Taib Mahmud hina Umno sebab didesak letak jawatan?

PETALING JAYA: Wartawan veteran, Datuk Kadir Jasin (gambar) hairan kenapa tuduhan Ketua Menteri Sarawak, Tan Sri Taib Mahmud bahawa Umno adalah parti rasis tidak dijawab oleh para pemimpin Umno.
Dalam posting terbarunya dalam blognya The Scribe, Kadir menulis apa yang dilaporkan mengenai kenyataan Abdul Taib Mahmud berkenaan Umno, maka ia adalah satu tamparan dan penghinaan yang sangat dahsyat dan tidak patut.

Katanya, media atas talian memetik Abdul Taib sebagai memberi amaran kepada pengganti beliau agar “memastikan politik rasis Umno tidak masuk ke Sarawak”.

Katanya lagi, ada dua perkara pokok di sini. Pertama tidak membenarkan Umno masuk ke Sarawak dan kedua tidak membenarkan “politik rasis” Umno berkembang di Sarawak.

Tambahnya, Umno mungkin tidak berhasrat mengembangkan sayapnya ke Sarawak. Setidak-tidaknya buat masa ini. Jadi kepemimpinan Barisan Nasional (BN) Sarawak tidak perlu khuatir.

“Yang nyata menghina Umno adalah tuduhan Abdul Taib bahawa parti induk BN itu mengamalkan politik perkauman (racist politics),” katanya lagi.

Beliau menambah apakah ini benar dan adakah kepemimpinan Umno di bawah Datuk Seri Mohd Najib Abdul Razak akan berdiam diri menghadapi tuduhan yang sangat berat itu?

Kenyataan Abdul Taib yang dikatakan dibuat pada mesyuarat Majlis Tertinggi Barisan Nasional Sarawak pada 9 Feb. memberi gambaran jelas bahawa penggantinya “harus tegas dan tidak berpaling” apabila berurusan dengan Putrajaya mengenai perkara yang melibatkan kepentingan Sarawak.

Setiausaha Agung BN Sarawak, Datuk Dr Stephen Rundi, berkata Taib mengatakan penggantinya perlu bersungguh-sungguh melindungi hak negeri seperti yang dijanjikan dalam Perjanjian Malaysia 1963.

“Kita mesti berpegang kepada Perjanjian Malaysia dalam melindungi hak negeri ini,” kata Rundi mengenai mesej Taib ketika ditanya apa yang berlaku dalam mesyuarat MT BN negeri selain memberi ketua menteri itu mandat untuk memilih penggantinya.

Rundi berkata, bertegas dengan Putrajaya termasuk menghalang Umno masuk ke Sarawak yang dilihat tidak begitu mengendahkan perjanjian 20 perkara yang menjamin kepentingan dan hak Sarawak dan penduduknya apabila mereka bersetuju membentuk Malaysia bersama Malaya, Sabah dan Singapura.

Kadir yang juga bekas Ketua Pengarang The New Straits Times berkata, dengan pelbagai masalah dan tekanan yang dihadapinya sekarang, membawa Umno ke Sarawak pastinya bukan keutamaan Mohd Najib.

“Secara peribadi saya tidak melihat wujud kewajaran atau kebijaksanaan bagi Umno bertapak di Sarawak,” katanya.

Beliau menyoal jadi apa perlunya Abdul Taib mengeluarkan amaran itu dan melemparkan tuduhan yang sangat berat dan menghina terhadap Umno?

“Apakah ini cara beliau menghantar mesej kepada Putrajaya supaya tidak mengambil kesempatan daripada pengunduran beliau sebagai Ketua Menteri Sarawak? Kalau ia pun, mengapa sampai menuduh Umno rasis?” soalnya lagi.

Katanya, kalau Umno masih berpegang kepada perjuangan kebangsaan Melayu, ia wajib dengan tegas dan terbuka membantah dan menyangkal tuduhan bahawa ia mengamalkan politik rasis.

“Atau apakah Abdul Taib, seperti banyak orang bukan Melayu, turut tidak senang hati dasar Umno memperjuangkan hak dan keistimewaan orang Melayu seperti termaktub dalam Perlembagaan?” soalnya.

Beliau berkata kalau benar Umno rasis kerana memperjuangkan hak orang Melayu, mengapa pula ramai ahli Umno khususnya dan orang Melayu amnya melihat Umno di bawah kepemimpinan Mohd Najib sebagai tidak cukup gigih dan lantang mempertahankan Melayu? Sebaliknya mereka melihat Mohd Najib sebagai terlalu berlembut dengan orang bukan Melayu.

“Jadi apakah masalah Abdul Taib sebenarnya? Adakah cemuhannya terhadap Umno itu satu lagi manifestasi ketidakpuasan dan ketidakmesraan beliau dengan Mohd Najib yang dilihatnya sebagai tidak cukup lantang mempertahankan beliau daripada tuduhan salah guna kuasa dan rasuah sebaliknya mahu beliau berundur cepat?” soal beliau.

Beliau menambah apa pun, Umno tidak ada pilihan melainkan menjawab tuduhan Abdul Taib bahawa ia mengamalkan politik perkauman.-fmt

Tiada ulasan:

Catat Ulasan