Ketua Penerangan PAS Nasruddin Hassan berkata tindakan disiplin akan diambil terhadap 2 bekas pemimpin yang menubuhkan Gerakan Harapan Baru. – Gambar fail The Malaysian Insider, 16 Julai, 2015.
Tindakan disiplin bakal dikenakan terhadap bekas Timbalan Presiden PAS Mohamad Sabu dan bekas Naib Presiden Salahuddin Ayub kerana melanggar perlembagaan parti dengan menubuhkan Gerakan Harapan Baru (GBH), kata Nasruddin Hassan.
Ketua Penerangan PAS itu dipetik akhbar Sinar Harian berkata, tindakan 2 bekas pemimpin yang tewas semasa pemilihan parti Jun lalu mengetuai GHB atau dahulunya dikenali G18 dianggap satu kesalahan besar dan tidak bermaruah.
Katanya, Mohamad atau lebih dikenali sebagai Mat Sabu dan Salahuddin juga masih terikat dengan peraturan parti kerana belum mengisytiharkan diri sebagai bebas.
"Sementara mereka berstatus ahli PAS, mereka merosakkan PAS dari dalam. Layaknya tindakan mereka itu adalah satu pengkhianatan kepada jemaah atau parti.
"Ia kesalahan besar dan pasti mereka akan dirujuk kepada tindakan disiplin parti berasaskan peruntukan perlembagaan PAS," katanya dipetik akhbar harian itu.
Ahli Parlimen Temerloh itu berkata, mereka juga mengadakan jelajah seluruh negara bagi menghasut ahli PAS meninggalkan parti dan mempunyai agenda terpesong daripada prinsip perjuangan Islam.
"Tindakan sebegitu bukan sekadar pengkhianatan malah satu kejahatan," katanya.
Beliau juga mengesyaki Mat Sabu dan Salahudin mempunyai niat tersembunyi dari awal dan situasi pasca muktamar PAS ke-61 hanya batu loncatan untuk mereka meninggalkan parti.
"Saya yakin golongan ini sejak hari pertama menyertai PAS tersemat dalam diri mereka rancangan seperti ini.
"Ia pelan B mereka setelah gagal menguasai PAS dengan agenda mereka," katanya.
Mat Sabu pada 13 Julai lalu melancarkan GHB secara rasmi di Kuala Lumpur, bermatlamat mendukungi Islam yang syumul dengan pendekatan inklusif, progresif dan peduli rakyat.
Antara pemimpin yang turut hadir pada majlis pelancaran tersebut ialah anak bekas presiden PAS, Muhammad Faiz Fadzil, bekas menteri besar Selangor Tan Sri Muhammad Muhd Taib, bekas calon presiden PAS Ahmad Awang, bekas ahli Jawatankuasa PAS Pusat Dr Dzulkefly Ahmad dan Salahudin.
-malaysianinsider-
inilah akibat bila dilantik jadi pemimpin dalam parti tapi masih tak hadam perlembagaan parti aku ingat kau join parti tupperware lagi baik
BalasPadam