Akta 164: AJK Pas Pusat dinasihati agar tidak 'merapu'

ARIF ATAN
Pengarah Hal Ehwal Syariah AMANAH, Ustaz Zolkharnain Abidin menyifatkan dakwaan Ahli Jawatankuasa Pas Pusat, Dr Riduan Mohd Nor kononnya AMANAH menyokong Rang Undang-Undang (RUU) Membaharui Undang-Undang (Perkahwinan dan Penceraian) 1976 (Akta 164) sebagai merapu.

"Dalam tulisannya, Riduan Md Nor (RMN) menyerang AMANAH secara merapu berkaitan isu pindaan Akta 164, apabila dia berkata pindaan akta itu membahayakan kepentingan umat Islam di negara ini, dan AMANAH menyokongnya," ujarnya.

Menasihatkan pemimpin Pas itu supaya tidak merapu, beliau menyenaraikan tujuh hujah membidas dakwaan Riduan yang menuduh Ahli Parlimen beragama Islam dari AMANAH dan PKR tidak menyertai Ahli Parlimen Pas mengambil bahagian membantah usul pindaan tersebut.

Ustaz Zolkharnain berkata, jika seorang anak dilahirkan oleh ibu bapa Islam, anak tersebut secara langsung beragama Islam memandangkan peruntukan yang dicadang akan dimasukkan ialah jika anak bawah umur yang salah seorang ibu bapanya memeluk Islam, anak itu tidak terus menjadi Islam.

"Mana ada dalam akta itu peruntukan sebaliknya. Tetapi, seksyen itu ditarik balik. Jika tidak ditarik balik sekalipun, seksyen itu dibuat demi maslahah anak di bawah umur itu iaitu mendapat kasih sayang dan penjagaan yang sepatutnya," jelas beliau.

Menurutnya, tidak boleh berlaku orang bukan Islam yang mahu berkahwin dengan orang Islam tidak perlu memeluk Islam kerana orang Islam yang ingin berkahwin perlu membuat permohonan.

"Jika orang Islam memohon untuk berkahwin dengan orang bukan Islam, permohonannya akan ditolak. Macam mana perkahwinan akan berlaku jika permohonan ditolak?" bidasnya.

Terdahulu, Riduan dalam tulisannya mendakwa orang bukan Islam tidak dikehendaki menganut Islam sekiranya ingin berkahwin dengan orang Islam.

Dakwaan pemimpin Pas berkenaan kononnya orang Islam hendaklah dibenarkan keluar dari Islam jika ingin berkahwin dengan orang bukan Islam tanpa boleh dikenakan tindakan undang-undang juga dilihat sebagai merapu.
"Orang Islam yang ingin keluar Islam perlu mengemukakan permohonan kepada mahkamah. Wujudkah undang-undang yang menghendaki mahkamah membenarkan orang Islam untuk keluar Islam jika ingin berkahwin dengan non muslim?" soalnya.

Mengulas lanjut dakwaan Riduan kononnya seseorang atau pasangan suami isteri yang menukar agamanya dengan memeluk Islam tidak patut diberikan hak jagaan anak, Ustaz Zolkharnain berkata, seorang anak itu akan tinggal dengan ibunya yang Islam jika masih di bawah umur dan yang memeluk Islam adalah ibunya.

"Jika pihak yang memeluk Islam adalah bapanya, anak bawah umur itu akan tinggal bersama ibunya walaupun ibunya belum Islam sebab tempat seorang anak adalah bersama ibu demi kepentingan kehidupan anak.

"Bapanya yang Islam hendaklah terus menyara anak itu, mengambil berat dan mendidik anak itu supaya terpikat dengan Islam setelah dia berhak memilih agamanya sendiri.

"Di sinilah peranan bapa sangat diperlukan dalam dakwah dan jika bapa berupaya menampilkan akhlak yang baik, anak itu akan terpikat dengan keislaman bapanya," jelas beliau.

Menyentuh soal tuntutan harta pusaka, beliau turut membidas dakwaan Riduan kononnya orang bukan Islam yang mempunyai hubungan kekeluargaan dengan individu yang memeluk Islam hendaklah diberi hak menuntut harta pusakanya selepas kematian.

"Bukan diberikan hak menuntut harta pusaka tetapi hak menuntut harta yang diperolehi bersama semasa perkahwinan.

"Harta sepencarian itu hendaklah diagihkan secara adil antara pasangan suami isteri itu. Nafkah anak mesti ditanggung oleh bapa. Jika timbul pertikaian tentang harta pusaka, rujukannya adalah mahkamah syariah," tegasnya lagi.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan