Bin Abdullah buka aib, galakkan zina?

DR MOHD ASRI ZAINUL ABIDIN

MENGAPAKAH Fatwa Perlis mengizinkan anak yang kurang enam bulan dari usia perkahwinan dinasabkan kepada bapanya? Tidakkah ini mencanggahi ijmak ulama? Tidakkah ini akan menggalakkan perzinaan? Naser Desa, Selangor

JAWAPAN: Fatwa Negeri Perlis yang diwartakan pada tahun 2013 (zaman Mufti Perlis yang sebelum ini) atas perkenan Raja Pemerintah. Warta fatwa itu menyebut: “Anak yang lahir kurang enam bulan selepas ibunya berkahwin, boleh dibinkan kepada suami ibunya, kecuali jika dinafikan oleh si suami”.

Ia membawa maksud, fatwa ini mensyaratkan bapa yang hendak dinasabkan itu hendaklah berkahwin dengan si ibu yang mengandung tersebut dan si bapa tidak menafikan itu adalah anaknya. Ini bermaksud, fatwa ini tidak merangkumi semua anak zina yang lahir yang ibunya tidak mempunyai suami.

Perbezaan antara fatwa ini dengan pegangan beberapa fatwa pihak lain, mereka mensyaratkan enam bulan dan ke atas. Ada dengan tambah beberapa lahzah. Dalam erti kata lain, jika ia hasil zina sekalipun namun lahir selepas enam bulan ke atas maka boleh dinasabkan kepada si bapa. Sementara Fatwa Perlis tidak mensyaratkan enam bulan dan ke atas.

Wilayah Persekutuan melalui majlis fatwanya juga telah menjelaskan dengan menyebutkan: “Kalau anak dalam kandungan itu lahir setelah lebih enam bulan dari tarikh ibunya bernikah dengan lelaki itu, maka lelaki itu dikira sebagai anak yang sah taraf dan boleh dinasabkan kepada lelaki itu (suami ibunya) walaupun anak itu lahir hasil daripada perzinaan.” (http://www.muftiwp.gov.my/index.php/ms-my/perkhidmatan/irsyad-fatwa/908-irsyad-al-fatwa-ke-147-isu-bin-binti-bagi-anak-luar-nikah)

Wujud penafian

Dalam isu anak zina, ada perkara yang ijmak (sepakat mujtahid tanpa kecuali) dan ada yang khilaf iaitu mujtahid berbeza pendapat. Perkara yang menjadi ijmak ialah jika seseorang wanita itu melahirkan anak selepas enam bulan perkahwinan, maka anak itu hendaklah dibinkan kepada si suami. Sekiranya ada yang cuba mendakwa itu adalah anak hasil perzinaannya dengan si ibu, dakwaan itu sama sekali tidak diterima. Ini melainkan si suami menafikan itu adalah anaknya. Maka ketika itu proses li’an ataupun mula’anah iaitu laknat melaknati diri jika berbohong hendaklah dilakukan. Selepas itu, anak tidak dibinkan kepada si suami.

Demikian ulama ijmak, jika wanita itu tidak bersuami dan penzina pula tidak mengaku itu adalah anaknya, maka anak berkenaan tidak boleh dinasabkan kepada penzina. Adapun jika si ibu tidak mempunyai suami dan penzina mengaku itu anaknya, maka ketika itu ulama khilaf sama ada boleh ataupun tidak dinasabkan kepada si penzina.

Asas perbincangan hal ini ialah hadis Nabi Muhammad SAW yang diriwayatkan oleh Bukhari, Muslim dan selain mereka: “Anak itu (nasabnya) kepada suami, sementara bagi perzinaan itu hanya kekecewaan (tiada hak yang boleh dituntut)” (Riwayat Bukhari & Muslim)

Hadis ini disebutkan oleh Nabi SAW apabila berlaku perebutan nasab anak pada zaman Baginda SAW antara Sa’d bin Abi Waqqas dengan ‘Abd bin Zam’ah. Sa’d membuat tuntutan dengan mendakwa bahawa saudaranya ‘Utbah bin Abi Waqqas memberitahu bahawa anak Zam’ah yang ketika itu masih budak, sebenarnya adalah anaknya. Namun ‘Abd bin Zam’ah membantah dengan menyatakan itu ialah anak ayahnya Zam’ah yang mengahwini ibu anak berkenaan. Sa’d mengukuhkan dakwaannya dengan menyatakan anak berkenaan begitu jelas menyerupai saudaranya ‘Utbah.

