Nurul Nadira Shaari
KUANTAN: Seorang lelaki Orang Asli menetak neneknya sehingga mati dan mencederakan isteri dengan bara api di Kampung Pagar, Lipis pagi semalam selepas berang apabila diajak berjumpa Tok Batin untuk menerima rawatan.
Dalam kejadian jam 8 pagi, suspek berusia 32 tahun yang dikatakan mengalami gangguan mental, menetak neneknya berusia 76 tahun selepas diajak berjumpa Tok Batin.
Ketua Polis Daerah Lipis, Superintendan Azry Akmar Ayob, berkata siasatan awal polis mendapati suspek terlebih dahulu mencederakan muka isterinya berusia 21 tahun menggunakan bara api sebelum pergi ke rumah neneknya untuk meminta makanan.
"Apabila mangsa memberitahu tiada makanan di rumahnya dan ingin membawa suspek berjumpa Tok Batin untuk rawatan, suspek bertindak ganas dengan mengambil parang dari rumah itu sebelum menetak leher mangsa.
"Akibat tetakan itu mangsa rebah dan tidak sedarkan diri sebelum disahkan meninggal dunia," katanya ketika dihubungi di sini, pagi tadi.
Azry Akmar berkata, suspek kemudian pulang ke rumah dan berlaku pergelutan dengan bapa mentuanya menyebabkan lelaki berusia 56 tahun itu cedera di belakang badan dan leher.
Katanya, suspek ditahan dengan bantuan seorang jiran yang menyaksikan pergelutan suspek dan bapa mentuanya itu.
"Siasatan dijalankan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.
"Suspek masih ditahan hingga keputusan pemeriksaan kesihatan (mental) diperoleh," katanya.
-Berita Harian
Tiada ulasan:
Catat Ulasan