Dr Mohammad Agus terkejut dengan pemikiran serta sikap politik anak muda sekarang

Dr Mohammad Agus SHAH ALAM: Pensyarah Sains Politik Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Profesor Madya Datuk Dr Mohammad Agus Yusoff berpendapat, pemikiran serta sikap politik anak muda sekarang sudah jauh berubah jika dibandingkan dengan anak muda zamannya.
Agus berkata, pengalamannya ketika di London baru-baru ini bersama anak muda benar-benar mengejutkannya kerana pertanyaan mereka mengenai suasana politik tanah air begitu kritikal dan analitikal.

“Tadi , semasa saya sedang bersarapan di Malaysian Hall, sekumpulan anak Malaysia bertanyakan saya tentang suasana politik negara. Mereka tidak lagi bercakap tentang dasar-dasar kerajaan sepertimana yang saya dan kawan-kawan lakukan dulu, tetapi terus bertanyakan saya soalan-soalan yang mengejutkan: Apakah DSAI akan dipenjarakan?

Apakah faktor nilai ringgit jatuh? Bagaimana dengan 1MDB?.

“Tidak cukup dengan itu, mereka juga bertanyakan tentang kedudukan BN dan PR? Parti mana yang akan menang dalam PRU akan datang? Mengapa bukan Melayu tidak lagi menyokong kerajaan,” katanya dalam Facebook beliau.

Walau bagaimanapun, katanya, beliau hanya memberi respons secara umum sahaja dalam menjawab pertanyaan anak muda tersebut.

“Saya santuni pertanyaan anak-anak ini dengan sekadar memberi pandangan umum sahaja supaya anak-anak ini bebas membuat pentafsiran politik mereka sendiri. Di akhir perbincangan, anak muda ini mengejutkan saya. Kata mereka, kabinet perlu dirombak. Beberapa menteri perlu ditukar.

“Saya tanya mereka siapa yang perlu ditukar? Kata mereka, menteri yang berkaitan dengan urusan perancangan ekonomi dan integriti,” katanya.

Mengulas lanjut, Agus berharap pemimpin negara turut ‘seiring serta sejalan’ dengan pemikiran kritikal anak-anak muda tersebut.

“Selepas mereka beredar, saya terfikir panjang. Hati saya berkata, kritikal pemikiran anak-anak sekarang. Ada logiknya juga pandangan mereka.

“Membandingkan masa saya pada tahun 1985 dahulu, sikap politik anak muda sekarang sudah terlalu jauh berbeza. Anak-anak muda sudah berubah. Apakah pemimpin kita juga sudah berubah?Semoganya,” katanya.
-sinarharian-

Rumah Kecil Ini Dijadikan Tempat Bunuh, Potong Mayat Warga Myanmar

BUKIT MERTAJAM: Ia kelihatan seperti seperti sebuah rumah kos rendah satu tingkat yang biasa tetapi rumah kecil yang terletak di Machang Bubuk, di sini, mempunyai kisah seramnya sendiri.

Rumah ini menjadi rumah di mana warga Myanmar dibunuh dan dipotong dalam kes pembunuhan balas dendam yang kejam.

Polis telah menyerbu dan menyita rumah di Kampung Pisang, ini yang terletak di kawasan hutan jauh dari jalan utama.

Mereka menemui kesan darah di dalam rumah, walaupun ia telah dicuci dan dicat semula.

Pembunuh juga telah memulangkan kunci rumah kepada pemiliknya.

Ketua Polis Pulau Pinang Datuk Wira Abdul Rahim Hanafi berkata dua pembunuhan terakhir dipercayai telah dilakukan di rumah yang kosong itu.

Abdul Rahim berkata suspek juga dipercayai telah menyewa rumah lain yang terletak enam pintu dari rumah tersebut.

Mereka tinggal di situ dan membawa mangsa ke rumah lain di mana mangsa dibunuh dan dipotong.

"Polis telah menemui tiga bilah parang panjang dipercayai senjata yang digunakan oleh suspek," katanya selepas melawat rumah berkenaan, Jumaat.
Turut hadir ialah Timbalan Ketua Jabatan Siasatan Jenayah negeri Komisioner PR Gunarajan.

Abdul Rahim berkata rumah di mana berlakunya pembunuhan itu telah disewa oleh suspek sejak empat bulan lalu.

"Kami masih menyiasat berapa banyak mayat yang telah dipotong di dalam rumah ini," katanya.

Beliau berkata, polis menahan dua suspek lain, dalam usia 30-an, di Pulau Pinang pada Khamis malam, menjadikan jumlah suspek ditahan berkaitan pembunuhan warga Myanmar menjadi 17.

15 warga Myanmar, berusia 20-an hingga 40-an, termasuk dalang, telah ditahan sejak dua minggu lalu dalam Ops Kelar berkaitan dengan pembunuhan rakan-rakan senegara mereka.

Abdul Rahim berkata berikutan penahanan 17 suspek itu polis percaya telah menyelesaikan kes pembunuhan yang melibatkan lapan mangsa.

"Kami masih dalam proses menangkap lebih ramai suspek.

"Operasi ini akan memberi tumpuan kepada 18 kes pembunuhan melibatkan warga Myanmar di Pulau Pinang," katanya.

Beliau berkata polis juga telah menemui sebuah kereta yang dipercayai digunakan oleh suspek untuk memindahkan bahagian-bahagian badan ke lokasi lain.

Abdul Rahim berkata dendam dipercayai menjadi motif di sebalik pembunuhan.

Pada 24 November dilaporkan bahawa bungkusan yang mengandungi kepala manusia ditemui di hadapan sebuah restoran di Taman Impian Ria, Bukit Mertajam.

Bahagian badan manusia seperti tubuh tanpa kepala, tangan dan lengan kiri telah ditemui sejak kebelakangan ini.

Dilaporkan terdapat 51 pembunuhan di negeri ini tahun ini, di mana 18 mangsa adalah rakyat Malaysia dan 33 rakyat asing.
-mstar-

Selepas Anda Baca Artikel Ini, Anda Mungkin Tidak Lagi Makan MC'DONALDS, KF


Rasa lapar? Anda mungkin mahu membaca artikel ini sebelum pergi ke tempat makan fast-food kegemaran untuk mendapat makanan toxic anda...Banyak orang tahu yang “fast-food” menggemukkan dan tidak sihat, tapi tahukah anda yang ia juga boleh merosakkan badan anda dengan cara yang lain juga? Anda mungkin fikir ‘tetapi ia sedap dan murah’. Betul, tetapi makanan ini mempunyai beberapa kualiti yang anda tidak mahu tahu. Jom tengok!!!

1.) Ammonium Sulfate
Ini digunakan sebagai bahan baja dan racun serangga

2.) Silicone Oil
Chicken McNugget dipenuhi dengan dimethylpolysiloxane, minyak silicon yang digunakan untuk membuat lensa kontak dan barangan medical

3.) Cysteine-L
Cysteine-L hanya boleh didapati daripada bulu itik…. atau RAMBUT MANUSIA. Ia digunakan sebagai bahan perasa di dalam daging...

4.) TBHQ
Ia racun yang boleh membunuh. Terdapat didalam 18 makanan di menu Mcdonald.

5.) Propylene Glycol
Propylene glycol didapati didalam anti-freeze dan rokok electronic.

6.) Dadah prescripsi!
Ubat seperti anti-kemurungan diberi kepada ayam dan lembu di kandang mcdonald… dan ubat ini akan masuk ke dalam badan pemakan burger McDonald.

7.) Dimethylpolysiloxane
Boleh didapati dikebanyakan makan goreng… dan juga mainan plastik.

8.) Carminic Acid
Didapati dari Cochineal bees, dan digunakan sebagai pewarna merah.
9.) Cellulose
Anda boleh menjumpai compound ini didalam kayu… dan juga barang seperti kertas....Selepas membaca ini, saya tidak mahu lagi memakan McDonald. Anda pula bagaimana???? via kakimediapanas.

Remaja 15 tahun campak bayi yang baru dilahirkannya dari tingkat tiga pangsapuri (Gambar)

Kuala Lumpur: Panik selepas melahirkan bayi luar nikah menyebabkan seorang remaja perempuan berusia 15 tahun mencampak bayinya itu dari tingkat tiga pangsapuri di Taman Sri Endah, Sri Petaling di sini.

Dalam kejadian jam 11 malam kelmarin, remaja itu dikatakan bertindak kejam membunuh bayi perempuan itu selepas bimbang perkara itu diketahui ahli keluarga lain.

Bagaimanapun mayat bayi itu ditemui seorang anggota Pasukan Skim Rondaan Sukarela (SRS) dalam keadaan telentang di tepi sebuah kereta di pangsapuri itu.

Anggota SRC terbabit yang sedang menjalankan rondaan mulanya menyangka mayat bayi itu adalah bungkusan sampah sebelum menghampirinya dengan niat mahu mengutip dan membuang ke dalam tong sampah.

Bagaimanapun dia terkejut apabila menemui mayat seorang bayi perempuan cukup sifat dan masih bertali pusat dipercayai dicampak dari tingkat atas blok pangsapuri itu.

Susulan itu dia bertindak menghubungi polis bagi memaklumkan kejadian itu.

Pengerusi SRS pangsapuri itu, Dzulkarnain Ariffin berkata, mereka terkejut sejurus melihat bayi itu yang dipercayai mati akibat terhempas.

Menurutnya, mayat bayi itu yang mengalami kecederaan di kepala dan badan disyaki terhempas di atas atap dapur rumah penduduk sebelum berguling terjatuh ke atas rumput.

“Soal siasat polis mendapati ibu bayi itu tinggal di tingkat tiga blok berkenaan. Suspek berusia 15 tahun dan baru datang dari Sabah untuk mencari pekerjaan di sini selepas berhenti sekolah.

“Kejadian itu bagaimanapun tidak diketahui keluarga berikutan remaja itu melahirkan bayi di dalam bilik tidurnya,” katanya.

Menurutnya, anggota polis menemui sehelai kain batik yang masih berdarah dipercayai dipakai oleh remaja itu ketika melahirkan anak.

Katanya, remaja itu disahkan mengandung selepas disyaki menjalin hubungan sulit dengan seorang lelaki warga Indonesia yang tinggal berhampiran blok berkenaan.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Brickfields ketika dihubungi mengesahkan menerima laporan berhubung kejadian itu dan siasatan lanjut masih dijalankan.

“Remaja itu dihantar ke Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM) untuk mendapatkan rawatan lanjut dan akan ditahan untuk siasatan,” katanya.
-hmetro-

Gadis ini hilang bersama adiknya berusia lima bulan

Kuala Lumpur: “Saya masih buntu memikirkan punca kehilangan anak gadis saya yang melarikan diri dari rumah dengan membawa adiknya yang masih bayi,” kata Siti Rohaida Yusof, 38.

Menurutnya, anaknya, Putri Umaimah Mohd Yusmi, 19, didakwa ‘ghaib’ bersama adiknya Umu Umairah berusia lima bulan sejak Isnin lalu.

Beliau berkata, ketika kejadian, dia bersama tiga anaknya menginap di rumah ibunya di Sungai Tangkas, Bangi, sebelum menyedari dua anaknya itu tiada di dalam bilik tidur kira-kira jam 2 pagi.

“Sebaik membuat pemeriksaan di dalam bilik, saya terkejut apabila mendapati hanya ada seorang saja anak saya yang sedang tidur. Sebaik mengejutkan anak saya itu, dia juga tidak menyedari bila kakak serta adiknya itu keluar dari bilik,” katanya ketika dihubungi Harian Metro.

Katanya, dia yang bimbang apabila dua anaknya itu masih belum pulang kemudian melaporkan kehilangan mereka di Balai Polis Bangi dan Kajang pada hari sama.

“Saya dan keluarga cuba menghubunginya tetapi gagal. Telefonnya dimatikan. Selain itu, kami turut mencari di sekitar Kajang dan Kuala Lumpur termasuk rumah rakan-rakannya, tetapi tidak berjumpa,” katanya.

Katanya, anaknya itu baru sahaja berhenti kerja sejak beberapa minggu lalu dan banyak menghabiskan masa di rumah.

“Putri adalah anak sulung daripada enam beradik. Dia memang bukan jenis ‘kaki lepak’ dan keluar malam, malah dia yang sering menjaga adik bongsunya itu,” katanya.

Menurutnya, sebelum kejadian, anaknya itu bersikap dingin dan tidak seceria seperti sebelum ini.

“Saya rasa mungkin dia merajuk atau terasa hati mengakibatkan dia bertindak sedemikian rupa. Lebih membimbangkan, dia turut membawa adiknya itu sekali,” katanya.

Menurutnya, dia berharap mereka yang mengenali mahupun pernah ternampak Putri Umaimah dapat menghubungi suaminya, Mohd Yusmi di talian 0126420722.
-hmetro-

Bayi ini yang baru dilahirkan cuba dimakan oleh ibunya

Guangdong: Seorang bayi yang baru dilahirkan dilapor cuba dimakan oleh ibunya di sebuah hospital di sini, kelmarin.

