Pas sokong Umno PRK Sungai Kandis?, ini kata Nik Abduh'

MUHAMMAD SHAMSUL ABD GHANI

SHAH ALAM - Pas membuat kenyataan jelas bahawa undi partinya itu di PRK Sungai Kandis adalah tidak kepada calon PH.

Ahli Jawatankuasa Pas Pusat, Nik Mohamad Abduh Nik Abdul Aziz berkata, parti itu juga dalam kenyataannya, tidak memberikan kata putus atau memastikan ahlinya mengundi calon BN yang diwakili oleh Umno.

Kenyataan itu dibuat kerana BN bukanlah rakan gabungan politik Pas dalam Gagasan Sejahtera.

"Jadi, tiada arahan wajib memastikan ahlinya mengundi Umno/BN," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Sinar Harian melaporkan tindakan Pas tidak meletakkan calon pada PRK Sungai Kandis bertujuan memastikan pertandingan satu lawan satu berlangsung.

Ketua Penerangan Pas, Nasrudin Hassan berkata, ini bagi memastikan undi pembangkang tidak pecah dan PH dapat ditewaskan.

Menurutnya, PH mesti dikalahkan dan ia akan menjadi satu isyarat kepada kerajaan hari ini bahawa rakyat tidak mahu terus dipermain dengan kegagalan mereka menunaikan janji pilihan raya seperti menghapuskan tol, menurunkan harga minyak dan menghapuskan hutang peneroka Felda.

Mengulas lanjut, Nik Abduh berkata, Pas yakin dengan kebijaksanaan ahlinya di dalam membuat pilihan dan mengundi yang terbaik.

Dalam perkara ini, katanya Pas 'ada memberi sedikit panduan' ahlinya dalam memilih pada PRK kali ini.

"Petunjuknya adalah mengundi adalah satu kewajiban demi kebaikan negara yang memerlukan pemimpin yang baik untuk menerajuinya. Justeru Pas menyeru ahlinya agar keluar mengundi," katanya.

Jelasnya, arahan Pas adalah menolak kerajaan PH.

"Bagi Pas, PH bukanlah pilihan terbaik untuk menggantikan BN. Kegagalan awal kerajaan PH untuk mengotakan janji-janji awal manifestonya.

"Selain tindakan dan kenyataan demi kenyataan oleh para pemimpinnya yang mengelirukan dan boleh menggugat kerukunan perlembagaan dan agama Islam adalah menjadi hujah untuk rakyat menolak kerajaan PH hari ini," katanya.

Katanya, kehendak PH untuk menawan Kelantan dan Terengganu dalam PRU akan datang adalah jelas melalui ucapan beberapa pemimpin utamanya.

Jadi jelasnya, mengundi PH bererti menyuburkan dan membengkakkan lagi nafsu PH untuk mengalahkan Pas.

Katanya lagi, Umno telah hilang nafsunya untuk mengalahkan Pas.

"Ada yang berhujah menghentam Pas dalam isu Umno, saya berkata, Pas menghidupkan Umno dengan memberi kesedaran kepada mereka dengan Islam," katanya.

Justeru katanya, jika anda bertanya, tidakkah sudah jelas difahami bahawa Pas mendorong ahlinya mengundi Umno? "Saya jawab, Ya, di PRK Sungai Kandis. Itulah yang saya fahami,".

Tiada ulasan:

Catat Ulasan