Bela ayam unik, petani ditawar beribu ringgit seekor (Gambar)

BAGAN SERAI: Jika bercakap mengenai hobi, ada yang sanggup berhabis duit dan tenaga asalkan apa yang diminati dapat dimiliki.

Namun bukan semua hobi sekadar mengumpul untuk dijadikan koleksi atau pameran kerana terdapat orang yang menjadikan hobi sebagai sumber menambah pendapatan.

Itu yang dilakukan seorang petani dari Selinsing, Perak, Rosmah Mohd Yusof, 44, yang bermula dari minat membela binatang ternakan kini bertukar menjadi satu daripada sumber pendapatannya apabila membela dan menjual pelbagai spesies ayam yang sukar dan jarang ditemui.

Ibu kepada lima orang anak ini berkata antara spesies ayam yang ada dalam peliharaannya ialah ayam Serama, ayam Bahamas, ayam Mutiara, ayam Batam, ayam Sabung, ayam Gajah, ayam Kampung (baka asli) dan yang paling sukar ditemui ialah ayam Poland Jambul serta ayam Selasih.

“Minat membela ayam ni bermula apabila saya ke rumah sahabat saya dan melihat beliau membela ayam yang pelik rupanya berbanding ayam lain. Jadi dari situ minat tu datang dan saya beli ayam itu daripadanya.

“Bermula dengan sepasang kini dah beratus ekor saya kumpul dan bela dan jenis ayam yang saya bela semua yang jarang dan sukar ditemui kerana saya suka spesies yang pelik-pelik,” katanya kepada Bernama ketika melawat haiwan peliharaannya di sini, baru-baru ini.

Pernah ditawar RM20,000 seekor

Rosmah berkata seawal memulakan hobinya itu ia sekadar minat biasa namun beliau tidak menyangka ia mampu menjana pendapatan tambahan kerana seekor ayam yang dibelanya mampu mencecah sehingga RM20,000 bagi seekor ayam.

“Ayam Poland Jambul selalunya dibeli oleh mereka yang gemarkan ayam hiasan bukan untuk lawan atau makan sebab ia cantik, seekor ayam itu jika sudah besar saya jual paling kurang RM2,000.

“Selain itu, ayam Selasih yang saya bela ini memang baka asli dan seekor ayam ini pernah ditawarkan harga RM20,000. Namun saya tak akan jual sebab ia memang sangat susah nak jumpa, sangat unik dan malah ada khasiat yang sangat bagus berbanding ayam lain,” katanya.

Beliau turut menjelaskan bahawa bukan hasratnya untuk menjadi kaya dengan membela ayam-ayam itu. Secara kebetulan hobinya mengumpul ayam daripada spesies unik dan mendapat perhatian ramai. Malahan tiada sebarang promosi atau iklan dilakukannya untuk menjual ayam itu.

Tidak semua pembeli datang terus ke rumahnya dan beliau juga tidak menjualnya di pasar atau dalam talian.

Bela ternakan lain

“Selain ayam untuk perhiasan saya juga ada bela haiwan ternakan lain seperti ayam kampung biasa, itik daging, itik serati, dan kambing, orang sekitar sini memang selalu datang untuk beli dan mungkin ada dalam kalangan mereka menyebarkan maklumat mengenai ayam peliharaan saya kepada orang lain,” katanya.

Rosmah berkata pada mulanya agak sukar untuk membela haiwan-haiwan tersebut namun setelah lama-kelamaan pengalaman dan tunjuk ajar daripada beberapa pihak membolehkan beliau kini membela lebih 300 ekor haiwan ternakan.

Untuk masa hadapan beliau memohon agar pihak berwajib dapat membantu usaha beliau membesarkan reban ayam dan menambah bilangan haiwan ternakannya.

“Impian saya sekarang ini mahu membesarkan lagi reban dan kandang haiwan ternakan ini dan untuk itu saya perlukan lebih banyak modal kerana sebelum ini semua yang ada adalah hasil titik peluh sendiri.

“Saya juga memohon agar ada jabatan berkaitan dapat membantu memberi tunjuk ajar agar saya dapat membela haiwan ini dengan sistematik dan betul-betul jadikan ia sebagai sumber pendapatan utama saya,” katanya. 
-Bernama

Tiada ulasan:

Catat Ulasan