PAS di kampung saya seperti 'bendasing'

ROSLI ABDUL JABAR
KALAU dulu panas juga hati, apabila orang keji pimpinan dan orang-orang PAS, saya sendiri pernah dikatakan bodoh kerana membantu PAS secara percuma, tak dapat sebarang upah, saya masih mentah lagi masa tu, ilmu pun tiada, banyak ikut perasaan, kadang-kadang membalas juga, apabila dah tak tahan dengar cacian.

Masa berlalu menumbuhkan kematangan, kehadiran dalam usrah membenihkan kefahaman, ilmu menyuburkan semangat untuk membantu perjuangan PAS meskipun diiringi dengan caci maki, duduk dalam kampung yang menjadi sarang Umno memang mencabar. Macam-macam jenis cacian terhadap amilin PAS ditembat saya, yang saya dengar, sangat menggegarkan dan memerahkan cuping telinga.

Masa itu PAS di kampung saya seperti 'bendasing', saya salah satunya bersama orang-orang tua saya sekitar tidak lebih lima orang. Kasihan juga melihat orang-orang tua saya dihina, tapi saya lihat mereka seperti tiada perasaan, tidak kisah pun, apabila saya ceritakan bahawa, saya dengar orang hina dia, dia pakat ketawa je, jawapannya "kalau takut kena hina, kena maki, jangan duduk dalam perjuangan Islam".

Roda kitaran waktu telah meletakkan saya pula berada ditempat mereka, hampir semua mereka kini sedang berada di alam barzakh. Namun kami bukan lagi 'bendasing', hasil sabar tahan maki dan cacian orang-orang tua saya membenihkan lebih ramai para amilin. Saya hanya menyambung kerja-kerja mereka, mereka telah mewariskan kefahaman dan kesabaran dalam perjuangan.

Caci maki hanya seperti najis, ia membusukkan tapi menjadi baja yang menyuburkan tumbuhan, Islam itu hidup subur ditengah caci maki musuh yang benci kepadanya, begitu juga PAS, semakin banyak baja cacian dan fitnah ditaburkan, semakin subur perjuangan PAS, semakin ia menghulurkan dahan dan rantingnya seterusnya menaungkan teduhan dan bergugusan buah kemanisannya.

Teringat kata seorang naqib usrah saya dulu "Islam ini agama fitrah, fitrah itu suci bersih, caci maki adalah kekotoran, teruskan bersama Islam kerana bersih dan kotor adalah sifat yang berlawanan, perbezaannya akan jelas apabila manusia memahami Islam, teruskan berdakwah untuk mencuci kekotoran ini, apabila manusia faham dan dapat membezakan antara suci dan kotor, Insya-Allah pada ketika itu Islam akan menang".

Tiada ulasan:

Catat Ulasan