Subhanallah!!!!! Gempar batu akik tertera imej Kaabah dan orang tawaf (Gambar)


Jakarta: Penduduk di Parigi Moutong di Sulawesi Tengah gempar selepas menemui batu akik yang didakwa mempunyai imej Kaabah dan orang tawaf.

Imej itu ditemui sekumpulan penduduk yang memotong satu batu akik jenis King Marantale yang ditemui mereka Jumaat lalu.

Pegawai daerah Parigi Moutong, Samsurizal Tombolotutu berkata, selepas batu akik itu dibelah penduduk terkejut melihat imej Kaabah berkenaan.

“Ada yang menangis sambil mengucapkan Allahu Akbar beberapa kali apabila melihat imej di dalam batu akik berkenaan,” katanya.

Ujarnya, batu akik itu telah dibawa ke pejabat daerah di Kota Parigi untuk disimpan.
“Saya berharap dengan penemuan batu akik ini akan menambahkan keimanan penduduk kepada Allah,” jelasnya.

Menurutnya, batu akik itu akan dipamerkan dalam festival pada September depan yang akan dihadiri Presiden Joko Widodo.

Festival itu akan mempamerkan produk tempatan termasuk batu akik yang menjadi produk utama wilayah berkenaan. - Agensi
-hmetro-

Pakatan baharu diumum selepas Hari Raya - Mat Sabu

Bekas pemimpin PAS Pusat yang bekerjasama di bawah panji-panji yang dinamakan G18 menjanjikan pakatan baharu selepas Hari Raya Aidilfitri bulan ini.

Bekas timbalan presiden PAS Mohamad Sabu berkata, mereka mesti membina Pakatan Rakyat (PR) yang baharu yang lebih hebat daripada PR yang kini terkubur.

Beliau berkata ia perlu menjadi pakatan yang menjunjung integriti sebagai nilai paling penting.

"Tugas kita bukan hanya menggantikan Umno dan Barisan Nasional. Kita perlu bentangkan satu formula baru.

"Saya sokong kuat kerajaan Pulau Pinang kerana ia mempunyai integriti dan mengamalkan budaya dan nilai yang serupa dengan ajaran Islam.

"Ia bukan tentang semangat Melayu tetapi semangat harmoni. Tiada ubat lain selain daripada mengubah kerajaan," katanya pada majlis berbuka puasa anjuran Ketua Menteri Pulau Pinang Lim Guan Eng di The Light Hotel di Seberang Jaya malam ini.

Mohamad, juga dikenali sebagai Mat Sabu berkata, Islam agama yang menganjurkan keamanan dan Al-Quran juga mengajar umatnya bercakap dengan santun dan menggunakan perkataan yang baik apabila berbicara atau berhujah, baik dengan orang Islam mahupun dengan bukan Islam.

Bekas timbalan presiden PAS Mat Sabu (tengah) dilihat bersama bekas menteri Selangor Tan Sri Muhamad Muhd Taib (kiri) dan setiausaha agung DAP Lim Guan Eng di majlis berbuka puasa di Seberang Jaya. – Gambar The Malaysian Insider oleh Hasnoor Hussain, 3 Julai, 2015.

"Ia tidak mengajar kita menggunakan perkataan seperti serigala, anjing atau jebon.

"Tak kena tu," katanya, memperli Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang yang menggunakan perkataan seperti itu semasa ceramahnya minggu lepas.

Hadi mengatakan serigala dan anjing boleh terus menyalak, tetapi PAS tidak akan berganjak daripada agenda hududnya.

Selain Mat Sabu, turut hadir ialah presiden Persatuan Ummah Sejahtera Malaysia (PasMa) Datuk Phahrolrazi Zawawi, bekas pemimpin PAS Pusat Datuk Dr Mujahid Yusof Rawa, bekas strategis PAS Dr Mohd Hatta Ramli dan bekas menteri besar Selangor Tan Sri Muhammad Muhd Taib.

Mujahid berkata, tidak perlu sedih dengan terkuburnya PR kerana satu kuasa baharu akan muncul.

Beliau berkata gabungan yang lebih kuat akan terus berusaha untuk rakyat.

"Kita tidak pernah lihat sebelum ini, yang kalah disanjungi. Saya bercakap ini, tentang parti saya (PAS).

"Kita akan lihat satu gelombang baharu. Harap-harap dengan ketibaan Syawal, kita akan lihat munculnya gelombang baharu," katanya di majlis tersebut.

Phahrolrazi bersetuju dengan Mujahid, mengatakan wujud keperluan segera untuk menubuhkan satu gabungan baharu di kalangan parti pembangkang.

Katanya, beliau berkata demikian bukan bagi pihak organisasinya, tetapi mewakili semua kumpulan yang menyokong PR, dan menaruh harapan tinggi pada pakatan tersebut dan kini luluh melihat ia terkubur.

"Kita mesti ada gabungan baru. Saya sudah katakan, kalau G18 tak buat, PasMa akan buat," katanya.

Lim yang juga setiausaha agung DAP berkata, sasaran dan hala tuju utamanya ialah menumbangkan BN, menyelamatkan Malaysia dan mengembalikan negara kepada rakyat.

Katanya, mereka tidak boleh bekerjasama dengan mana-mana pihak yang ingin membina kerajaan perpaduan dengan Umno.

Beliau berkata mahu bekerjasama dengan mereka yang benar-benar mahu memperjuangkan rakyat.

"Kami akan menunggu berita terkini (tentang parti baharu) dan menunggu untuk menyatukan kekuatan kita melawan BN," katanya.

DAP dan PAS berbalah sejak parti Islam tersebut membentangkan dan meluluskan rang undang-undang hudud di Dewan Undangan Negeri Kelantan pada Mac.

Awal bulan lepas di muktamar tahunan PAS, parti itu menerima tanpa bahas usul dari Dewan Ulama untuk memutuskan hubungan dengan DAP.

Berikutan ini, DAP mengisytiharkan PR kini mati dan pemimpin progresif PAS yang kini dipanggil G18 sedang mempertimbangkan pertubuhan parti Islam baharu untuk mewujudkan gabungan pembangkang yang baharu.

Dipenjara kerana rogol isteri

Bali: Seorang lelaki dihukum penjara lima bulan oleh mahkamah di sini selepas didapati bersalah merogol isterinya.

Barisan hakim diketuai Achmad Peten Sili menjatuhkan hukuman itu selepas mendapati tertuduh, Tohari, 57, bersalah merogol isterinya, Siti Fatimah yang sakit.

Menurut kertas pertuduhan, Tohari mengajak Siti Fatimah melakukan hubungan seks, tetapi wanita itu menolak dengan alasan sakit.

Kerana berang, Tohari merogol isterinya di ruang tamu rumah mereka.

Tohari juga menekup mulut isterinya selepas wanita itu menjerit meminta tolong.

Selepas merogol isterinya, Tohari keluar rumah dan membiarkan wanita itu terbaring di lantai.