Apabila kes ini diangkat kepada Nabi SAW, Baginda SAW mendapati ternyata anak berkenaan jelas menyerupai ‘Utbah bin Abi Waqqas, saudara Sa’d, namun baginda memutuskan anak itu ialah anak si suami yang sah ketika iaitu Zam’ah dengan bersabda: “Anak itu (nasabnya) kepada suami yang menyetubuhinya, sementara bagi perzinaan itu hanya kekecewaan (tiada hak yang boleh dituntut)."

Menutup aib

Hadis ini bagi kes wanita yang bersuami (mempunyai firash). Adapun wanita yang tidak mempunyai suami, maka di sana perselisihan pendapat ulama berlaku jika ada lelaki yang mendakwa anak yang dikandungkan ataupun dilahirkan itu adalah anaknya.

Ertinya, dalam isu ini, ada perkara yang sepakat mujtahid (ijmak) dan ada yang mujtahid berkhilaf pendapat. Al-Imam Ibn Qudamah (meninggal 620H) menyebut dalam kitab fekahnya yang masyhur iaitu Al-Mughni:

"‘Ali bin ‘Asim meriwayatkan daripada Abu Hanifah (Imam Mazhab Hanafi) bahawa beliau berkata: “Jika seseorang lelaki berzina dengan seorang perempuan lalu mengandung disebabkan perzinaan itu, aku berpendapat tidak salah untuk dia berkahwin dengannya dalam keadaan dia hamil, menutupinya (aib) dan anak itu dikira anaknya”

(Sambung Ibn Qudamah lagi) “Ulama ijmak (sepakat tanpa kecuali) bahawa jika anak dilahirkan dalam keadaan isteri bersuami, kemudian ada orang lain mendakwa itu anaknya, anak itu tidak akan dinasabkan kepada yang mendakwa. Hanya ulama berkhilaf (berbeza pendapat tentang nasab) apabila anak itu lahir dalam keadaan perempuan tidak mempunyai suami." (Rujuk: Ibn Qudamah Al-Maqdisi, ِAl-Mughni, 6/345. Maktabah Al-Qahirah)

Sememangnya jumhur ulama berpendapat bahawa anak zina tidak boleh dinasabkan kepada bapanya si penzina. Pendapat ini dipegang oleh beberapa majlis fatwa termasuklah Majlis Fatwa Arab Saudi (Fatwa Al-Lajnah Al-Daimah). Demikian juga Jawatankuasa Fatwa Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim). Alasan pihak jumhur telah disebut oleh banyak pihak dan tidak perlu diulangi di sini.

Di sana ada pendapat yang membolehkan dinasabkan kepada bapa zina yang mengaku anaknya. Pendapat ini dinukilkan daripada ‘Urwah bin Al-Zubair (perawi hadis iaitu anak saudara Umm Al-Mukminin ‘Aishah RAH dan salah seorang dari tujuh ahli fekah Madinah yang terbilang), Al-Hasan Al-Basri (ilmuwan terbilang dalam sejarah Islam yang merupakan anak susuan Umm Al-Mukminin Umm Salamah RHA), Sulaiman bin Yasar (salah seorang tujuh ahli fekah terbilang Madinah yang merupakan maula Umm Al-Mukminin Maimunah binti Harith RHA), Muhammad bin Sirin (seorang tabi’i agung yang merupakan murid Ibn ‘Abbas, Abu Hurairah dan selain mereka), Ishaq bin Rahuyah/Rahawaih (ahli hadis cenderung membaca dengan sebutan Rahuyah, seorang ilmuwan hadis dan fekah yang terbilang). (Lihat: Ibn Qudamah, Al-Mughni 6/345, Ibn Al-Qayyim Al-Juaziyyah, Zad Al-Ma’aad, 5/381, Kuwait: Maktabah Al-Manar)

Kata Al-Imam Ibn Qayyim Al-Jauziyyah (meninggal 751) dalam Zad Al-Ma’aad, yang bermaksud: "(Jika ditanya, bahawa sesungguhnya hadis berkaitan menunjukkan hukum tuntutan nasab anak dan anak itu dinasabkan kepada si suami, apakah pendapat kamu jika penzina menuntut seseorang anak yang ibunya tidak bersuami untuk dinasabkan kepada si penzina itu. Apakah anak akan menjadi nasabnya dan disabitkan kepadanya hukum-hakam nasab?"

Siapa bapa kamu?

Disebutkan ini masalah yang besar, ahli ilmu telah berselisihan pendapat mengenainya. Adalah Ishaq bin Rahawaih berpendapat bahawa anak zina jika ibunya tiada suami yang mendakwa anaknya sementara penzina mendakwa anaknya maka dinasabkan kepada penzina. Ditakwilkan sabda Nabi SAW: “Anak itu (dinasabkan) kepada suami” itu bahawa Nabi SAW menghukum demikian apabila berlaku pertikaian antara penzina dan suami ibu, seperti yang telah dinyatakan seblum ini. Inilah mazhab Hasan Al-Basri, telah meriwayatkan daripadanya Ishaq (bin Rahuyah) dengan sanadnya mengenai lelaki yang berzina dengan seorang perempuan dan melahirkan anak, lalu lelaki itu mendakwa itu anaknya, jawab Hasan Al-Basri: “Disebat dan anak dilazimkan (dinasabkan) kepadanya. Inilah juga Mazhab ‘Urwah bin al-Zubair dan Sulaiman bin Yasar.

Diriwayatkan daripada mereka berdua berkata: Mana-mana lelaki yang datang kepada seorang kanak-kanak lalu mengakui itu anaknya bahawa dia pernah berzina dengan ibunya, sementara tiada sesiapa pula selainnya yang mendakwa anak itu anaknya, maka anak itu dikira sebagai anak lelaki yang mengaku itu. Sulaiman bin Yasar berhujah bahawa Umar bin Al-Khattab menasabkan anak-anak (yang lahir) semasa jahiliah kepada sesiapa yang mengaku anaknya semasa Islam).

Pendapat kedua ini telah ditarjihkan oleh Syeikh Al-Islam Ibn Taimiyyah RH (meninggal 728H) dan Qayyim Al-Jauziyyah RH (meninggal 751H). Demikian juga Al-Syeikh Muhammad Ridha RH (meninggal 1354H) dalam tafsirnya Al-Manar ketika menafsirkan Surah An-Nisaa ayat 23. Beliau menolak pendapat ulama Mazhab Syafie yang membolehkan bapa zina berkahwin dengan anak zina.

Ketika itu beliau menyebut bahawa nasab disabitkan dengan perkahwinan ataupun pengakuan. Lelaki yang berzina hendaklah dinasabkan kepadanya jika pasti itu anaknya. (Lihat: Tafsir Al-Manar, 4/382, Mesir: Al-Haiah Al-Misriyyah Al-‘Ammah)

Antara alasan pendapat kedua ini ialah hadis yang diriwayatkan oleh Bukhari dan Muslim mengenai Juraij seorang ahli ibadah yang dituduh berzina dengan seorang wanita oleh orang ramai. Padahal wanita itu telah berzina dengan orang lain. Juraij telah berwuduk, bersolat dan memohon kepada ALLAH.

ALLAH telah menzahirkan karamah di tangan Juraij dalam peristiwa itu di mana dia datang kepada bayi tersebut yang masih kecil dan bertanya: "Wahai budak! Siapakah bapa kamu?" Jawab bayi itu: "Penggembala itu."

Jawapan bayi ini dijadikan hujah bahawa dalam karamah yang ALLAH zahirkan itu bayi itu apabila ditanya “siapa bapa kamu” dia menjawab penggembala itu. Ertinya, dinasabkan anak zina kepada bapanya. Tidak ditanya siapakah yang berzina dengan ibu kamu tetapi siapakah bapa kamu. Anak itu dinisbahkan kepada bapa zinanya.

Ini antara hujah yang digunakan dalam isu ini. Al-Imam Al-Qurtubi (meninggal 671H) dalam tafsirnya ketika menafsirkan Surah An-Nisaa ayat 23 membentang hujah pendapat ini yang beralasan dengan hadis Juraij tersebut.

Antaranya Al-Qurtubi menyebut: "Adalah nisbah tersebut sesuatu yang sahih dengan perakuan ALLAH dan perkhabaran Nabi SAW mengenai hal itu. Maka sabitlah kedudukannya sebagai anak dan hukum-hakam anak." (Lihat: Al-Qurtubi, Al-Jami’ li Ahkam Al-Quran, 5/115, Beirut: Dar Al-Fikr)

Taubat dan keaiban

Setelah meneliti penghujahan kedua pihak dan menyedari ini adalah masalah khilaf dalam kalangan fuqaha, Fatwa Perlis juga meneliti fenomena yang berlaku dalam masyarakat hari ini. ‘Bin Abdullah’ yang diamalkan secara tidak langsung boleh menzalimi kehidupan anak yang tidak bersalah. Tidak memberikan peluang kepada seseorang yang bersalah menutup dosa yang telah dilakukan sekalipun dirinya telah bertaubat.

Apabila seseorang penzina berkahwin dan bertaubat, ALLAH itu menerima taubat. Atas sikap yang bertanggungjawab, dia membesarkan anak zina. Jika anak itu dibinkan dengan Abdullah, pasti si anak akan bertanya: "Mengapa saya bin Abdullah?." Apakah wajar untuk si bapa menjawab: “Saya dan ibu kamu dahulu berzina?.” Jika itulah jawapannya, bererti ibu bapa berkenaan telah membuka keaiban diri mereka yang dilarang oleh nas-nas Islam untuk mereka membukanya. Bahkan jawapan itu akan menghilangkan rasa hormat si anak kepada ibu dan bapa zinanya yang cuba membesarkan dan mendidiknya menjadi insan yang baik.

Jika ada anak-anak lain daripada hubungan halal, mereka juga akan mengetahui aib ibu bapa mereka dan tidak akan menghormati keduanya.

Ini semua akan menjadikan proses pendidikan ke arah yang baik terganggu. Mentaliti generasi pada zaman ini berbeza dengan zaman semasa kitab fekah dahulu ditulis. Pendedahan ini boleh membawa kepada penderhakaan ataupun kebencian dan memandang hina kepada ibu bapa dari anak-anak yang lain juga. Sekali lagi isi keluarga boleh berantakan. Semangat mendidik anak-anak menjadi baik juga akan hilang. Ini boleh membawa keruntuhan institusi keluarga yang banyaknya telah rapuh.

Pada zaman yang role model amat kurang bagi generasi anak-anak, ibu bapa sepatutnya menjadi contoh baik kepada anak-anak sendiri. Jika dari awal, keaiban dan kemaksiatan ibu bapa yang lepas didedahkan secara catatan ‘bin Abdullah’, apatah lagi yang tinggal bagi puluhan ribu, bahkan dikatakan ratusan ribu anak-anak ini? Apakah kita mahu melihat keruntuhan maksiat zina yang lepas membawa kepada keruntuhan demi keruntuhan?

Apabila anak tersebut ke sekolah, dia dipandang serong dan ibu bapanya yang telah bertaubat itu dibuka lagi keaiban mereka. Demikian seterus perjalanan kehidupan anak tersebut. Ibu bapanya dibuka keaiban, dirinya dipandang hina. Apakah kita mahu menghapuskan semangat dalam diri anak-anak ini? Hendaklah kita sedar bahawa pendaftaran dalam kad nama dan penggunaan seperti hari ini serta kesannya dalam institusi moden tidak sama seperti zaman silam ketika sebahagian fatwa dikeluarkan dahulu.

Kesan psikologi

Jika jumlah yang berbin Abdullah ratusan ribu seperti yang dilaporkan, apakah kesan psikologi terhadap jumlah yang banyak ini. Tidakkah kita seakanakan menghalang perkembangan positif anak-anak ini? Tidakkah kita menjadikan mereka merasakan zina adalah darah daging mereka lalu mereka juga menuju ke arah itu disebabkan tekanan yang dihadapi? Tidakkah juga apabila terlalu ramai yang berbin Abdullah sebagai tanda zina berlaku, maka akhirnya masyarakat akan berasakan zina itu sesuatu yang biasa kerana di sekeliling mereka manusia yang mempunyai tanda zina pada nama mereka?

