HADI AWANG SUDAH JADI MACAM AHMAD MASLAN

Menjawab balik kritikan Tun Mahathir Mohamad bahawa dirinya tidak ada kepakaran dalam politik dan pentdabiran sehingga gagal memimpin Terengganu dahulu, sebaliknya dicadangkan lebih sesuai menjadi ustaz, Hadi Awang dengan bangganya menyatakan beliau ada kelulusan sarjana dalam politik Islam.

Saya ada sarjana dalam bidang politik Islam, sebab itu parti memberi kepercayaan untuk saya menjadi pemimpin dan Menteri Besar Terengganu, kata beliau.

Hadi juga menolak kegagalannya mentadbir Terengganu kerana beliau tidak ada kemahiran dalam politik dan pentadbiran negeri, tetapi melihatnya kerana ada campurtangan serta tekanan daripada kerajaan perseketuan ketika itu.

Sebelum ini, Hadi yang memulakan serangan kepada Tun Mahathir dengan mengatakan bekas Perdana Menteri selama 22 tahun itu tidak sepatutnya kembali ke arena politik dengan bertanding di Langkawi, sebaliknya hanya sesuai menjad doktor di klinik 1Malaysia saja.

Tun Mahathir kemudiannya membalas balik dengan mengatakan Hadi juga sepatutnya kembali menjadi ustaz saja kerana gagal memimpin Terengganu dahulu.

Tetapi, beliau mestilah menjadi ustaz yang betul dengan tidak mengkafirkan orang, kata Tun Mahathir lagi.
Nampaknya tidak tahan dengan serangan balas Tun Mahathir yang mencadangkan beliau hanya sesuai menjadi ustaz saja, Hadi lalu tampil memberitahu kelulusan sarjananya dalam bidang politik Islam itu.

Dengan ini, Hadi menjadi orang kedua dalam politik Malaysia, selepas Ahmad Maslan yang menunjukkan kelulusan akademiknya apabila terlihat hampir kalah dan gagal dalam berhujah dengan orang lain.

Ahmad Maslan, dalam sekian banyak respon dan jawapannya yang dilihat tidak cerdik dan dikecam ramai, pada 2013 pernah mengatakan “saya tidaklah bodoh, CGPA saya 3.85.”

Bermakna Hadi dan Ahmad Maslan, meskipun berlainan parti dan dalam jawatan yang berbeza, mereka sebenarnya ada persamaan yang serupa.

Orang lain, terutama dalam bidang politik, meskipun ramai lagi yang berkelulusan tinggi, tetapi tidaklah sampai membangga diri seperti Hadi dan Ahmad Maslan itu.

Apakah kelulusan sarjana dan CGPA yang tinggi dalam pelajaran menjadikan seseorang itu bijak dalam kerjaya?
Dr. Puad Zarkashi pun ada kelulusan PhD, tetapi adakah beliau pernah terlihat cerdik, pintar dan pandai di mata umum?

Tun Mahathir hanyalah berkelulusan doktor perubatan saja, tetapi kerjaya politik dan pentadbirannya ketika menjadi Perdana Menteri, bukan saja cemerlang, malah mengkagumkan dunia.

Jadi, adakah Hadi perlu bangga dengan kelulusan sarjananya itu atau sepatutnya berada sedih kerana kelulusan sedemikian rupa beliau masih berbuat banyak hal yang tidak wajar seperti mengkafirkan dan membaruakan orang lain sesuka hati?

Begitukah akhlak seseorang yang ada kelulusan sarjana dalam politik Islam?

– http://shahbudindotcom.blogspot.co.id

HARAPAN T'ganu sedia terima Syed Azman

PRU14 | Pintu Pakatan Harapan (HARAPAN) Terengganu sentiasa terbuka luas kepada penyandang kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Batu Buruk Dr Syed Azman Syed Ahmad Nawawi sekiranya beliau ingin bersama gabungan parti pembangkang itu.
Malah, pengerusinya, Datuk Raja Kamarul Bahrin Shah Raja Ahmad berkata gabungan itu sedia menawarkan kerusi pada pilihan raya umum (PRU) ke-14, Mei depan.

Menurut Raja Kamarul, HARAPAN tiada masalah untuk menerima Syed Azman kerana yakin dengan kemampuan penyandang kerusi DUN Batu Buruk itu.

"Itu (penyertaan Syed Azman dalam HARAPAN) kemungkinan yang kita tidak dapat tolak, yang kita rasa memang sentiasa ada peluang beliau walaupun di saat-saat akhir ini.

"Peluang itu bukan sahaja wujud di bawah HARAPAN dan tidak semestinya dalam AMANAH tetapi (peluang itu ada di) mana-mana parti kompenan HARAPAN, seperti BERSATU atau PKR sendiri kena bersedia untuk menerima Syed Azman di kawasan-kawasan tertentu yang kita akan cuba masukkan beliau walaupun di saat-saat akhir ini.

"Kita tidak menolak kemungkinan (bertanding bagi kerusi HARAPAN) itu," katanya kepada Malaysiakini.

Beliau yang juga pengerusi Parti Amanah Negara (AMANAH) Terengganu berkata demikian mengulas kesediaan parti itu menerima Syed Azman sebagai anggotanya.

Kehilangan besar

PAS Terengganu semalam menggugurkan Syed Azman sebagai calon bagi kerusi DUN Batu Buruk pada PRU14 kali ini.

Kerusi itu diberikan kepada anak presiden PAS, Khalil Abdul Hadi, yang juga Ketua Pemuda PAS.

Masa depan penyandang dua penggal itu dalam PAS sebelum ini menjadi teka-teki kerana beliau dilihat mesra HARAPAN.

Bagaimanapun, Syed Azman gagal dihubungi bagi mendapatkan maklum balas mengenai pengguguran tersebut.

Selain Syed Azman, turut digugurkan adalah Abdul Wahid Endut dari DUN Wakaf Mempelam.

Mengulas pengguguran Abdul Wahid, penyandang kerusi parlimen Kuala Terengganu itu berkata ia adalah satu kehilangan besar kepada rakyat.
"Tapi (pengguguran) Abdul Wahid Endut ini saya agak terkejut kerana dia seorang yang aktif dan disenangi oleh ramai pihak berbanding Syed Azman. Beliau golongan yang agak inklusif juga dan ini merupakan satu kehilangan kepada orang Kuala Terengganu kerana dia begitu disenangi," katanya.

Bagaimanapun, sumber Malaysiakini mengesahkan pengguguran Abdul Wahid itu disebabkan masalah kesihatan penyandang DUN Wakaf Mempelam terbabit.

"Memang dia tak mahu, dia tak sihat," kata sumber Malaysiakini.

Sementara itu, Naib Presiden AMANAH Datuk Mahfuz Omar berpandangan bahawa Syed Azman sendiri akan menolak pencalonan beliau sekiranya ditawarkan pada PRU14, kali ini.

"Syed Azman sendiri bersikap jika dicalonkan dia akan tolak kerana tidak mahu dilihat sebagai mengkhianati perjuangan rakyat untuk melakukan peralihan kuasa di Malaysia," katanya kepada Malaysiakini.

Pada PRU lalu, kerusi parlimen yang dimenangi PAS dan BN di Terengganu masing-masing 4 kerusi.

Bagi DUN pula, PAS mengekalkan 15 penyandang daripada 17.
-malaysiakini

Gelombang PH sudah melanda Johor, kubu BN bocor - Penganalisis

MALAYSIA DATELINE 
Hisomuddin Bakar bimbang kegagalan pollsters di Amerika mengganggu industri yang sama di negara ini.
Hisomuddin meramalkan kubu BN ini akan jatuh ke tangan PH dalam PRU 14.

Hampir sebulan lalu, ketika parlimen belum dibubarkan, pengkaji politik Mohamad Hisomuddin Bakar yakin Barisan Nasional (BN) akan mengekalkan negeri kubunya Johor dalam pilihan raya umum ke 14 ini.

Namun, malam kelmarin, apabila beliau turun ke majlis Jelajah Pakatan Harapan (JPH) di Pagoh, Johor, beliau berpendapat gelombang PH sudah melanda Johor.

“Bagi saya gelombang PH sedang melanda Johor dan juga sebahagian Pahang,” kata Hisomuddin ketika mengulas perkembangan terbaru politik Malaysia seminggu sebelum penamaan calon PRU 14 pada 28 April ini.

Beliau yang turut berada di Pagoh kelmarin berkata, yang lebih menarik dalam JPH Pagoh adalah penyertaan anak muda yang sangat ramai.

Sebelum itu, JPH berlangsung di Pasir Gudang dan Muar, Johor turut mendapat sambutan yang sama.

“Bayangkan, kereta terpaksa diletakkan sepanjang tiga kilometer sepanjang jalan masuk ke tempat perhimpunan, satu KM di kiri dan dua KM di kanan, dan yang ramai datang adalah anak muda.

“Bila saya tanya kenapa mereka datang, mereka kata kami tak mahu susahkan diri selama lima tahun lagi jika undi BN, cukuplah apa yang kami lalui sekarang,” cerita Hisomuddin tentang perhimpunan di Pagoh, kawasan yang akan ditandingi Presiden Bersatu, Tan Sri Muhyidin Yassin itu.
Orang ramai memenuhi perhimpunan Jelajah PH di Pagoh malam kelmarin.
Anak-anak muda ini bercerita, BN ada menawarkan kepada mereka RM50 hingga RM70 satu malam untuk memasang poster mereka.

“Kami tak mahu senang sekejap tetapi susah lima tahun lagi,” cerita Hisomuddin tentang apa yang dikatakan anak muda ini kepada beliau di Pagoh.

Menurut Hisomuddin, dengan gelombang ini, hampir kesemua kerusi marginal di Johor akan jatuh ke tangan PH dalam PRU 14 ini.

“Bila kerusi marginal jatuh, bermakna Umno terpaksa bertahan di kerusi luar bandar sahaja dan terlepas bandar dan pinggir bandar,” katanya.

Bagi Hisomuddin, turut akan menjadi korban gelombang ini adalah Pas yang tidak berada dalam arus utama ini.

“Saya boleh jangkakan Pas akan ‘wipe out’ (disapu bersih) kali ini kerana mereka tidak ada dalam arus ini,” kata beliau.

Pada penghujung Mac lalu, Hisomuddin meramalkan hanya pengundi yang tinggal di sekitar lebuh raya Utara Selatan (PLUS) sahaja mula berubah ke arah PH manakala yang tinggal di pendalaman khasnya di pantai timur Johor masih senang dengan Umno dan BN.

Ketika itu, Pengarah Eksekutif Ilham Center itu berkata Johor akan kekal jadi kubu kuat Umno dan Barisan Nasional.

“Pengundi Melayu di sekitar laluan Lebuh Raya Utara Selatan (PLUS) seperti Muar, Batu Pahat dan Johor Bahru mula dilihat berubah tetapi pengundi di luar bandar khasnya pantai timur Johor seperti Mersing, Kota Tinggi dan Pengerang masih kekal dengan BN,” kata Hisommudin.

Kajian kumpulan fokus yang beliau buat di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Semerang di bawah Parlimen Air Hitam dan kawasan Felda di Johor ketika itu, beliau mendapati secara keseluruhannya, majoriti pengundi Melayu Johor masih mahu kekal bersama Umno berbanding berpindah kepada PH.

‘Jangan banyak cakap...bayar balik wang rakyat!’ - Rafidah beritahu Kak Jat

Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri Tan Sri Rafidah Aziz menempelak Ketua Wanita Umno Tan Sri Shahrizat Abdul Jalil yang menyelar beberapa pemimpin veteran parti itu kerana begitu lantang membidas kerajaan dan parti.

"Jangan banyak cakap... bayar balik setiap sen wang rakyat itu!” kata Rafidah kepada Malaysiakini.

Beliau merujuk laporan sebuah portal bahawa Perbadanan Feedlot Kebangsaan (NFC) masih berhutang lebih RM248 juta kepada kerajaan daripada RM250 juta pinjaman mudah yang diberikan.

Suami Shahrizat, Datuk Seri Mohamed Salleh Ismail adalah pengerusi syarikat itu, manakala anak-anak mereka pula adalah pengarahnya.

Walau bagaimanapun, SPRM “membersihkan” Shahrizat daripada sebarang pembabitan dalam pemberian kontrak itu dan pinjaman RM250 juta kepada NFC.

Terdahulu hari ini, pada satu majlis di Lembah Pantai, Shahrizat menyelar veteran Umno kerana begitu lantang membidas kerajaan dan parti selepas meletak jawatan kabinet mereka.

Tanpa menyebut nama, Shahrizat turut membidas Rafidah.

“Tapi mereka ini, ada yang saya baca tu, pompuan (perempuan).

“Pun! Adoi! Masa pegang jawatan dia bergempak-gempak. Dia dah tak ada jawatan, macam-macam pula fitnah dia nak buat,” kata Sharizat.

Rafidah menjawab dengan berkata tidak ada orang yang harus berfikir bahawa kerajaan dan pemimpinnya tidak boleh dikritik.

"(Ini) khususnya apabila isu berkaitan dengan skandal - seperti skandal lembu - dan semua perkara yang menjadi pengetahuan umum di seluruh dunia.

"Jangan beritahu saya 'sindrom burung unta' kini telah menjejaskan semua mereka yang dikaitkan dengan PM, bahawa mereka benar-benar lali dengan apa yang diperkatakan dunia?

"Hak demokratik saya untuk bercakap, dan menegakkan kebenaran," katanya.

Rafidah secara terbuka membidas Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak dan Shahrizat sejak beberapa bulan kebelakangan ini, dan telah mengisytiharkan sokongannya kepada Pengerusi Pakatan Harapan Tun Dr Mahathir Mohamad.
-malaysiakini

Najib tak boleh tanda tangan watikah calon - Peguam

Hafiz Yatim 
Pengerusi BN dan Presiden Umno Datuk Seri Najib Razak tidak dapat menandatangani watikah calon Umno dan BN untuk PRU ke-14, susulan pemfailan mahkamah berhubung kesahihan Umno, kata peguam Mohd Haniff Khatri Abdulla.

Mohd Haniff mewakili 15 anggota Umno yang memfailkan semakan kehakiman hari ini untuk mencabar keputusan Jabatan Pendaftar Pertubuhan (ROS) membenarkan Umno menangguhkan pemilihan parti sehingga April tahun depan.

Menurutnya, Majlis Tertinggi dan Bahagian Umno terbatal bermula hari ini, manakala Cawangan Umno terbatal sejak 1 Mac lalu.

"Maka Najib tidak boleh menandatangani watikal calon ekoran kedudukan Umno yang kini menjadi pertikaian," katanya kepada pemberita.

Salah seorang plaintif, Ketua Cawangan Umno Kampung Pandan Salihudin Ahmad Khalid berkata beliau telah menulis surat kepada ROS untuk bertanya tentang status parti itu tetapi tidak menerima apa-apa jawapan.

"Saya menjadi ketua cawangan sejak 2013. Hari ini saya bertanya sama ada jawatan saya sah atau tidak kerana tiadanya pemilihan peringkat cawangan yang sepatutnya diadakan pada 28 Februari tahun ini," katanya.

Pas semakin matang ikut jejak politik Najib, kata Mahfuz

MALAYSIA DATELINE 
Pengakuan Ahli Jawatankuasa Pas Pusat, Dr Zuhdi Marzuki bahawa Pas menerima dana dan derma sebanyak RM1.5juta dan RM1juta daripada individu tertentu menyerlahkan bukti kemasukan wang untuk dana Pas.

“Saya ucapkan syabas kerana Dr Zuhdi Marzuki berlaku jujur dengan mengaku Pas menerima dana derma tersebut.

“Mengapa susah sangat mahu mengaku sebelum ini bahawa Pas memang mendapat dana dan derma? Adakah takut kepada fitnah yang dilemparkan atau takut terdedah siapa yang memberikan derma?

Mahfuz berkata, Pas seharusnya berterus terang daripada awal supaya Pas tidak dilihat menyembunyikan sesuatu daripada ahli-ahli Pas.

Situasi sebegini ujarnya memperlihatkan Pas telah banyak belajar daripada politik Datuk Seri Mohd Najib Razak berhubung derma yang diterima ke dalam akaun peribadinya sebanyak RM2.6 bilion.

“Ketika awal pendedahan sumbangan itu diterima, Datuk Seri Najib segera menafikan dan menolak tohmahan yang dilemparkan,namun setelah bertali arus serangan dilemparkan termasuk bukti transaksi yang mendedahkan memang wujud sumbangan yang diterima, akhirnya beliau mengakui.

“Semacam ada persamaan situasi antara Pas dan Umno ketika ini menerima sumbangan daripada individu, begitu mudah nafi dahulu, kemudian apabila sudah tidak mampu menangkis hujah barulah mengiyakan.

Rakyat melihat dengan penuh lucu dan sikit pun tidak berasa pelik kerana hubungan Pas dengan Umno sudah terjalin sebagai rakan ‘ta’awun’.

Katanya, pengakuan tersebut serba sedikit telah menjawab persoalan yang berbangkit mengenai siapa yang membiayai dana pilihanraya PAS.

Dengan itu ujarnya lagi, secara tiba-tiba Pas berisytihar bertanding sejumlah 160 buah kerusi parlimen dengan dana anggaran RM 34 juta. Demikian juga apabila diasak tentang perbelanjaan, muncul Datuk Takiyuddin Hassan, Setiausaha Agung Pas menyatakan duit PAS adalah daripada poket 1 juta ahli-ahli Pas.

Apabila terbongkar derma daripada individu ini,akuilah bahawa duit poket ahli Pas adalah hanya sejumlah kecil sepertimana Pas selama ini dan sejumlah besar lagi adalah daripada derma individu tersebut.

“Itu yang terdedah, *mungkin yang belum didedahkan banyak lagi ‘derma dalam gelap’ yang diberikan oleh individu-individu lain,” ujarnya.

Mahfuz juga berkata, dengan pengakuan Dr Zuhdi itu juga telah mengakui beberapa perkara yang didedahkan oleh akaun Facebook Sharifah Sofia Syed Abd Rashid.

“Pertama jumlah wang yang dimasukkan,wujudnya akaun dan penama akaun tersebut dan yang masih belum diakui ialah *tarikh kemasukan wang tersebut pada 21 Mac 2018 serta induvidu bernama Datuk Shamsul Zairil Kamarudin yang difahamkan bertugas sebagai Pegawai Khas kepada Bendahari Umno Dan Barisan Nasional.

“Sampai bilakah Pas terus bermain dengan penafian demi penafian, mengapa hingga tergamak Pas sanggup membohongi rakyat dan ahli-ahli Pas mengenai dana pilihan raya dan duit perbelanjaan politiknya ketika ini.

“Kini rakyat semakin sedar, *PAS adalah rakan karib UMNO yang bergandingan bahu dalam PRU ke 14*.

“Mengalahkan Umno dan Pas adalah tanggung awap bersama ahli Pas dan Umno kerana kedua-duanya Pas dan Umno sedang membina -gandingan mantap untuk pertahankan kuasa politik jahat Umno-BN untuk terus berkuasa dengan membohongi rakyat dan ahli-ahli Pas,” dakwanya.

Lepas 48 jam, Cikgu Jaafar masuk balik AMANAH

Bekas pengarah biro pilihan raya Parti Amanah Negara (AMANAH) Selangor, Jaafar Samsudin hari ini kembali menyertai parti itu selepas dua hari meninggalkannya.

Penyertaan beliau kembali kepada parti itu dibuat selepas pertemuan dengan Presiden AMANAH, Mohamad Sabu di Shah Alam, awal pagi tadi.

“Insya-Allah saya akan menghantar surat permohonan kembali ke dalam AMANAH selewat-lewatnya hari ini,” katanya.

Pada 18 April lalu, Jaafar meletakkan jawatannya selepas Mohamad diura-urakan akan bertanding di Kota Raja, bahagian yang dipimpinnya.

Jaafar mendakwa anggota akar umbi AMANAH mahukan calon tempatan dan Mohamad sepatutnya bertemu beliau terlebih dahulu jika mahu bertanding di situ.

Terdahulu sekitar jam 10.30 pagi tadi Jaafar hadir ke sebuah hotel di Shah Alam bagi mengatakan pertemuan dengan Mohamad atau lebih mesra dengan panggilan Mat Sabu.

Pertemuan tersebut diadakan secara santai di mana Mat Sabu dilihat bersarapan bersama Jaafar sambil berbual panjang.

'Kalau semua puas hati peliklah'

Sementara itu, Mat Sabu yang ditemui pemberita menyifatkan tindakan Jaafar keluar parti sebelum ini adalah perkara biasa dalam dunia politik.

“Bagi saya rasa tak puas hati tentang perjalanan kerajaan, majlis itu perkara biasa, yang perlu diutarakan setiap masa.

“Kalau semua kita puas hati peliklah, mesti ada perkara yang tidak sempurna dan ini teguran Cikgu Jaafar yang perlu diambil perhatian lebih sebab Selangor ini banyak peruntukan cumanya penyelarasan kawasan tumpuan itu yang perlu diutamakan.

“Tapi ini tindakan normal dalam politik, saya ini dah lebih 40 tahun (dalam politik) jadi tindakan itu biasa bagi manusia yang dia bekerja dan bukan duduk saja,” katanya.

Malah Mat Sabu juga berkata apa yang kepada partinya hari ini juga pernah berlaku kepada Umno sebelum ini.

“Bagi saya ini kritikan biasa, bukan satu perkara yang mengkhianati parti ke tak ada.

“Dalam Umno dulu (Tun) Musa Hitam letak jawatan kemudian kembali dan banyak lagilah dalam sejarah politik yang kita lihat tindakan biasa melainkan kalau dia bawa lari RM5 kita duit AMANAH, itu lain,” katanya.

Jaafar menyertai PAS pada 1998 dan memegang jawatan pengarah pilihan raya PAS Selangor dari 2002 hingga 2015.

Beliau kemudian meninggalkan PAS pada 2016 untuk menyertai AMANAH.

Sebelum itu, Jaafar pernah menjadi ahli Umno dan Semangat 46 serta pernah bekerja bawah bekas menteri besar Selangor Datuk Seri Harun Idris. 

PANAS!!! Zuhdi mengesahkan Pas terima RM1.5 juta

Pas akui terima RM1.5 juta, tetapi dakwa ia derma, bukan dari Umno
MALAYSIA DATELINE
Zuhdi mengesahkan Pas terima wang tetapi ia wang derma bukan dari Umno.

Selepas dicabar mendedahkan akaunnya pada 23 Mac 2018 bagi membukti Pas tidak menerima wang dari Umno, Pas hari ini mengaku menerima duit itu tetapi ia adalah derma individu kepada Pas bukannya dari Umno.

AJK Pas Pusat, Dr Zuhdi Marzuki dalam wacana di Sinar Harian hari ini mengesahkan Pas menerima wang pada tarikh itu.

“Bekas pemimpin Pas mendakwa kita menerima RM1.5 dan satu juta dalam bank.

“Sebenarnya ini adalah derma, derma dari individu, bukan dari Umno. Bukan dari pejabat Umno.

“Sebab itu kita ucapkan terima kasih kepada orang yang derma itu. Lepas ini kalau ada yang mahu menderma RM5 juta, ahlhamdulillah,” kata Zuhdi yang juga Pengarah Pusat Penyelidikan Pas (PPP) dalam program anjuran Sinar Harian hari ini.

Naib Presiden Pas, Husam Musa mencadangkan kepada Pas agar mendedahkan akaun itu pada tarikh transaksi itu berlaku iaitu 23 Mac 2018 jika mahu membersihkan namanya.

“Pas kena dedah akaun dia bulan Mac lalu untuk buktikan parti itu tidak terima duit dari Umno,” kata Husam yang sebelum ini juga mendakwa Pas menerima duit Umno.

Sebelum itu, bekas naib presiden Pas, Datuk Mahfuz Omar mendakwa Pas menerima wang dari Umno dan masuk ke akaun parti itu di RM1.5 juta di di peringkat pusat dan RM1 juta ke akaun amanah di Terengganu.

Tiga penama akaun amanah di Terengganu itu, Saitiful Bahri Mamat, Muhyiddin Abdul Rashid dan Shukrimun Shamsuddin menafikan dakwaan Mahfuz itu dan mengugut akan mengambil tindakan terhadap Mahfuz selepas pilihan raya nanti.

Mahfuz pula meminta mereka menyaman beliau sekarang bukannya selepas pilihan raya umum nanti.

Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang juga menafikan dakwaan itu dengan berkata mana lojiknya Umno mahu memberikan duit kepada Pas sedangkan Pas akan melawan Umno dalam pilihan raya ini.

Husam membidas hujjah itu dengan berkata, adalah sangat lojik Umno memberikan Pas wang untuk mempastikan Pas bertanding di kerusi yang tidak boleh dimenanginya semata-mata untuk membolehkan Umno atau BN menang.

Katanya, Pas masuk bertanding di kawasan Umno dan Pakatan Harapan (PH) bertanding bukan mahu kalahkan Umno tetapi mahu kalahkan PH supaya Umno menang.

“Pas tahu dia tidak akan menang di kerusi itu tetapi dia nak masuk juga untuk kalahkah PH.

“Jadi lojiklah Pas terima duit Umno untuk menangkan Umno,” kata Husam dalam ceramah beliau di Tawang, Bachok, Kelantan.

Pengundi Melayu semakin berani?

Wan Hamidi Hamid
Mungkin terlalu awal untuk membuat ramalan tentang keputusan pilihan raya umum (PRU) ke-14 tetapi tanda-tanda kegelisahan rakyat semakin jelas dirasai. Dan ia bukan semata-mata kerana ramainya orang Melayu menghadiri ceramah-ceramah Pakatan Harapan (HARAPAN).

Dalam dunia media sosial, di kalangan orang Melayu yang biasanya bertumpu kepada hal-hal sosial, hiburan dan agama, kini ia dipenuhi dengan komen-komen politik.

Isinya agak mengejutkan. Walaupun masih ada yang sarat dengan momokan kaum dan agama, banyak juga yang menyuarakan hasrat untuk mengubah kerajaan. Penghuni alam media sosial Melayu seperti sudah tidak takut lagi untuk menyatakan pendirian politik mereka secara terbuka.

Apakah ini fenomena baru? Atau sesuatu yang memang terbuku sejak sekian lama di sanubari rakyat, khususnya orang Melayu?

Keangkuhan BN

Sehingga awal tahun ini, pendirian warga media sosial Melayu tidak begitu ketara. Di dunia nyata pula, jumlah kehadiran Melayu di ceramah-ceramah HARAPAN, terutamanya Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) pimpinan Tun Dr Mahathir Mohamad, sepanjang tahun lalu dan awal tahun ini kurang memberangsangkan.

Walaupun mandom di pihak pembangkang, BN seperti tidak pandai mengambil kesempatan itu. Sebaliknya, yang ditonjolkan adalah keangkuhan pimpinan UMNO. Mereka dilihat mendabik dada penuh yakin akan terus memerintah negara, malah mungkin seribu tahun lagi.

Daripada isu-isu seperti Datuk Seri Najib Razak tidak lagi makan nasi tetapi menikmati makanan mahal seperti quinoa, ia melarat kepada gaya dan sikap perdana menteri sementara itu yang dilihat sebagai pembuli.

Cara Najib memperkecilkan Dr Mahathir tidak selembut atau setajam sindiran beralaskan budaya Melayu lama tetapi lebih bersifat 'menganjing'. Usia 93 tahun Dr Mahathir dijadikan bahan jenaka Najib.

Pada Januari lalu di hadapan perhimpunan pesara polis di ibu kota, dia mengutuk tanpa berani menyebut nama orang yang dikecamnya: “Jangan pula jadi macam seorang tu. Umur dah 93 tahun, tidak mahu bersara. Dia dah melalutlah tu.”

Di Parlimen pada bulan lalu pula, apabila Menteri Besar Selangor Datuk Seri Azmin Ali bertanya tentang skandal 1Malaysia Development Berhad (1MDB) berhubung hutang negara, Najib tidak berani menjawab soalan itu. Yang dilafazkannya adalah: “Saya nak tegaskan bahawa kemelut air di Selangor lebih kritikal.”

Kutuk dari jauh

Ketua Menteri Pulau Pinang Lim Guan Eng juga menjadi sasaran ejekannya. Apabila HARAPAN memperkenalkan manifesto PRU 2018, Najib menyindir mengatakan jika cadangan tempoh dua penggal dihadkan bagi perdana menteri dan menteri besar serta ketua menteri, Guan Eng patut berhenti serta-merta jika HRAAPAN menang. Sindir beliau, "Saya ucapkan selamat bersara kepada Saudara Lim Guan Eng."

Pada awal bulan ini, di hadapan perhimpunan pesilat di Gombak, Selangor, Najib lantang bersuara: “Jangan main-main dengan pendekar Bugis. Siapa yang nak mencarik-carik maruah orang Bugis, tunggu balasannya nanti.”

Kata-kata itu menjadi bahan ketawa di kalangan orang Melayu. Mereka merasakan keberaniannya sebagai pendekar Bugis hanya terhad kepada perangainya yang suka mengutuk pemimpin pembangkang dari jauh dengan menggunakan media yang dikawal kerajaannya sendiri.

Sedangkan berkali-kali Dr Mahathir mengajak Najib berdebat tentang hal-hal nasional tetapi hanya “krik, krik, krik” yang kedengaran.

Sikap seperti itu menyebabkan semakin ramai orang Melayu bersimpati dengan Dr Mahathir.

Awal bulan ini, apabila Tengku Mahkota Johor menyuarakan pandangan kritikalnya terhadap Dr Mahathir di laman sosial milik pasukan bola sepak Johor Darul Takzim, tiada siapa menyangka berbelas ribu komen serta puluhan ribu share di Facebook tampil membela bekas perdana menteri itu.

Sedangkan sebelum itu apabila TMJ mengkritik Datuk Seri Nazri Aziz, ramai yang menyokong putera raja itu berbanding menteri sementara tersebut yang terkenal dengan keceluparan mulutnya itu.

Ia bukan soal siapa benar atau salah tetapi fenomena media sosial itu mencerminkan gambaran isi hati orang Melayu masa kini.

Dosa politik lampau

Mungkin kerana mereka teruja dengan aura dan karisma Dr Mahathir. Malah, mungkin kerana mereka tertarik dengan HARAPAN - bukan kerana sukakan sangat pembangkang tetapi disebabkan tidak tahan lagi dengan keangkuhan kuasa pimpinan sekarang.

Tekanan ekonomi masa kini pula bukan sahaja menyakitkan hati orang Melayu (dan rakyat Malaysia amnya) tetapi ia juga membebankan kewangan keluarga mereka; sedangkan kebanyakan mereka merupakan pengundi setia Umno-BN sebelum ini.

Kini tidak mudah lagi bagi Umno dan konco-konconya untuk memomokkan orang Melayu dengan fitnah terhadap HARAPAN, terutamanya dengan membawa berita palsu tentang DAP berhubung hal-hal agama dan kaum.

Apa tidaknya, ada antara penyebar fitnah itu kini sudah menyertai BERSATU. Ada pula yang membuat pengakuan terbuka dalam ceramah serta di media sosial tentang dosa politik lampau mereka

Malah ada antara mereka kini membela DAP dengan menjelaskan kebenaran perjuangan parti sosial demokratik itu kepada masyarakat Melayu.

Apabila semakin ramai orang Melayu ramah dengan Dr Mahathir, selesa dengan PPBM dan Pakatan Harapan, serta tidak lagi geli-geleman dengan DAP, ia menjadi petanda perubahan di kalangan orang Melayu.

Nampaknya memang benarlah orang Melayu sudah kurang rasa takut mereka, dan kini semakin berani bersuara.

WAN HAMIDI HAMID seorang penulis, pemerhati politik dan penggemar muzik.

Bukti terkini Pas terima duit BN?

KHAIRIL ANWAR MOHD AMIN

Mujahid (kanan) dan Hasnul Zulkarnain menunjukkan bukti bergambar berupa cek kerajaan negeri didakwa diberikan bakal calon BN Parlimen Parit Buntar kepada anggota Pas untuk pembinaan Pasti.jpg
PARIT BUNTAR - Harapan Parlimen Parit Buntar mendedahkan satu bukti bergambar berupa sekeping cek bernilai RM25,000, didakwa disalurkan bakal calon BN Parlimen itu kepada orang Pas yang menjadi tular dalam media sosial sejak awal pagi tadi.

Calon Harapan Parlimen Parit Buntar, Datuk Dr Mujahid Yusof Rawa berkata, berdasarkan pendedahan akaun Facebook 'Ana Tahu', terdapat gambar didakwa sekeping cek di bawah Perbadanan Setiausaha Kerajaan Negeri(SSI) ditandatangani Setiausaha Kerajaan Negeri Perak, Datuk Seri Abdul Puhat Mat Nayan bertarikh bulan Februari lalu.

Menurutnya, cek itu difahamkan disalurkan kepada seorang individu yang merupakan seorang pengerusi sebuah Pasti (Pusat Asuhan Tunas Islam) milik Pas di sini bagi tujuan pembangunan sekolah itu dan disertakan bersama sepucuk surat permohonan.

Isu bukti bergambar pemberian cek RM25,000 oleh bakal calon BN Parlimen Parit Buntar kepada individu dikenali pengerusi Pasti yang dikelola Pas kini tular dalam laman Facebook.
Advertisement

"Kami tidak tahu siapa anggota Pas menerima sumbangan itu, sebab dalam bukti gambar yang kini tular itu namanya dihitamkan.

"Tetapi yang jelas, cek itu tertulis nama SSI, ditandatangani Abdul Puhat sendiri dan diberikan atas nama individu iaitu pengerusi Pasti tersebut.

"Soalan saya, bukankah tindakan Abdul Puhat yang dikatakan bakal calon BN dilihat sebagai cubaan untuk membeli undi orang Pas dan menyalahgunakan kedudukannya sebagai Setiausaha Kerajaan Negeri?" katanya pada sidang media khas di sini hari ini.

Turut hadir Calon Harapan Dun Titi Serong, Hasnul Zulkarnain Abd Muniam.

Mujahid berkata, dakwaan penyalahgunaan kuasa Abdul Puhat dikemukakan pihaknya atas tindakan beliau menggunakan cek kerajaan negeri bagi memberi sejumlah wang pada penama individu, bukan atas nama organisasi atau NGO.

Malahan, merujuk kepada jumlah amaun wang ditulis dalam cek itu, Mujahid menegaskan Abdul Puhat tidak boleh meletakkan jumlah amaun bebas pada setiap cek kerajaan negeri kosong yang ditulis.


"Jika merujuk prosedur syarikat Perbadanan Ketua Menteri Pulau Pinang, terdapat standard of prosedur(SOP) bagi jumlah amaun wang dibenarkan untuk ditulis pada setiap cek kosong oleh Ketua Menteri sendiri.

"Persoalan kami, adakah pemberian cek RM25,000 mengikut SOP jumlah maksimum amaun wang dibenarkan? Bukankah tindakan mengeluarkan cek kerajaan negeri atas nama individu menyalahi bidang kuasa Setiausa Kerajaan Negeri?" katanya.

Mujahid berkata, sehingga kini, Abdul Puhat dilihat menggunakan jawatan Setiausaha Kerajaan Negeri bagi tujuan berkempen untuk menjadi calon BN dan sekiranya bukti bergambar itu benar, amat malang bagi rakyat Parit Buntar dapat calon sebegini.

"Kami tidak teragak-agak mengemukakan bukti bergambar ini kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia(SPRM) kerana tindakan Abdul Puhat dianggap sebagai rasuah dengan menyalahgunakan kuasa bagi membeli undi orang Pas.

"Kami merujuk pemimpin Pasti terbabit sebagai orang Pas kerana pengurusan sekolah itu sememangnya diterajui ahli parti itu sendiri,"katanya.

Mujahid berkata, sekiranya Abdul Puhat seorang 'gentleman' dan ingin bertanding sebagai calon pilihanraya, dia wajar letak jawatan sebagai Setiausaha Kerajaan Negeri lebih awal dan berdepan calon parti lain secara adil.

"Akan tetapi jangan berdepan kami dengan menggunakan kedudukan sebagai pegawai tertinggi kerajaan dan berkemungkinan menyalahgunakan cek kerajaan negeri bagi membeli undi.

"Berikutan pendedahan dibuat, kami mendesak penjelasan segera daripada Abdul Puhat dan pemimpin Pas kawasan Parit Buntar terhadap isu ditimbulkan untuk dinilai rakyat,"katanya.

Sementara itu, Abdul Puhat sewaktu dihubungi Sinar Harian mengakui ada menyerahkan cek sebagaimana didakwa kepada wakil pengurusan sekolah Pasti tersebut bagi tujuan pembangunannya.

Menurutnya, pihak pengurusan sekolah berkenaan ada mengadakan pertemuan dengannya bagi memohon bantuan dana pembangunan sekolah pada awal tahun ini.

"Susulan itu, pihak saya meluluskan permohonan pihak sekolah dan kemudiannya menyerahkan cek di bawah SSI atas nama individu.

"Faktor utama cek itu ditulis atas nama individu disebabkan akaun tabung pembangunan sekolah terbabit tidak dapat digunakan.

"Lagipun penyerahan cek tersebut dilaksanakan berserta dengan surat permohonan dana diluluskan kerajaan negeri. Jadi, sebenarnya tidak timbul isu saya salah guna kuasa memberi dana kerajaan negeri kepada individu tertentu,"katanya.

Hero hampir lemas selamatkan wanita terjun Jambatan P Pinang

Predeep Nambiar

GEORGE TOWN: Beberapa jam selepas menyelamatkan seorang wanita yang terjun dari Jambatan Pulau Pinang Ke-2, polis bantuan, Zaidi Salleh menggigil memikirkan bagaimana beliau hampir lemas dalam arus deras Selat Selatan.