Jiran Siti Fatimah yang terdengar jeritan mangsa kemudian datang membantu wanita itu dan membuat laporan polis. - Agensi
-hmetro-

Hadi Awang menghianati Pakatan Rakyat? - Raja Petra Kamarudin

Raja Petra Kamarudin
Presiden PAS Tok Guru Abdul Hadi Awang mengkhianati Pakatan Rakyat, kata pengkritik-pengkritik beliau. Itulah sebab mengapa Pakatan Rakyat telah mati dan sekarang tidak lagi wujud.

Setiap orang adalah pakar perkara yang telah lepas. Sedangkan yang lebih penting adalah sama ada anda mempunyai pengetahuan tentang apa yang akan berlaku. Lima tahun lepas dalam 2010 saya telah bertikam lidah dengan Anwar Ibrahim berkaitan pelbagai isu yang saya sebut jika tidak diputuskan, akhirnya akan menyebabkan perpecahan Pakatan Rakyat.

Namun, Anwar enggan mendengar. Jadi, saya putuskan untuk menubuhkan Gerakan Kebebasan Awam Malaysia (MCLM) dan berjaya memujuk Haris Ibrahim atau Sam yang agak berat mahu mengetuai gerakan tersebut.

Apa kaitan MCLM dengan rungutan saya berkenaan pakatan pembangkang? Sebenarnya, gerakan ini sepatutnya mempromosi liberalisma dan kebebasan awam. (Kerana itulah saya mahu memanggilnya gerakan dan bukan persatuan – saya telah jelaskan semasa kami melancarkan MCLM). Maksudnya, MCLM akan menentang politik bangsa dan agama serta menyokong sekularisma berbanding teokrasi.

Dan dengan menentang politik bangsa dan agama bermaksud secara automatik menentang prinsip politik kedua-dua Barisan Nasional dan Pakatan Rakyat. Dan ini sekaligus meletakkan kami sebagai kuasa ketiga.

Selepas itu, Pakatan Rakyat mula memberitahu rakyat yang MCLM mahu mencetus pertandingan tiga-penjuru dalam pilihanraya. Kuasa ketiga diterjemahkan kepada pertandingan tiga-penjuru. Jadi MCLM akan mencuri undi daripada pembangkang atau akan menyebabkan perpecahan dalam pembangkang dan itu akan membantu Barisan Nasional.

Dengan kata lain, MCLM akan membantu Barisan Nasional dengan memastikan Pakatan Rakyat tidak memenangi pilihanraya.

Sam kemudiannya menemui DAP dan mereka memberitahu beliau yang mereka tidak dapat berkerjasama dengan MCLM kecuali dengan persetujuan Anwar. Saya juga bercakap dengan PAS dan mereka juga memaklumkan perkara yang sama – dapatkan dahulu kebenaran Anwar, jika tidak mereka tidak dapat berkerjasama dengan kami.

Anwar, walau bagaimanapun, mengumumkan bahawa Umno telah membeli kami dan kami sekarang adalah pengkhianat.

Saya berang. Itu semua adalah satu pembohongan. Dan dalam 2010 saya membalas balik dan menyerang Anwar semahu-mahunya. Dan itu lebih kurang telah memutuskan hubungan saya dengan Anwar dan secara umumnya dengan Pakatan Rakyat juga.

Apabila kami bertemu di London, saya telah mengingatkan Anwar yang Pakatan Rakyat tidak akan bertahan lama dengan asas bersetuju untuk tidak bersetuju. Akhirnya, mereka perlu kembali kepada satu persetujuan, terutamanya berkaitan dengan Hudud. Bersetuju untuk tidak bersetuju adalah sesuatu yang palsu. Ia mungkin berfungsi untuk pakatan pilihanraya tetapi tidak untuk satu kerajaan gabungan.

Tetapi ramai beranggapan saya remeh-temeh atau nakal. Mengapa saya timbulkan sesuatu yang tidak penting? Ia mungkin bukan isu sekarang (pada 2010) tapi akhirnya ia akan menjadi satu isu. Dan lebih baik Pakatan Rakyat menyelesaikannya sebelum ia menjadi satu isu daripada ia menjadi satu masalah yang lebih buruk selepas meletup.

Namun, apa sahaja saya katakan nampaknya tidak dihiraukan. Tiada apa yang salah dalam Pakatan Rakyat. Tiada bom jangka menunggu untuk meletup. Setiap sesuatu nampaknya lancar dan cantik. Oh, adakah begitu? Tunggu sahaja bila ia meletup, kata saya.

Satu lagi isu adalah Selangor. Bila saya timbulkan isu Selangor, Anwar merungut tentang Menteri Besar Khalid Ibrahim. Dia degil, tidak dengar nasihat, dan mempunyai ego yang besar, kata Anwar.

“Jadinya, mengapa tidak buang sahaja dia dan gantikan dengan Azmin Ali?” kata saya. (Saya malah menulis mengenainya dalam 2010). Anwar tidak memberi jawapan dalam 2010 bila saya tanya beliau mengenainya. Kemudian, dalam 2013, beliau melantik Khalid sebagai Menteri Besar untuk satu penggal lagi daripada menggantikannya dengan Azmin.

Kemudian, tiga bulan selepas itu, beliau memulakan komplot Gerakan Kajang untuk menendang Khalid keluar dan apabila beliau tidak dapat menumbangkan Khalid, beliau cuba menjadikan isteri beliau, Dr Wan Azizah Wan Ismail, dilantik – namun gagal juga.

Jadi, apakah maksud artikel saya setakat ini – adalah ‘sudah saya katakan pada kamu’?

Masalah dengan rancangan ini, ialah DYMM Sultan Selangor tidak bersetuju Dr Wan Azizah mengambil alih jawatan sebagai Menteri Besar baharu. Dan jika mereka bertegas mahu meneruskan perancangan ini, akan ada bahaya yang Dewan Undangan Negeri Selangor mungkin terpaksa dibubarkan untuk satu pilihanraya negeri baharu.

Namun, DAP dan PKR masih mahu melawan Sultan. Mereka merasakan mereka mampu menggerakkan rakyat dan menganjurkan demonstrasi seluruh Selangor untuk menekan Sultan agar mengalah. Ini jelas menunjukkan mereka tidak mengenali sepupu saya, Sultan itu. Jika mereka meneruskannya, Sultan akan musnahkan mereka sepenuhnya. Cubalah berlawan dengan Sultan dan tengok apa yang boleh berlaku.

Hadi tahu bahawa konfrontasi terbuka dengan Sultan akan berakhir dengan buruk bagi Pakatan Rakyat. Sultan bertegas mahukan lebih dari satu nama untuk cadangan calon Menteri Besar. Jadi, Hadi mencadangkan dua nama – Dr Wan Azizah dan Azmin.

Hadi telah menyelamatkan Selangor daripada bala. Beliau memberikan Sultan satu pilihan dan bukannya mengugut Sultan seperti yang mahu dibuat oleh DAP dan PKR. Sultan telah memilih Azmin dan itu telah memusnahkan plot DAP dan PKR untuk meletakkan isteri Anwar di kerusi Menteri Besar.

Dan itulah permulaan mereka mensasarkan Abdul Hadi Awang. DAP dan PKR pada mulanya menghentam Sultan dengan menuduh baginda tidak menghormati perlembagaan dan campurtangan dalam politik. Kemudian mereka menghentam Hadi kerana memberikan Sultan satu pilihan untuk memilih dan bukannya menutup ruang pilihan untuk Sultan serta memaksa baginda melantik Dr Wan Azizah.

Gerakan Kajang dan pelantikan Azmin sebagai Menteri Besar adalah rekahan pertama dalam Pakatan Rakyat. Dan mereka menyalahkan Hadi untuknya. Tetapi bukan Hadi yang merancang Gerakan Kajang. Gerakan Kajang itu secara rahsia dirancang PKR tanpa sebarang rundingan dengan dua lagi rakan kongsi gabungan.

Apa yang Hadi lakukan adalah beliau telah mencegah Gerakan Kajang daripada bertukar menjadi bala sebagaimana yang telah berlaku lebih awal di Perak yang menyebabkan Pakatan Rakyat tewas di negeri terbabit. Hadi tahu apa yang Sultan boleh buat dan boleh bersetuju lakukan dan beliau dengan bijak tidak berenang melawan arus atau tidak, akan menyebabkan Pakatan Rakyat terjerumus dalam bahaya besar.

Namun, tindakan Hadi memenuhi kehendak Sultan dari sebaliknya membantah baginda tidak diterima dengan baik oleh DAP dan PKR. Mereka mahu mencabar Sultan dan memaksa baginda untuk bersetuju dengan kemahuan Pakatan Rakyat. Tapi Hadi telah memberi penyelesaian kepada Sultan yang telah mengelakkan satu konfrontasi dengan Istana.

Hadi berasal dari Terengganu, satu negeri dimana Sultan boleh mengarahkan polis mengiringi anda keluar dari negeri itu dan menahan anda jika and cuba masuk kembali ke negeri tersebut (yang mana pernah berlaku sebelumnya di Terengganu, Kelantan, Pahang dan Johor). Anwar dan Lim Guang Eng, pula, berasal dari Pulau Pinang yang tidak mempunyai Sultan, jadi mereka tiada perasaan kasih dan hormat pada sultan-sultan.

Dan itulah sebab kenapa Hadi melihat isu ini berbeza daripada Anwar dan Guan Eng yang sanggup mengkhianati Sultan.

Malahan, itulah permulaan pergeseran antara Hadi dan DAP/PKR. Kemudiannya, Kelantan memutuskan untuk meneruskan agenda Hudud. Namun, daripada menyalahkan Tok Guru Nik Aziz Nik Mat atau PAS Kelantan untuk tindakan tersebut, mereka menyalahkan Hadi. Jadi mereka memuji Nik Aziz dan memanggil beliau tokoh yang hebat dan mereka mengutuk Hadi di atas apa yang Kelantan telah lakukan.

Tidakkah ia sesuatu yang janggal? Kenapa Hadi dipersalahkan atas apa yang Kelantan lakukan? Dan kenapa memuji PAS Kelantan dan pimpinan PAS Kelantan tapi pada masa yang sama mengutuk Hadi? Bahkan sekarang DAP mahu membelanjakan wang Pulau Pinang untuk membantu Kelantan membina lebih banyak masjid di negeri tersebut. Dan penyokong-penyokong Cina DAP bertepuk tangan serta bersorak memanggil ianya tindakan yang hebat. Tapi bukankah ini Kelantan yang mahukan Hudud?

Kemudian, dalam Disember 2013, Anwar mengaturkan satu pertemuan antara Umno, PAS dan PKR di London untuk berbincang urusan membentuk satu kerajaan perpaduan. DAP dan parti-parti bukan Umno lain dalam Barisan Nasional telah tidak dijemput ke dalam perbincangan ini.

Anwar kemudiannya telah meminta Hadi menghadiri pertemuan tersebut dan walaupun Hadi kebetulannya berada di London ketika itu, beliau enggan menghadirinya. Jadi, perbincangan itu gagal dan kerajaan perpaduan tidak menjadi kenyataan.

Selepas itu Lim Kit Siang menuduh Hadi bermesra dengan Umno. Dia menuduh Hadi sebagai pengkhianat dan pembelot. Pada masa yang sama, Kit Siang mencadangkan Pakatan Rakyat menimbangkan satu pakatan ‘Selamatkan Malaysia’ dengan Barisan Nasional.

Dan itulah dia, wahai pembaca, bagaimana Presiden PAS, Abdul Hadi Awang, telah mengkhianati Pakatan Rakyat. Dan sekarang, disebabkan oleh pengkhianatan Hadi, Pakatan Rakyat tidak lagi wujud.

Menteri Besar Selangor, Azmin Ali akan mengadap DYMM Sultan Selangor untuk memaklumkan baginda bahawa Selangor tidak lagi diketuai oleh kerajaan Pakatan Rakyat tapi diketuai oleh kerajaan Azmin Ali. Azmin mempunyai sekurang-kurangnya 28 ahli Dewan Undangan Negeri Selangor (ADUN) bersama beliau dan disebabkan belum ada lagi undi tidak percaya dicadangkan di dalam Dewan Undangan Negeri, maknanya Azmin masih berkuasa.

Dan DYMM Sultan akan menitahkan jika sekurang-kurangnya 29 ADUN belum mencadangkan undi tidak percaya terhadap Azmin, maka beliau boleh terus menjadi Menteri Besar sehingga pilihanraya umum akan datang.

Dan semua ini adalah kerana pengkhianatan oleh Presiden PAS, Abdul Hadi Awang – jahanam dia!

Ini jawapan isu video Rosmah yang dipakaikan kasut yang menjadi viral


"Lutut tak berapa nak kuat... tak boleh nak tunduk..." demikian penjelasan Datuk Rizal Mansor, pegawai kepada isteri perdana menteri berhubung sebuah video yang menunjukkan Rosmah Mansor dilayan seperti dongeng Cinderellah yang menjadi perhatian di media sosial.

Malah, Rizal juga menjelaskan Rosmah bukan lagi seorang wanita muda dan isteri perdana menteri itu memerlukan bantuan untuk dipakaikan kasut memandangkan usianya kini sudah 64 tahun.

"Kalau isteri PM (perdana menteri) itu umur 25 tahun kena pakaikan kasut sebegitu, bolehlah mu nak pelik, ini umur dah 64 tahun," kata Rizal dalam Facebooknya.

Malah beliau juga menempelak individu yang merakamkan video berkenaan dengan mengandaikan bahawa individu tersebut kurang kasih sayang dan tidak pernah memakaikan kasut kepada ibunya.

Ini kerana, menurut Rizal menjadi perkara biasa sekiranya seseorang memakaikan kasut kepada individu yang lebih tua.

"Yang jadi isu bila orang yang rekod video ini kurang kasih sayang atau dia tak pernah pakaikan kasut untuk mak dia ke, makcik dia ke, nenek dia ke.

“Bagi yang biasa dan pernah pakaikan kasut untuk mak, ini adalah sesuatu yang biasa," kata Rizal lagi.

Justeru itu, Rizal meminta supaya semua pihak bersangka baik di bulan Ramadan memandangkan terdapat isu lain yang lebih penting perlu diambil peduli berbanding isu pemakaian kasut kepada isteri perdana menteri.

"Orang kita ini dah tak ada isu lebih penting nak ambil peduli. Isu air di Selangor tak nak pula dia bincang, isu longkang tersumbat punca denggi meningkat tak pula kakitangan Karangkraf ini nak ambil kisah. Isu pakai kasut lebih penting bagi dia.

"Bersangka baik - bulan Ramadan syaitan semua dah kena ikat. Yang tak kena ikat itu nafsu, akal dan hati," tulis Rizal.

Hari ini, video menunjukkan seorang wanita memakaikan kasut kepada Rosmah menjadi perhatian di media sosial.

Video sepanjang selama 31 saat yang dimuat naik di Facebook dan mendapat pelbagai reaksi daripada pengguna laman sosial itu.
-malaysiakini-

Siasatan 1MDB dedahkan berbilion ringgit dimasukkan ke akaun Najib

Dokumen yang ditemui menunjukkan RM2.67 bilion dipindahkan ke pelbagai agensi kerajaan, bank dan entiti berkaitan 1MDB dan akhirnya ke akaun peribadi Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak dalam 5 deposit berasingan. – Gambar fail The Malaysian Insider, 3 Julai, 2015.
Dokumen yang ditemui menunjukkan RM2.67 bilion dipindahkan ke pelbagai agensi kerajaan, bank dan entiti berkaitan 1MDB dan akhirnya ke akaun peribadi Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak dalam 5 deposit berasingan. – Gambar fail The Malaysian Insider, 3 Julai, 2015.

Siasatan ke atas syarikat sarat hutang 1Malaysia Development Berhad (1MDB) mendapati berbilion ringgit dimasukkan ke akaun peribadi Datuk Seri Najib Razak, lapor Wall Street Journal (WSJ) dan Sarawak Report.

Kedua-duanya memetik dokumen siasatan 1MDB yang dijalankan kerajaan Malaysia, dengan Sarawak Report mendakwa Peguam Negara sedar mengenai hal itu.

Dokumen itu menunjukkan AS$700 juta (RM2.67 bilion) dipindahkan ke agensi kerajaan, bank dan entiti berkaitan 1MDB dan akhirnya ke akaun peribadi perdana menteri dalam 5 deposit berasingan, lapor WSJ.

Ia berkata, urus niaga terbesar melibatkan deposit sebanyak AS$620 juta dan satu lagi AS$61 juta pada Mac 2013, dua bulan sebelum pilihan raya umum diadakan.
Bagaimanapun, Putrajaya menafikan laporan itu, mengatakan Najib tidak pernah menggunakan sebarang dana awam.

"Perdana menteri tidak pernah mengambil apa-apa dana untuk kegunaan peribadi," kata seorang jurucakap Putrajaya.

"Lawan politik perdana menteri, enggan menerima rekodnya atau fakta, terus cuba melemahkan beliau dengan tuduhan tidak berasas dan khabar angin semata-mata untuk kepentingan politik."

Sementara itu, jurucakap 1MDB berkata, merujuk pemindahan ke akaun Najib: "1MDB tidak menyedari transaksi berkenaan atau melihat dokumen yang berkaitan."

Jurucakap itu memberi amaran yang dokumen yang diubahsuai pernah digunakan sebelum ini untuk memburukkan 1MDB dan kerajaan.

Sarawak Report melaporkan RM42 juta dimasukkan ke akaun Najib dari SRC International Sdn Bhd, syarikat milik Kementerian Kewangan yang mengambil pinjaman RM4 bilion daripada Kumpulan Wang Persaraan (Diperbadankan) atau KWAP.

"Wang yang diambil dari SRC International merupakan pendedahan yang mengejutkan kerana wang ini diberi pinjam oleh KWAP dan tidak pernah direkodkan," menurut laporan itu.

Kementerian Kewangan berkata sebelum ini, SRC melaburkan dana itu dalam Gobi Coal & Energy Ltd, syarikat berpangkalan di Mongolia, namun butiran lanjut tidak didedahkan.

Seorang pengarah SRC, Nik Faisal Ariff Kamil, dakwa laporan itu, dikatakan mempunyai kuasa guaman ke atas akaun Najib, menurut dokumen yang diperoleh dari siasatan itu.

Transaksi terbaru, menurut laporan itu adalah pada Februari tahun ini. Dokumen menunjukkan SRC International memindahkan RM10 juta ke sebuah akaun milik “Dato' Sri Mohd Najib Bin Hj Abd Razak” di AmPrivate Bank di Kuala Lumpur.

WSJ turut melaporkan SRC dan bank tersebut enggan mengulas perkara itu.

1MDB kini berdepan dengan pelbagai inkuiri oleh pihak berkuasa termasuk ketua audit negara, Bank Negara, polis dan Jawatankuasa Kira Kira Wang Negara (PAC).

Najib yang juga menteri kewangan dan pengerusi lembaga penasihat 1MDB berdepan kritikan sejak beberapa bulan lalu berhubung beberapa isu termasuk 1MDB yang mengumpul RM42 bilion hutang selama enam tahun beroperasi.

Semalam, perdana menteri mengakui tertekan dengan khabar angin yang mengaitkannya dengan kontroversi pembelian tanah 1MDB oleh Tabung Haji, mengatakan kerajaan yang bertanggungjawab tidak akan menggunakan dana awam bagi menyelamatkan syarikat milik kerajaan.
-malaysianinsider-

Hadi boleh selamatlah di dunia kata Ustaz Ahmad Awang

Bekas calon presiden PAS, Ahmad Awang berkata sukar untuk menang kes terhadap Datuk Seri Abdul Hadi Awang kerana kenyataan beliau dinafikan. – Gambar fail The Malaysian Insider, 3 Julai, 2015.Bekas calon presiden PAS, Ahmad Awang berkata sukar untuk menang kes terhadap Datuk Seri Abdul Hadi Awang kerana kenyataan beliau dinafikan. 
Bekas calon presiden PAS, Ahmad Awang berkata beliau menghadapi kesukaran untuk meneruskan mengambil tindakan undang-undang terhadap Datuk Seri Abdul Hadi Awang kerana presiden PAS itu menafikan tuduhannya.

Oleh itu, katanya, Hadi mungkin boleh selamat dari perhitungan urusan dunia walaupun Ahmad mendakwa beliau pernah melabelnya sebagai 'calon DAP' pada pemilihan semasa Muktamar Tahunan PAS Ke-61 awal bulan lalu.

"Dia boleh selamatlah di dunia," kata Ahmad merujuk kepada kenyataan Hadi yang menafikan beliau mendakwa bekas pesuruhjaya PAS Perak itu calon yang mewakili DAP dalam pemilihan yang lalu.

Menurut Ahmad, oleh kerana perkara itu dinafikan Hadi, sukar untuk beliau meneruskan saman terhadapnya berdasarkan kes yang hampir sama di Mahkamah Tinggi Kuala Terengganu sebelum ini.
"Peguam saya menasihatkan saya, oleh kerana dia nafi, maka sukar kita nak menang, kerana dalam kes sebelum ini, mahkamah memutuskan walaupun ada fitnah, tetapi dia tidak nyatakan dengan jelas orang yang difitnahnya.

"Jadi, dalam kes saya pun samalah. Dia tidak sebut nama saya, cuma dia kata, nak pilih calon DAP atau calon dari PAS sendiri.

"Sekarang dia nafi pula apabila saya kata mahu saman," kata bekas naib presiden PAS itu kepada The Malaysian Insider.

Bekas naib presiden PAS itu sebelum ini berkata, beliau sedang mengkaji tindakan saman terhadap beberapa pihak, termasuk Hadi, yang memfitnahnya menjelang muktamar itu.

Ahmad merujuk kepada sebuah video yang diedarkan di media sosial, khasnya di kalangan perwakilan PAS, yang menunjukkan Hadi mendakwa perwakilan boleh memilih antara calon pilihan DAP atau pilihan PAS sendiri.

Ahmad dan kumpulan profesional progresif yang menyertai pertandingan itu ditewaskan secara blok melalui "undi cai" yang digunakan dalam pemilihan itu.

Sebelum ini, bekas calon PKR pilihan raya umum ke-13 di Dewan Undangan Negeri Bukit Besi, Terengganu pernah menyaman Hadi selepas beliau mendakwa pihak yang menjual pil kuda juga terpilih sebagai calon dalam PRU13.

Calon PKR itu menyaman Hadi dengan dakwaan memfitnah beliau.

Mahkamah Tinggi Kuala Terengganu memutuskan ada unsur fitnah dalam kenyataan itu, tetapi pihak yang dimaksudkan tidak dinyatakan oleh defendan (Hadi).

Ekoran itu mahkamah memihak kepada Hadi dalam kes itu.
-malaysianinsider-

Najib ada harapan jadi PM pertama disiasat, dituduh dan disabitkan pecah amanah (CBT)

Datuk Seri Najib Razak digesa menjawab dakwaan terkini media antarabangsa Wall Street Journal (WSJ) yang mengaitkan dana 1MDB dengan akaun bank perdana menteri.
“Pendedahan WSJ dan Sarawak Report yang mengaitkan Najib dalam skandal terkini melibatkan 1MDB amat mengejutkan,” kata Anggota Dewan Undangan Negeri Bukit Batu Jimmy Puah.

“Jika laporan ini betul, Najib boleh jadi perdana menteri pertama dalam sejarah Malaysia yang disiasat, dituduh dan disabitkan pecah amanah (CBT) atau kesalahan bawah Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009”

Beliau yang juga timbalan pengerusi PKR Johor berkata agak mengecewakan apabila dokumen berkaitan dalam isu itu dikatakan sedang dipegang oleh agensi penguatkuasaan Malaysia.

“Mungkin ini masa paling sesuai untuk peguam negara membuka mulut dalam isu ini,” kata Puah.
WSJ, sebuah media berpengaruh di peringkat global, melaporkan terdapat pergerakan dana hampir AS$700 juta daripada badan dikaitkan dengan 1MDB ke akaun peribadi perdana menteri.

Laman pembocor maklumat Sarawak Report pula melaporkan sebanyak AS$681,999,976 (RM2.6 bilion) dipindahkan daripada danaAbu Dhabi Aabar ke dalam akaun peribadi Najib di AmBank di Kuala Lumpur pada bulan Mac 2013, dua bulan sebelum pilihan raya umum pada 5 Mei 2013.
-malaysiakini-

Pasangan Mati Bersama Selepas 75 Tahun Berkahwin (Gambar)

HASRAT sepasang warga emas yang telah berkahwin sejak 75 tahu lalu untuk mati bersama tercapai apabila mereka meninggal dunia selang beberapa jam.

Jeanette Toczko, 96, dan suaminya Alexander Toczko, 95, dari San Diego, California, ditemui meninggal dunia di atas katil sambil berpegangan tangan.
Pasangan tersebut mula bercinta sejak berusia lapan tahun sebelum mendirikan rumah tangga pada usia muda.

Beberapa minggu lalu Alexander mengalami patah pinggul dan ditempatkan di sebelah katil isterinya.
Ketika saling berpegangan tangan di katil bersebelahan, pasangan itu sentiasa mengulangi hasrat mereka sejak muda iaitu ingin mati bersama-sama.

Alexander yang merupakan bekas tentera laut Amerika Syarikat (AS) mendirikan rumah tangga dengan Jeanette pada 1940.

Hasil perkawinan itu, pasangan berkenaan dikurniakan lima cahaya mata, 10 cucu dan enam cicit.
-mstar-

9 pemimpin Ikhwanul Muslimin, tersenyum syahid di pertengahan Ramadan (Gambar)

KAIRO (Arrahmah.com): Innalillaahi, sembilan (9) pimpinan Ikhwanul Muslimin menjemput syahid di hari ke-15 Ramadhan 1436 Hijriyah ini. Mereka telah dibunuh secara keji oleh rezim berdarah dingin Al-Sisi pada Rabu (1/7/2015).

Di tangan mereka terdapat amanah guna menanggung beban dan biaya hidup para keluarga syuhada dan keluarga tahanan. Mereka para pimpinan “Lajnah Takaful” bagi keluarga yang menjadi korban kebiadaban rezim militer. Demikian dilansir Piyungan Online, Kamis (2/7).

Aparat kudeta telah merenggut nyawa mereka tanpa melalui proses hukum. Rezim keji itu berlakukan “eksekusi rimba”. Menurut sumber, mereka ditangkap pada pagi hari, lalu selepas Ashar, semuanya dikabarkan sudah meninggal dunia.

Berikut 4 di antara 9 pemimpin Ummat yang Allah ta’ala takdirkan menjemput kesyahidan di Ramadhan nan mulia ini.
1. Ir. Abdul Fattah M. Ibrohim (Pimpinan Lajnah)
2. Nashir Al Haafiy (Anggota Parlemen terpilih dari FJP, Pengacara & Anggota Tim Hukum Dr Mursi).
3. Dr. Muhammad Kholifah (Pimpinan dari Prov. Manufiyah)
4. Dr. Thohir Ismail (Pimpinan dari Prov. Qolyubiyyah)

Sikap pemerintah kudeta yang demikian kejam tentunya sangat berpotensi memancing reaksi masyarakat yang sulit dikontrol, sehingga membawa Mesir dalam situasi yang mengkhawatirkan.
Nasir Al-Hafiy
Nasir Al-Hafiy, salah seorang syuhada di antara 9 pemimpin Ikhwanul Muslimin yang dibunuh rezim fasis Mesir

Bahkan, Nashir Al Haafiy yang merupakan seorang Guru Peradaban turut dieksekusi dengan sadis.

