Seorang pemimpin kanan PAS menampakkan rasa gembiranya dengan perkembangan mutakhir melanda Umno.
Anggota Jawatankuasa Pusat PAS Mokhtar Senik mendakwa DAP dan PKR menyatakan rasa tidak senang dengan sikap Bersatu menerima bekas pemimpin Umno dan menggelar mereka sebagai 'sampah'.
Namun kata Mokhtar Dr Mahathir Mohamad tidak kisah bekas orang Umno yang menyertai Bersatu adalah 'sampah' atau tidak kerana apa yang penting, dakwanya, jumlah kerusi untuk parti terbabit kian bertambah.
"Bagi PAS pula, OK saja. Kalau yang masuk Bersatu itu sampah dari Umno pun OK," katanya.
Selepas bermula agak perlahan sejak beberapa bulan lalu, hari ini satu demi satu pemimpin Umno - termasuk dalam kalangan wakil rakyat - mengumumkan mereka tidak lagi menganggotai parti terbabit.
Setakat awal petang ini tiga nama berprofil tinggi dalam Umno yang meninggalkan parti berkenaan ialah bekas setiausaha agungny Radzi Sheikh Ahmad, Ikhmal Hisham Abd Aziz (anggota parlimen Tanah Merah) dan Rosol Wahid (Hulu Terengganu).
Difahamkan akan ada lagi pemimpin Umno akan membuat pengumuman sama dari semasa ke semasa.
Sudah tak ada sampah
Keadaan itu meningkatkan lagi tekanan ke atas Presiden Umno Dr Ahmad Zahid Hamidi yang sudah didesak berkali-kali supaya melepaskan jawatannya.
Untuk rekod Ahmad Zahid bertanggungjawab mengeratkan lagi kerjasama dan persefahaman di antara Umno dan PAS selepas ia dimulakan Najib Razak.
Kedua-dua mereka pula sedang berdepan dengan puluhan dakwaan jenayah rasuah dan salah guna kuasa di mahkamah.
Mokhtar yang turut dikenali sebagai seorang daripada tokoh ulama lantang dalam PAS berkata tanpa 'sampah' tersebut kerjasama partinya dengan Umno akan menjadi lebih baik.
"Jika nanti berlaku kerjasama dua parti politik Melayu Islam ini, bermakna PAS akan berkerjasama dengan Umno yang sudah tidak bersampah.
"Rasanya itu akan lebih baik kerana sampah-sampah PAS pun dah dikaut oleh DAP masuk bakul PH (Pakatan Harapan). Cantik laa tu," katanya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan