ARIF ATAN
Pemuda Amanah Nasional mempersoal sumbangan bekas pengerusi Felda Global Ventures Holdings Berhad (FGV), Tan Sri Mohd Isa Abdul Samad ke atas Datuk Seri Najib Razak ekoran pendekatan Presiden Umno itu menangani krisis syarikat perladangan tersebut.
Naib Ketuanya, Shazni Munir Mohd Ithnin berpendapat kemelut FGV bukan perkara baru apabila meledak sejurus Najib mengangkat Isa sebagai Pengerusi Felda merangkap Pengerusi FGV.
Menurutnya, kerugian saham FGV di senarai bursa wajar cukup menjadi indikator awal pemecatan Isa.
Shazni Munir Mohd Ithnin"Itu tidak termasuk penyelewengan di Felda Iffco Gida Sanayi, sebuah anak syarikat yang dimiliki 50 peratus saham oleh FGV di Turki, dengan kerugian saham luar biasa sebanyak RM57 juta.
"Umumnya, penyelewengan tersebut telah menyebabkan kerugian suku ketiga FGV yang berakhir 30 September 2016 melebar daripada RM33.9 juta tahun lalu kepada RM94.86 juta.
"Namun, entah mana silapnya, Najib terlihat begitu sayang dengan Isa Samad. Apa jasa besar Isa ke atas Najib pun kita tidak tahu.
"Maka kekallah Isa dengan restu Najib hingga meletup baru-baru ini yang Isa merehatkan CEO (Ketua Pegawai Eksekutif) FGV, Datuk Zakaria Arshad hingga mewujudkan pertembungan baru dalam FGV," katanya ketika dihubungi Malaysia Dateline.
Semalam, Isa 'mengundurkan diri' daripada jawatan Pengerusi dan Pengarah Eksekutif Bukan Bebas FGV yang disandangnya sejak 1 Januari 2011 walaupun pada 8 Jun lalu, Ahli Parlimen Jempol itu bertegas tiada sebab untuk berbuat demikian.
Walau bagaimanapun, Pejabat Perdana Menteri pada masa sama mengumumkan Isa dilantik sebagai Pemangku Pengerusi Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat (SPAD).
Krisis FGV sebelum ini juga menyaksikan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 'menggeledah' Ibu Pejabat FGV di Menara Felda, 8 Jun lalu dengan membawa turun 4 bekas kotak, 3 beg tarik dan beberapa bungkus plastik yang mengandungi dokumen FGV.
Terdahulu, Isa dikatakan memaksa empat pengurusan kanan FGV supaya bercuti berkuat kuasa serta-merta pada 6 Jun lalu dengan mendakwa siasatan awal FGV mendapati wujud salah laku dan tidak mematuhi prosedur dalam urus niaga antara Safitex dan Delima Oil Products.
Mengulas lanjut, Shazni menyifatkan Najib masih tidak meletakkan pendirian yang jelas berhubung polemik melanda FGV.
"Pihak Pejabat Perdana Menteri hanya mengumumkan Idris Jala sebagai mediator dalam menangani krisis yang sedang memuncak," ujarnya.
Sehubungan itu, beliau mengingatkan agar krisis FGV dan pelbagai kepincangan lain harus sampai kepada rakyat termasuk di kawasan luar bandar.
"Soalnya bagaimana? Seluruh jentera Amanah dan Pakatan Harapan perlu mengambil kesempatan atas semangat Ramadan ini untuk sampaikan maklumat ke masjid-masjid dan surau.
"Sambil-sambil mengedar kurma di bazar, selitkan sekali mesej perubahan yang mahu kita sampaikan. Menghampiri Aidilfitri, mungkin boleh difikirkan bentuk-bentuk mesej yang dekat dengan perayaan," sarannya.
Menurutnya, Revolusi China tidak bermula dengaan mekanisme yang sukar sebaliknya melalui mesej mudah yang diselit di kuih-kuih bulan ketika musim perayaan sehingga mampu menghasilkan impak yang menyeluruh.
"Hari ini kita tidak risau dengan pengundi yang selalu berkepit dengan telefon pintar kerana ruang maklumat terlalu luas dan bervariasi.
"Kerunsingan kita ialah pada pengundi lama, pedalaman dan di tanah-tanah rancangan. Mereka memerlukan sentuhan tradisional, mudah dan mesra," tambahnya lagi.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan