Bekas menteri penerangan Tan Sri Zainuddin Maidin berkata kenyataan itu menimbulkan keraguan pemimpin dan anggota Umno terhadap ikrar taat setianya kepada presiden parti itu Datuk Seri Najib Razak
“Muhyiddin tidak lagi dapat berselindung di sebalik sehelai lalang atas sokongannya terhadap Tun Mahathir yang mahukan kekotoran 1MDB dibersihkan sebelum wabaknya menghancurkan Umno dan kerajaan,” katanya.
Beliau kemudian menjelaskan perkara itu cuma pandangannya dan bukan perkara baru.
Kenyataan itu dilihat memberi tamparan kepada Najib memandang 1MDB lahir hasil cetusan ilhamnya.
Dalam kenyataannya hari ini, Zainuddin (atas, bertali leher) berkata Muhyiddin mempamerkan dirinya sebaris dengan Mahathir yang tidak mahu menunggu hasil siasatan rasmi terhadap syarikat pelaburan negara itu.
'Pelampau' rampas kuasa 1969
Zainuddin juga berkata Umno juga harus membincangkan sama ada Muhyiddin harus dipecat daripada MT seperti nasib yang
menimpa Mahathir pada 1969.
Katanya, Mahathir ketika itu dipecat setelah presiden Umno ketika itu Tunku Abdul Rahman (bawah, kanan) mendakwa ada pelampau hendak merampas kuasa dalam parti.
Zainuddin yang juga bekas ketua pengarang Kumpulan Utusan Melayu berkata Najib tidak lagi dapat mengekalkan keyakinan rakyat bahawa beliau mendapat sokongan daripada dalam parti.
“Dengan kenyataan Muhyiddin itu membuktikan tidak ada perpaduan dalam parti dalam menghadapi ancaman Mahathir,1MDB, krisis politik dan ekonomi sekarang,” katanya lagi.
Zainuddin juga berkata pendirian Muhyiddin itu juga tidak boleh diperkecil kerana beliau juga mempunyai pengaruh kuat dalam parti dan telah menimbulkan kegemparan, malah mengggoncang keyakinan dalam Umno dan di kalangan rakyat.
“Keraguan rakyat terhadap kesepaduan pucuk pimpinan dan kestabilan parti berkuasa tidak boleh dibiarkan terus berlaku sehingga pilihan raya umum akan datang kerana wabaknya sedang merebak melibatkan kestabilan ekonomi negara dan juga masa depan Umno,” katanya.
-malaysiakini-
Tiada ulasan:
Catat Ulasan