Siapakah yang menggalakkan zina jika hal ini berlaku? Pada zaman ini, lelaki yang sanggup bertanggung jawab atas dosa mereka kepada wanita yang disetubuhinya secara haram bukannya mudah. Ruang untuk melepaskan diri itu terbuka. Kesanggupan bertanggungjawab ke atas kesalahannya itu sebenarnya sesuatu yang ada nilainya. Namun, jika lelaki penzina tahu, sekiranya dia cuba bertanggungjawab dengan berkahwin maka dia menanggung malu sepanjang hayatnya. Pastinya ataupun kemungkinan besar, dia akan mengelakkan diri dari bertanggungjawab. Akhirnya, hanya pihak perempuan sahaja yang akan menanggung derita. Jika ini berterusan, maka fenomena seperti di Barat akan membuak di mana anak hanya ada ibu sahaja yang bertanggungjawab.

Sedangkan dalam hadis yang sahih riwayat Bukhari, Muslim dan selain mereka, Nabi SAW menyebut: "Sesiapa yang menutup aib seseorang Muslim, ALLAH akan menutup aibnya pada hari kiamat."

Galakkan zina?

Menutup aib adalah sesuatu yang penting dalam agama. Dukacita, ada pihak yang melihat ini sesuatu yang remeh. Melihat kepada semangat dalam hadis tadi: "Anak itu (nasabnya) kepada suami yang menyetubuhinya, sementara bagi perzinaan itu hanya kekecewaan (tiada hak yang dituntut)." Daripada hadis ini dapat disimpulkan bahawa Rasulullah SAW memberikan hak nasab kepada suami si isteri sekalipun anak itu ada kemungkinan anak zina jika dilihat pada zahir yang menyamai si penzina. Ini apatah lagi jika itu anak benihnya sendiri. Hadis ini menunjukkan penyelesaian Nabi SAW yang tidak ingin membongkar keburukan yang lepas.

Jikalaulah Baginda SAW memutuskan kes seperti itu mesti diselidiki, maka sudah pasti berbagai keburukan peribadi akan terdedah dan menyebabkan keruntuhan kepada keluarga.

Mendaftarkan anak dengan ‘Bin Abdullah’ secara tidak langsung memberitahu orang ramai untuk tempoh sepanjang hayatnya bahawa ‘aku dan isteriku telah melakukan zina’. Tidakkah kita membaca hadis Rasulullah SAW: “Setiap umatku diberikan keampunan kecuali orang-orang yang menzahirkan (dosanya). Antara perbuatan yang menzahirkan dosa itu; seseorang yang melakukan dosa pada malam hari, kemudian berpagi dalam keadaan ALLAH telah menutupnya (keaibannya), kemudian dia sendiri memberitahu: “Wahai si fulan, aku telah lakukan ini dan itu semalam. Dia sendiri yang menyelak tutupan ALLAH untuknya.” (Riwayat Bukhari & Muslim) Ada pihak menyatakan Fatwa Perlis boleh menjadi punca galakan zina.

Saya ingin bertanya, selama ini Fatwa Perlis tidak dilaksanakan di negara ini sebaliknya fatwa ‘bin Abdullah’ yang dilaksanakan. Mana datangnya puluhan bahkan -seperti yang dilaporkan- ratusan ribu kes anak zina? Apakah tidak fatwa ‘bin Abdullah’ dapat mengurangkan kes zina? Mengapa pula ia makin hari makin bertambah?

Jangan sampai penyakit lain, ubat yang diberikan pula adalah bagi penyakit yang lain. Persoalan yang patut ditanya, apakah sesuatu yang baik apabila puluhan ribu manusia Muslim dapat dilihat tanda zina pada ‘bin’ mereka?

Tidakkah itu secara tidak langsung satu galakan dan menjadikan zina itu sesuatu yang dikongsi ceritanya dengan orang ramai melalui tanda nama pada ‘bin Abdullah’? Fatwa Perlis adalah satu ijtihad dalam memilih pendapat golongan fuqaha (ahli fekah) dengan mengambil realiti masa kini dan melihat kepada al-Maaal (kecenderungan yang akan berlaku).

Ia bukan satu galakan zina, bahkan mungkin satu penyelesaian dalam realiti yang ada pada hari ini.

MUFTI PERLIS, SAHIBUS, SAMAHAH DATUK DR MOHD ASRI ZAINUL ABIDIN

Tiada ulasan:

Catat Ulasan