Pada Kongres PKR selepas pemilihan parti yang 'panas', Timbalan Presiden Azmin Ali dan pencabarnya Rafizi Ramli berpelukan di atas pentas, menandakan mereka sudah merapatkan saf serta bersedia bergerak ke hadapan.
Bagaimanapun, perkembangan beberapa minggu ini menunjukkan hal yang sebaliknya.
Ketika Presiden PKR Anwar Ibrahim menjelajah ke seluruh negara bagi mendapatkan maklum balas akar umbi berhubung pelantikan pengerusi negeri, kedua-dua kem Azmin dan Rafizi bersaing bagi menguasai Majlis Pimpinan PKR (MPP).
Sumber yang dekat dengan Azmin memberitahu Malaysiakini kem mereka cuba untuk menyekat Rafizi dan bekas setiausaha agung Saifuddin Nasution daripada dilantik ke jawatan utama dalam MPP.
Sumber itu juga menuduh Anwar berpihak kepada Rafizi mengenai pelantikan pengerusi PKR negeri.
Memorandum kepada Anwar
"Terdapat manipulasi dalam pemilihan kepimpinan negeri kerana Anwar berharap dapat meletakkan cukup keanggotaan dalam MPP yang akan menyokong pelantikan Saifuddin dan Rafizi sebagai setiausaha agung dan naib presiden, atau apa saja jawatan.
"Sekarang, Anwar mengawal 12 daripada 14 pemimpin negeri," jelas sumber yang enggan namanya disiarkan itu.
Sumber yang juga anggota MPP berkata 18 ahli yang dilantik mengangotai majlis itu akan menyerahkan suatu memorandum kepada presiden bagi membantah pelantikan Rafizi dan Saifuddin.
"Kami mahu menyekat laluan mereka kerana mereka menentang kami dan presiden mahu melantik mereka ke jawatan penting.
"Ini 'gila'. Kami akan menghantar memorandum pada minggu ini.
"Walaupun menjadi hak presiden untuk melantik orang ke jawatan tersebut, beliau (Anwar) mendakwa keputusan itu berdasarkan (sokongan) majoriti," kata sumber itu lagi.
Anwar dijangka melantik setiausaha agung, bendahari, ketua penrangan dan dua naib presiden serta tujuh anggota MPP tidak lama lagi.
Malaysiakini sedang menghubungi pemimpin dalam kem Azmin dan Rafizi bagi mendapatkan maklum balas.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan