Perang Dagang senjata baru AS menguasai dunia?

ISMAIL HASHIM YAHAYA
Hanya kerana tindakan kerajaan Turki meneruskan penahanan seorang pendakwah Kristian bernama Andrew Brunson yang ditahan pada 2016 berikutan bersubahat dalam kudeta tentera menjatuhkan Presiden Racep Tayyip Erdogan, Amerika Syarikat (AS) bertindak ganas mengemukakan ancaman perang dagang dengan Turki.

Jika diperhatikan, ini merupakan senjata terkini AS yang tidak memperlihatkan peperangan berbentuk persenjataan tetapi berbentuk halus iaitu perang dagang yang dimulakan ke atas China.

Malah presiden AS, Donald Trump yang mengikuti perkembangan kecenderungan Korea Utara dan Korea Selatan untuk berbaik-baik telah cuba memisahkan hubungan itu dengan mengadakan hubungan sidang kemuncak dengan Pyongyang pula.

Ini adalah taktik dan senjata perang terkini Trump yang mengugut dan mengancam mana-mana negara yang tidak mengikut telunjuknya.

Agak membimbangkan krisis yang berlaku di Turki ini apabila tindakan pentadbiran Trump pada Selasa lepas mengenakan ancaman lebih meluas dalam sekatan ekonomi ke atas Turki yang tentunya akan mencetuskan masalah ekonomi yang meruncing bagi negara tersebut.

Jumaat lalu, Washington telah menggandakan tarif ke atas barangan besi dan aluminium Turki kepada 50 dan 20 peratus. Apa yang mengusarkan kesan daripada gandaan tarif membawa kepada kejatuhan dalam nilai matawang lira sebanyak 20 peratus, yang kini berada dalam proses kejatuhan selama lima atau enam bulan kebelakangan ini mencetuskan inflasi yang menggugat taraf hidup penduduk Turki.

Dalam hubungan itu agensi berita Reuters memetik pegawai White House sebagai berkata “Pentadbiran akan bertegas dalam perkara ini. Presiden seratus peratus komited untuk membawa Pastor Brunson kembali ke AS dan jika kami tidak melihat sebarang tindakan dari Turki dalam beberapa hari atau seminggu ini tindakan yang lebih keras akan diambil.”

Memandangkan kemarahan orang awam AS berhubung dengan nasib Brunson, ia telah menjadi agenda politik utama Trump – sesuatu yang juga amat dinanti-nantikan golongan pelampau Kristian – motif sebenar AS ialah mendorong Turki khusus dalam bidang ekonom untuk tunduk dan bergantung kepada AS.

AS mahukan persepakatan Turki-Rusia-China-Iran dirungkaikan dengan cara perang dagang, sekatan ekonomi dan ancaman provokasi perang.

Trump, sipembuli sedang berusaha mengancam dan memaksa mana-mana negara di dunia yang condong kepada Rusia, China dan Iran supaya `kow-tow’ kepada kepentingan Wall Street dan korporat transnasional AS.

Sepanjang bulan-bulan yang lepas, kita juga menyaksikan beberapa sekatan ekonomi baharu dikenakan ke atas Iran, berikutan AS membatalkan perjanjian nuklear Iran pada 2015 dengan P5+1 – AS, UK, Peranchis, China, Rusia dan Jerman – yang menjejas teruk ekonomi Iran. Ia akan lebih buruk lagi apabila tekanan dikenakan ke atas ekpsort minyak Iran dan perbankannya yang menguruskan penjualan dan hasil mahsul tenaga yang lain.

Begitu juga jika sesiapa masih ingat, Rusia telah dikenakan sekatan dan sekatan ekonomi atas dakwaan keracunan gas saraf ke atas bekas agen Rusia, Sergei Skripal dan anak perempuannya di bandar Salisbury, Britain.

Kerajaan Rusia pimpinan Presiden Vladimir Putin telah menafikan sebagai keterlibatan apa lagi pembabitan dalam peristiwa ini dan tiada bukti yang dapat dikemukakan AS. Seperti kes Iran, Rusia juga akan berhadapan dengan lebih banyak sekatan pada akhir tahun ini.

Perdana Menteri Dmitry Medvedev memberikan amaran pada Jumaat lepas, jika sebarang langkah-langkah cadangan menyekat perbankan Rusia daripada beroperasi, ia akan merupakan suatu pengisytiharan perang ekonomi dan mencetuskan gerak balas dengan langkah-langkah ekonomi, politik dan jika perlu cara-cara lain yang bersesuaian.

Jika diteliti serangan ke atas Turki merupakan langkah paling agresif yang dikenakan secara mendadak lebih hebat daripada tekanan dan serangan yang dikenakan ke atas Rusia dan Iran iaitu secara berperingkat-peringkat.

Umum mengetahui dasar luar Erogan telah merintangi dan melangkaui matlamat geo-politik AS di rantau Asia Tengah, Timur Tengah atau lebih ke depan dalam konteks Eurasia.

Di Syria, Ankara telah berjaya mencapai persefahaman dengan Rusia dan Iran, membenarkan Turki sendiri mengembangkan kepentingannya di kawasan selatan sempadannya.

AS pula cuba mengerakkan provokasi dengan Turki dengan memperkemas dan mengukuhkan hubungan dengan militia YPG Kurdish-Syria, organisasi yang bergabung dengan PKK Kurdis yang bermusuh dengan kerajaan Turki.

Kerajaan Turki juga telah mendedahkan rancangan mereka untuk membeli sistem pertahanan peluru berpandu S-400 dari Rusia.

Ankara juga menjelaskan yang ia tidak akan mematuhi sekatan sehala atau unilateral yang dikenakan Washington ke atas Iran yang merupakan pengimport utama tenaga dari Iran. Ini amat bertentangan dengan kenyataan Twitter Trump beberapa hari lepas bahawa sesiapa yang berurusan dengan Iran tidak akan berurus-niaga dengan Iran lagi.

Tindak tanduk pembuli Trump ini memperlihat sikap raksaksa ganas AS dengan kumpulan oligarkinya yang sedang memporak-perandakan bumi ini mengikut nafsu dan kepentingannya.

Malaysia dalam hal ini harus berhati-hati kerana kita mempunyai yang baik dengan Turki dan Iran di samping mengadakan hubungan dengan China dan Rusia. Sebarang langkah yang diambil harus dengan lebih ketelitian kerana banyak eksport barangan Malaysia dieskport ke AS.

Jika AS bertindak mengenakan ugutan atau ancaman sekatan ekonomi atau melarang Malaysia mengadakan hubungan dengan mana-mana negara di atas, ekonomi dan mata wang Malaysia akan terjejas teruk.

* Penulis adalah pensyarah di Jabatan Komunikasi, Fakulti Komunikasi, Seni Visual dan Pengkomputeran, Universiti Selangor (Unisel).

Tiada ulasan:

Catat Ulasan