Farid Kamil mendekam di Penjara Kajang 9 bulan

Pelakon Farid Kamil Zahari hari ini dijatuhi hukuman penjara sembilan bulan oleh Mahkamah Majistret Petaling Jaya selepas disabitkan kesalahan menggunakan dadah.

Keputusan itu dibacakan majistret Nor Ariffin Hisham selepas dia yang sepatutnya membela diri memilih untuk berdiam diri.

Menurut laporan Harian Metro, mahkamah juga tidak membenarkan pelaksanaan hukuman tersebut ditangguhkan.

Justeru pelakon filem J Revolusi itu dihantar untuk menjalani hukumannya di Penjara Kajang hari ini.

Mahkamah sebelum ini memerintahkan Farid Kamil untuk membela diri selepas pihak pendakwaan berjaya membuktikan kes prima facie di akhir kes pendakwaan.

Suami kepada aktres Diana Danielle itu didakwa menggunakan dadah jenis tetra hydrocannibol (THC) pada Januari tahun lalu.

Polis juga menemui dadah THC itu pada Farid Kamil semasa dia berada di Ibu Pejabat Polis Daerah Petaling Jaya pada 4.30 petang 11 Januari tahun lalu.

Susulan itu, dia didakwa mengikut Seksyen 15(1)(a), Akta Dadah Berbahaya yang membawa hukuman maksimum penjara dua tahun atau denda maksimum RM5,000 atau kedua-dua sekali jika sabit kesalahan.

Pihak pendakwaan memanggil seramai lima saksi bagi memberi keterangan sepanjang perbicaraan yang memulakan prosidingnya pada 18 Disember lalu.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan