"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Muhyiddin Yassin sembunyi di balik sehelai lalang..

Umno harus memanggil mesyuarat tergempar Majlis Tertinggi (MT) susulan pendirian keras Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin yang mahukan semua anggota lembaga 1MDB dipecat.
Bekas menteri penerangan Tan Sri Zainuddin Maidin berkata kenyataan itu menimbulkan keraguan pemimpin dan anggota Umno terhadap ikrar taat setianya kepada presiden parti itu Datuk Seri Najib Razak

“Muhyiddin tidak lagi dapat berselindung di sebalik sehelai lalang atas sokongannya terhadap Tun Mahathir yang mahukan kekotoran 1MDB dibersihkan sebelum wabaknya menghancurkan Umno dan kerajaan,” katanya.

Ketika Najib membentangkan Rancangan Malaysia ke-11 di Parlimen hari ini, sebuah video dimuat naik di Internet yang memaparkan ucapan Muhyiddin yang mahu semua lembaga pengarah 1MDB dipecat.
Beliau kemudian menjelaskan perkara itu cuma pandangannya dan bukan perkara baru.

Kenyataan itu dilihat memberi tamparan kepada Najib memandang 1MDB lahir hasil cetusan ilhamnya.

Dalam kenyataannya hari ini, Zainuddin (atas, bertali leher) berkata Muhyiddin mempamerkan dirinya sebaris dengan Mahathir yang tidak mahu menunggu hasil siasatan rasmi terhadap syarikat pelaburan negara itu.

'Pelampau' rampas kuasa 1969

Zainuddin juga berkata Umno juga harus membincangkan sama ada Muhyiddin harus dipecat daripada MT seperti nasib yang
menimpa Mahathir pada 1969.

Katanya, Mahathir ketika itu dipecat setelah presiden Umno ketika itu Tunku Abdul Rahman (bawah, kanan) mendakwa ada pelampau hendak merampas kuasa dalam parti.

“Sekiranya Muhyiddin tidak dipecat maka jalan penyelesaian mestilah dicari bagi memastikan kesepaduan Umno jika salah seorang iaitu Muhyiddin atau Najib terpaksa berundur,” katanya.
Zainuddin yang juga bekas ketua pengarang Kumpulan Utusan Melayu berkata Najib tidak lagi dapat mengekalkan keyakinan rakyat bahawa beliau mendapat sokongan daripada dalam parti.

“Dengan kenyataan Muhyiddin itu membuktikan tidak ada perpaduan dalam parti dalam menghadapi ancaman Mahathir,1MDB, krisis politik dan ekonomi sekarang,” katanya lagi.

Zainuddin juga berkata pendirian Muhyiddin itu juga tidak boleh diperkecil kerana beliau juga mempunyai pengaruh kuat dalam parti dan telah menimbulkan kegemparan, malah mengggoncang keyakinan dalam Umno dan di kalangan rakyat.

“Keraguan rakyat terhadap kesepaduan pucuk pimpinan dan kestabilan parti berkuasa tidak boleh dibiarkan terus berlaku sehingga pilihan raya umum akan datang kerana wabaknya sedang merebak melibatkan kestabilan ekonomi negara dan juga masa depan Umno,” katanya.
-malaysiakini-

Tiada ulasan: