Apa sebenarnya dalam laporan polis Wan Saiful?

Faisal Asyraf

Polis sedang menyiasat dakwaan dalam laporan difailkan oleh pengerusi Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN).

Siasatan dibuat terhadap dakwaan salah guna kuasa melibatkan seorang pemimpin bersatu Perlis, menurut ketua polis negeri Noor Mushar Mohd.

Katanya, siasatan itu dibuat berdasarkan laporan Wan Saiful Wan Jan yang juga setiausaha Bersatu Perlis yang baru dipecat.

Malaysiakini difahamkan Wan Saiful dalam laporan polisnya bertarikh 15 Disember di Kangar, menuduh lelaki itu menyamar sebagai dirinya untuk menyewa dua buah kereta.

Lelaki yang sama dituduh memalsukan dokumen dan meniru tandatangan bendahari agung Bersatu untuk membuat bayaran lebih RM188,000 kepada sebuah syarikat.

“Pengadu melaporkan dia telah mengesahkan dengan bendahari agung itu yang berkata tidak pernah mengeluarkan surat itu dan berkata tandatangannya telah dipalsukan,” kata Noor Mushar kepada Malaysiakini.

Beberapa jam selepas pemecatannya dilaporkan Malaysiakini, Wan Saiful hari ini mendakwa berlaku salah guna kuasa dalam Bersatu negeri itu.

Beliau mendedahkan telah membuat laporan polis mengenai dakwaan pemalsuan dokumen melibatkan tuntutan ratusan ribu ringgit di pejabat Bersatu negeri.

Beliau juga mendakwa digesa menarik balik laporan itu tetapi tidak melayannya.

Pengamat politik yang terjun ke dunia politik dalam pilihan raya umum lalu itu juga berkata beliau bertegas tidak mencampuri urusan mengaturkan pemberian “kontrak kerajaan bernilai puluhan juta ringgit kepada syarikat yang melibatkan anak pemimpin Bersatu dari Perlis”.

Malaysiakini sebelum itu melaporkan Bersatu Perlis menggugurkan Wan Saiful atas alasan mengambil kira kesibukannya sebagai pengerusi PTPTN.
-malaysiakini

Tiada ulasan:

Catat Ulasan