Kaji selidik tunjuk PH mampu ambil alih Kedah, kata Rafizi

MOHD ALI HASHIM
Pakatan Harapan (PH) mampu menerajui Kedah sekali lagi seperti yang diraih Pakatan Rakyat (PR) dalam pilihan raya umum ke-12.

Keyakinan ini adalah berdasarkan kepada sambutan yang amat memberangsangkan kepada PH di negeri Jelapang Padi itu.

Naib Preisiden PKR Rafizi Ramli berkata, keyakinan yang dizahirkan bukan merupakan suatu telahan semata-mata, malah ia adalah bersandarkan kepada kempen, turun padang dan pertemuan dengan rakyat negeri itu.

"Selain itu kita juga optimis berdasarkan kepada gerak kerja yang dilaksanakan oleh jentera PH.

"Ini turut berkait rapat dengan kaji selidik yang dilakukan setiap bulan sejak sekian lama.

"Ia menunjukkan bahawa Kedah mampu untuk dirampas kembali dalam pilihan raya umum yang akan datang tidak lama lagi," katanya dalam program Jelajah Invoke 'Bina Semula Negara' di Alor Setar semalam.

Peluang lebih besar

Ahli Parlimen Pandan itu juga berkata, walaupun kewujudan pertandingan secara tiga penjuru, PH masih mempunyai peluang bagi memenangi banyak kerusi yang dipertandingkan di Kedah.

"PH akan berusaha semaksima mungkin bagi memastikan lebih banyak kerusi yang akan dimenangi dalam pilihan raya ke-14 nanti.

"Yang menjadi sasaran kita ialah memenangi sebanyak mungkin kerusi sehingga menjadikan Umno dan BN sebagai pembangkang yang baru.

"Kedah bukan saja berpotensi untuk dimenangi oleh PH jika dibezakan dengan negeri-negeri lain, sebaliknya mempunyai peluang yang lebih besar kali ini, " tegasnya lagi.

Selain itu katanya, rakyat Kedah semakin muak dengan pelbagai kerenah dan ketirisan yang menjadi amalan pimpinan Umno dan BN ketika ini.

"Yang hidup dengan kais pagi makan pagi, masih ramai tanpa mendapat pembelaan dari kerajaan.

"Nasib penoreh getah sehingga kini masih lagi tidak dapat dibela oleh kerajaan termasuklah di negeri Kedah.

"Selagi Umno dan BN memerintah, maka selagi itulah nasib rakyat tidak akan berubah dan berada ditakok lama," tambahnya.

Justeru, kata Rafizi, bagi merasai nikmat perubahan yang lebih baik, maka Umno dan BN mesti ditumbangkan tanpa menanti masa yang lebih lama lagi.

Oleh itu beliau menyeru rakyat Kedah bangkit menolak kerajaan Umno-BN dan juga kerajaan pusat yang sedang memerintah kini jika mahu nasib mereka berubah.

Hadir sama dalam program tersebut ialah Ahli Parlimen Pokok Sena, Datuk Mahfuz Omar, Ahli Parlimen Sungai Petani, Datuk Johari Abdul dan kepimpinan AMANAH, Bersatu dan DAP Kedah.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan