Misteri: Lima sekeluarga naik kereta masuk 'alam lain' 8 hari

TUMPAT: Lapan hari dilaporkan hilang, seorang daripada lima mangsa mendakwa “masuk ke alam lain” dan “ditutup hijab” ketika menjawab misteri kehilangan ganjil itu.

Ilham Kamaruddin, 35, mendakwa beliau bersama empat lagi ahli keluarganya menaiki kereta sehingga ke Terengganu, Pahang dan Kuala Lumpur dalam tempoh itu, lapor Harian Metro.

Mereka hanya ditemui ketika membeli roti canai di kedai makan di kampung Neting, Pengkalan Kubor dekat sini kira-kira jam 12 tengah malam kelmarin.

“Sejurus itu, saya segera memaklumkan kepada pihak polis dan sepasukan anggota ke sana membawa kelima-limanya ke balai polis untuk diambil keterangan.

“Saya bersyukur mereka ditemui selamat dan sihat kerana sudah puas mencari mereka selama lapan hari. Malah keliru dengan cara kehilangan mereka,” kata abang mangsa Mafauzi Kamaruddin, 38.

Kelima-lima hilang pada 25 Januari lalu selepas menaiki kereta Perodua Alza dari rumah di Pengkalan Kubor untuk makan di kedai berhampiran kira-kira jam 4.30 petang.

Mafauzi berkata adiknya mula berubah, menjadi “pendiam dan seperti dipukau”, selepas mendapat rawatan tonsil dengan seorang bomoh di Terengganu.

“Saya juga tidak sangka kejadian yang menimpa Ilham itu turut berjangkit kepada mereka yang menaiki kereta bersamanya sebelum hilang,” katanya.

Sementara itu, polis Tumpat menolak sebarang perbuatan jenayah dalam kejadian pelik itu. Kelima-lima mereka sudah memberi keterangan kepada polis.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan