Orang seperti Eric Liew yang biadab hina bekas Agong mesti diambil tindakan keras

Mohd Hazmi Mohd Rusli
Baru-baru ini, negara dikejutkan dengan komen biadab seorang pengguna media sosial warganegara Malaysia Eric Liew yang secara terbuka menghina bekas Yang Dipertuan Agong (YDPA), Sultan Muhammad V.

Akibat kecaman pelbagai pihak, Eric Liew telah menjalankan modus operandi biasa, yakni memohon maaf sebelum dia menyahaktifkan akaun Facebooknya.

Dia memberi komentar bahawa bekas YDPA meletakkan jawatan kerana ‘terlalu sibuk berzina dengan isteri barunya’.

Komentar biadab ini mengundang kemarahan banyak rakyat Malaysia yang menganggapnya suatu perlakuan kurang ajar terhadap institusi kesultanan yang telah wujud di Semenanjung Tanah Melayu sejak raja Melaka pertama dari keturunan Melayu Srivijaya, Parameswara, memeluk Islam pada awal kurun ke 14.

Institusi Kesultanan inilah bukti yang menunjukkan orang-orang Melayu dan Bumiputra adalah penduduk asal negara ini, yang kini dihina oleh seorang warganegara bukan Bumiputra.

Tidak seperti zaman awal 90an yang mana media sosial belum lagi menjadi popular di kalangan rakyat, media sosial kini adalah medium yang digunakan di hujung jari dan maklumat boleh diakses pada bila-bila masa sekalipun.

Keadaan ini mungkin telah menyebabkan individu seperti Eric Liew ini bertindak melulu tanpa menunjukkan rasa hormat terhadap institusi YDPA, yang merupakan salah satu lambang penting negara kita.

Lambang-lambang negara

Jalur Gemilang, Negaraku, bahasa Malaysia dan institusi YDPA adalah antara lambang-lambang negara yang dipandang tinggi dan dilindungi oleh perlembagaan dan undang-undang.

Namun begitu, terdapat beberapa kejadian yang mana rakyat Malaysia, yang tergolong daripada golongan pelajar sehinggalah ke golongan ahli-ahli politik dan profesional telah, secara tersurat atau tersirat menghina lambang-lambang negara ini.

Namawee, sebagai contoh telah menghina lagu Negaraku pada tahun 2007 dengan menggubah lagu kebangsaan negara Malaysia kepada Negarakuku, yang nyata adalah pelanggaran terhadap Seksyen 8(2) Akta Lagu Kebangsaan 1968.

Pada tahun 2012, bekas Adun Kota Alam Shah, M. Manoharan telah mencadangkan Jalur Gemilang diganti kerana menyerupai bendera Amerika Syarikat, ‘the Star-Spangled Banner’.

Pada tahun 2013, aktivis Hishamudin Rais juga dikatakan telah menghina Jalur Gemilang kerana telah mencadangkan bendera ‘Sang Saka Malaya’ untuk menggantikan Jalur Gemilang sebagai bendera Malaysia.

Bahasa kebangsaan

Walaupun bahasa Malaysia adalah bahasa kebangsaan negara, terdapat sebahagian daripada rakyat Malaysia yang tidak fasih bertutur dalam bahasa tersebut.

Malah, Timbalan Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal-Ehwal Pengguna, YB Chong Chieng Jen secara jelas enggan berbahasa Malaysia sewaktu sidang parlimen pada November 2015.

Beliau memilih untuk berbahasa Inggeris walaupun penguasaan lisannya dalam Bahasa Inggeris tidak begitu memberansangkan sewaktu sidang tersebut dijalankan. Terkini, seorang warganegara Malaysia, Eric Liew telah secara terbuka menghina insitusi YDPA dengan menyatakan bahawa bekas YDPA adalah seorang penzina.

Ini hanyalah sebahagian daripada kejadian yang berlaku yang melibatkan penghinaan lambang-lambang negara yang dilindungi oleh Perlembagaan Persekutuan.

Kenapakah setelah menjadi negara berdaulat selama lebih 60 tahun, lambang-lambang negara ini masih tidak dihormati oleh sesetengah rakyat Malaysia?

Penguatkuasan undang-undang

Penguatkuasaan undang-undang adalah amat perlu bagi membanteras perkara-perkara ini daripada terjadi.

Kebanyakan daripada pelaku-pelaku insiden yang disebutkan di atas tidak diberikan tindakan sewajarnya dan seringkali dibiarkan bebas. Lambang-lambang negara ini harus dihormati dan tidak seharusnya dihina sedemikian rupa.

Kes terbaru yang melibatkan seorang pekerja swasta, Eric Liew, yang memberi komentar menghina YDPA di Facebooknya, tidak patut dipandang enteng.

Harus diingat bahawa kontrak sosial yang wujud menjelang kemerdekaan di antara orang-orang Melayu/Bumiputra dan bukan Melayu/Bumiputra membenarkan penduduk Tanah Melayu dari Tanah Besar China dan India pada waktu itu menjadi warganegara hanya apabila mereka menghormati empat perkara – Bahasa Melayu sebagai Bahasa Kebangsaan, agama Islam sebagai agama Persekutuan, hak istimewa orang-orang Melayu/Bumiputra serta institusi kesultanan Melayu.

Keempat-empat perkara ini telahpun termaktub di dalam Perlembagaan Persekutuan Malaysia dan rakyat Malaysia wajib menghormati rukun ketiga Rukun Negara iaitu ‘Keluhuran Perlembagaan’.

Kebiadapan Eric Liew menghina YDPA juga menunjukkan dia tidak menghormati rukun kedua Rukun Negara yang kedua ‘Kesetiaan Kepada Raja dan Negara’.

Bagi membendung kejadian seperti ini berlaku di masa hadapan, Eric Liew, atau sesiapa sahaja yang melakukan perkara sebegini sepatutnya berdepan tindakan di bawah Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 bagi mengingatkan masyarakat agar menyuarakan pandangan-pandangan mereka secara berhemah serta menghormati keutuhan Rukun Negara.

Sekiranya perkara ini masih berlaku, mungkin rakyat seperti Eric Liew perlu diingatkan bahawa kerakyatan yang dimilikinya sekarang adalah hasil daripada toleransi masyarakat Melayu dan raja-raja Melayu.

Kalau tidak, dia dan keluarganya mungkin akan setaraf dengan penduduk tanpa negara, seperti masyarakat Tiong Hua di Brunei yang gagal mendapatkan kerakyatan setelah mendiami negara tersebut selama bergenerasi kerana Kesultanan tersebut mengamalkan polisi ‘jus sanguinis’ – kerakyatan hanya akan diberikan berdasarkan pertalian darah.

Rendahnya jati diri

Sedar atau tidak, kejadian-kejadian penghinaan sebegini menunjukkan tidak semua rakyat Malaysia menghormati lambang-lambang negara yang sepatutnya disanjung tinggi.

Mungkin atas sebab kebencian atau ketidakpuasan hati terhadap pentadbiran yang ada sekarang, sesetengah rakyat Malaysia bertindak untuk mengkritik secara kurang berhemah tanpa mengambil kira akibat daripada perbuatan mereka ini.

Jalur Gemilang, Bahasa Malaysia, Negaraku dan Institusi YDPA wajib dihormati oleh semua rakyat Malaysia tanpa mengira kaum, keturunan, bangsa dan agama. Insiden yang melibatkan penghinaan institusi YDPA oleh Eric Liew adalah manifestasi rendahnya jati diri sesetengah rakyat di negara ini.

Moga ramai rakyat Malaysia tidak mengira kaum belajar untuk lebih bersyukur dan menghormati lambang-lambang negara yang seharusnya disanjung semua warganegara. Kalau bukan kita yang menyayangi negara kita, siapa lagi yang akan melakukannya?


MOHD HAZMI MOHD RUSLI (Ph.D) ialah pensyarah kanan di Fakulti Syariah dan Undang-undang, Universiti Sains Islam Malaysia dan seorang profesor pelawat di Sekolah Undang-undang, Far Eastern Federal University, Vladivostok, Rusia.
-malaysiakini

Tiada ulasan:

Catat Ulasan