuk membersihkan rumah yang kami sewa itu terlebih dahulu kerana ia baru siap dibina.

"Ketika sedang membersihkan kawasan di persekitaran rumah, saya terjumpa kain batik hitam yang sudah lusuh di kaki lima rumah berhampiran pokok pisang dan membersihkan rumah dengan menggunakan kain itu," katanya.

Bakar kain buruk

Katanya, setelah selesai dia menyidai kain itu di ampaian.

"Apabila kain itu sudah kering, isteri saya mendapati kain itu sudah buruk lalu membakarnya.

"Sejak kain batik itu di bakar, suara mengilai dan jelmaan pontianak itu mula mengganggu kami serumah,” katanya.

Menurut Aziz, gangguan berkenaan kemungkinan makhluk halus yang digelar pontianak.

Difahamkan makhluk berkenaan mula mengganggu mereka selepas dua bulan mendiami rumah baru sewa itu, selepas rumah lama mereka musnah akibat ribut.

Pada masa-masa tertentu, ia akan menyerupai penduduk kampung dan berjalan bersendirian terutamanya sebelah malam.

Dua bulan pertama tinggal di rumah itu amatlah memeritkan Aziz kerana diganggu lembaga itu yang juga pernah menjelma seolah-olah perempuan berambut panjang dan matanya seperti bernyala kemerahan.

Lembaga berkenaan juga pernah dilihat berada pada bahagian atas bumbung rumah Aziz.

Katanya, selepas diberitahu punca sebenarnya kejadian oleh pengamal perubatan tradisional itu, mereka terus berikhtiar menyelesaikan masalah gangguan itu.

Cari alternatif

Menurutnya, bagi mengatasi masalah itu, pengamal perubatan tradisional itu menyarankan mereka mencari kain batik yang seakan-akan sama pernah dibakar isterinya sebelum ini.

"Kami berjumpa semula pengamal perubatan tradisional itu dan dia mengarahkan kami mengelilingi rumah beberapa kali pada waktu sama.

"Keadaan menjadi agak kronik lembaga itu mengganggu saya semula minggu lalu sebelum dan meletakkan kain berkenaan di atas bumbung garaj kereta," katanya.

Sepanjang mendapatkan rawatan berkenaan, hanya kepada ALLAH kami berserah dan meminta menjauhkan segala perkara buruk dan gangguan syaitan terhadap rumah yang kami sewa ini.

"Alhamdulillah, kain itu kemudiannya saya letakkan di atas bumbung rumah dan membiarkan ia reput dan gangguan suara perempuan meminta tolong serta bunyi cakaran pontianak di atas bumbung rumah tidak lagi kedengaran,” katanya.

Menurut Aziz, lembaga itu masih berkeliaran di kawasan hutan berdekatan jalan besar Sungai Ular bagaimanapun tidak mengganggu penduduk kampung.

"Pernah dikatakan empat penduduk kampung terserempak lembaga itu berjalan sendirian di tepi jalan bagaimanapun terbang setelah ditegur penduduk kampung," katanya.

Sebelum ini Sinar Harian melaporkan Aziz pernah terserempak lembaga berkenaan berada di atas bumbung rumahnya ketika menyimpan motosikal kuasa tingginya selepas curiga terdengar suara wanita mengilai kuat di hadapan rumah.

MP Dari BN Sabah Sila Lompat Segera

Blog wfauzdin.blogspot.com
TIDAK pelik jika kerajaan minoriti 47% ini di dalam keadaan ketakutan sekarang.
Maklumlah, majoriti rakyat secara terang dan jelas menolak kerajaan zalim yang sekarang ini mendakwa berkuasa hanya atas faktor lebih kerusi di Parlimen. Itulah 'Kerajaan Kerusi".

Ketakutan teramat sangat apabila membayangkan sekiranya ada rakan-rakan di Sabah atau Sarawak tiba-tiba terbuka 'hidayah' mereka dan melangkah masuk menyertai Pakatan Rakyat, atau sekurang-kurangnya mereka berada di pihak Bebas. Tidakkah ini akan menumbangkan kerajaan yang ada sekarang? Ini paling mereka takuti sebab mereka tahu 'nyawa' kerajaan sekarang bergantung sepenuhnya dari dua negeri di bawah bayu tersebut. Di Semenanjung, telah dua kali PRU mereka 'ghuyub'.

Akibat ketakutan itu, mereka sedaya upaya menghalang kehadiran pimpinan PR yang berpengaruh untuk memasuki negeri di Sabah dan Sarawak. Sebelum ini, YB Azmin, YB Tian Chua, pimpinan NGO seperti S.Ambiga dan beberapa orang lagi, dan terbaru kelmarin YB Nurul Izzah pula disekat masuk. Sabah sudah menjadi negeri milik peribadi.

Naib Presiden PKR yang juga MP Lembah Pantai, YB Nurul Izzah Anwar telah tidak dibenarkan oleh pihak imigresen Sabah memasuki negeri ini. "Saya ditahan oleh Imigresen Sabah dan diarah pulang oleh Pejabat Ketua Menteri Sabah. Beginilah nasib demokrasi pasca-PRU13. Just you wait BN" tulis Nurul dalam twitter nya kelmarin. Katanya, beliau tidak dibenarkan berjumpa MP Penampang, Darell Leiking yang bertindak sebagai peguamnya. "Terdapat MP lain yang tidak akan dibenarkan masuk ke Sabah. Apabila ditanya nama (mereka yang tidak akan) dibenar masuk, (pihak Imigresen berkata ia) dianggap rahsia," kata Nurul Izzah lagi.

Adakah Sabah bebas untuk pendatang asing? Sabah tempat mengumpulkan pendatang asing yang tiada IC untuk diberikan IC? Di Lahad Datu, penceroboh di'benarkan' masuk kononnya untuk berbincang walaupun mereka hadir bersenjata, penceroboh boleh 'bermukim' pula untuk beberapa hari menyiapkan kubu mereka seterusnya menyerang anggota keselamatan kita. Mengapa YB Nurul Izzah dihalang? Adakah kerana YB Nurul Izzah bukan keturunan "Raja Kiram", maka beliau tidak layak memasuki Sabah? Kezaliman dan kebodohan politik KM Sabah ini teramat sangat sehinggakan MP Kinabatangan, Bung Mokhtar pun naik pelik dan tertanya-tanya mengapa teruknya Sang Penguasa di Sabah ini?

Sebab itu, kita tidak ada keraguan atau was-was lagi untuk mendakwa kerajaan ini memang zalim. Kerajaan zalim mesti ditentang. Jika tok-tok peti berat mulut untuk menentang kezaliman, biarkan sahaja rakyat yang melakukannya. Tok-Tok Peti duduk sahaja di rumah tadah kitab dan cukup bulan terima gaji.

Saya tidak lakukan rasuah - Khir Toyo


PETALING JAYA: Walau pun mahkamah mengekalkan hukuman bersalah ke atas Dr Mohd Khir Toyo, tetapi bekas Menteri Besar Selangor itu tetap berpendirian beliau tidak melakukan rasuah.

“Walau apa pun tanggapan mereka yang tidak suka dengan saya, tapi hakikatnya saya tidak melakukan rasuah.

“Saya hadir ke Mahkamah Rayuan dengan harapan yang tinggi kerana saya percaya saya tidak melakukan apa-apa kesalahan rasuah mahu pun pecah amanah,” katanya.

Beliau menulis di dalam blognya selepas beberapa jam panel tiga hakim Mahkamah Rayuan telah membuat keputusan sebulat suara menolak rayuannya.

Bagaimanapun, beliau akan merayu di Mahkamah Persekutuan walaupun tidak mengharapkan peluang untuk dibebaskan secerah semasa kes ini di Mahkamah Rayuan.

Rasuah apa?

“Sebab tu saya dituduh melakukan Criminal Breach Trust (CBT) atau pecah amanah di bawah Kanun Keseksaan bukannya kesalahan rasuah di bawah Akta Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).
|
“Namun SPRM dengan bangganya menyatakan bahawa kejayaan pendakwaan ke atas saya merupakan bukti kerajaan serius membanteras rasuah.

“Rasuah apa? Sokongan saya terhadap cadangan memajukan tanah secara usahasama ke atas syarikat milik Shamsuddin (Haryoni) dinilai oleh Jawatankuasa Teknikal yang saya tidak ketuai. Malah keterangan pegawai PKNS menunjukkan banyak sokongan saya juga ditolak,” katanya lagi.

Malah DR Khir tidak peduli lagi jika keputusan telah dibuat untuk memenjarakannya sebagai ikon untuk menunjukkan kerajaan Datuk Seri Mohd Najib Tun Razak ini telus dan mahu membanteras rasuah.
Dr Mohd Khir percaya beliau akan tetap bersalah walau apa pun bukti dibawa.

Tapi sekurang-kurangnya beliau berharap para hakim akan memberi penghakiman yang jelas agar tidak ada lagi penjawat awam menjadi sepertinya – mangsa yang boleh dimanipulasi untuk kepentingan politik.

Khir Toyo dakwa dirinya 'dikambinghitam'

Bekas menteri besar Selangor, Dr Khir Mohd Toyo mendakwa beliau dijadikan contoh untuk menunjukkan kerajaan yang dipimpin Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak telus dan mahu membanteras rasuah.

Dalam tulisan di blognya hari ini, Khir - yang dikekalkan hukuman penjara 12 bulan oleh Mahkamah Rayuan semalam - berkata beliau sudah "putus harapan" dan pesimis sekalipun merancang untuk merayu kesnya di Mahkamah Persekutuan.

NONE"Saya sudah tidak peduli lagi jika keputusan telah dibuat untuk memenjarakan saya sebagai ikon untuk menunjukkan kerajaan Datuk Seri Mohd Najib Tun Razak ini telus dan mahu membanteras rasuah. Biarlah luncai terjun dengan labu-labunya," tulis Khir dalam blognya.

Semalam Mahkamah Rayuan mengekalkan keputusan bersalah terhadap Dr Mohd Khir bagi tuduhan rasuah yang berkaitan dengan pembelian dua lot tanah berharga dan sebuah rumah di Shah Alam, semasa menjadi penjawat awam.

"Semalam, peguam saya, Datuk Seri Shafee Abdullah bangun mengemukakan pertanyaan kepada tiga orang panel hakim hari ini, 'Apakah benchmark atau tanda aras untuk menyatakan pembelian ini merupakan satu pembalasan yang tidak mencukupi.'

"Pertanyaaan ini bukan sahaja tidak dijawab oleh Hakim Mahkamah Tinggi tetapi juga oleh tiga panel hakim Mahkamah Rayuan. Ini bermakna saya tidak mungkin mendapat sebarang perbicaraan yang munasabah pada akal logik," katanya.

Gambar ini memberi sejuta makna.

tokpepijat
ada hari kita di atas
ada hari kita di bawah

ada hari kita di luar
ada hari kita di dalam

ada hari kita tidak kisah apa orang kata
kerana kita berkuasa dan berpangkat

ada hari kita tidak peduli sengsara rakyat di Berembang
ada hari kita seronok bagi penyapu pada pegawai kita

hari ini
baru kita tahu langit tidak selamanya cerah bagi kita
dan langit tidak selamanya mendung bagi yang dizalimi

hari ini juga
baru kita tahu doa-doa yang dizalimi dimakbulkan Tuhan Yang Maha Adil

dan hari ini juga baru kita tahu jalan yang diambil Mat Taib
jalan yang betul, benar dan penuh keinsafan

Kita masih ada saki baki hari yang bakal indah
kerana Tuhan itu Maha Pengampun

Rakyat Selangor mencipta sejarah

Faekah Husin
Saya terasa teringin untuk menulis sesuatu hari ini. Agak lama tidak menyatakan pandangan, mungkin kerana terpaksa menahan diri dari melakukannya kerana ada tugas penting yang perlu diselesaikan tanpa memberi peluang kepada mana-mana pihak mentelaah secara negatif.
Semalam setelah semuanya selesai maka sementara duduk di rumah elok dituliskan sesuatu agar mampu memberi sedikit pencerahan.
Ramai melihat agenda melantik Menteri Besar di Selangor dan barisan Exco dengan kanta pandang dekat; seramai mungkin yang mahu memberi pandangan walaupun dalam banyak masa mereka tidak mempunyai sebarang maklumat tepat untuk membuat komen.

Maka wujudlah beberapa siri perbincangan panas antaranya Istana campurtangan dalam pemilihan Exco, politik kuno berpaksikan kaum, politik order lama yang tidak sensitif gender dan bermacam lagi.

Bila ada ura-ura kononnya istana atau lebih khusus lagi DYMM Sultan cuba memberi nasihat dan pandangan dalam pelantikan Exco maka terus sahaja kita membuat kesimpulan bahawa Tuanku mahu campurtangan dalam pentadbiran negeri, baginda seorang yang rasis dan hanya memihak kepada orang Melayu.

Tidak sedikit yang menyatakan rasa marah dan tersinggung serta kesedihan mereka dengan berita tersebut.

Ramai kita terlupa bahawa politik Pakatan Rakyat yang kita bawa adalah politik baru dengan semangat politik inklusif, yakni ruang bersuara dan memberi pandangan terbuka luas kepada semua pihak dan saya berpandangan ianya tidak terkecuali kepada pihak istana.

Lebih malang apabila timbul cerita bahawa pihak istana mahu formula 6:4 (Melayu: Bukan Melayu) digunapakai dan isu kaum terus dimainkan tanpa cuba melihat mungkin ada sudut lain yang lebih positif dan membina yang boleh dilihat.

Bila kita lihat keputusan 15:15:14 PAS DAP dan Keadilan, ini bermakna keputusan tersebut telah melonjakkan kerusi PAS yang dahulunya hanya 8 kepada 15 kerusi.

Sedar atau tidak dengan lonjakan tersebut telah sekaligus membenamkan tohmahan Umno-Najib bahawa PRU13 adalah Tsunami Cina hingga membawa kepada keceluparan melampau apabila mereka mengatakan “Apa lagi Cina mahu”.

Kawasan majoriti Melayu di Sepang dan Sabak yang dimenangi oleh PAS telah memusnahkan ego Datuk Seri Najib Razak dan kuncu utamanya Datuk Seri Ir Md Zin.

Justeru, dengan memperolehi 15 kerusi amat wajar PAS diberikan penghargaan kerana bukan sahaja memang mereka telah melonjakkan kerusi PR hingga mendapat 3/4 majoriti di dalam Dewan malahan telah menafikan jolokan Tsunami Cina yang cuba dimainkan oleh Umno.

Ianya saya lihat telah menggagalkan usaha Umno untuk memalukan masyarakat Melayu di Selangor hingga boleh mewujudkan ketegangan kaum.

Saya berpendapat inilah yang cuba dibayangkan oleh Tuanku semasa membuat keputusan untuk tetap memberi pandangan kepada MB bahawa rayuan MB di saat akhir dengan tujuan memberi 4 kerusi Exco kepada DAP tidak boleh dirai.

Namun, benar percakapan umum bahawa politik terbaca atas persepsi dan bukan dari niat sebenar. Maka persepsi menggambarkan Tuanku seperti anti Cina dan hanya mementingkan politik orang Melayu.

Bagaimana hari ini? Setelah melihat Pentadbiran PR Selangor dengan berani mencipta sejarah melantik YB Hannah Yeoh sebagai Speaker lantas menjadi Wanita (Cina) pertama yang menduduki kerusi tersebut adakah persepsi di atas masih terpakai?

Terbukti hari ini politik Selangor telah menjangkau ke hadapan — meninggalkan politik rasis dan gender ke belakang.

Tidak terfikirkah kita bahawa DYMM Tuanku juga memainkan peranan besar di dalam sejarah yang kita cipta ini?

Sejarah mampu dicipta di Selangor ekoran dari proses konsultasi, tawar menawar, tikaman lidah hingga mewujudkan kerjasama erat dan kebijaksanaan Menteri Besar, pemimpin Pakatan Rakyat hatta dari keperihatinan DYMM Tuanku sendiri.

Sebenarnya saya tidak hadir pada Majlis Angkat Sumpah Exco yang penuh istidat dan bersejarah semalam kerana khuatir kokokan batuk yang saya alami sejak PRU dahulu akan mengganggu keharmonian upacara.

Meskipun saya dijemput sendiri oleh Dato Pengelola Istana tapi saya terpaksa menolaknya walau dengan hati yang berat.

Biarlah acara gemilang berlangsung cemerlang tanpa ada bunyi atau suara sumbang-garau yang mencemar majlis.

Cukup sekadar menyediakan teks Sembah Ucapan Dato Menteri Besar kepada Tuanku menjadikan saya seolah-olah berada di sana merai hari bahagia rakyat Selangor.

Memandangkan saya ada kelapangan berada di rumah, saya mengambil kesempatan membuat catatan ini dengan hasrat mahu mengimbangi keghairahan kita memberi pendapat dengan harapan dapat mengecapi politik ideal.

Ghairah mengketengahkan harapan agar tiada campurtangan istana dalam pentadbiran negeri.

Harapan agar politik tidak diukur dengan ras dan kaum. Harapan agar politik kita terkeluar dari kekangan gender. Saya akui semua harapan itu memang baik dan ideal; tidak keterlaluan jika saya katakana itulah suasana politik yang didambakan oleh kebanyakan rakyat Malaysia.

Namun pada saya, apa yang lebih penting ialah natijah dan hasil dari proses yang kita ambil dalam berpolitik.

Maksud saya, apa yang kita lihat pada pagi tadi di Balairong Seri, Istana Alam Shah, Klang. Pentadbiran Selangor membariskan barisan Exco yang mempunyai cukup representasi dari Melayu, Cina dan India.

Selangor lengkap dengan reprentasi Wanita dalam Exco yakni sebanyak 40 peratus.

Selangor mencipta sejarah apabila buat julung-julung kalinya melantik seorang Speaker Wanita berbangsa Cina dan Timbalan Speaker termuda di dalam sejarah politik negara.

Pakatan Rakyat Selangor berjaya membariskan barisan Exco profesional pelbagai bidang dan jurusan; peguam, doktor, arkitek, dentis hatta seorang ilmuan agama seperti Ustaz Solehin Muhyi.

Rakyat Selangor pula semuanya berbangga menjadi rakyat di negeri Selangor yang telah memilih pimpinan mereka yang pelbagai bidang.

Cuma satu perkara yang ingin saya ketengahkan, di sebalik kegembiraan dan kebanggaan yang kita semua rasai ketika ini, harus diketahui juga ianya bukan datang dengan sendiri.

Bukan juga dengan campurtangan mana-mana pihak.

Ianya adalah hasil dari proses bertikam lidah, konsultasi, perbincangan serta tawar menawar yang dilakukan semua pihak; parti-parti politik, pegawai eksekutif di pejabat Menteri Besar dan Pegawai di istana.

Malah yang lebih besar lagi apabila DYMM Tuanku sendiri yang ada ketika pada siri menghasilkan barisan Exco dan Speaker kebanggaan kita ini telah sanggup mencemar duli.

Pada saya, sejarah semalam telah dicipta semua orang baik dari keturunan Raja hinggalah pacal rakyat marhaen dan budak suruhan pejabat serta para Bentara di istana.

Syabas rakyat Selangor dan tahniah kepada pimpinan yang dilantik menerajui pentadbiran negeri. Selamat Menjalankan Tugas: bekerja demi rakyat tanpa memihak kepada sesiapa dan tanpa rasa takut kepada manusia. Sesungguhnya Rakyat Hakim Negara dan Allah pemilik sekalian alam.

* Faekah Husin merupakan setiausaha politik keada Dato Menteri Besar Selangor.

Kelantan Selepas Tok Guru Nik Aziz

Dinsman
Ini sesuatu yang tidak dijangka. Mungkin Datuk Ahmad Yaakob dan kawan-kawannya dalam saf Exco lama sudah diberitahu oleh Tok Guru Nik Aziz akan hasratnya hendak berundur itu.

Tetapi bagi kita orang awam yang mengikuti berita melalui media massa, kita membaca berita Tok Guru Nik Aziz mengulangi kenyataannya akan terus berkhidmat hingga ke akhir hayat, atau selagi dikehendaki oleh parti dan hanya akan berundur apabila dinasihati parti supaya berbuat demikian.

Tiba-tiba setelah menang PRU13 kita mendapat berita Datuk Ahmad Yaakob, Timbalan Menteri Besar sebelum ini, mengangkat sumpah menjadi Menteri Besar Kelantan. Tiada lagi Tok Guru Nik Aziz. Memang itu berita yang mengejutkan, walaupun proses pertukaran itu berlaku begitu bersahaja dan tanpa apa-apa peristiwa atau kejadian yang luar biasa.

Kita sudah lama maklum akan keadaan Tok Guru yang sudah lanjut usia, dan keadaan fizikalnya pun sudah agak uzur, dan kesihatannya pun sering terganggu. Tetapi dari segi lain, kemampuan minda dan ideanya masih kelihatan segar dan up-to-date, sentiasa selari dengan perkembangan masa.

Terakhir misalnya, beberapa minggu sebelum Parlimen dibubarkan, Tok Guru meminta saya menghasilkan sebuah teater kisah Abul ‘As menantu Rasulullah saw, dengan melibatkan ‘artis-artis hijrah’ sebagai pelakon. Teater itu pun (Pengisytiharan Abul ‘As) dipentaskan di hotel Grand Riverview Kota Bharu, pada 15 Mac.

Pementasan teater itu menjadi satu peristiwa penting dalam sejarah perkembangan seni-budaya, khasnya teater Islam di negara ini. Buat pertama kalinya PAS dan Kerajaan PAS Kelantan (melalui TG Nik Aziz) secara rasmi membenarkan perempuan berlakon bersama lelaki di atas pentas, di hadapan khalayak umum lelaki dan perempuan. Sebelum itu tidak dibenarkan. Maka itu adalah suatu pemikiran baru dari TG Nik Aziz, yang membuka ruang yang luas untuk kegiatan seni teater dalam masyarakat Islam.

Dan beberapa hari selepas itu saya menerima telefon daripada Pusat Kajian Strategik Kelantan meminta beberapa tarikh yang dapat saya luangkan untuk ke Kota Bharu, kerana TG Nik Aziz meminta supaya diadakan majlis bicara buku mengenai buku terbaru saya Kelantan 22 Tahun Bukti Kejayaaan. (Beliau melancarkan buku ini pada malam pementasan teater Abul ‘As itu). Rancangan bicara buku itu walau bagaimanapun tak sempat diadakan kerana Perdana Menteri Najib membubarkan Parlimen pada 3 April.

