PANAS!!!! Ada ADUN Umno akan lompat parti

Seorang anggota Dewan Undangan Negeri (ADUN) Umno di Johor dikatakan akan melompat parti ke serpihannya Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU).

Perkara itu didakwa susulan tidak puas hati dengan kepimpinan BN negeri apabila dia dikatakan tidak akan dicalonkan semula untuk bertanding dalam pilihan raya.

Rundingan ke arah penghijrahan itu juga dikatakan sedang giat dijalankan, yang antaranya melibatkan ketua bahagian BERSATU Batu Pahat Dr Mohd Zaid Mohd Yusof.

"Ada tanda-tanda beliau berminat mahu sertai BERSATU atas alasan tertekan ekoran ada pihak cuba keluarkan beliau dari jawatan yang disandang beliau kini," kata Mohd Zaid kepada Malaysiakini.

Zaid berkata beliau sudah dua kali mengadakan pertemuan dengan wakil rakyat tersebut pada awal bulan ini.

Pertemuan dikatakan berlangsung di Bukit Perdana, Batu Pahat sepanjang minggu lalu.

Bagaimanapun, masih belum jelas bila tindakan itu akan dibuat kerana masih belum ada kata putus setakat ini.

Malaysiakini sedang cuba mendapatkan reaksi wakil rakyat itu dan kepimpinan Umno Johor berkaitan perkara itu.

Jika langkah itu diambil, wakil rakyat itu akan menjadi ADUN kedua Umno yang berpaling tadah kepada BERSATU di Johor.

Oktober tahun lalu, ADUN Jorak Datuk Shahruddin Md Salleh telah meninggalkan BN sebelum dilantik sebagai setiausaha agung BERSATU.

Sementara itu, BN juga boleh hilang penguasaan dua pertiga dalam Dewan Undangan Negeri (DUN) sekiranya perkara itu benar-benar menjadi kenyataan.

Pembangkang kini mempunyai 19 daripada 56 kerusi dalam dewan negeri.
-malaysiakini

Tiada ulasan:

Catat Ulasan