Tetapi beliau tidak menyesal kerana perbuatannya menyelamatkan nyawa seorang wanita.

“Saya tidak mengharapkan apa-apa. Saya penyelam terlatih dan saya melakukannya atas sebab kemanusiaan,” kata Zaidi.

Zaidi, 52, seorang sarjan tentera udara bersara, bekerja untuk pihak konsesi Jambatan Kedua Sdn Bhd, dan sedang bertugas apabila seorang rakan sekerja menghubunginya lebih kurang 11.00 pagi, memberitahu seorang wanita terjun dari jambatan.

Bapa kepada 3 anak itu terus menunggang motosikalnya yang terletak di pejabat pengendali jambatan di Batu Kawan dan memecut ke KM9.9 jambatan itu dan tiba 10 minit selepas wanita itu terjun.

Wanita itu boleh dilihat berpaut pada satu tiang di jambatan itu.

“Saya sangka air tenang dan saya boleh selamatkannya. Saya mengambil kabel penunda daripada kenderaan penyenggaraan lagi satu dan turun ke tiang itu,” katanya kepada FMT.

Beliau kemudian berenang ke arah wanita berusia 28 tahun itu dan kedua-dua mereka berpaut pada tiang selama 20 minit.

Apabila arus semakin deras, Zaidi dapati ianya sukar untuk kedua-dua mereka berpaut pada tiang itu atau kabel penunda itu, jadi mereka berpaut pada sesama sendiri.

Mereka kemudian dibawa arus deras ke tengah-tengah selat. Katanya, beliau hampir lemas pada waktu itu, tetapi kemudian mereka terlihat bekas ikan yang dibuang dan menggunakannya sebagai pelampung.

“Saya beritahu wanita itu untuk berpaut pada bekas itu. Saya sudah semakin lemah pada masa itu. Saya beritahu wanita itu untuk mengingati yang ia petanda dari Allah bahawa kita sentiasa ada sesuatu untuk bergantung dan hidup sangat berharga,” kata Zaidi.

Selepas 20 minit bertarung di laut dan cuba mengapungkan diri, mereka diselamatkan oleh nelayan dari jeti Pulau Aman yang diberitahu oleh pihak berkuasa.

Mereka kemudian dibawa ke jeti berhampiran di mana dia diberi perhatian segera oleh pasukan paramedik bomba dan penyelamat.

Dalam kejadian jam 11.13 pagi itu, wanita terbabit memberhentikan keretanya, Toyota Avanza di KM9.9 jambatan tersebut. Dia dilihat berdiri di belebas lalu terjun ke laut.

Difahamkan, wanita itu mengalami kemurungan akibat masalah keluarga.

Menurut pegawai Bomba Pulau Pinang, wanita itu dalam keadaan stabil dan dibawa ke hospital untuk pemeriksaan lanjut.

Bagi Zaidi, beliau tidak menganggap dirinya seorang wira dan gembira dapat menyelamatkan nyawa wanita itu.

Nurul Izzah menang saman fitnah RM1 juta

Naib Presiden PKR Nurul Izzah Anwar hari ini menang dalam kes saman fitnahnya terhadap anggota Majlis Tertinggi Umno Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dan bekas Ketua Polis Negara Tan Sri Khalid Abu Bakar berhubung pertemuannya dengan 'puteri Sulu' Jacel Kiram.

Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur mengarahkan Ismail dan Khalid masing-masing membayar RM600,000 dan RM400,000 kepada penyandang kerusi Parlimen Lembah Pantai itu.

Pesuruhjaya Kehakiman Datuk Faizah Jamaluddin turut mengarahkan mereka membayar kos berjumlah RM80,000, dan membenarkan injunksi melarang mereka mengulangi perkataan fitnah dalam mana-mana penerbitan atau penyiaran.

Faizah berkata, Khalid telah memfitnah Nurul Izzah ketika beliau dalam satu acara di masjid Bukit Aman pada 22 Mei 2015 memberitahu hadirin bahawa Nurul Izzah bertemu dengan musuh negara yang membunuh anggota keselamatan.

Bagi Ismail Sabri (gambar) pula, Faizah berkata beliau membuat fitnah pada hari sama dalam majlis berkhatan anjuran Umno Bahagian Bera. Ismail Sabri adalah ketua Umno Bahagian itu.
Dalam acara itu, Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah sementara itu mendakwa Nurul Izzah telah mengkhianati negara dan mengisytiharkan perang terhadap Yang di-Pertuan Agong, dan boleh dipenjara bawah Kanun Keseksaan dan Akta Pencegahan Keganasan 2015 (Pota).

"Kenyataan itu memberikan pandangan buruk terhadap plaintif dan menyebabkan beliau berdepan kebencian dan cemuhan," kata pesuruhjaya kehakiman itu.

Faizah berkata mahkamah tidak dapat menerima hujah Peguam Kanan Persekutuan Normastura Ayub - yang mewakili Khalid dan Ismail Sabri - bahawa perkataan "saya kira" dan "saya anggap" yang digunakan Ismail Sabri telah merendahkan "tahap" fitnah yang diutarakan.

Beliau berkata Khalid (gambar) dan Ismail Sabri sepatutnya tahu Nurul Izzah telah mengeluarkan kenyataan tiga hari sebelum itu, iaitu pada 19 Mei, yang menyatakan kekesalannya ekoran penyiaran gambarnya bersama Jacel di media.
Gambar itu diambil di sebuah forum di Filipina yang dihadirinya.

Gambar itu pertama kali dimuat naik oleh Jacel sendiri, dan mencetuskan kecaman orang ramai dan komen daripada Khalid dan Ismail Sabri.

Nurul Izzah kemudian menfailkan saman pada November 2015.

Perlindungan bersyarat

Khalid mendapat perlindungan bersayarat memandangkan beliau mengeluarkan kata-kata itu kepada pemberita atas kedudukannya sebagai ketua polis negara pada masa itu.

Namun, Faizah tidak membenarkan hujah pembelaan sama terhadap Ismail Sabri, kerana beliau hadir ke program di Bera - tempat beliau mengeluarkan kenyataannya - atas kapasiti sebagai pemimpin Umno dan bukannya menteri.

Faizah juga berkata kedua-duanya berniat jahat kerana tidak mendapatkan penjelasan daripada Nurul Izzah walaupun beliau telah mengeluarkan kenyataan berhubung perkara itu.

Wang untuk keluarga mangsa

Mengulas keputusan itu, Nurul Izzah berkata wang saman yang dimenanginya akan disalurkan kepada anggota keluarga mangsa yang terkorban dalam insiden pencerobohan Lahad Datu pada 2013.

"Mereka membuat pelbagai tuduhan terhadap saya (kononnya sebagai pengkhianat). Tetapi saya seorang patriot," katanya.

"Dalam kita memasuki PRU ke-14 ini adalah peringatan kepada kita untuk mengamalkan politik baru dan bersih. Mereka menyerang saya di Parlimen menggunakan media arus perdana," katanya lagi.

Peguam Nurul Izzah, Sivarasa Rasiah beri=kata keputusan itu adalah peringatan daripada mahkamah kepada mereka yang berkuasa, terutama IGP, untuk memastikan kenyataan mereka adil dan tidak bersifat fitnah.
-malaysiakini

AMANAH terkejut, minta Cikgu Jaafar kaji balik perletakan jawatan

MALAYSIA DATELINE
Khalid meminta Cikgu Jaafar mengkaji semula keputusannya.

AMANAH terkejut dengan keputusan Pengarah Pilihan Raya Selangor, Cikgu Jaafar Samsuddin yang meletakkan jawatan dan keluar dari parti itu.

Sehubungan itu, Pengarah Komunikasi AMANAH, Khalid Samad meminta Jaafar mempertimbangkan semula tindakannya itu.

“Saya terkejut dengan keputusan Cikgu Jaafar ini dan merayu kepada beliau mempertimbangkan semula keputusan beliau itu.

“Jika ada apa-apa masalah yang berbangkit, dan berkecil hati dengan mana-mana pihak dalam AMANAH, saya berharap beliau sedia memaafkan pihak-pihak berkenaan,” kata Khalid mengulas keputusan Jaafar melepaskan jawatannya.

Pengarah Biro Pilihan Raya AMANAH Selangor Jaafar Samsuddin atau lebih dikenali dengan panggilan Cikgu Jaafar meletakkan jawatannya berkuatkuasa hari ini.

Perkara ini dimaklumkan beliau sendiri kepada Malaysia Dateline petang ini.

Surat peletakan jawatan secara rasmi yang bertarikh 18 April 2018 itu sudah dihantar ke ibu pejabat AMANAH Negeri di Shah Alam hari ini.

Beliau berkata, keputusan untuk meletakkan semua jawatan di dalam AMANAH dan tidak lagi sebagai ahli AMANAH hari ini, ekoran beliau merasakan suaranya tidak didengari dan usahanya tidak dihargai di kalangan pimpinan negeri dan diperingkat nasional parti.

Bagi Khalid, Cikgu Jaafar adalah petugas jamaah yang sangat baik dan tekun.

“Jasa beliau kepada AMANAH dan Pas sebelum ini dalam menguruskan kerja-kerja pilihan raya sangat besar,” kata Khalid.

Namun, jika Cikgu Jaafar kekal dengan keputusannya, beliau berharap hubungan beliau dengan AMANAH tidak terputus dan terus boleh bekerjasama.

Miqdad tarik diri dari wakilli HARAPAN di Marang

PRU14 | Yang Tegang kini kendur - begitu gambaran yang diberi apabila tokoh yang disebut-sebut bakal berdepan dengan presiden PAS di Marang mengumumkan untuk tidak terlibat sebagai calon pilihan raya.

Dalam kenyataan dikeluarkan hari ini Miqdad Zakaria berkata matlamat paling utama bagi AMANAH serta Pakatan Harapan (HARAPAN) kini ialah mengalahkan BN dan "dot dot".

"Sekarang ini tumpu agenda (untuk) mengalahkan BN dan dot dot... Agenda ini lebih utama berbanding agenda kita semua," katanya.

Dipercayai istilah "dot dot" itu ialah PAS.

Kenyataan itu dibuat pada hari sama PAS mengumumkan Datuk Seri Abdul Hadi Awang akan menjadi calon mereka bagi kawasan parlimen Marang.

Abdul Hadi ialah penyandang kerusi itu sejak 1995 - kecuali pada PRU ke-11 pada 2004 apabila beliau kalah kepada Datuk Seri Abdul Rahman Bakar.

Tarikh 2004 juga menandakan tumbangnya kerajaan negeri dipimpin Abdul Hadi hanya selepas satu penggal memerintah.

Sebelum ini nama Miqdad disebut-sebut akan dipertaruhkan mewakili HARAPAN untuk menghadapi Abdul Hadi di Marang.

Dah dapat apa diimpikan

Untuk rekod Miqdad adalah anak saudara kepada seorang daripada isteri Abdul Hadi.

Kata Miqdad dia memohon maaf kerana mengambil keputusan menarik diri daripada bertanding, sekali gus akan mengguris perasaan penyokong HARAPAN.

"Untuk meredakan keadaan yang tegang di antara kita, dengan ini ana (saya) dengan rela hati menarik diri daripada bertanding di PRU ke-14 ini.

"Ana sangat menghargai usaha dan pengorbanan kalian semua, akan tetapi untuk kebaikan kita bersama, agenda untuk bertanding ini perlu dibatalkan," katanya.

Kata Miqdad dia memang sejak awal tidak berminat untuk bertanding sebagai calon hinggakan pimpinan AMANAH menghantar wakil untuk memujuknya mengubah keputusan berkenaan.

Bagaimanapun katanya dia tetap dengan keputusan itu.

"Kalian semua sangat mengetahui alasan kuat kenapa ana menolak. (Ia) tidak lain tidak bukan kerana matlamat kita wujudkan AMANAH Marang semata-mata untuk memecahkan minda taasub yang ada.

"Nah sekarang kita dah dapat yang kita impikan.

"Dulu ramai membenci, la ni (sekarang) alhamdulillah dah beransur baik. Dulu tidak bertegur sapa, la ni alhamdulillah dah boleh senyum balik.

"Itulah kemenangan yang Allah kurniakan kepada kita. Kita sudah dapat kemenangan itu," katanya yang juga ketua AMANAH Marang.

Sementara itu sumber HARAPAN Terengganu mendakwa penarikan diri Miqdad ada kaitan dengan masalah dalaman AMANAH negeri berkenaan.

Katanya wujud rasa tidak puas hati apabila ada calon lain - dan dari luar - dibawa untuk bertanding di kawasan itu di bawah tiket AMANAH.

"Miqdad pula dicadangkan bertanding di Rhu Rendang - kerusi yang sangat selamat untuk Abdul Hadi," katanya.
-malaysiakini