Kesian makcik ni kena buang dengan anak perempuannya

Tranungkite
PADANG TERAP 21 Nov.:  Hanya kerana berselisih faham, seorang wanita berusia 38 tahun bertindak ‘membuang' ibunya yang berusia 74 tahun dengan meninggalkan warga emas itu di Kampung Padang Nyior, di sini semalam.

Ibu tua yang mahu dikenali sebagai Amilah mendakwa, anak bongsunya itu meninggalkannya di rumah adik lelakinya di kampung tersebut kira-kira pukul 7.30 malam.
"Saya tinggal bersama anak bongsu yang merupakan seorang suri rumah di Alor Setar sejak tiga bulan lalu.

"Tergamak anak saya tinggalkan saya begitu sahaja di hadapan rumah adik saya di Kuala Nerang, saya sedih kerana mereka sudah tidak mahu menjaga saya lagi," katanya ketika ditemui di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuala Nerang hari ini.

Menurut Amilah, anaknya itu menuduh dia menjaja perihal keluarga mereka kepada orang ramai sedangkan dia langsung tidak melakukan perkara tersebut.

"Saya tidak sangka anak bongsu saya akan bertindak begini, sebelum ini tiga lagi anak saya juga tidak mahu menjaga saya," ujarnya.

Tambahnya, dia tidak mahu lagi pulang ke pangkuan anak-anaknya walaupun dipujuk dan bercadang untuk tinggal di pondok pengajian Islam di Bukit Pinang, dekat sini.

"Sebelum ini saya memang tinggal di pondok itu tetapi terpaksa menumpang di rumah anak-anak kerana kaki patah akibat terjatuh," jelasnya.

Dalam pada itu, adik lelaki Amilah yang hanya mahu dikenali sebagai Sulaiman berkata, dia terkejut apabila mendapati kakaknya memberi salam di hadapan rumah dengan sebuah beg baju dan barangan lain yang dimasukkan di dalam plastik hitam.

"Dia sudah tidak mengecam wajah saya kerana kami sudah lebih 20 tahun tidak berjumpa dan saya terkejut apabila dia beritahu anaknya meninggalkannya di situ," katanya.

Tambah Sulaiman, dia akan menghantar kakaknya itu ke pondok pengajian Islam di Bukit Pinang seperti yang diminta.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan