Ku Li beri amaran kemungkinan PRU15 secara mengejut

Pengerusi Jemaah Penasihat Umno, Tengku Razaleigh Hamzah menggesa parti itu mula untuk bersedia bagi menghadapi sebarang kemungkinan termasuk berlakunya Pilihan Raya Umum Ke-15 secara mengejut.

Ahli Parlimen Gua Musang itu berkata, persediaan itu termasuk berhubung pengagihan kerusi untuk ditandingi yang perlu dibincangkan bersama rakan parti pembangkang iaitu, PAS serta parti komponen Barisan Nasional (BN) yang lain.

“Kita kena selesaikan supaya tidak akan berbangkit sesuatu yang memecahkan kita, kita juga kena ambil kira bukan Melayu yang selama ini menjadi kawan setia kita.

“Saya rasa kena mula sekarang, kalau pilihan raya mengejut macam mana?

“Ya mungkin, kalau ada perubahan kepemimpinan, ada pilihan raya mengejut,” katanya dipetik oleh Utusan Malaysia.

Tengku Razaleigh, yang juga dikenali sebagai Ku Li, mengulas rancangan peralihan kuasa antara Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad dan bakal penggantinya iaitu Presiden PKR, Anwar Ibrahim.

Bagaimanapun, pemangku presiden Umno Mohamad Hasan menjangkakan senario yang berbeza.

Semasa ceramahnya, baru-baru ini di Sandakan, beliau memberitahu hadirin bahawa Mahathir tidak akan menunaikan janjinya untuk menyerahkan tampuk pemerintahan negara selepas dua tahun.

Mohamad sebaliknya mendakwa Mahathir akan membubarkan Parlimen dan supaya pilihan raya umum ke-15 dapat diadakan.

Begitu juga, bekas menteri di jabatan perdana menteri, Zaid Ibrahim juga percaya bahawa tidak semua pemimpin dalam Pakatan Harapan mahu Anwar menjadi perdana menteri.

"Saya tidak yakin pemimpin PH sebulat suara mahu Anwar mengambilalih.

"Jika mereka mahukannya, kenapa kita tidak boleh menetapkan tarikh? Ini bukan zaman Julius Ceasar di mana pewaris (Octavius) terpaksa dinamakan dalam surat wasiat kerana takut tercetusnya pergaduhan," ciapnya di Twitter pagi ini.

Katanya, setakat ini hanya DAP yang menunjukkan kesungguhan mengenai isu penggantian dan menyatakan bagaimana Lim Kit Siang menawarkan diri untuk bersara dari politik jika Mahathir tidak menunaikan janjinya.

"Bagaimana dengan Mat Sabu (Presiden Amanah Mohammad Sabu)? Saya harap (Presiden Bersatu) Muhyiddin (Yassin) berkata sesuatu. (Timbalan Presiden PKR) Azmin (Ali)? Jadi..,” katanya.

Semalam, Anwar mendedahkan bahawa perbincangan berkenaan peralihan kuasa dengan Dr Mahathir berjalan dengan baik tetapi beliau bagaimanapun tidak menyatakan tarikhnya.

Semasa ulang tahun pertama PH pada 9 Mei lalu, Mahathir berkata beliau akan meletak jawatan selepas menyelesaikan masalah yang diwarisi daripada kerajaan BN sebelum ini.

Diasak untuk mengulas lanjut, beliau menjawab: "Saya tidak tahu sama ada tiga tahun atau dua tahun, tetapi saya perdana menteri sementara."

Tiada ulasan:

Catat Ulasan