Jadi, pengunduran TG Nik Aziz secara tiba-tiba itu adalah sesuatu yang tidak dijangka. Walaupun kita tahu dia sudah lama menjadi Menteri Besar (hampir 23 tahun) dan pada bila-bila masa sahaja dia mungkin akan mengundurkan diri (kerana sebab-sebab yang munasabah), namun berita pengundurannya itu tetap memberi kejutan. Sebab apa? Sebab kita masih memerlukan sumbangan idea dan pemikirannya yang sentiasa segar, berani, mengikuti peredaran zaman, dan dibuat berdasarkan ilmu Islamnya yang luas dan mendalam.

Sekarang TG Nik Aziz sudah tiada lagi di Kelantan sebagai Menteri Besar. Kelantan sekarang sudah tidak sama lagi dengan Kelantan sebelum 5513 (5 Mei 2013). Kita tidak tahu sebenarnya apakah Kelantan akan terus kekal sepertimana ia di bawah pentadbiran TG Nik Aziz, atau akan menjadi lebih baik, atau bagaimana. Namun kita tetap merasakan Kelantan selepas ini akan tidak sama lagi dengan Kelantan sebelum 5513.

Bukan kita mengatakan Ahmad Yaakob tidak layak menjadi Menteri Besar Kelantan. Bukan. Ahmad Yaakob memang layak, dan dia mungkin membawa Kelantan menjadi lebih baik lagi selepas ini. Kita mengatakan Kelantan selepas ini tidak sama lagi dengan Kelantan sebelum ini hanyalah semata-mata kerana kuatnya imej TG Nik Aziz yang telah melekat dalam kepala dan hati kita selama ini.

Ingat Kelantan sahaja kita terus terbayangkan sosok tubuh TG Nik Aziz. Dan sekarang apabila ingat Kelantan, bayangan sosok tubuh kecil yang berwibawa sebagai Tok Guru itu (atau sebagai orang tua tempat kita boleh mengadu, walaupun kita tidak mengadu pun) sudah tiada lagi sebagai Mentri Besar Kelantan. Itu saja. Tapi sungguhpun begitu, ia sangat mengesankan, buat masa ini.

Kita terasa kehilangan. Walaupun kita tahu dia ada, di rumahnya di Pulau Melaka, tapi kita tetap merasakan kehilangannya sebagai sosok pemimpin yang lembut dan mesra di tengah-tengah permasalahan masyarakat.

Saya, dan bersama kawan-kawan dalam Seniman Paksi Rakyat (Paksi), mempunyai beberapa rancangan yang dicadangkan akan dibuat melibatkan TG Nik Aziz. Antaranya ialah seminar serantau mengenai model pentadbiran negara Islam dengan tumpuan kepada Kelantan, yang dicadangkan dibuat Julai ini, melibatkan wakil-wakil dari Indonesia, Selatan Thailand, Kemboja, Filipina dan Brunei. Ia belum dimaklumkan kepada kerajaan negeri Kelantan. Cadangnya akan dimaklumkan pertengahan bulan ini.

Satu lagi rancangan ialah pembukuan tafsir seluruh al-Quran oleh TG Nik Aziz. Telah lama TG Nik Aziz selesai mensyarahkan tafsir seluruh al-Quran 30 juzuk itu, tetapi ia belum dibukukan. Ia tersimpan dalam tape dan CD, tetapi tidak terkumpul. (Perlu diusahakan pengumpulannya juga). Yang telah dibukukan hanya Tafsir Surah Yunus, Surah Taubah dan beberapa lagi.

Kami merasakan tafsir yang lengkap ini perlu dibukukan kerana belum ada pendekatan tafsir seperti yang disyarahkan oleh TG Nik Aziz. Ia berbeza daripada tafsir-tafsir oleh Ibnu Kathir, Qurtubi, Maraghi, Syed Qutub dan Hamka. Ia akan berada sebaris dengan tafsir-tafsir besar al-Quran yang sedia ada itu. TG Nik telahpun selesai menyiapkannya. Tinggal kita mengusahakan pembukuannya sahaja. Alangkah ruginya kalau ini tidak dapat dilakukan.

Satu lagi rancangan kami yang penting bersabit dengan TG Nik Aziz ialah menghasilkan sebuah filem atau video dokumentari mengenai kehidupannya, untuk disebarkan ke peringkat antarabangsa.

Sewaktu pementasan Pengisytiharan Abul ‘As di Kota Bharu pada 15 Mac dikatakan bahawa pementasan itu ialah suatu pra-tonton (preview). Ertinya belum lagi pementasannya yang sebenar kepada orang ramai. Pementasan untuk orang ramai akan dibuat kemudian. Oleh kerana ia adalah program inisiatif TG Nik Aziz sendiri (Setiausaha Politiknya Wan Nik menjadi penerbitnya), kita tak tahulah sekarang bagaimana pula kedudukannya. Kita tunggu sahajalah berita daripada mereka.

Demikian itulah antara yang kami rancang, berkaitan dengan TG Nik Aziz. Sekarang tidak pasti samada rancangan-rancangan itu boleh diteruskan atau tidak. Tidak pasti samada kerajaan pimpinan Datuk Ahmad Yaakob berminat dengan cadangan-cadangan itu.

Namun walau apapun, minat saya terhadap Kerajaan Negeri Kelantan masih tetap sama, kerana saya menganggapnya sebagai model pentadbiran negara Islam yang ada pada hari ini. Dan saya juga menganggapnya sebagai model pentadbiran yang terbaik di dunia pada hari ini, dengan beberapa kelemahannya, yang perlu diatasi oleh pimpinan baru.

Tujuh cadangan saya...

Syed Abdullah Syed Osman Jamalullail,
Saya mencadangkan tujuh perkara kepada pemerintah negara ini khususnya pihak yang berkuasa di dalam hal ehwal agama. Cadangan ini ialah untuk kebaikan untuk umat Islam juga. Walaupun nampak saperti permasalahan kecil atau masalah remeh-temeh tetapi pada agama nampak besar dan perlu diambil tindakan sewajarnya.

1. Pemeriksaan ibu mengandung dan juga apa juga sakit puan serta menyambut bayi ketika lahir hendaklah dilakukan oleh doktor wanita sahaja kerana hal ini dianggap bukan lagi dikategorikan sebagai darurat disebabkan. Nisbah Doktor wanita dengan Doktor lelaki sudah seimbang dan wajar sekali tuntutan ini diketengahkan.

2. Wajibkan pelajaran agama dari tadika lagi dan pastikan semua pelajar boleh membaca dan menulis tulisan jawi serta mampu membaca al-Quran. Mereka sekurang-kurangnya ada asas agama, boleh bersembahyang dengan betul dan juga ada pengetahuan tentang ilmu agama saperti Fardhu Ain dan tanamkan akidah yang betul kepada semua pelajar ini sebelum mereka melangkah kepusat pengajian tinggi atau pun telah keluar daripada alam persekolahan. Begitu juga didalam peperiksaan Jabatan untuk kenaikkan pangkat umpamanya hendaklah juga diselitkan soalan akidah dan pengetahuan agama islam didalamnya.

3. Hukuman yang setimpal mengikut undang-undang Islam kepada penzina dan peragut yang dizaman ini agak keterlaluan berlaku disekeliling kita.

4. Tidak membenarkan pekerja Islam membuat apa-apa juga kerja yang bersabit dengan minuman arak. Kalau kita mampu menghalang umat Islam bekerja ditempat premis perjudian saperti penjualan nombor ekor kenapa tidak masukkan juga bagi pekerja untuk menjual arak?

5. Kemaskini semula dan naikkan taraf pentadbiran agihan wang zakat mengikut aturan dan peraturan yang Islam tetapkan itu. Setiap sen yang dikeluarkan hendaklah diumumkan kerana pembayar zakat dan umat Islam keseluruhannya ingin tahu perkembangan yang mampu membantu umat Islam itu sendiri.

6. Kemaskinikan apa juga yang berkaitan dengan nikah kahwin kerana banyak sekali masalah rumahtangga yang tertangguh agak lama dan begitu juga longgarkan syarat untuk lelaki berpoligami saperti terpaksa mendapatkan tandatangan persetujuan isteri dan syarat membawa slip gaji yang diperlukan itu.

7. Pemilihan AJK Masjid oleh ahli kariah setempat hendaklah diadakan semula kerana disitulah nanti kita boleh mendapat AJK yang benar-benar ikhlas menjalankan tugas dengan penuh amanah. Kita bukan sahaja mahu suasana masjid disemarakkan hidup siang dan malam tetapi juga kebersihan termasuk kebersihan tandas dapat dijaga dengan sempurna serta lebih dapat menjaga kebajikan dan keselamatan masyarakat Islam sekeliling itu sendiri.

Hayat Kabinet Najib tak lama?

RAYUSA

DALAM PRU13, 5 Mei lalu, BN mendapat 48 peratus undi popular, manakala Pakatan Rakyat memperoleh 51 peratus. Justeru, Dato’ Seri Najib Tun Razak menjadi Perdana Menteri sebuah kerajaan minoriti pertama dalam sejarah politik negara.

Pada 15 Mei lalu, Najib mengumumkan senarai jemaah menteri yang dianggapnya sebagai “Kabinet berimbang”. Kabinet tersebut didominasi Umno dengan 20 menteri, manakala PBB (Sarawak) empat, MIC (dua), PRS (Sarawak), PBRS, PBS dan UPKO (Sabah), masing-masing satu. Tiga menteri di Jabatan Perdana Menteri adalah senator.

Enam belas jawatan timbalan menteri diisi Umno, MIC (dua), PBB (tiga), PRS (satu) dan PBS (satu). Tiga lagi timbalan menteri adalah melalui lantikan sebagai senator, termasuk seorang daripada Umno (Dato’ Ahmad Bashah Md Hanipah), dan seorang daripada PPP (Dato’ Dr Loga Bala Mohan).

Namun, Kabinet Najib dijangka akan menambah masalah kerana ia sendiri bermasalah. Contohnya, pelantikan Presiden Transparency International Malaysia (TI-M), Senator Dato’ Paul Low Seng Kuan sebagai Menteri di Jabatan Perdana Menteri sia-sia sahaja kerana anggota Kabinet yang lain bermasalah. Paul tidak boleh berbuat apa-apa jika beliau dikelilingi orang bermasalah, malah dirinya sendiri akan turut “tenggelam”.

Selain itu, pelantikan Dato’ Tajuddin Abdul Rahman sebagai Timbalan Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani antara yang paling dipandang sinis banyak pihak serta banyak mengundang kritikan.

Datin Paduka Marina Mahathir dalam laman twitternya menulis, “Six million dollar man Umno mendapat jawatan timbalan menteri”. Tajuddin digelar sedemikian selepas beliau dipecat daripada Umno pada 1995 atas tuduhan membayar RM6 juta untuk mengekalkan kedudukannya sebagai ketua bahagian.

Tajuddin juga baru-baru ini mendapat konsesi RM1.3 bilion untuk membina UiTM Tapah, Perak walaupun Detik Utuh Sdn Bhd, syarikat pembinaan miliknya tidak aktif dan tiada track record baik dalam bidang pembinaan.

Turut terbabit dalam amalan politik wang oleh Lembaga Disiplin Umno ialah Khairy Jamaluddin yang dilantik sebagai Menteri Belia dan Sukan. Masih ingat insiden penolakan perwakilan Pemuda Umno di PWTC semasa Khairy memenangi jawatan Ketua Pemuda Umno beberapa tahun lalu? Khairy diejek menang kerana rasuah!

Dalam artikelnya, Kenapa saya masuk balik Umno, Tun Dr Mahathir Mohamad menulis, “Saya percaya dia (Najib) tidak akan pilih perasuah yang terkenal dan diketahui umum seperti Khairy dan beberapa lagi sebagai menteri atau anggota kerajaan."

Tindakan Najib itu seolah-olah mencabar Dr Mahathir, Mengekalkan Dato’ Seri Hishammuddin Tun Hussein sebagai menteri juga membuktikan Najib enggan berubah ke arah lebih baik kerana Kementerian Dalam Negeri di mana Hishamuddin bekas menterinya dahulu adalah antara yang paling banyak dilaporkan mengalami ketirisan dalam laporan Ketua Audit Negara.

Tambah menghodohkan “Kabinet berimbang” Najib ialah tiga pemimpin Umno yang terpalit dengan dakwaan rasuah masih dikekalkan.

Dato' Seri Jamil Khir (Menteri di Jabatan Perdana Menteri) menggunakan wang zakat MAIWP sebanyak RM63,650 untuk khidmat peguam sebagai Menteri Agama; Dato’ Seri Shafie Apdal (Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah) memberi RM1.5 juta tunai, banglo RM2.9 juta, dan kereta Porsche kepada artis, Zahida Rafik; dan Dato’ Seri Nazri Abdul Aziz (Menteri Pelancongan dan Kebudayaan) menerima kereta Hummer bernilai RM500,000 dan RM3 juta daripada tauke balak, Michael Chia.

Melantik Dato’ Seri Tengku Adnan Mansor sebagai Menteri Wilayah Persekutuan; Dato’ Seri Idris Jusoh (Menteri II Kementerian Pelajaran dan Pengajian Tinggi), Dato’ Seri Shahidan Kassim (Menteri di Jabatan Perdana Menteri) juga menimbulkan persoalan mengenai transformasi yang dibawa Najib.

Shahidan pernah ditolak istana Perlis selepas PRU12 agar dilantik sebagai Menteri Besar negeri itu.

Pelantikan Hishammuddin sebagai Menteri Pertahanan, dan pemangku Menteri Pengangkutan; Pengerusi Hindraf, P Waythamoorthy (Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri) dan Pengerusi Persatuan Sekolah Mubaligh Kristian, Dato’ Mary Yap Kai Ching (Timbalan I Menteri Pelajaran dan Pengajian Tinggi) turut menjengkelkan.

Dengan usaha Pakatan sedang menyiasat 27 kerusi Parlimen yang dimenangi BN dalam PRU13 yang diragui serta kebangkitan rakyat, terutama pengundi muda dan pengundi bandar, mungkinkah hayat kabinet Najib itu akan pendek umur?

Kerusi-kerusi itu ialah Bentong, Kuala Selangor, Hulu Selangor, Sungai Besar, Sabak Bernam, Pasir Gudang, Labis, Tebrau, Pulai, Muar, Segamat, Ledang, Machang, Ketereh, Titiwangsa, Setiawangsa, Balik Pulau, Kulim Bandar Baharu, Kuala Kangsar, Bagan Serai, Pendang, Merbok, Kota Marudu, Beaufort, Pensiangan, Saratok, dan Baram.

Menurut Pengarah Strategi KeADILan, Rafizi Ramli yang mengetuai jawatan kuasa penyiasat itu, pihaknya telah menerima 237 aduan mengenai pelbagai “kekotoran” dalam PRU13 daripada pelbagai pihak.

Tindakan Umno menggunakan perkauman amat tidak wajar dan perlu dicela. Sepatutnya setelah menang, Najib sebagai Presiden Umno tersenyum lebar, tetapi kelihatan makin terseksa. Paling ketara, beliau gagal markah lulus “mengembalikan dua pertiga” majoriti BN, malah merosot dari 140 kerusi Parlimen kepada 133. Itu pun dengan bantuan Sabah dan Sarawak yang belum terkena tsunami Semenanjung. Najib juga malu besar apabila gagal “menawan Selangor”.

Sebagai Pengerusi Perhubungan Umno Selangor dan menyerang Pakatan habis-habisan, Najib tetap kecundang. Sebaliknya, Pakatan semakin kuat dan menguasai dua pertiga majoriti Dun Selangor.

BN menang kerana sistem British yang berasaskan “pertama melepasi tiang” (first pass the post). Jika dengan sistem “perwakilan berkadar” (proportional representation), BN pasti tersungkur! Yang paling malang bagi Najib sekarang ialah rakyat tahu “BN menang dengan pelbagai penipuan”.

Aduan mengenai perbuatan merasuah pengundi dengan bayaran RM300 ke RM1,000 satu undi sedang dikumpulkan. Petisyen akan dikemukakan sebaik sahaja pewartaan keputusan PRU13 dibuat. Jika mahkamah masih berwibawa, kerajaan minoriti BN diramalkan akan tumbang dalam masa enam bulan pertama!.WARTAUTARA.COM

8 punca utama kekalahan PAS - Mohamad Sabu

Harakah 
KUALA LUMPUR: Timbalan Presiden PAS, Haji Mohamad Sabu memberikan lapan sebab yang biasanya menjadi punca kekalahan PAS dalam setiap kali pilihan raya.
Sebab-sebab itu adalah:

1. Media yang tidak adil.

2. Pemerintah (BN) gunakan jentera kerajaan dalam kempen sebelum dan semasa pilihan raya.

3. Parti pemerintah (BN) menggunakan wang terlalu banyak dalam sogokan kepada pengundi.

4. Politik ugutan, projek dan pembangunan terhadap rakyat yang disyaki enggan mengundi kepada parti pemerintah.

5. Daftar pemilih yang tidak bersih dan dimanipulasikan daftar pemilih oleh BN.

6. Masa berkempen yang pendek, sebelum hari mengundi dan halangan berkempen sebelum pilihan raya terutama di kawasan Felda.

7. Polis didapati memihak dan ejen pula mengugut rakyat untuk kepentingan parti pemerintah (BN).

8. Undi pos yang amat diragukan kesahihannya.

Belum sebulan perintah Kedah ...

ZULKIFLI YAHAYA
Semua Adun Kedah menerima surat rasmi berhubung Majlis Angkat Sumpah Adun dan persidangan pertama Dun untuk penggal baru yang dijadualkan pada 3 Jun 2013. Sejurus selepas itu mereka menerima pula panggilan telefon dan SMS dari pihak sekretariat Dun Kedah berhubung pembatalan majlis angkat sumpah tersebut.

Maklumat terbaru, tarikh tersebut ditunda ke 23 Jun 2013. Setelah disiasat punca penundaan tarikh tersebut ialah kerana Menteri Besar, Dato' Mukhriz Mahathir pergi bercuti ke London. Aduh, ada juga kerajaan begini rupanya.

Beberapa hari selepas dilantik jadi Exco Pengangkutan, Dato' Tajul Urus Md Zain mengumumkan kesediaan untuk melaksanakan Sistem Penguatkuasaan Automatik (AES) di negeri ini. Kononnya, supaya para pemandu mematuhi peraturan jalanraya. Berbulan-bulan sebelum PRU13 rakyat bangun menentang AES dengan segala fakta dan hujah. Alih-alih baru dua minggu jadi Exco, sudah menunjuk kuasa.

Mengulas kenyataan Exco berkenaan, Pengarah Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Kedah, Ziki Abdul Rahman berkata AES masih belum boleh dilaksanakan di negeri ini. Pihaknya tidak dapat membuat sebarang keputusan kerana belum mendapat arahan dari pihak kementerian. Ibarat 'lembu dogiang' baru dapat kuasa di negeri, sudah lebih laju dari Pusat.

Exco Kerajaan Tempatan, Badrul Hisham Hashim pula mengumumkan kesediaan mengkaji untuk mengembalikan kuota perumahan 30 peratus untuk Bumiputera bagi Tanah Simpanan Melayu yang ditukarganti (swapping).

Kenyataan yang dibuat selepas dilantik jadi Exco itu sangat mengejutkan oleh sebuah kerajaan Umno kononnya sangat kuat Melayunya. Di saat sekutu parti rasis itu berkempen memboikot perniagaan orang Cina, Umno Kedah korbankan hak Melayunya.

Di masa Pakatan Rakyat, Dato' Seri Ustaz Azizan Abd Razak mengubah polisi asal pemilikan minimum Bumiputera 30 peratus kepada 50 peratus. Tujuannya untuk mempastikan pemilikan Bumiputera terhadap tanah yang asalnya milik Melayu khususnya di kawasan bandar tidak berpindah milik dengan mudah.

Polisi itu mendapat tentangan keras dari Gerakan dan MCA sepanjang penggal. Ia dijadikan isu utama oleh kedua-dua parti rasis itu untuk menghasut orang Cina menolak PAS.

Dalam meredakan kemarahan masyarakat Cina yang termakan hasutan rasis Gerakan dan MCA itu, Dato’ Ir Phahrolrazi Zawawi yang memegang potfolio kerajaan tempatan pada masa itu menjelaskan bahawa tanah Simpanan Melayu yang di"swapping" cuma sekitar 15 peratus dari tanah perumahan yang akan dimajukan.

Kira-kira 70 peratus lagi adalah berstatus milikan bebas (free hold) di mana kuota untuk Bumiputera hanya 30 peratus, bermakna bukan Bumiputera boleh membeli sehingga 70 peratus.

Memandangkan bukan Bumiputera hanya merupakan 22.6 peratus dari penduduk Kedah, dari jumlah itu Cina adalah 14 peratus; maka mereka tiada masalah langsung untuk membeli rumah di negeri ini, kerana peluang untuk mereka memiliki rumah sangatlah besar.

Timbul pula persoalan pada masa itu mengapa kuota Melayu untuk tanah Simpanan Melayu yang ditukarganti itu sehingga 50 peratus sedangkan di zaman BN dulu cuma 30 peratus?
Jawapan yang diberi kerajaan negeri ialah, kerana tanah yang ditukarganti itu dibuat berdasarkan keluasan semata-mata, bukannya berdasarkan nilai tanah.

Maksudnya begini: Apabila pemaju mahu menukar status tanah Simpanan Melayu di pinggir Bandaraya Alor Setar (contohnya) untuk dijadikan free hold, pemaju perlu mencari tanah ganti dengan keluasan yang sama. Pasti pemaju akan mencari tanah yang nilainya lebih murah untuk "swapping", asalkan keluasannya sama.

Maka berlaku susutan nilai terhadap tanah Simpanan Melayu. Jadi adillah, jika susutan nilai itu ditampung oleh kenaikan lagi 20 peratus dalam kuota pemilikan rumah bagi tanah Simpanan Melayu yang di"swapping".

Isu kuota perumahan 50-50 ini bukan isu besar bagi bukan Melayu, khususnya masyarakat Cina. Orang Cina tiada masalah untuk beli rumah di Kedah. Belilah seberapa banyak pun asalkan ada duit.

Phahrolrazi adalah orang yang bertanggungjawab menggubal polisi kuota perumahan 50-50 tersebut. Beliau bertanding di Dun Pengkalan Kundor yang mengandungi 22.82 peratus pengundi Cina. Phahrolrazi menang dengan majoriti lebih besar daripada PRU12, membuktikan bahawa umumnya orang Cina langsung tidak termakan isu rasis yang dimainkan Gerakan dan MCA.

Tiba-tiba kerajaan Umno Kedah menjadi tikus kepada parti Gerakan dan MCA. Malang nasib Melayu Kedah. Baru mula pegang kerajaan tidak sampai sebulan, kerajaan Umno Kedah sudah tempang.