Tindakan pantas jururawat, Liu Tianlun, yang melihat perbuatan wanita itu berjaya menyelamatkan bayi berkenaan.

Jururawat terbabit yang membuat pemeriksaan biasa ketika itu menjerit apabila melihat wanita berkenaan, Li Zhenghua, 24, menggigit tangan anaknya.

Dia cuba membebaskan bayi itu tetapi Li melawan dan enggan melepaskannya.

Doktor akhirnya terpaksa menyuntik wanita terbabit dengan ubat penenang untuk menyelamatkan bayi baru lahir berkenaan daripada terus digigit ibunya.
-AFP/hmetro-

Aktres Bollywood ini larikan diri selepas didapati bersalah menghina keluarga Nabi Muhammad SAW?

Dituduh hina Nabi Muhammad SAW, Veena Malik larikan diri
Aktres Bollywood juga model FHM kelahiran Pakistan, Veena Malik bakal dihukum penjara 26 tahun oleh pihak mahkamah di Pakistan selepas didapati bersalah menghina keluarga Nabi Muhammad SAW ketika menjayakan sebuah program televisyen yang turut dibintangi suaminya, Asad Bashir Khan.

Program yang bersiaran di TV Geo itu menyiarkan adegan Veena dan suami kononnya sedang menari di sebuah majlis pernikahan sambil diiringi kumpulan muzik yang menyanyikan lagu yang menceritakan mengenai pernikahan anak perempuan Nabi Muhammad SAW.

Program tersebut mendapat tentangan hebat dan menjadi perhatian masyarakat di Pakistan dan memaksa pihak berkuasa untuk membawa Veena dan suami ke muka pengadilan kerana dianggap cuba menghina Nabi Muhammad SAW.

Hakim memutuskan bahawa Veena dan suami bersalah dan mahkamah memerintahkan hukuman penjara 26 tahun terhadap Veena. Sementara suaminya Asad Bashir Khan juga pemilik stesen televisyen tersebut dan pengacara tv Shaista Wahidi dihukum penjara selama 104 tahun.

Veena yang ketika ini berada di Dubai turut terkejut dengan keputusan mahkamah dan menolak dakwaan kononnya dia dan suaminya cuba melarikan diri.

Malah Veena berjanji untuk kembali ke Pakistan dalam waktu terdekat namun terpaksa menangguhkan keputusan tersebut kerana harus berehat selama tiga bulan selepas selamat melahirkan anak.
-Astro-

Gambar Kucing Baka Baharu?

KELIBAT seekor kucing berwarna hijau yang muncul di kawasan pantai Bulgaria mencetuskan tanda tanya kepada peminat haiwan peliharaan.

Malah ia turut menjadi tanda tanya sama ada kucing tersebut merupakan baka baharu kerana hampir keseluruhan bulunya berwarna hijau, berbelang kelabu.

Terdapat pihak mendakwa bulu kucing tersebut menjadi kehijauan kerana kesan radioaktif dari kawasan kilang berhampiran.

Bagaimanapun banyak pihak percaya haiwan peliharaan itu telah menjadi mangsa deraan - terdapat individu telah mengecat bulunya.
Green cat
Namun begitu, pengguna internet kagum dengan warna tersebut kerana ia kelihatan cantik dan manja.

Berikutan itu juga, terdapat peminat kucing di negara tersebut kini mula memburu haiwan berkenaan untuk dipelihara.
-mstar-

Malu besar tersilap pengantin

MUHAMAD MAT YAKIM
SABTU minggu lepas, saya berkira-kira hendak hadiri majlis kenduri tidak jauh dari rumah. Sampai dekat, terkejut apabila mendapati khemah di depan rumah kenduri itu tidak ada orang. Masa itu sudah pukul satu, masakan belum ada orang datang?

Saya minta isteri tengok semula kad jemputan. Sah! Kami tersilap tarikh. Kenduri di rumah itu esoknya.

Sehari sebelum itu, saya sudahpun minta isteri pastikan tarikh kenduri kerana pada dua hari hujung minggu itu, ada beberapa kenduri yang perlu dihadiri.

Mujur kami belum sampai terlalu dekat dengan rumah dan tidak buat ramah mencari dan bertanya di mana tuan rumah: "Awak kat mana? Awak kat mana?" apabila mendapati tidak ada sesiapa di khemah.

Kalau dia pula yang sedar kehadiran saya yang berbaju batik hari itu, mungkin pula yang akan disindir: "Datang nak merewang pun pakai bukan main lawa!"

Akhirnya saya suruh isteri dan anak-anak masuk semula ke dalam kereta, "jom kita pergi kenduri yang satu lagi... di sini esok baru kenduri."

Seorang daripada anak saya bertanya: "Kenapa ayah? Dia orang tak jadi kenduri ke? Esok baru nak kenduri?"

Saya yang sudah berasa termalu sendiri sekadar mampu berkata: "Ayah yang ubah kenduri dia orang jadi esok!"

Kereta kami terus meluncur ke Sungai Buloh. Mujur ada satu lagi kenduri yang sudah disahkan di sana, tidaklah kempunan kami anak beranak nak makan nasi minyak tengah hari itu.

Ya, cerita tersilap rumah, tersilap tarikh dan macam-macam lagi kesilapan berkaitan kenduri, memang banyak berlaku. Sekarang musim orang kahwin, ada wajarnya untuk saya mengingatkan diri sendiri, juga orang lain tentang itu supaya jangan ada yang tersilap seperti saya hujung minggu lepas.

Pada hari itu, memang sejak awal lagi saya sudah menyiapkan perut untuk makan nasi kenduri. Justeru, apabila itu yang berlaku, memang kecewalah. Tambahan pula perut sudah mula berkeroncong. Walaupun ada kenduri lain yang boleh dihadiri, tempatnya agak jauh dan ambil masa.

Sungguhpun demikian, apa yang saya alami itu tidaklah seteruk pengalaman seorang rakan sekerja saya. Dia bukan tersilap tarikh bahkan tersilap rumah.

Alkisahnya, rakan saya itu pergi meraikan seorang kawannya yang naik pelamin. Kebetulan pada hari itu, ada dua majlis kahwin di kawasan perumahan yang sama. Menyangka dia sudah tuju di rumah yang betul, hadiah yang dibawa pun bertukar tangan.

Alangkah terkejutnya rakan saya tatkala berborak seketika dengan orang yang menyambut ketibaannya, nama pengantin yang disebut bukanlah nama kawannya itu.

"Mahu tak mahu, dengan tebal muka yang teramat sangat, terpaksalah aku minta balik hadiah yang sudah dibagi itu. Biarlah apa orang tu nak kata, aku pun belum lagi jamah nasi kenduri dia. Kalau sudah terlanjur makan kenyang, tak sampailah hati aku nak minta balik," katanya.

Seorang lagi kawan, lain pula ceritanya. Dia datang ke rumah kenduri seminggu awal daripada tarikh majlis.

"Hajat hati nak makan nasi beriyani, yang dapat hanya peknga (lempeng)," keluh kawan saya itu.

Melalui pengalaman seperti ini, juga perkongsian kisah dengan kawan-kawan, saya tertanya-tanya, mengapa perkara ini boleh terjadi?

Kita imbas semula pengalaman hidup di kampung pada zaman kanak-kanak tahun 1970an dan awal 1980an. Dua tiga minggu sebelum berlangsung, siang malam orang sudah bertandang ke rumah tuan kenduri. Yang menoreh tidak ke kebun, yang bersawah tidak turun bendang. Seluruh kampung bersepakat membantu tuan rumah melangsungkan majlis dengan lancar dan jaya. Ada sahaja yang dibuat daripada menebang buluh, membelah kayu, menyiapkan tungku, menjahit atap, mendirikan balai dan bangsal gedohok (tempat memasak, menghidang).

Yang wanita cara wanita. Memasak kerisek atau serai lengkuas, menyiapkan kuih-muih atau apa sahaja kerja. Tahap kerja akan berubah tatkala tarikh kenduri semakin hampir. Apa yang pasti, semua kerja dibuat secara gotong-royong dan tidak ada sesiapa yang berani culas kerana takut akan dibalas.

Itulah bezanya dahulu dengan sekarang. Orang sekarang hanya tahu hadir untuk penuhi jemputan, datang makan juadah yang sudah siap dihidang. Sekarang zaman senang, tidak perlu rewang.

Ada baiknya, tetapi yang buruk, inilah ... seperti apa yang terjadi pada saya.
-sinarharian-

'Rogol Guna Jari': Rakyat Malaysia Dipenjara Enam Bulan Di Melbourne


PETALING JAYA: Seorang ahli farmasi yang berasal dari Malaysia, menghadapi pertuduhan 'merogol seorang wanita menggunakan jari' (digital rape) , ditangkap ketika cuba melarikan diri dari Australia, menurut Herald Sun.

Suspek, Kuang King Tan telah menempah tiket sehala selepas ditemubual oleh polis tetapi ditahan di Lapangan Terbang Melbourne dan kemudian mengaku bersalah atas kesalahan itu.

King Tan telah didakwa menyerang mangsa berusia 22 tahun apabila wanita itu sedang mengambil preskripsi dari Union Pharmacy di pusat bandar Melbourne.

King Tan menjemputnya ke pejabat dan meminta untuk melihat ruam di atas perut, belakang dan bahagian sulitnya.

Dia didakwa merogol selepas wanita perempuan melaporkan kejadian itu kepada doktor.

King Tan yang pernah bekerja di sebuah hospital di Malaysia, memberitahu polis dia percaya doktor sering menetapkan ubat yang salah dan sebagai seorang ahli farmasi dia perlu memeriksa pesakit.

Dia mendakwa bahawa dia telah dibenarkan untuk membuat pemeriksaan bahagian payudara, punggung dan kemaluan pesakit perempuan.

Dia kemudiannya telah dijatuhkan hukuman enam bulan penjara, 300 jam kerja-kerja kemasyarakatan yang belum dilaksanakannya dan arahan pemulihan komuniti selama tiga tahun.
doctor rape2
"Adalah jelas bahawa wanita itu sudah tertekan dengan ruam di badan yang memalukan dirinya dan kemudian mengalami trauma apabila anda 'secara digital' merogolnya," kata Hakim Frances Hogan kepada King Tan.

Hogan berkata hukuman itu boleh dianggap sebagai "salah satu yang luar biasa dan ringan oleh sesetengah orang bagi sesuatu kesalahan serius seperti rogol", tetapi beberapa faktor telah diambil kira.

Hakim menjelaskan bahawa ini adalah kerana King Tan mengalami Gangguan Penyesuaian dengan kebimbangan dan kemurungan, mempunyai ketidakmatangan sosial yang luar biasa dan tidak mempunyai pengetahuan seksual.
-mstar-

Seks di usia senja

Raphael Wong
PETALING JAYA: Penurunan nafsu seks akibat usia yang semakin meningkat adalah tidak dapat dielakkan, terutamanya di kalangan lelaki. Di Malaysia, sebuah kajian yang bertajuk "Hormon seks di kalangan lelaki Melayu dan Cina di Malaysia: Adakah Terdapat Perbezaan Umur dan Bangsa" mendapati bahawa paras testosteron di kalangan orang Cina dan Melayu menurun dengan ketara dengan usia, yang membawa kepada kehilangan nafsu seks.
Malah bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamed pernah berjenaka apabila beliau dalam usia tahun 70-an bahawa beliau sudah tidak melakukan aktiviti ini lagi.

Salah satu punca utama penurunan dalam hubungan seks di kalangan lelaki berusia atas 50-an adalah disfungsi erektil (ED). Sebuah laporan menyatakan bahawa dalam tahun 1990-an, dianggarkan bahawa 100 juta lelaki mengalami ED di seluruh dunia.

Di Malaysia, hanya ada sebuah kajian yang diketahui - "Kajian Seluruh Negara Mengenai Kejadian ED". Ia dilakukan bersama oleh Lembaga Penduduk dan Pembangunan Keluarga Malaysia, dan New England Research Institute dari Amerika Syarikat pada tahun 1998.

Statistik menunjukkan bahawa bilangan 448,000 orang lelaki menghidapi ED sederhana dan lengkap, atau 16% daripada responden tetapi jika kes ED ringan dimasukkan, ia membawa kepada 60% daripada responden yang dikaji. Seramai 1.68 orang juta lelaki berumur 40 dan ke atas telah ditemuramah.

Menurut pakar perubatan seksual, Dr John Dean kelaziman lelaki yang mengalami mati pucuk yang bersifat organik, adalah disebabkan usia.

"Jika anda seorang lelaki berusia 70 tahun dan tidak boleh mencapai ereksi, walaupun dengan cara beronani dan ini telah berlaku selama beberapa tahun, terapi tingkah laku psikologi mungkin tidak akan berkesan. Ia tidak bermakna ia tidak akan berkesan untuk beberapa lelaki, tetapi ada kemungkinan bahawa bahawa dadah perencat PDE5 (phosphodiesterase jenis 5) akan berfungsi."

Perencat PDE5 inhibitor adalah sejenis ubat yang digunakan dalam rawatan disfungsi erektil, dan merupakan ubat oral berkesan pertama yang boleh digunakan bagi masalah ini. Salah satu perencat PDE5 yang terkenal adalah Viagra.

Dari segi kos, Dekan mengatakan bahawa perencat PDE5 adalah lebih murah dan ianya tidak mempunyai kesan yang buruk kepada hubungan dan keintiman dengan pasangan. "Saya selalu mengesyorkan bahawa lelaki berbincang dengan isteri atau teman wanita mereka tentang penggunaan perencat PDE5, supaya jujur tentang masalah seksual mereka. Ia membantu untuk membina kepercayaan dan keintiman. "

Sesetengah lelaki yang enggan mengambil ubat ini akan mengambil jalan keluar menggunakan rawatan alternatif untuk ED. Ini termasuk mengambil makanan tambahan herba, akupuntur dan terapi psikologi. Dean berkata walaupun terapi psikologi atau tingkah laku berkesan, terutamanya terhadap lelaki-lelaki yang muda dan sihat, ia mengambil masa yang lama. "Besar kemungkinan 10 hingga 12 sesi, satu jam setiap kali, dan juga untuk hadir bersama-sama dengan pasangan anda. Sebagai pasangan, mereka perlu berbincang dan memutuskan apa yang mereka mahu lakukan. Itu sentiasa menjadi cadangan saya."

Dean berpendapat bahawa perencat PDE5 akan berfungsi dengan baik ke atas lelaki berusia 80 tahun melainkan jika mereka mempunyai masalah perubatan yang sedia ada, seperti kerosakan saraf daripada prostatektomi radikal atau mereka yang kencing manis.

Pakar klinikal seks itu menafikan mitos bahawa perencat PDE5 menyebabkan kematian lelaki-lelaki yang lebih tua disebabkan serangan jantung.

Walaupun tidak ada bukti kukuh yang menunjukkan kaitan antara perencat PDE5 dan respon yang lebih rendah terhadap kejadian koronari akut di kalangan orang-orang yang lebih tua, Dean mengambil pendirian bahawa kerana ubat-ubatan ini adalah ‘mild phaser dilator’, terdapat satu trend yang menunjukkan bahawa ia akan memberikan kesan perlindungan kepada jantung, dan bukannya menyebabkan serangan jantung.

Beliau berkata seks merupakan satu lagi bentuk senaman, malahan suatu senaman yang lebih menyeronokkan. Ini akan membuatkan jantung bekerja dengan lebih keras, yang boleh mengakibatkan kejadian koronari akut. Beliau berkata yang kaitan antara hubungan seks diikuti dengan serangan jantung adalah rendah, memetik yang hanya 1 dalam 200 orang mengalami serangan jantung dalam tempoh kira-kira dua jam selepas mengadakan hubungan seks.

"Ini bukannya risiko yang lebih tinggi daripada, misalannya, bermain golf atau berkebun.”

Bagaimanapun, beliau mengingatkan bahawa hubungan seks dengan pasangan yang tidak dikenali boleh mengundang risiko serangan jantung yang lebih besar di kalangan lelaki-lelaki yang lebih tua.

Rencana ini pertama kali diterbitkan dalam The Heat isu 23 Ogos 2014.

Anda termasuk dalam golongan mana (Gambar)

Tutup aurat ni bukan untuk perempuan saja, orang lelaki pun sama.

Gambar bawah ni kes apa pulak? Pak Aji ni biar betul
Sebenarnya ini gambar seorang penguatkuasa di Aceh sedang menyembur cat kepakaian seorang wanita yang berpakain tidak mengikut syariat agar pakaian tidak boleh dipakai lagi.

Abang kahwinlah seorang lagi...

MUHAMMAD DAUD
BEBERAPA minggu lepas, ada suatu kisah yang disebarkan melalui laman-laman sosial berkaitan asal-usul perkataan bahlul. Bahlul merupakan nama jolokan bagi seorang hakim dan ilmuwan Islam pada zaman Khalifah Harun al-Rashid yang bernama Wahab ibn Amr.

Kemungkinan pada masa itu ada seorang ibu menggelar anaknya yang nakal sebagai 'bahlul' kerana berharap agar anaknya menjadi orang yang mulia seperti Wahab ibn Amr atau Bahlul ini. Nampaknya ujaran itu berlawanan sama sekali dengan maksud yang dikehendaki.

Perkara ini bukanlah sesuatu yang aneh kerana dalam bahasa Melayu juga sering menggunakan sesuatu perkataan yang berlawanan dengan maksud yang dikehendaki, contohnya seorang ibu menegur anaknya, “Bertuah betul anak ibu ini, habis duit ibu dikebasnya”. Seorang ibu menggunakan perkataan 'bertuah' untuk anaknya walaupun telah mengebas duitnya.

Ragam bahasa yang menggambarkan situasi-situasi di atas dikenali sebagai bahasa terbalik. Bahasa terbalik merupakan satu cabang ragam bahasa dalam bahasa Melayu yang menggunakan perkataan terbalik daripada maksud dikehendaki dan orang yang dilawan bercakap itu faham akan maksudnya. Ragam bahasa terbalik ini menunjukkan bahawa bahasa Melayu merupakan suatu bahasa yang indah dan unsur ini jarang-jarang terdapat dalam bahasa lain di dunia.

Kalau diimbas kembali ketika masih kecil, tentu kita teringat beberapa bahasa terbalik yang digunakan oleh ibu kita. Tentu kita faham akan maksud ibu jika menggunakan ujaran-ujaran di bawah:
(i) “Eloklah, main lagi dengan pisau itu”.
(ii) “Habiskan semua lauk itu, biar orang lain tidak dapat makan”.

Kedua-dua contoh ujaran di atas amat kita fahami maksudnya, iaitu ibu melarang kita daripada bermain dengan pisau kerana bimbang akan membahayakan diri dan ibu melarang kita daripada menghabiskan lauk yang disediakan kerana lauk itu juga disediakan untuk orang lain.

Orang Melayu dan Islam percaya bahawa kata-kata ibu umpama doa terutama jika diujarkan kepada anaknya, justeru ibu sering menggunakan perkataan yang baik untuk ditujukan kepada anaknya walaupun hakikatnya sifat anaknya itu bertentangan dengan apa-apa yang dikatakan. Cuba kita lihat ujaran-ujaran contoh di bawah:
(i) “Anak bertuah ini, tidur memanjang sahaja sampai lupa pergi kerja”.
(ii) “Berbudi bahasa sungguh anak aku ini”.

Kedua-dua ujaran contoh di atas menggambarkan kata-kata seorang ibu kepada anaknya yang nyata berlawanan dengan maksud yang dikehendaki.

Dalam situasi lain, ada bahasa terbalik yang menggunakan ujaran negatif tetapi sebenarnya cuba menggambarkan sesuatu yang positif. Ujaran ini biasanya ditujukan kepada kanak-kanak yang masih kecil. Cuba lihat ujaran-ujaran contoh di bawah:
(i) “Alahai, anak abah yang busuk ini!”
(ii) “Hodohnya anak ibu yang kecil ini”.

Tidak mungkin seorang ibu atau bapa akan mengatakan bahawa anaknya busuk dan hodoh walaupun hakikatnya begitu. Bahasa terbalik yang digunakan dalam konteks ini bertujuan merapatkan lagi hubungan dan cuba menggambarkan perasaan sayang yang amat sangat terhadap anaknya.

Walaupun bahasa terbalik ini sering digunakan oleh ibu terhadap anaknya, namun boleh juga digunakan oleh pihak-pihak lain, contohnya isteri kepada suaminya. Walau bagaimanapun suami perlu berhati-hati jika isterinya berkata, “Kahwinlah seorang lagi kalau abang mahu,” kerana ternyata bahasa yang digunakan itu ialah bahasa terbalik. Kita perlu memahami bahasa terbalik yang digunakan berdasarkan mimik muka, nada suara, jelingan mata dan tanda-tanda lain supaya tidak timbul sebarang kesulitan nanti.

Penggunaan ragam bahasa terbalik menunjukkan keunikan bahasa Melayu yang jarang-jarang dimiliki oleh bahasa lain. Sesungguhnya, bahasa mempunyai pengaruh besar untuk mengubah sikap seseorang dan ragam bahasa terbalik merupakan antara cara untuk mencapai matlamat tersebut. Walaupun begitu, kita perlu berhati-hati menggunakan bahasa terbalik kerana kegagalan sesetengah orang memahami bahasa terbalik menyebabkan usaha menyampaikan sesuatu maksud itu gagal akibat silap faham.
-sinarharian-

Ahmad Lutfi sudah tidak boleh membaca dan menulis?

Titipan buat Saudara Ahmad Lutfi : Moga kembali membuka mata
AZAMIN AMIN
SALAM diberi beberapa kali, lalu suara halus menyapa antara dengar dan tidak. Pintu kayu sudah terbuka namun jeriji besi itu masih bermangga. Seorang lelaki muncul dengan pergerakan yang sangat perlahan.Di sisinya tongkat, penguat tubuhnya yang tidak terdaya. Dia yang berbaju kuning lusuh dan mengenakan seluar hitam terlanggar sisi meja kaca yang terletak di ruang tamu.
Saya hanya memerhati saat itu dengan penuh tekun dan menahan perasaan yang amat dalam. Menahan dan terus menahan biarpun sayu sudah mula menyapu kalbu.

Kemudian tangannya mengapai-gapai dan jari jemari meraba-raba permukaan meja yang dilanggarnya tadi. Dia mencari, tetapi gagal. Dia berusaha lagi, gagal dan setelah beberapa kali mencuba, akhirnya anak kunci berjaya ditemui.
Detik pilu itu membuatkan mata saya sudah mula berkaca.

Lalu, dia mengadap ke pintu sambil menyuakannya untuk saya membuka sendiri mangga itu. Saya renung-renung dalam-dalam wajahnya dan pilunya, kelopak matanya sudah tidak terbuka.
Pejam rapat, tanpa cahaya.

Takala dia menghulur tangannya yang sedikit membengkak lalu memeluk tubuh saya, saya sudah tidak dapat menahan air mata dari tumpah. Ya, Allah...

Perlahan-lahan dia memujuk lalu menepuk belakang saya sambil berbisik:”Tak pa..tak pa.”

Insan ini, sudah tidak perlu diperkenalkan lagi. Biarlah fakta dan sejarah berkata-kata. Bukan kemampuan saya untuk menyingkap jasa apatah lagi pengorbanannya yang sungguh, tidak terakam.

Di hadapan saya ini, susuk tubuh yang sering menggegarkan negara dengan tulisan penanya setajam pedang. Libasannya, pedih sepanjang zaman.

Asakan pemerintah, ancaman serta ugutan yang mempunyai kuasa sedikit pun tidak menjadi kudis malah semakin lantang penanya melawan. Dan keberaniannya itu, dihadiahkan dengan urusan turun naik mahkamah, dan pernah menjadi mangsa Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) yang tidak bermata.
Berundur? Berhenti? Sesekali tidak. Demi memerdekakan minda rakyat dan melaungkan hak, sekali gus mengecam salah guna kuasa dan kepincangan sehingga rakyat tertindas, sentiasa dia jadikan azimat.

Tidak mungkin dilupakan, dialah juga yang ‘mengutip’ saya, lalu membersih dan membasuh tanpa jemu, sehingga saya berupaya mencebis dan menulis ayat penuh makna walaupun tidak menggigit dan sebisa penanya. Ketika itu, 2005 matanya masih terang mengesan bakat saya dan lain-lain pemuda.

Dia gigih, sehingga merimaskan saya dan rakan-rakan waktu itu. Seperti tiada rehat dan tanpa penghujungnya kerja yang dilakukan. Tanpa henti dan tiada istilah cuti. Deringan telefon darinya, sesuatu yang cukup mendebarkan.

Ada sahaja idea yang terlintas dan menimbun tugas yang perlu digalas.

Sedang saya lena di rumah, suatu malam dia menghubungi untuk mengajak ke selatan negara. Tiga hari lagi nak menyambut syawal. Sepatutnya, masingmasing sedang membuat persiapan untuk pulang ke kampung dan berhari raya.
Dan kami, ketika itu, dia, saya dan rakan setugas Wan Nordin, ke ceruk kampung hulu, menjejaki keluarga mangsa akta kejam ISA. Di hatinya, tidak tergamak meninggalkan mangsa tanpa sedikit bantuan sumbangan, sedang orang lain keriangan, mereka dibalut kedukaan lebih-lebih lagi tanpa insan tersayang.

Saya rasa amat marah bila dia mengajak untuk menyantuni mangsa ISA itu. Bukan sebab kerana hampir detik Aidilfitri, bukan sebab mereka miskin, bukan juga sebab mereka tiada nama atau kuasa tetapi kenangan yang ditinggalkan sangat membekas sehingga saat saya menulis ini.

Mana mungkin, saya dapat melupakan si Fathur Rahman Al-Ghazi, berusia 4 tahun, anak mangsa ISA di Kampung Simpang Pertang, Negeri Sembilan memegang bucu seluar kaki saya.

Fathur berkata dengan nada perlahan menyentap perasaan :”Pakcik....jangan lupa, bawa balik ayah ya...”

Marah saya pada dia, kerana dia ‘mengajar’ dengan cara yang cukup menghayat hati erti kemanusiaan dan merasai denyut nadi kepayahan manusia sehingga terbawa-bawa dan menjadikan siapa saya sekarang.

Peristiwa yang satu ini sama juga. Hari itu, dalam keadaan yang tidak sihat dan demam, dia mengajak saya memandu ke satu daerah untuk mendengar ceramah.

Tiba-tiba dia menyuruh saya berhenti serta-merta di tepi kaki jalan. Sebaik pintu di buka, dia lalu muntah-muntah. Bukan sedikit. Patah balik? Oh tidak. Dengan badan yang menggigil dan suara yang sedikit ketar, terus berada bersama lautan manusia mendengar ceramah sehingga tamat.
Membelah malam dan menelusuri jalan kampung, yang sejamnya daripada Kuala Lumpur membuatkan saya tertanya dari mana datang kekuatan semangatnya.

Barangkali semangat mengenang anaknya keduanya, Nurul Syafiqah, yang meninggal dunia pada 1 Ramadan 2005 ketika berusia 11 tahun, masih mencetus bara di dada. Sejak itu, dia terus bangkit berjuang tanpa menoleh dan bergelinang duka yang panjang.

Dia mengajar kami para wartawan, untuk berada di lapangan, tidak mudah menelan cerita di telinga tetapi melihat dengan saksi mata. Selagi hayat, terus menyusun ayat agar yang zalim dicantas rapat.

“Tidurlah dan rehat, setelah nyawa berpisah dengan hayat.”

Kini uzurnya, memamah usia. Dengan tenang dia menceritakan satu persatu masalah kesihatan dan rawatan tanpa ada sedikit raut wajah yang bimbang. Dan masih lagi bertanya khabar rakan-rakan dan hal ehwal tugasan serta perjuangan... ya tuhan.

“ Azamin...saya sudah tidak boleh membaca...apatah lagi menulis...”

Dia kemudian diam dan tidak memandang ke arah saya. Dia pegun di kerusinya mengadap ke hadapan, sedangkan saya sudah pun di pintu untuk pulang.Dia tidak lagi mengiringi saya atau tetamu seperti selalunya.

Kali ini, dia menjawab salam tanpa menoleh, dan sedikit menunduk. Petang itu, hujan gerimis turun tanpa henti, sama lajunya dengan air mata saya yang berdosa dan kami, rakan taulan sentiasa mendoakan buat Ahmad Lutfi Othman Ketua Pengarang Harakah, moga kembali membuka mata.

Siapakah Bekas Menteri Tak Boleh Langsung Tengok Muka Najib?

Shahbudin Husin
Kedudukan Perdana Menteri ketika ini bukan saja merudum di mata rakyat tetapi juga berada di kedudukan paling teruk di mata sebahagian bekas pemimpin UMNO sendiri.Ada pemimpin UMNO yang pernah menjadi menteri kabinet mengakui bahawa beliau ketika ini tidak boleh langsung memandang wajah Perdana Menteri, terutamanya melalui televisyen.

Katanya, beliau akan mengalih siaran berita di televisyen yang sedang ditontonnya jika muncul siaran berkenaan ucapan yang melibatkan Najib.

Tambahnya, dalam Perhimpunan Agung UMNO baru-baru ini, beliau juga tidak menonton langsung sama ada ucapan atau sidang akhbar yang disampaikan oleh Najib yang berulangkali disiarkan melalui televisyen.

Sambil mengakui bahawa Najib ketika ini merupakan pemimpin paling lemah, beliau juga menyatakan tidak faham dengan sesetengah keputusan yang diambil oleh Perdana Menteri yang jelas tidak membawa kebaikan kepada negara.

Menurut bekas pemimpin itu lagi, mendengar pelbagai perkara yang diucapkan oleh Najib sejak kebelakangan ini membuatkan perasaannya semakin sakit dan kacau serta percaya sebahagian besar rakyat juga berperasaan sedemikian.

Jika rakyat biasa yang tidak lagi mahu menonton atau membaca berita berkenaan Najib, ia mungkin dianggap sesuatu yang normal kerana sejak pemerintahannya sudah begitu banyak beban dan kesusahan yang sepatutnya diselesaikan dengan bijaksana olehnya, tetapi dipindahkan kepada rakyat atas alasan untuk kepentingan jangka panjang negara.

Malah jika ahli UMNO biasa pun mulai "menyampah" dengan gaya kepimpinan Najib yang semakin hari semakin teruk ini, barangkali ia juga boleh difahami.

Tetapi dengan adanya bekas menteri sendiri turut "meluat" sehingga tidak mahu lagi melihatnya ketika muncul di televisyen, ia adalah petanda jelas bahawa penolakan kini makin meluas dan merata terhadap Perdana Menteri itu.

Tidak seperti Perdana Menteri sebelum ini, baik Mahathir Mohamad mahupun Abdullah Badawi, walaupun mereka juga dibenci dan tidak disukai oleh ramai orang, tetapi tidaklah ia sampai ke tahap mereka tidak mahu lagi memandang wajahnya.

Malah Mahathir misalnya, walaupun mencipta ramai musuh politik sepanjang pemerintahannya, tetapi hujah dan idea-segarnya sentiasa dinanti setiap hari sama ada oleh yang menyokong atau membencinya.

Dalam buku Najib Perdana Menteri terakhir yang saya tulis dan terbitkan pada 2011, ada menyebut mengenai seorang ayah kepada salah seorang pemimpin kanan UMNO yang terus menutup televisyen jika berita mengenai Najib disiarkan.

Mungkin juga sebenarnya ramai lagi yang mempunyai perasaan sama terhadap Najib ketika ini, cuma ada yang berani berterus-terang dan pula yang hanya menyimpan dalam hati saja.

Menjelang PRU 14 dan ketika luahan rasa tidak puas hati rakyat dapat didengari di mana-mana, adanya seorang bekas pemimpin UMNO sendiri yang sampai tidak boleh lagi menatap wajah Najib, ia secara langsung adalah gambaran penolakan yang seharusnya meresahkan Najib.

Ini kerana, jika bekas pemimpin UMNO sendiri pun sudah ke tahap itu perasaannya, sudah tentulah rakyat dan pengundi biasa lebih parah lagi keadaannya. Semua mereka ini hanya menunggu masa dan ketika saja untuk menzahirkan perasaan masing-masing melalui peti undi
http://shahbudindotcom.blogspot.com

Si Tanggang moden: 'Kalau ibu anjing, saya anak anjing’

 'Kalau ibu anjing, saya anak anjing’KOTA BHARU: Padah buat seorang penganggur akibat mengasari dan memaki hamun ibu sendiri, dia dihukum penjara dua tahun oleh mahkamah majistret, di sini, hari ini.
Tertuduh, Mohd Azren Mohd Ramly, 27, mengaku bersalah dengan sengaja memulas tangan dan menedang punggung ibunya, Saudah Yaacob, 52, dalam dua kejadian di sebuah rumah di Taman Bumi Batu 4 Jalan Pengkalan Chepa, di sini, pada jam 5 petang, 26 dan 30 November lalu.

Pada pagi itu, mangsa menyuruh anaknya membeli nasi sarapan pagi, tetapi tertuduh meminta lagi duit daripada mangsa.

Mangsa berkata, tiada duit lalu tertuduh merebut duit dan ketika itu tertuduh memulas tangan hingga pengadu kesakitan.

Tertuduh memaki hamun mangsa dengan berkata “ibu beruk” dan “ibu anjing”.

Mangsa terpaksa melepaskan duit di tangannya dan tertuduh mengambilnya lalu terus tidur.

Mangsa yang kesakitan menangis dan mengadu kepada seorang lagi anaknya.

Empat hari sebelumnya, semasa mangsa pulang ke rumah dari membeli barang, tertuduh meminta duit daripada mangsa, tetapi mangsa berkata tiada duit lalu menendang di bahagian punggung mangsa dengan kuat. Tertuduh juga memijak dan memecahkan telur yang baru dibeli mangsa.

Pada prosiding itu, Majistret, Nik Habri Muhamad bertanya tertuduh adakah dia anak kandung mangsa, tertuduh kemudian menjawab, "Ya".

“Jika ibu kamu ibu beruk dan ibu anjing, jadi kamu itu apa?” tanya Nik Habri lagi.

Tertuduh kemudian menjawab, “...anak anjing”.
-sinarharian-

Serangan Terbaharu DAP Ada Motif Lain Bukan Sekadar Jawatan Timbalan Speaker II

Tranungkite
Zulkifli Sulong, pengarang analisis dan rencana The Malaysian Insider mempertikaikan motif terbaharu serangan DAP berkaitan dengan jawatan Timbalan Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) Selangor.

Memetik sumber kanan PAS yang tidak dinamakan berkata serangan terbaharu DAP itu berkemungkinan mempunyai motif lain.

“Apa tujuan DAP sebenarnya. Apakah mereka bertujuan menekan PAS agar keluar PR atau ada tujuan lain,” soal seorang pemimpin kanan PAS yang enggan namanya disiarkan.

Beliau berkata, isu itu terlalu remeh untuk diperjuangkan DAP setelah speaker DUN dipegang DAP iaitu Hannah Yeoh.

“Saya bimbang DAP mempunyai agenda lain,” katanya, lapor Zulkifli dalam analisis terbaharu bertajuk “Apakah DAP benar-benar mahukan timbalan speaker II atau ada agenda lain.”

Analisis Zulkifli mendapati terdapat percanggahan kenyataan DAP berkaitan isu tersebut.

Menurutnya, tuntutan itu menjadi lebih buruk apabila Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sekinchan Ng Suee Lim yang juga timbalan setiausaha DAP Selangor dan calon DAP yang tewas dalam pertandingan jawatan Timbalan Speaker II bercakap mewakili parti.

Ng berkata permintaan itu wajar kerana DAP mempunyai 15 kerusi DUN, lebih banyak daripada PKR yang hanya ada 12.

Disamping itu, Ng turut mengakui wujud perjanjian selepas tamatnya kemelut menteri besar apabila pemimpin PR bersetuju melantik satu lagi timbalan speaker.

“Persoalan sekarang kenapa PKR boleh ada menteri besar, tambah (kerusi) exco? Itu persoalan yang timbul,” katanya.

“Saya difahamkan, ia dipersetujui pemimpin PR,” katanya.

Bagaimanapun, kenyataan Ng terpaksa diperbetulkan Pengerusi DAP Selangor Tony Pua yang menjelaskan PR tidak pernah bersetuju dengan jawatan timbalan speaker II itu.

“Tidak benar. Pemimpin PR tidak pernah bersetuju untuk memberi kita timbalan speaker II itu.

“Kami (DAP) yang memintanya,” kata Pua.

Menurut Zulkifli, selain timbalan speaker II, DAP juga memperjuangkan pilihan raya kerajaan tempatan di Selangor.

Cadangan DAP itu menimbulkan kemarahan sesetengah pihak dalam PAS. Para penyokong kumpulan ulama dalam PAS mengambil kesempatan menyerang DAP sekeras-kerasnya ekoran isu ini, lapornya.

“Sudah terang lagi bersuluh DAP Selangor memang tamak dan haloba, tujuan pilihan raya kerajaan tempatan adalah untuk menguasai pentadbiran PBT melalui wakilnya sebab mereka tahu mereka tidak dapat meguasai negeri kerana adanya Sultan yang berkuasa melantik menteri besar.

“Mereka juga lahapkan jawatan timbalan speaker meskipun majoriti mengundi untuk wakil PAS. Tujuan DAP adalah membalas dendam kerana matlamat mereka mengangkat Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail sebagai menteri besar selepas itu memperkudakan beliau tidak kesampaian,” tulis Setiausaha PAS Wilayah Persekutuan Khairul Anuar Abdul Manap melalui Facebooknya.

Zulkifli turut membayangkan tindakan terbaharu DAP itu seolah-olah mencari sebab untuk meninggalkan PR, mengulangi episod lama, DAP meninggalkan Barisan Alternatif (BA) pada 2001, apabila tidak bersetuju dengan cadangan penubuhan negara Islam.

“Ketika membuat keputusan itu pada 2001, DAP sedang mempersiapkan dirinya untuk menghadapi pilihan raya negeri Sarawak.

“Kini, pilihan raya negeri Sarawak bakal menjelang lagi.

“Pada 18 Oktober lalu, DAP Sarawak menyatakan ia menghentikan semua komunikasi dengan PAS dan PKR, tetapi terus berada dalam PR,”lapornya.

Zulkifli turut memetik kenyataan Pengerusi DAP Sarawak, Chong Chieng Jen yang berkata DAP negeri itu akan meninggalkan PR jika kumpulan ulama PAS, yang memperjuangkan hukum hudud, menguasai parti itu selepas pemilihan parti pada Jun tahun depan.

“Sekiranya (kumpulan) progresif liberal menguasai (jawatankuasa pusat PAS), maka tiada sebab kami akan keluar,” kenyataan Chong dipetik.