Tindakan melampau apabila seorang penuntut perempuan sebuah universiti yang sedang mengambil wuduk di asrama kolej didiami cuba dicabul seorang warga asing.
Sumber polis berkata, kejadian berlaku kira-kira jam 4.30 pagi kelmarin, ketika mangsa berusia 20 tahun berseorangan di tandas kolej kediamannya di Jalan Pantai di sini, untuk mengambil wuduk bagi menunaikan solat sunat tahajjud.
Bagaimanapun seorang lelaki berkulit gelap berusia lingkungan 40 -an muncul dari arah belakang sebelum memeluk serta menutup mulut mangsa.
“Mangsa bagaimanapun sempat menggigit tangan suspek sebelum menjerit meminta tolong. Namun lelaki terbabit memberi amaran akan membunuh mangsa jika berbuat bising,” katanya.
Menurutnya, mangsa bagaimanapun bernasib baik tidak menjadi mangsa rogol apabila suspek menyedari kehadiran penuntut lain yang mahu menggunakan tandas.
“Suspek terus melepaskan mangsa sebelum melarikan diri. Kesempatan itu diambil mangsa untuk bersembunyi di dalam tandas berhampiran.
“Mangsa menunggu beberapa minit bagi memastikan suspek sudah beredar sebelum memaklumkan kejadian dialami kepada rakannya,” katanya.
Berikutan itu, mangsa mengadu kepada pihak pengurusan kolej kediaman sebelum membuat laporan di Balai Polis Pantai di sini, untuk tindakan lanjut.
“Siasatan lanjut membawa kepada penahanan seorang lelaki warga Indonesia yang bekerja di kafeteria di kolej kediaman berkenaan berdasarkan pengecaman wajah dilakukan mangsa,” katanya.
-kualalumpurpost
Tiada ulasan:
Catat Ulasan