Sidang Dewan Rakyat ditangguh, usul RUU 355 Marang masih di awangan

MALAYSIA DATELINE
Hasrat para penyokong Rang Undang-Undang 355 (RUU355) untuk melihat ianya dibahaskan pada sesi parlimen kali ini sekali lagi tidak kesampaian apabila sidang Dewan Rakyat ditangguhkan semalam.

Usul persendirian yang dibawa Presiden Pas Datuk Seri Abdul Hadi Awang untuk meminda Akta Mahkamah Syariah (Bidang Kuasa Jenayah) 1965 itu pada asalnya disenaraikan sebagai item ke-10 dalam Kertas Perintah, di belakang urusan kerajaan.

Namun selepas Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri Datuk Seri Mustapa Mohamed mengumumkan bahawa empat rang undang-undang kerajaan akan ditangguhkan kepada sidang parlimen yang akan datang, RUU persendirian ahli parlimen Marang itu berada di kedudukan ke-6.
Bagaimanapun, timbalan menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Razali Ibrahim kemudian membentangkan usul supaya sidang Dewan Rakyat berakhir semalam hanya selepas lima rang undang-undang kerajaan diluluskan.

Sidang Dewan Rakyat bagi mesyuarat kedua penggal kelima Parlimen ke-13 ditangguhkan selepas bersidang selama 12 hari dan meluluskan 19 rang undang-undang.

Antara rang undang-undang (RUU) yang menjadi perhatian pada persidangan ini adalah RUU Membaharui Undang-undang (Perkahwinan dan Perceraian) (Pindaan) 2017; RUU Agensi Kawalan Sempadan Malaysia (Aksem) 2017 dan RUU Pencegahan Jenayah (Pindaan) 2017.

RUU Pencegahan Jenayah (Pindaan) 2017 yang antara lain bertujuan mempercepatkan proses membuat keputusan oleh Lembaga Pencegahan Jenayah dalam sesuatu kes selain memudahkan pengurusan berkaitan tugas lembaga itu, diluluskan pada 4.05 pagi, 10 Ogos.

RUU itu turut memberi kuasa kepada lembaga untuk mendesak pegawai penyiasat sesuatu kes mempercepatkan penyediaan laporan untuk tindakan selanjutnya.

RUU lain yang diluluskan ialah RUU Perkapalan Saudagar (Pindaan) 2017; RUU Penilai, Pentaksir dan Ejen Harta Tanah (Pindaan) 2017; RUU Bantuan Guaman (Pindaan) 2017; RUU Perihal Dagangan (Pindaan) 2017; RUU Kawalan Harga dan Antipencatutan (Pindaan) 2017 dan RUU Agensi Pekerjaan Swasta (Pindaan) 2017.

Turut diluluskan RUU Lembaga Kemajuan Johor Tenggara (Pindaan) 2017; RUU Lembaga Kemajuan Kelantan Selatan (Pindaan) 2017; RUU Lembaga Kemajuan Terengganu Tengah (Pindaan) 2017; RUU Lembaga Kemajuan Wilayah Kedah (Pindaan) 2017;

RUU Akses kepada Sumber Biologi dan Perkongsian Faedah 2017; RUU Keganasan Rumah Tangga (Pindaan) 2017;

RUU Tabung Angkatan Tentera (Pindaan) 2017 dan RUU Suruhanjaya Sekuriti Malaysia (Pindaan) 2017.

Peruntukan bagi mengawal selia perkhidmatan 'e-hailing' seperti Grabcar dan Uber dapat dikuatkuasakan selepas RUU Pengangkutan Awam Darat (Pindaan) 2017
dan RUU Lembaga Pelesenan Kenderaan Perdagangan (Pindaan) 2017 turut diluluskan pada persidangan kali ini.

Pada akhir persidangan Timbalan Yang Dipertua Dewan Rakyat, Datuk Seri Dr Ronald Kiandee Kiandee merakamkan penghargaan kepada anggota dewan, warga kerja Parlimen serta kakitangan Dewan Rakyat yang melaksanakan tanggungjawab dengan baik dalam memastikan kelancaran persidangan kali ini.

Beliau kemudian mengumumkan persidangan Dewan Rakyat ditangguhkan sehingga ke satu tarikh yang akan ditetapkan kemudian.

Berdasarkan takwim Dewan Rakyat yang dipaparkan di laman web Parlimen Malaysia, dewan itu dijadualkan bersidang semula bermula 23 Okt hingga 30 Nov akan datang.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan