Pemilik Toyota Yaris berterima kasih kepada pencuri keretanya

Kemarahan seorang pemilik kereta, Prayoon Sudcha, 56, langsung hilang apabila kereta Toyota Yaris miliknya yang dicuri telah kembali dipulangkan kepadanya dalam keadaan lebih baik daripada asal.

Pichet Prompakdee, 25, yang berasal dari Chaiyaphum, telah ditangkap di sebuah restoran makanan Korea di Kalapreuk Road di daerah Muang, Khon Kaen. Di situ dia bekerja sebagai pelayan.
Polis telah merampas kereta curi itu daripadanya bersama telefon bimbit, tangkal Buddha dan nombor plet kenderaan Khon Kaen.

Ketua Polis Khon Kaen, Kolonel Supakorn Khamsingnok memberitahu,Prayoon melaporkan tentang kehilangan keretanya bulan lalu ketika dia sedang minum bersama teman-temannya di pusat bandar.

Dia yang terlalu mabuk malam itu mengambil keputusan untuk tidak memandu pulang lalu tidur di dalam keretanya di pinggir jalan.

Keesokannya, dia terjaga dan terkejut apabila dia berada di sebuah taman awam dengan seorang lelaki muda berada di tempat pemandu. Lelaki tersebut kemudian meninggalkannya sendirian di tepi jalan dan membawa lari keretanya.

Menurut Supakorn, pihak polis telah meneliti kamera litar tertutup di sekitar taman awam tersebut dan akhirnya mengesan kereta itu berdekatan sebuah restoran, tempat Pichet bekerja.

Pichet ketika mula-mula disoal siasat mendakwa kereta itu miliknya tetapi gagal menunjukkan dokumen pemilikan. Akhirnya dia mengaku mencurinya.

Suspek seterusnya memberitahu polis bahawa dia kereta Prayoon telah menghalang laluannya sewaktu menunggang motosikal ke asrama tempat tinggalnya.

Dia melihat pemilik kereta itu dalam keadaan mabuk dan berdengkur terlalu kuat di tempat duduk belakang kereta dengan enjin hidup dan pintu yang tidak berkunci.

Pichet berkata, dia telah cuba mengejutkan Prayoon namun gagal lalu memandu kereta itu ke sebuah taman awam.

Akhirnya Prayoon tersedar dan Pichet menawarkan diri untuk menghantarnya pulang ke rumah. Namun, melihatkan Prayoon yang masih mabuk dan bingung, Pichet mengambil keputusan untuk meninggalkannya lalu memandu kereta itu ke asramanya.

Pichet telah mengecat semula kereta tersebut, menghiasnya dengan pelekat hiasan dan menukar plet kenderaan itu dengan nombor daftar kereta lamanya yang telah ditarik pihak bank kerana dia gagal membayar ansuran bulanan.

Pencuri itu kini dalam tahanan pihak polis untuk dikenakan tindakan undang-undang, sementara Prayoon pula berkata dia tidak marah lagi kerana keretanya dijaga dengan sangat baik./astroawani

Tiada ulasan:

Catat Ulasan