“Ianya bukan hanya Anggota Dewan. Bukan hanya Pengacara handal. Tapi ia adalah Guru Peradaban. Kenangan saat di Rabiah. Itikaf dan tilawah.” Demikian kenang seorang warga Mesir @drassagheer sambil mengunggah tautan ini: http://t.co/joACOAT1bo.
Beltagi dan foto putrinya Asy-Syahidah Asma' Beltagi
Beltagi dan foto putrinya Asy-Syahidah Asma’ Beltagi

Kita juga terkenang akan Beltagi dan putrinya nan syahidah. Tak sia-sia syair ayahanda Asma’ Beltagi. Semoga kesyahidan kalian menjadi penyulut revolusi di dalam jiwa rakyat Mesir yang terdzolimi.

Kalian bunuh anak perempuanku,
Kalian penjarakan anak lelakiku,
Kalian buru istriku,
Kalian bakar tempat klinikku…

Apa kalian menyangka aku berdiri disini untuk mempertahankan diri?!!!

Aku bersumpah dengan nama Allah… bebas atau hukuman gantung sama saja bagiku!!!

-Dr. Muhammad Beltagi-

Semoga kesyahidan para pemimpin Ikhwanul Muslimin di tangan pembunuh berdarah dingin Al-Sisi, yang kini membakar ribuan masyarakat Mesir dapat bermetamorfosa menjadi semangat perjuangan. Inilah babak baru perjuangan Muslimin Mesir melawan pemerintah fasis yang tiran! Semoga Allah memudahkan perjuangan saudara-saudara kita di negeri seribu menara itu. Aammiin.
bukti bangkitnya amarah rakyat Mesir kepada pemerintah kudeta
bukti bangkitnya amarah rakyat Mesir kepada pemerintah kudeta

(adibahasan/arrahmah.com)
-tranungkite-

Jangan terkejut kalau si pemilik kereta mewah itu seorang pengemis!

Israr Khalid
KUALA LUMPUR: Berapa agaknya yang mampu diraih oleh seorang peminta sedekah dalam masa sehari? Persoalan itu sering timbul setiap kali saya terlihat golongan peminta sedekah setiap kali saya berjalan-jalan di mana-mana pelusuk negara, terutamanya di ibu kota Kuala Lumpur.

Ini kerana mereka mendapatkan duit dengan cara mudah tanpa perlu melakukan apa-apa kerja, termasuk menjual apa sahaja barangan untuk memperoleh pendapatan.

Tiada sebarang kerja dilakukan melainkan duduk atau berdiri menadah tangan semata-mata.

Kini tiba bulan Ramadan, bulan seribu keberkatan, bulan yang dijanjikan pahala atau ganjaran berlipat ganda kepada setiap amalan yang dilakukan.

Dan jumlah para peminta sedekah ini menjadi lebih banyak setiap kali tiba Ramadan.

Rakyat Malaysia sememangnya terkenal dengan sifat pemurah dan peramahnya. Ganjaran pahala yang dijanjikan di bulan Ramadan menjadikan mereka menjadi lebih ringan untuk menghulurkan derma.

Menjadi pengemis
Maka atas dorongan rasa ingin tahu itu, saya cuba menyelami dunia peminta sedekah dengan ‘menjadi’ salah seorang daripada mereka.

Bermodalkan pakaian compang-camping, seutas beg kitar semula dan bekas makanan kosong, saya ‘mengemis’ di dua lokasi berbeza di Cheras, Kuala Lumpur.

Bazar Ramadan Bandar Tun Hussein Onn menjadi tempat pertama untuk saya mencuba nasib. Selama kira-kira 25 minit, RM22 berjaya dipungut.

“Wah, ini sudah untung!”, berkata saya dalam hati.

Bagaimanapun rezeki di lokasi kedua lebih menguntungkan. Ini kerana penampilan saya sedikit berubah.

Kali ini saya mengenakan kopiah lusuh dan seutas tasbih di tangan yang digentel-gentel semasa meminta sedekah. Hasilnya, RM56 dalam masa 20 minit sahaja.

Ada juga hamba Allah yang menegur saya:

“Tak kerja ke dik? Badan sihat ni, pergilah cari kerja, cuci pinggan ke”, katanya sambil tangan turut menghulurkan tiga keping wang RM1 ke dalam bekas.

Saya hanya mengangguk dan dia terus berlalu pergi.
Jadi, secara keseluruhannya, jumlah yang berjaya dikutip dalam masa lebih kurang 45 minit ‘penyamaran’ itu adalah RM76.

Bayangkan RM76 dalam masa 45 minit! Cuba digandakan dengan 8 jam waktu bekerja sepertimana di mana-mana kerja di negara ini.

RM608. Itu untuk sehari. Gandakan pula dengan 30 hari.

Terus membuatkan saya berfikir, inilah kerja yang mendatangkan hasil paling lumayan di dunia kerana tanpa berbuat apa-apa, peminta sedekah mampu meraih pendapatan sebanyak RM18,240!

Wah, berlipat ganda jumlahnya jika nak dibandingkan dengan gaji saya ketika ini!

Nyata penduduk Malaysia sememangnya pemurah dan suka menderma. Satu sikap yang amat saya puji.

Pemurah tanpa waspada

Bagaimanapun sifat pemurah ini ada kalanya melampaui batas sehingga ia mewujudkan ruang untuk ‘sang parasit’ mengambil kesempatan di atas kebaikan itu.

Maka tidak hairanlah munculnya sindiket meminta sedekah yang tumbuh bak cendawan selepas hujan lebih-lebih lagi di bulan yang mulia ini.

Mereka tampil dengan pelbagai taktik dan helah. Ada yang menjadi orang buta, orang cacat anggota, dan ada yang sanggup mempergunakan orang tua dan kanak-kanak untuk mengutip duit daripada orang ramai.

Kebiasaan yang kita lihat adalah dengan menjual tisu dan menjual pelekat naskah kecil surah Yasin dan ayat-ayat suci al-Quran.

Ada beberapa ‘teknik’ juga dilakukan untuk meraih simpati orang ramai, seterusnya mendorong mereka mengeluarkan wang dari poket untuk dimasukkan ke dalam bekas sumbangan.

Pertama, hanya beberapa keping wang sahaja dibiarkan berada dalam bekas. Selebihnya disimpan ke dalam beg atau poket. Tujuannya untuk mewujudkan rasa kasihan kepada sesiapa yang melihat jumlah sumbangan yang sedikit dalam bekas yang dipegang.

