Pemilihan PKR semakin Hangat

PEMILIHAN dan persaingan untuk mendapat jawatan dalam parti politik adalah satu perkara biasa selaras dengan amalan demokrasi.

Ia bertujuan untuk memberi peluang kepada ahli-ahli memilih calon yang terbaik untuk memimpin parti mereka. Jika ditangani dengan penuh bijaksana dan matang oleh calon-calon yang bertanding, penyokong-penyokong mereka, ahli-ahli dan pemimpin-pemimpin atasan atau yang lain yang tidak bertanding, ia mampu mengangkat parti berkenaan ke tahap yang lebih mantap dan hebat lagi.

Begitulah yang diharapkan terjadinya kepada PKR yang sedang melalui proses pemilihan pucuk kepimpinan parti sekarang ini.

Pemilihan PKR juga menarik perhatian orang ramai di luar PKR kerana ia adalah parti komponen yang terbesar dalam PH dari segi jumlah Ahli Parlimen Adun dan juga keahlian. Umum mengakui bahawa pemilihan kepimpinannya akan membawa impak yang besar kepada percaturan politik negara. Rakyat yang bukan ahli parti tetapi menjadi menyokong PKR dan PH juga menaruh harapan besar agar kepercayaan mereka kepada mereka tidak dikhianati atau dihampakan.

Namun apakah realitinya yang sedang berlaku sekarang?

Fokus kepada Rafizi dan Azmin

Dengan jawatan presiden sudahpun dimenangi oleh Datuk Seri Anwar Ibrahim tanpa pertandingan, sesuatu yang memang dikira amat wajar sekali apabila mengambil kira peranan dan pengorbanannya, tumpuan dan fokus sekarang ialah persaingan jawatan timbalan presiden antara penyandangnya, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali dan Naib Presiden PKR, Rafizi Ramli.

Beban dan tanggung jawab utama untuk menangani persaingan tersebut dengan bijak dan matang haruslah dipikul oleh kedua-dua mereka.

Rafizi dikira menggalas tanggung jawab yang lebih besar kerana dia yang memilih untuk mencabar Azmin manakala Azmin pula harus bersedia menerima cabaran tersebut dengan hati yang terbuka.

Antara Rafizi dan Azmin

Kedua-dua calon mempunyai kelebihan dan juga kelemahan masing-masing yang sering diperbincang atau diperkatakan oleh pemerhati dan pengulas politik , termasuk juga penulis yang ikut mengulas tentangnya dalam beberapa artikel yang lepas.

Sepertimana yang disebut Anwar: "Azmin sahabat karib dan keluarga, pembantu dan penyokong yang setia, berpengalaman mentadbir Selangor dan membantu menjana kekuatan parti."

Manakala Rafizi tegas mempertahankan idealisme, keras dalam pandangannya, pintar dan berbakat dalam mengurus isu penting.

Dalam persaingan yang sedang hangat berlangsung sekarang ini, Rafizi dan Azmin berkewajiban untuk mengambil berat dan peduli dengan maklum balas, pandangan, persepsi dan tanggapan ahli-ahli serta rakyat berhubung dengan tindak-tanduk mereka serta penyokong-penyokong mereka.

Keputusan Rafizi untuk membentuk kem dan barisannya dengan secara terbuka sejurus sahaja mengumumkan kesediaannya untuk bertanding jawatan timbalan presiden dianggap sebagai langkah yang kurang bijak oleh sesetengah pemerhati.

Seolah-olah ada pakatan sulit dan tersusun untuk menjatuhkan Azmin dari atas.

Ramai yang merasakan adalah lebih wajar untuk Rafizi bertanding sebagai calon sendirian walaupun umum sedia maklum bahawa barisan yang disebutnya adalah penyokong-penyokong tegarnya. Serah saja kepada ahli untuk menilai kelebihan yang ada pada dirinya tanpa perlu bergantung kepada barisan pemimpin-pemimpin lain, atau begitu ketara bergerak secara berpuak.

Kenyataan terbuka Ahli Parlimen Kapar, Datuk Abdullah Sani, penyokong dan pendokong Rafizi tentang kewujudan konspirasi antara Tun Dr Mahathir Mohamad dan Tun Daim Zainuddin untuk menghalang Anwar daripada menjadi PM ditambah pula dengan dakwaan bahawa kemenangan Rafizi akan mematikan konspirasi tersebut dikira agak keterlaluan dan tidak kena pada tempatnya.

Ramai yang bertanya mengapa perlu diseretkan Tun M dan Tun Daim ke dalam kancah politik pemilihan PKR? Jikapun isu tersebut dikira wujud atau menjadi satu masalah, apakah tidak ada jalan lain yang lebih bijak dan wajar untuk menanganinya? Sehingga terpaksa membuka pekung di dada kepada khalayak dengan mengheret seorang PM untuk dijadikan isu dalam pemilihan PKR?

Gelagat Abdullah Sani telah mendapat reaksi negatif dan telah ditempelak oleh Datuk Saifuddin Nasution dan Dr Xavier Jeyakumar sebagai sesuatu yang kurang bijak. Kedua-duanya tokoh tersebut dianggap sebagai penyokong kepada Rafizi.

Serangan peribadi ke atas tubuh badan Azmin juga dikira sebagai sesuatu yang tidak wajar dilakukan jika kem Rafizi betul-betul ikhlas menerima Azmin sebagai ahli keluarga sendiri. Dan melihat perebutan jawatan tidak lebih dari persaingan dalam kalangan keluarga dalam usaha memperkukuhkan parti.

Pendedahan terbuka kepada pihak akhbar oleh Rafizi tentang cerita dan spekulasi salah laku oleh pembantu Mat Sabu turut menimbulkan tanda-tanya, kenapa ianya perlu dibuat secara itu? Apakah tidak boleh isu tersebut ditangani secara lebih berhemah di belakang tabir sebagai menghormati Presiden Amanah? Bukan soal prinsip yang menjadi persoalan tetapi kebijaksanaan dan cara menangani masalah atau isu yang menjadi tanda-tanya.

Terkini, Rafizi telah mengeluar pula kenyataan tentang kesediaannya untuk berdebat dengan Azmin. Beliau memang seorang yang petah bercakap dan bijak berdebat. Tetapi adakah perlu perdebatan sedemikian diadakan dalam persaingan di antara ahli keluarga sendiri hanya semata-mata untuk menunjuk kehandalan diri? Debat lebih wajar diadakan dengan pihak luar PH khususnya dengan pihak pembangkang.

Azmin pula mengambil sikap dan pendekatan kurang bercakap (keeping things close to his chest). Tidak nampak begitu ghairah dengan polemik dan persaingan, tetapi banyak menyerahkan kepada penyokong-penyokongnya untuk berkempen. Beliau seolah-olah tak mahu terlebih cakap tetapi mahu ahli dan orang ramai menilainya dari segi pencapaiannya sebagai pemimpin politik, bekas MB Selangor dan sekarang selaku Menteri Hal Ehwal Ekonomi. Sama ada ini akan menjadi satu 'plus point' atau 'disadvantage' kepadanya belum dapat kita pastikan. Namun daripada maklum balas yang diterima serta komen ahli dan rakyat jelata melalui media sosial, orang ramai nampak lebih menyanjung sikap, pendirian dan pendekatan yang diambil oleh Azmin. Azmin dilihat sebagai lebih 'composed', bijak dan matang daripada Rafizi.

Pun begitu Azmin tidak boleh terus berdiam diri sehingga dilihat sebagai acah tidak acah atau tidak peduli sangat dengan persaingan tersebut. Hakikatnya ahli dan rakyat lebih mengenali Rafizi daripada dekat melalui sifat keterbukaannya dan kesediaannya untuk membuat pendirian dalam berbagai- bagai hal termasuk isu-isu panas.

Sementara Azmin yang jauh lebih berpengalaman, berjawatan, berkuasa dan lebih lama berbakti kepada PKR dianggap kurang jelas tentang visi kepimpinannya serta pendiriannya dalam isu-isu besar dan panas. Azmin perlu meninggalkan sifatnya yang menyendiri (aloof ) dan lebih bersedia untuk berbicara dengan ahli dan rakyat dengan lebih terbuka lagi.

Pendirian Anwar

Pendirian Anwar dalam persaingan antara Rafizi dan Azmin dikira amat penting. Namun Anwar telah mengambil pendirian berkecuali dan tidak akan memihak kepada siapa kerana kedua-duanya dianggap sebagai anak buahnya. Sekurang-kurangnya itulah pendirian rasmi Anwar. Pendirian ini dijangka akan berterusan sehingga selesai proses pengundian. Namun apa yang sebenarnya tersirat di dalam hati Anwar, pastinya dapat diketahui atau dibaca oleh kalangan dalaman PKR. Ramai yang membuat kesimpulan bahawa akhirnya nanti, Anwar atau sekurang-kurangnya penyokong-penyokongnya akan lebih condong kepada siapa yang dikira lebih taat dan setia kepada Anwar dan siapa yang lebih komited untuk berusaha untuk mempastikan Anwar menggantikan Tun M sebagai PM ke-8.

Pada masa ini, polemik pemilihan kepimpinan PKR menampakkan satu keadaan dan suasana yang agak keruh dan bercelaru sehingga membuat ahli pening dan 'naik pina' untuk memahami apa tujuan dan matlamat pemimpin-pemimpin mereka dan apa pula kesudahannya nanti? Rakyat yang berada di luar parti juga mula naik serabut dan meluat. Jika kemelut ini tidak dibendung dan ditangani dengan baik dan bijak, pasti bahang dan kesannya nanti akan tempias kepada Anwar, PKR dan akhirnya kerajaan PH. Semoga semua pihak yang terlibat dalam pemilihan ini sedar dan akur dengan hakikat ini.

PKR memerlukan kedua-dua tokoh

Siapa pun yang menang atau kalah nanti, sama-sama kita tunggu dan lihat. Apapun hakikatnya ialah PKR memerlukan kedua-dua tokoh tersebut sebagai pemimpin mereka. Kedua-duanya adalah pemimpin yang berwibawa yang mampu membantu untuk memacukan PKR ke tahap yang lebih mantap lagi. Anwar juga memerlukan mereka berdua sebagai pembantu dan pengapit kanan dan kiri. Terpulanglah kepada kebijaksanaan Anwar untuk meyusun struktur dan barisan kepimpinan PKR nanti.

Demi masa depan PKR, dan PH sebagai satu gagasan dan kerajaan, semua pihak yang terlibat dan berkepentingan perlu merenung, memikir dan memperakui bahawa agenda rakyat dan negara adalah jauh lebih penting daripada perebutan jawatan dalam parti. Kurangkan sikit ego dan keangkuhan masing-masing.

Semua pihak yang terlibat perlu bertindak dengan bijak dan matang agar keghairahan pertandingan tidak merosak keadaan, sekaligus mengundang kemarahan rakyat. Perlu akur bahawa rakyat yang telah mengangkat PKR sebagai sebuah parti yang unggul dan PH sebagai sebuah kerajaan, maka rakyat juga berkemampuan untuk menjatuhkan mereka!

*Wan Haron Wan Hasan merupakan Penulis Kanan Sinar Harian

Tiada ulasan:

Catat Ulasan