Bapa pijak, hempas dua anak ke simen

Segamat – Polis menahan seorang lelaki selepas dipercayai bertindak menghempas dan memijak dua anaknya yang berusia lima dan lapan tahun, dalam kejadian di rumah mereka dekat Segamat Baru di sini.

Dalam kejadian kira-kira jam 7 pagi semalam, lelaki berusia 31 tahun itu pada mulanya mengangkat sebelum menghempas anak perempuannya yang berusia lapan tahun ke lantai simen.

Ketua Polis Daerah Segamat, Superitendan Raub Selamat, berkata lelaki itu dikatakan secara tiba-tiba marah dan bertindak memukul anak perempuannya sebelum turut memijak anak lelakinya yang berusia lima tahun.

“Isterinya yang berusia 30-an yang turut berada di lokasi kejadian dikatakan tidak dapat berbuat apa-apa kerana bimbang turut menjadi mangsa suaminya,” katanya pada sidang media di pejabatnya hari ini.

Raub berkata, suspek yang melihat anaknya menangis kesakitan, kemudian menghantar kedua-dua anaknya mendapat rawatan di Hospital Segamat.

Katanya, pihak hospital yang merawat mangsa curiga dengan kesan kecederaan pada kepala anak perempuan lelaki terbabit, kemudian memaklumkan keadaan itu kepada polis.

Beliau berkata, suspek yang tidak mempunyai pekerjaan tetap itu, ditahan di bandar ini, kira-kira jam 11 pagi tadi untuk siasatan lanjut.

“Pihak polis memandang serius kes ini yang dianggap melakukan penderaan fizikal serta mental terhadap kedua kanak-kanak yang tidak berdosa itu. Kita masih menunggu laporan penuh perubatan kedua-dua mangsa,” katanya.

Raub berkata, suspek ditahan reman selama empat hari sehingga Jumaat ini bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001.
-bharianonline

Tiada ulasan:

Catat Ulasan