Pemimpin Pas berbaju logo Utusan, Najib kata Flotilla lambang perpaduan

ARIF ATAN
Muslimat Pas kelihatan gembira dengan berpakaian berlogokan Utusan dan Media Prima
Muslimat Pas kelihatan gembira dengan berpakaian berlogokan Utusan dan Media Prima

'Misi Kemanusiaan-Food Flotilla for Myanmar' yang diketuai Umno semalam menyaksikan pemimpin Pas turut mengenakan pakaian berlogokan Utusan Malaysia dan Media Prima.

Antara mereka yang memakai baju berwarna putih dan berlengan panjang itu Ketua Dewan Muslihat Pas Malaysia, Ustazah Nuridah Mohd Salleh dan beberapa pimpinan sayap wanita parti itu.

Turut berpakaian sama Ahli Jawatankuasa Pas Pusat seperti Dr Riduan Mohd Nor dengan masing-masing menyarung jaket perang berlogokan Pas.

Walau bagaimanapun, Timbalan Presiden Pas, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man dilihat hanya berpakaian kemeja panjang putih berjalur dengan jaket berwarna coklat itu.
Timbalan Presiden Pas Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man (tengah) menggantikan Presiden Datuk Seri Abdul Hadi Awang yang tidak dapat hadir kerana masalah kesihatan
Timbalan Presiden Pas Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man (tengah) menggantikan Presiden Datuk Seri Abdul Hadi Awang yang tidak dapat hadir kerana masalah kesihatan

Penampilan pemimpin Pas bersama logo Utusan Malaysia itu dilihat bercanggah dengan pendirian pembangkang sebelum ini yang pernah melancarkan kempen memboikot akhbar tersebut beberapa bulan berakhirnya Pilihan Raya Umum ke-12 pada 2008.

Tindakan berkenaan diambil ekoran sikap media yang dikuasai Umno-BN itu yang cenderung menyiarkan laporan negatif berkaitan blok pembangkang ketika itu, Pakatan Rakyat.

Sementara itu, Presiden Umno Datuk Seri Najib Razak turut mengakui misi bantuan yang membawa 2,200 tan makanan dan ubat-ubatan itu bukan sahaja perlambangan perpaduan Umno dan Pas bahkan perpaduan ummah.

Walau bagaimanapun, tiada pemimpin Melayu Islam dari PKR, Amanah, Bersatu dan DAP yang turut diundang dalam majlis pelepasan kapal 'Nautical Aliya' ke Yangon itu.

Hadir sama dalam majlis yang sebelum ini diuar-uarkan akan dihadiri Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang dengan slot membaca doa adalah Setiausaha Agung Pas, Datuk Takiyuddin Hassan.

Turut serta Presiden Parti Ikatan Bangsa Malaysia (Ikatan), Tan Sri Abdul Kadir Sheikh Fadzir dan bekas Menteri Besar Selangor, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim dengan masing-masing berpakaian lengkap baju Melayu.

Antara pemimpin Umno yang hadir Naib Presidennya, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein; Ahli Majlis Tertinggi Umno, Datuk Johari Abdul Ghani; Pengerusi Badan Perhubungan Umno Selangor, Tan Sri Noh Omar dan Pengerusi Badan Perhubungan Umno Perlis, Datuk Seri Shahidan Kassim.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan