Datuk Seri Nazri kata selama 26 tahun PAS gagal Islamkan Kelantan

'Umno bantu sebab PAS gagal Islamkan Kelantan'

Datuk Seri Nazri Abdul Aziz mendakwa PAS gagal menjadikan Kelantan sebagai negeri Islam menyebabkan parti itu perlu meminda Akta Mahkamah Syariah (Bidang Kuasa Jenayah).

Anggota Majlis Tertinggi (MT) Umno itu berkata, hukuman sedia ada “tidak mencukupi” buat rakyat di negeri itu menyebabkan Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang mahu menambahnya.

“PAS di Kelantan gagal nak menjadikan Kelantan negeri Islam sebab itu mereka nak hukuman lebih berat. Hadi waktu menjadi menteri besar Terengganu, enakmen di sana dia turut tukar.

“Maknanya PAS gagal, kalau dia berjaya dia akan turunkan enam sebat jadi kosong sebat. Kalau kamu (PAS) berjaya, saya percaya semua (rakyat negeri Kelantan) akan puasa, ini tidak dia nak tambah lagi, gagallah dia di Kelantan itu.

“Jadi pada kita Umno nak bantu dia nak pastikan dia, kena bantu dia lah sebab dia gagal. Macam kita Umno tak minta pun tambah,” kata menteri pelancongan itu.

Nazri berkata demikian kepada pemberita dalam sidang media selepas Istiadat Konvokesyen ASWARA di kampus itu di Kuala Lumpur.

Beliau ditanya mengenai hubungan antara PAS dan Umno dalam menghadapi pilihan raya umum ke-14 (PRU14).

Pindaan rang undang-undang itu bertujuan untuk meningkatkan hukuman maksimum kepada 30 tahun penjara, denda sehingga RM100,000 dan 100 kali sebatan.

Hukuman semasa Mahkamah Syariah adalah maksimum penjara tiga tahun, denda RM5,000 dan enam kali sebatan.
-malaysiakini

Tiada ulasan:

Catat Ulasan