Kedua, mereka tampil dengan imej ‘Islamik’: Memakai kopiah, jubah, bercelak, memegang tasbih, mulut terkumat-kamit kononnya berzikir, dan menjual pelekat serta naskah ayat suci al-Quran.

Ada juga yang menjual kisah-kisah sedih kononnya datang dari Karachi, Palestin, Syria dan bermacam lagi negara Islam tertindas bagi meraih simpati orang ramai.

Tidak kurang juga yang sanggup menyamar sebagai pemungut sumbangan daripada rumah anak-anak yatim, badan kebajikan, dan badan bukan kerajaan (NGO) yang membela nasib saudara Islam.

Bukan bersangka buruk, tetapi segalanya tidak mustahil dalam dunia hari ini di mana manusia sudah ‘bertuhankan’ duit: duit adalah segala-galanya dan sanggup melakukan apa sahaja demi duit.

‘Menjual’ agama

Allah berfirman:

”Dan janganlah kamu menukar ayat ayat Ku dengan harga yang murah.Barangsiapa yang tidak memutuskan menurut apa yang diturunkan Allah, maka mereka itu adalah orang orang kafir.”

(Surah Al-Maidah:44)

Tidakkah pelakuan tampil dengan imej ‘Islamik’ bagi meraih keuntungan itu merupakan yang dilarang Tuhan sepertimana firmannya?

Dalam penipuan bertopengkan Islam semakin berleluasa, semakin ramai juga yang terpedaya dengan helah ini.

Ini kerana rakyat Malaysia khususnya yang beragama Islam sudah ditanamkan dengan mentaliti ‘husnuzhon’ atau bersangka baik tanpa diletakkan sempadan waspada.

Sedangkan pepatah mengatakan, ‘buat baik berpada-pada, buat jahat jangan sekali’. Jadi jelas nasihat orang-orang tua bahawa berbuat baik itu biar bertempat.

Keduanya, umat Islam di Malaysia, malah di seluruh dunia masing-masing berebut-rebut untuk mengejar dan mengumpul pahala sebanyak mungkin sebagai bekalan di akhirat kelak, lebih-lebih lagi pada bulan Ramadan.

Persoalannya, adalah pahala yang dikejar atau keredhaan Allah yang dicari dalam misi kita menjadi penghuni syurga?

Sedangkan dalam setiap solat kita lima kali sehari itu kita ucapkan ‘Sesungguhnya solatku, ibadahku, hayatku dan matiku hanya kerana Allah, Tuhan sekalian alam’.

Janganlah kita terlalu mudah tertipu kerana kita akan terus dipijak dan ditindas dek kerana kurangnya daya fikir dan sedar kita terhadap apa yang berlaku di sekeliling kita, sekalipun pun ia tampil dalam bentuk yang paling Islamik.

Iblis juga pernah cuba memperdaya Muhammad dengan mengenakan jubah, bukan?
astroawani.com-

Pelajar bertudung di Amerika menang pakaian terbaik

Abrar Shahin, named best dressed among Clifton High School seniors, talking with friends before Friday's graduation.PELAJAR Muslim dari New Jersey dinobatkan sebagai pemenang anugerah pakaian terbaik dalam kalangan pelajar perempuan muslim, sekaligus membuang persepsi negatif terhadap wanita berhijab.
"Selalunya gadis-gadis popular sahaja yang menang jadi saya sangat terkejut apabila saya yang berhijab menang," kata Abrar Shahin kepada NortJersey.com.

"Impian saya jadi kenyataan," tambah beliau lagi.

Memenangi undian pakaian terbaik di Sekolah Tinggi Clifton, Shahin berazam untuk membetulkan imej fesyen Islam di Amerika Syarikat.


Kemenangan Shahin yang mengenakan skirt hitam dan jeans, kasut but tinggi paras buku lali dan kot putih dalam foto buku tahunan menggambarkan penerima yang semakin baik terhadap hijab di Sekolah Tinggi Amerika.

Abrar Shahin, named best dressed among Clifton High School seniors, talking with friends before Friday's graduation.Tampil sebagai pelajar bertudung pertama yang memenangi anugerah tersebut, gadis berketurunan Palestin ini bercadang melanjutkan peajaran dalam bidang physical therapy di Rutgers selain mempunyai perniagaan berkaitan fesyen.

"Ia adalah satu penghormatan apabila mereka memandang kami sebagai sama sahaja dan tidak hanya melihat kepada hijab," katanya


Kebimbangan Mahfuz kalau-kalau Kelantan tumbang

Ahli Parlimen Pokok Sena Datuk Mahfuz Omar bimbang kerajaan PAS Kelantan tumbang jika kepimpinan parti gagal meraih semula sokongan rakyat selepas berlangsungnya muktamar bagi menghadapi pilihan raya umum akan datang.

Beliau berkata PAS perlu mengambil tindakan drastik untuk memperbaiki "kerosakan dan imej PAS yang tercalar" dengan melihat secara menyeluruh kesan pemilihan parti - yang menyaksikan tersingkirnya pemimpin progresif - kepada masyarakat dan anak muda.

Pada masa yang sama, beliau turut menggesa kepimpinan PAS tidak beretorik dengan "kata-kata manis" dengan menyembunyikan masalah termasuk ketidakpuasan hati rakyat dan penyokong seperti tiada apa-apa yang berlaku dalam PAS, sedangkan pada hakikatnya rakyat menuntut tindakan PAS mengenainya.

"Ya, kalau gagal (atasi masalah pasca muktamar) sokongan akan merosot. Apatah lagi dengan sokongan kewujudan parti baru, sudah pasti, ia akan memberikan implikasi yang buruk. Yang sangat menjadi kebimbangan saya ialah kehilangan Kelantan.

"Kita boleh kata tak (ada) apa. (Tapi) jangan sampai orang kita menyembunyikan sesuatu, yang tidak sepatutnya kita sembunyikan (seperti) menyembunyikan ketidakpuasan hati rakyat, penyokong dan sebagainya," katanya.

Dengan mengandaikan pilihan raya umum boleh diadakan lebih awal sama dengan Sarawak atau pada 2017, Mahfuz berkata kepimpinan PAS perlu segera dan drastik mencari jalan penyelesaian dan menunjukkan rasa jiwa besar serta merendahkan ego masing-masing demi kebaikan parti.

Beliau menjawab soalan berhubung harapan beliau kepada kepimpinan baru PAS dan implikasi jika gagal menyelesaikan masalah dalaman parti menjelang pilihan raya umum akan datang.

Ketika diwawancara denganMalaysiakini, Mahfuz berkata faktor kewujudan parti baru juga perlu ditangani kerana menurutnya boleh memberi "implikasi yang sangat tidak sihat" dan PAS perlu memperlihatkan sikap lemah lembut dan kasih sayang sewaktu mengadakan rundingan dengan mereka.

"Keutamaan kita ialah PAS meletakkan matlamat Islam. Jadi bagaimana nak menyelamatkan imej Islam? Imej Islam mesti diselamatkan supaya oran lihat Islam agama yang baik dan lemah lembut, kasih, sayang, bukan dilihat," katanya.

Sokongan 'tak menggembirakan'

Mahfuz bagaimanapun enggan mengulas kepimpinan PAS yang dikuasai kumpulan pro-ulama malah menasihatkan mereka agar meneliti maklum balas dan komen rakyat terhadap PAS selepas muktamar, yang disuarakan dalam media online yang mesra parti itu.

Beliau berkata berdasarkan rumusan seorang ahli akademik yang juga sahabatnya kepadanya, menunjukkan maklum balas yang diberikan kepada PAS selepas muktamar "tidak menggembirakan" beliau.

"Kalau sebelum (pilihan raya umum) 2008, Datuk Rohani Ahmad membuat andaian rambang berasaskan komen dalam media online, dia buat satu rumusan bawa BN akan kalah.

"Tapi bila kawan saya dari universiti buat rumusan dengan mengambil (maklum balas) media online macam Harakahdaily, Tranungkite,dan satu dua tiga lagi, yang memperlihat peratusan (sokongan) yang tidak menggembirakan kepada PAS.

"Saya tidak lihat sangat keputusan muktamar, tapi orang yang komen hasil daripada, bagaimana perjalanan kempen (dalam pemilihan), yang dilihat tidak sihat," katanya.

1MDB: Parahnya Krisis Keyakinan Yang Kita Hadapi - Prof Mohammad Agus Yusoff

Mohammad Agus Yusoff
Isu hangat dalam politik negara sekarang ialah 1MDB. Ini kerana banyaknya hutang 1MDB yang dijamin oleh negara.Yang menjadi pertanyaan ramai ialah mengapa begitu banyak hutangnya? Apakah jenis perniagaannya? Siapakah yang menguruskannya? Apakah berlaku penyelewengan?

Pelbagai jawapan telah pun diberikan oleh kerajaan tentang isu 1MDB ini. Yang jelas kerajaan memberitahu tidak ada penyelewengan. Dan kerajaan meminta kita menunggu laporan audit untuk mengetahui kedudukan sebenar kewangan 1MDB.

Ironinya, apapun penjelasan kerajaan tentang 1MDB ini kita melihat kesan berikut: nilai saham semakin jatuh, nilai ringgit semakin turun, harga barang semakin meningkat, dan kos hidup semakin tinggi.

Kesemua ini menunjukkan satu perkara: semakin parahnya krisis keyakinan pasaran kepada kepimpinan hari ini. Atasilah.

Nizar dengan DAP Perak dan PAS

Subky Latif
DATUK Seri Nizar Jamaludin dikekalkan oleh DAP Perak sebulat suara sebagai Ketua Pembangkang tetapi dia tidak tersenarai dalam pimpinan Perhubungan PAS negeri itu.
Mengikut Nga Kor Ming, ketua DAP Perak keputusan itu telah dimaklumkan kepada DAP pusat dan tidak dimaklumkan ada bantahan.
Ia satu perkembangan politik yang menarik perhatian pada ketika PAS dan DAP sudah tidak sepasukan lagi dan kedua pihak terus berperang mulut.

Kor Ming sepatutnya menjadi ketua pembangkang yang baru kerana DAP mempunyai majoriti yang selesa dan kedua parti sudah tiada hubungan lagi. Tetapi DAP nampaknya mahu mengekalkan hubungan sedia ada sesama pembangkang di Perak dan apakah akan berterusan hingga ke pilihan raya yang akan datang?

Kor Ming ketika menjelaskan keputusannya itu menyampaikan kata-kata yang baik terhadap hubungan PAS dan DAP di negeri itu, yang dikira boleh menyenangkan PAS mendengarnya.

Tetapi apa yang dapat dibuat oleh Nizar yang sudah tidak ada kedudukan dalam PAS di negeri itu selain dari hanya seoarang Adun PAS dari Changkat Jering.

Dulu dia Timbalan Pesuruhjaya dan jadi angota perhubungan atas kedudukan sebagai Yang Dipertua PAS Kampar. Ketua PAS Kampar sekarang orang lain.

Dengan kedudukan itu tidak ada jalur rasmi bagi Nizar hendak bagi menjadi jambatan antara kedua pihak. Tetapi mengikut Kor Ming, dia dan ahli DAP negeri semua peringkat mempunyai hubungan yang baik dengan Pesuruhjaya Razman Zakaria dan orang-orangnya dan mengharapkan hubungan baik seperti biasa kecuali keduanya sudah tidak dalam satu pasukan.

Apapun jika Nizar ada dalam perhubungan tentu kedudukannya sebagai ketua pembangkang boleh memberi kelebihan dan kebaikan dalam hubungan kedua parti.

Perlu diingat hubungan PAS dan DAP di Perak adalah pencetus awal kepada muafakat Pakatan Rakyat. DAP Perak memberi persetujuan dan laluan kepada PAS mengetuai kerajaan campuran di Perak sebelum Lim Kit Sing sebagai Penasihat partinya memberi persetujuan.

Lim Kit Siang pada peringkat awalnya tidak tertarik, tetapi fikiran orang muda DAP masa itu mengira politk semasa memerlukan pendekatan dan politik baru yang akhirnya DAP merestuai Nizar menjadi Menteri Besar dan gabungan PAS, DAP dan PKR membentuk kerajaan di Perak.

Kata-kata diplomasi dan berpolitik Kor Ming tentang mengekal Nizar sebagai ketua pembangkang dan baik sangkanya dengan hubungan penyokong PAS dan DAP mungkin menginginkan politik di Perak itu membawa kembali hubungan kedua parti dalam muafakat baru dalam bentuk lama.

Jika hubungan antara PAS dan DAP yang ada tidak dikeruhkan lagi dan membiar Perak melakar apa yang baik antara keduanya, mungkin Perak dapat mengulang lagi apa yang pernah dibuat mulai tahun 2008 dulu.

Cuma sekarang apa yang PAS Perak patut buat bagi mengambil manfat atas kedudukan Nizar sebagai ketua pembangkang?

Jalan patut dicari supaya Nizar boleh berada dalam Perhubungan kerana dia adalah Adun PAS. Dia patut dimanfaatkan sebaik-baknya untuk PAS dan rakyat. PAS dan politik di negeri perlu distabilkan. Dalam pembinaan semula parti pasca muktamar jangan ada barang seorang dari sejuta ahli tercicir.

Nizar perlu diberi peluang dilihat sebagai ahli dan Adun PAS oleh orang PAS dan menjadi ketua pembangkang yang dapat dibanggakan oleh PAS. PAS jangan lepas semua peluang dari ruang dan peluang yang ada bagi menjadi orang Datuk Maharaja Lela di Pasir Salak dan Anak Maharaja Lela Gila karya Pak Sako.