Apa kaitan 80 lagi ahli Pas Johor ini dengan G18 yang dikatakan kecewa

80 lagi ahli Pas Johor keluar parti
80 lagi ahli Pas Johor keluar parti Sebahagian daripada ahli Pas yang bertindak keluar parti. - Foto Sinar Harian
SEGAMAT: Susulan peletakan jawatan kepimpinan tertinggi Pas di negeri ini untuk menyertai Parti Pekerja Malaysia, kira-kira seramai 80 ahli Pas Kawasan Segamat, Sekijang dan Labis pula yang bertindak keluar daripada parti tersebut.

Bekas Timbalan Yang Dipertua (YDP) Pas Kawasan Labis, Md Zin Johar berkata, kesemua mereka juga telah bersetuju untuk terus berkhidmat kepada rakyat menerusi parti baharu ini selain memperkuatkan semula Pakatan Rakyat (PR).

“Setelah mengambil perkiraan yang panjang dan meneliti kesan positif dan negatif untuk bergerak melakukan kerja di masa hadapan, kami yang ada pada hari ini (kelmarin) mengumumkan untuk keluar daripada Pas untuk menyertai Parti Pekerja Malaysia ini.

“Usaha ini diambil bagi membolehkan sahabat-sahabat yang masih berada di dalam Pas memilih kepimpinan baharu yang dirasakan sesuai untuk terus memimpin Pas kawasan berdasarkan halatuju dan kompas politik yang ditetapkan oleh Presiden Pas,” katanya.

Beliau berkata demikian semasa sidang media khas bagi mengumumkan peletakan jawatan oleh kepimpinan Pas Kawasan Segamat, Sekijang dan Labis di Hotel Golden Lake, di sini, petang semalam.

Turut hadir semasa sidang media khas tersebut ialah Pengerusi Parti Pekerja Malaysia Negeri Johor, Aminolhuda Hassan.

Menurutnya, beliau juga turut berharap agar ukhuwah di antara mereka dengan ahli-ahli Pas yang lain juga akan berkekalan sampai bila-bila dan sama sekali tidak akan pernah bersetuju terhadap sebarang usaha untuk mengeruhkan hubungan kekeluargaan di antara mereka.

“Harapan ini wajib dijelaskan kerana perbezaan antara kami dan rakan-rakan dalam Pas hanyalah platform perjuangan. Apa yang lebih penting kami akan istiqamah membawa agenda perjuangan Islam yang lebih inklusif.

“Kita mahu lebih fokus kepada isu rakyat, maknanya pendekatan kita lebih mendekati masalah rakyat dan bukan permasalahan dalaman serta akan terus komited membina negara yang kuat dan bebas rasuah serta penyalahgunaan kuasa,” katanya.

Pada masa sama, mereka juga turut berterima kasih atas kepercayaan yang telah diberikan oleh ahli-ahli Pas Kawasan Segamat, Sekijang dan Labis selama ini dan menjangkakan lebih ramai yang akan menyertai mereka selepas ini.

Menurutnya, mereka juga yakin bahawa parti baharu ini turut mengambil kira unsur-unsur inklusif yang mengambil berat demokrasi dan progresif di dalamnya kerana dan akan bergerak seiring serta tampil dengan penjelasan terkini isu-isu semasa.

“Setakat ini sambutan yang diterima amat menggalakkan dan aya menyeru semua pihak agar memberi ruang dan peluang kepada parti baharu ini untuk memberikan khidmat baktinya kepada seluruh rakyat Malaysia agar matlamat kita untuk menumbangkan BN akan tercapai pada PRU14 nanti,” katanya.
-sinarharian-

Tiada ulasan:

Catat Ulasan