Pas disaran amal puasa Maryam

Dr Maszlee MalikSHAH ALAM: Selepas percanggahan demi percanggahan kenyataan dalam kalangan pemimpin Pas berhubung isu jawatan menteri besar dan kedudukan Pas dalam PR, parti itu disaran mengamalkan puasa Maryam.
Penganalisis politik, Dr Maszlee Malik yang juga pensyarah di Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) menyuarakan pandangan itu selepas melihat Pas terlalu ghairah membuka aib sendiri dan pihak lain.

Malah beliau menasihatkan agar parti itu lebih berdisiplin dalam menggunakan media umum ekoran dibimbangi Pas bakal berdepan krisis dalaman yang lebih kronik pada masa hadapan.

“Kekalutan yang berlaku adalah disebabkan perlakuan-perlakuan tidak profesional di kalangan pimpinan yang terlalu ghairah mendedahkan aib sendiri dan pihak lain di media umum untuk tujuan yang hanya mereka ketahui sebabnya.

“Jika berterusan sikap seperti ini, Pas berkemungkinan besar akan dilanda krisis dalaman yang lebih kronik di masa hadapan. Mungkin pemimpin Pas perlu banyak mengamalkan puasa Maryam, ibu Nabi Isa di dalam hal-hal dalaman parti dan PR,” katanya kepada Sinar Harian Online, hari ini.

Berhubung kenyataan Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang yang mempertahankan Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim sebagai Menteri Besar Selangor yang didakwa hanya pandangan peribadi, Maszlee menyifatkan masalah itu perlu diselesaikan secara dalaman.

“...Jangan sampai dunia nampak kelemahan mereka,” katanya.

Katanya, tindakan membuka aib masing-masing itu menyebabkan ramai pihak berasa sangsi kemampuan parti itu menjadi alternatif untuk BN.

“Lebih malang lagi kegagalan para pemimpin parti, terutamanya Pas dan PKR untuk menjaga disiplin di media umum agar tidak londeh melondehkan dan juga telanjang menelanjangkan di antara satu sama lain di dalam kes di Selangor telah membuatkan ramai pihak berasa sangsi apakah mereka mampu untuk menjadi alternatif kepada BN?,” tambahnya.

Ketika diminta mengulas mengenai situasi Selangor yang paling bergolak berbanding negeri lain di bawah pentadbiran PR, beliau menyifatkan negeri itu tidak mempunyai sebarang parti yang dominan seperti Pulau Pinang dan Kelantan.

“Ini hal biasa bagi negeri yang paling kaya di Malaysia. Maka, banyak pihak yang inginkan bahagian masing-masing. Tambahan pula, tiada parti yang paling dominan di Selangor berbanding di Kelantan yang didominasi Pas dan Pulau Pinang pula oleh DAP.

“Selangor juga tiada kepimpinan utama yang kuat dan dihormati semua seumpama 'taiko' di Penang dan Tok Guru di Kelantan,” katanya.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan