Kotak ‘misteri’ ditahan di luar firma kontraktor pertahanan di KL

Minderjeet Kaur
Kotak ‘misteri’ disusun di perkarangan sebuah firma telekomunikasi swasta tidak jauh dari Kementerian Pertahanan.

KUALA LUMPUR: Kotak yang tersusun di pejabat salah sebuah kontraktor pertahanan terbesar di Malaysia menimbulkan spekulasi yang ia mungkin mengandungi dokumen berkaitan siasatan Kementerian Pertahanan ke atas urus niaga meragukan di bawah pentadbiran lama.


Pemeriksaan oleh FMT mendapati anggaran beratus kotak diletakkan di atas palet kayu dan sekurang-kurangnya 4 lori tentera, serta ditutup dengan kanvas dan dibalut plastik.

Ketika ditanya, pengawal keselamatan di syarikat swasta itu, yang namanya dirahsiakan sementara menunggu respons, berkata mereka tidak tahu isi kandungan kotak itu tetapi mereka menerima arahan “pihak berkuasa” untuk memastikan “tiada orang menyentuh atau mendekatinya”.

“Palet itu berada di situ terdedah kepada hujan dan panas terik. Kami tak tahu sangat apa kandungannya, tapi kami diarah untuk pastikan tiada satu kotak atau kertas hilang,” kata seorang pengawal, yang enggan menghuraikan lebih lanjut.
Beliau juga berkata, kotak itu diletakkan di situ antara tempoh berkempen dan hari pengundian pada 9 Mei.

FMT mendapat tahu tentang kotak itu daripada sumber boleh dipercayai, yang berkata ia mengandungi “dokumen penting” berkaitan kontrak Kementerian Pertahanan.

Kontrak pertahanan dipercayai bernilai berbilion ringgit menjadi tumpuan kerajaan Pakatan Harapan yang berikrar membongkar rasuah dalam pemerolehan kerajaan di bawah pentadbiran Barisan Nasional.

Menteri Pertahanan Mohamad Sabu baru-baru ini mengumumkan pasukan siasatan khas yang diketuai bekas ketua audit negara Tan Sri Ambrin Buang akan menyiasat dakwaan salah laku dan penyelewengan di kementeriannya.

Sumber memberitahu FMT kotak itu diletakkan di situ pada 21 Mei atas arahan “seorang ahli politik kanan”.

FMT tidak dapat mengesahkan dakwaan itu tetapi sedang berusaha menghubungi pihak berkaitan, termasuk bekas menteri pertahanan Datuk Seri Hishammuddin Hussein.

“Dokumen-dokumen ini sepatutnya disimpan di Blok B dan C untuk dimusnahkan,” kata sumber itu, dan menambah ia mengandungi dokumen dan kertas yang mungkin boleh menjadi bukti dalam sebarang siasatan rasuah.

Sementara itu, seorang kakitangan di firma itu berkata dokumen syarikat yang sepatutnya dibuang selalunya disimpan di blok yang tidak digunakan.

“Tetapi kotak-kotak itu dipindahkan. Mungkin kerajaan baru sedang melihat kandungannya,” katanya.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan