PRK Langkawi? Pelbagai pihak bidas Annuar Musa
Beberapa pemimpin baik dari parti kerajaan tampil membidas Setiausaha Agung Umno, Tan Sri Anuuar Musa yang membuat kenyataan bahawa kenyataan bahawa akan berlaku Pilihan Raya Kecil (PRK) selepas ini seperti di Parlimen Langkawi.
Timbalan Presiden BERSATU, Datuk Seri Mukhriz Mahathir berkata apa yang diucapkan Annuar itu tidak wajar dan juga tidak perlu.
“Saya fikir beliau membuat kenyataan sambil lewa. Ia sangat tidak wajar dan saya dengar ada seorang lagi, saya rasa seorang ahli Pemuda Umno, juga mengeluarkan kenyataan sama. Ia bukan satu kenyataan yang baik.
“Tetapi, kita lihat nanti. Seorang yang berusia 93 tahun mungkin boleh panjang umur hingga 100 atau 103 tahun, dalam tempoh 10 tahun lagi, atau mungkin sehingga 20 hingga 30 tahun.
“Siapa tahu? Kita ini yang tidak tahu berapa lama kita akan hidup. Ini semua kuasa Tuhan,” katanya yang dipetik oleh portal MyMetro hari ini.
Annuar dilaporkan berkata, PRK Sungai Kandis adalah ujian Allah kepada Selangor dan tidak diketahui di mana pilihan raya seterusnya akan diadakan, dan ia mungkin di Langkawi atau tempat lain.
Walaupun tidak menyebut sebarang nama, adalah jelas pemimpin Umno itu merujuk kepada Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad yang kini mencecah usia 93 tahun dan adalah ahli parlimen Langkawi.
Sementara itu, Naib Presiden PKR, Dr Xavier Jayakumar yang juga adalah menteri air, tanah dan sumber asli turut membidas Annuar.
“(Langkawi?) Ya kah? Perkataan yang saya katakan terhadap Annuar adalah biadap,” katanya yang dipetik portal itu.
Portal Berita Harian Online pula memetik pengarah firma penyelidikan politik, Sky Data, Dr Ainul Adzellie Hasnul sebagai berkata, Annuar perlu meminta maaf kepada keluarga Dr Mahathir berhubung kenyataannya yang tidak matang dan mendahului ketentuan tuhan itu.
"Ajal dan maut adalah ketentuan Ilahi dan tidak perlu dipolitikkan. Banyak lagi isu seperti ekonomi dan mendesak kerajaan menunaikan janji.
"BN mahu menjadi pembangkang berwibawa tetapi apa yang dilakukan pemimpin kanannya mengeluarkan kenyataan berbentuk propaganda dan politik murahan,” katanya yang dipetik oleh portal itu.
PRK Sungai Kandis diadakan susulan kematian wakil rakyatnya, Mat Shuhaimi Shafiei, 50, pada 2 Julai lalu akibat kanser limfoma.
Manakala satu lagi PRK bakal diadakan di Balakong berikutan nahas yang meragut ADUNnya, Eddie Ng Tien Chee pada awal pagi Khamis minggu lalu.
-malaysiakini
Tiada ulasan:
Catat Ulasan