Kronologi terperinci krisis politik Pakatan Harapan-Bersatu

DR MUHAMMAD FAIZ NA'AMAN
*Dari kacamata Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT) Bersatu dan maklumat dari majoriti ahli MPT lain.

Sebanyak 131 surat Akuan Bersumpah (SD) telah berjaya dikumpul hasil rundingan pihak Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) dengan Umno-Pas sejak hampir setahun lalu.

Rundingan itu melibatkan Tan Sri Muhyiddin Yassin (TSMY), Datuk Seri Mohd Redzuan Md Yusof (Pak Wan) dan Dato’ Seri Hamzah Zainuddin selaku antara wakil BERSATU serta ia direstui oleh Pengerusi Parti BERSATU Tun Dr. Mahathir (Tun M) sejak awalnya dan sentiasa dilaporkan perkembangannya dalam beberapa mesyuarat Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT) Parti BERSATU selama ini.

Ia sebagai persediaan agar Tun M mempunyai alternatif andai Mesyuarat Majlis Presiden Pakatan Harapan yang diadakan pada Jumaat 21 Februari lalu mendesaknya agar meletak jawatan serta-merta. Namun, ia tidak berlaku. Seolah-olah pihak Pakatan Harapan (PH) telah menghidu usaha tersebut.

Pihak Umno pula melalui Presidennya Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi tiba-tiba meletakkan syarat baru kepada BERSATU agar menerima mereka secara “en-bloc” (keseluruhan) atau jangan terima langsung dan ia perlu diterima sekarang juga, bukan ditangguhkan.

Menyedari pihak sebelah Datuk Seri Anwar Ibrahim (DSAI) juga giat melobi ahli-ahli parlimen terutama dari Sabah dan Sarawak, maka satu mesyuarat khas MPT BERSATU telah diadakan pada Ahad pagi 23 Februari untuk membincangkan kewajaran BERSATU keluar dari PH untuk menjatuhkan kerajaan PH bagi menghalang DSAI daripada menjadi Perdana Menteri, dan bagi membentuk kerajaan Perikatan Nasional (BERSATU + Muafakat Nasional) secepat mungkin.

Dalam mesyuarat MPT Ahad itu, majoriti ahli MPT menyokong BERSATU keluar dari PH namun Tun M tidak rela BERSATU menerima Umno secara “en-bloc” untuk membentuk kerajaan Perikatan Nasional.

Tun M tegas dengan prinsip tidak mahu menerima para perasuah dan Orang Kena Tuduh (OKT) yang masih berjawatan dalam Umno. Ia menyebabkan TSMY dan majoriti ahli MPT berada dalam dilema kerana jika BERSATU terus kekal dalam PH maka sokongan Melayu terhadap BERSATU akan makin merosot disebabkan sentimen anti DAP di kalangan kaum tersebut.

Ini telah diterjemahkan melalui prestasi buruk PRK-PRK yang melibatkan calon dari BERSATU. Keputusan mesyuarat Ahad itu ialah majoriti ahli MPT bersetuju untuk bawa keluar BERSATU dari PH dan memberikan masa kepada Tun M seperti yang dimintanya untuk berfikir.

(Langkah Sheraton tidak signifikan untuk diceritakan memandangkan ia sekadar jemputan makan malam oleh pihak Datuk Seri Azmin Ali tanpa sebarang pengumuman penting. Tun M telah dijemput tetapi tidak hadir)

Namun, keesokan harinya, pada 24 Februari, Tun meletak jawatan sebagai PM dan Pengerusi Parti BERSATU tanpa sebarang notis awal kepada MPT dan TSMY. Maka, TSMY secara cepat mengumumkan BERSATU keluar dari PH sepertimana keputusan mesyuarat khas MPT sehari sebelum itu bagi mengelakkan DSAI ada sokongan majoriti dan sempat ke Istana Negara untuk ditabal menjadi Perdana Menteri ke-8 (PM8).

Maka, satu mesyuarat khas kecemasan MPT diadakan pada malam hari yang sama (Isnin) bagi membincangkan perkembangan politik terkini. Dalam mesyuarat tersebut, sekali lagi TSMY dan Pak Wan membuat penjelasan kronologi usaha rundingan dengan Umno-Pas dan kewajaran untuk BERSATU keluar dari PH.

Syed Saddiq dan Ulya terus mempersoal langkah TSMY tersebut manakala Akhramsyah tetap bertegas mahu Tun M sebagai PM8. Datuk Seri Mukhriz (DSMM) pula cuba mempertahankan kehendak ayahandanya yang hanya mahu menerima ahli Umno secara orang perseorangan, bukan secara “en-bloc”.

Keadaan sedikit beremosi apabila TSMY mempertahankan tindakannya yang mahu menyelamatkan BERSATU dari kehancuran serta dilema yang dihadapinya kerana bertentangan dengan prinsip Tun M.

TSMY dan Pak Wan juga ada memberitahu mesyuarat tentang Plan B iaitu Umno-Pas boleh menerima TSMY sebagai PM8 andai Tun M tidak dapat menerima Umno hingga ke akhir.
Mesyuarat tersebut tamat dengan keputusan bersama untuk menolak peletakan jawatan Tun M dan memujuknya untuk kembali sebagai Pengerusi Parti BERSATU serta menyokong Tun M untuk jadi PM8.

Keesokannya, Biro Politik Parti BERSATU telah membuat kunjungan ke atas Tun M dan memujuk beliau kembali sebagai Pengerusi Parti BERSATU. Tun M memberi respon akan mempertimbangkannya.

Dalam waktu sama, Tun M telah dilantik sebagai PM Interim (sementara) oleh Yang di-Pertuan Agong (YDPA). Pihak YDPA pula menitahkan untuk menemuduga setiap 221 orang ahli-ahli parlimen negara ini (sila rujuk: http://www.astroawani.com/berita-politik/221-ahli-parlimen-selesai-menghadap-yang-di-pertuan-agong-231801) untuk menilai sokongan mereka sama ada menyokong Tun M membentuk kerajaan perpaduannya, atau memilih watak lain sebagai PM8 atau bubar Parlimen untuk diadakan Pilihanraya Umum (PRU).

Ketika ini Umno-Pas menarik balik sokongan mereka kepada Tun M sebagai PM8 kerana konsep kerajaan perpaduan yang ditawarkan oleh Tun M tidak menepati agenda kerajaan Perikatan Nasional yang mahu ditubuhkan. PH telah mengumumkan calon PM8 mereka ialah DSAI.

Malangnya, hasil temuduga YDPA tersebut tidak memihak kepada Tun M, manakala pihak PH (DSAI sebagai PM) mendapat lebih 90 undi dari ahli-ahli parlimen, cukup untuk membentuk kerajaan minoriti sahaja (sila rujuk: https://www.themalaysianinsight.com/bahasa/s/222450). Sementara itu Umno-Pas terus meminta agar diadakan PRU.

Maka TSMY dan sebahagian ahli-ahli MPT bersetuju untuk terus ke Plan B iaitu membuat Perikatan Nasional, dengan TSMY sebagai PM8 yang disokong oleh Umno-Pas. Ketika ditemubual oleh media, Tun M menyatakan OK jika TSMY mahu menjadi calon PM8 asalkan mendapat sokongan majoriti Dewan Rakyat (sila rujuk: http://www.astroawani.com/berita-politik/jika-semua-orang-pilih-muhyiddin-saya-ok-tun-mahathir-231936.

Tun M juga mengumumkan mahu sidang khas Dewan Rakyat diadakan untuk menentukan PM8 pada 2 Mac nanti. Pengumuman Tun M tersebut mendapat teguran banyak pihak yang menyatakan hanya YDPA yang layak menitahkan sidang khas Dewan Rakyat, bukannya PM Interim (sila rujuk: https://www.bharian.com.my/berita/nasional/2020/02/660108/umum-sidang-parlimen-cabar-hak-kuasa-agong-majlis-presiden-ph).

YDPA telah memanggil Raja-Raja Melayu untuk bersidang mencari penyelesaian terbaik untuk krisis politik ini (sila rujuk: http://www.astroawani.com/berita-malaysia/raja-raja-melayu-bersidang-di-istana-negara-esok-231895). Dikatakan lima orang Raja-Raja Melayu menyokong TSMY menjadi PM8, namun prosedur perlu diikuti seperti pengumpulan SD yang mencukupi untuk membentuk kerajaan.

Satu pertemuan diadakan di Yayasan Al-Bukhary, Kuala Lumpur pada Jumaat 28 Februari antara Tun M dan semua 36 orang ahli-ahli parlimen dari BERSATU dan kumpulan pro Datuk Seri Azmin Ali untuk mencalonkan PM8 dari BERSATU.

Tun M dilihat meninggalkan pertemuan itu lebih awal kerana mahu berkecuali. Keputusannya ialah majoriti bersetuju untuk menyokong TSMY sebagai calon PM8 mewakili BERSATU bagi mengadap YDPA (sila rujuk: https://www.freemalaysiatoday.com/category/bahasa/2020/02/28/agong-akan-panggil-ketua-parti-selepas-tiada-majoriti-ketara/)

Ketika pihak Perikatan Nasional sedang mencukupkan SD terkini untuk membentuk kerajaan, Tun M pula kembali kepada PH setelah dipujuk anaknya Marina (sila rujuk: https://www.capitalpost.com.my/2020/02/29/marina-mahathir-punca-pendamaian-tun-m-dengan-ph/) dan dipilih sebagai calon PM8 oleh pihak tersebut.

Ketika itu, propaganda TSMY adalah pengkhianat kian dimainkan oleh para fanatik Tun, cytro-cytro di Facebook dan budak-budak Saddiq dalam ARMADA. Gabungan Parti Sarawak (GPS) pula mengumumkan menyokong PERIKATAN NASIONAL (sila rujuk: https://www.bharian.com.my/berita/politik/2020/02/660719/gps-sokong-muhyiddin-kekal-parti-mesra-perikatan-nasional).

Akhirnya, Istana Negara mengumumkan bahawa YDPA berkenan melantik TSMY sebagai PM8 pada 29 Februari kerana percaya bahawa TSMY mempunyai sokongan majoriti ahli-ahli parlimen (sila rujuk: https://www.sinarharian.com.my/article/71977/KHAS/Peralihan-Kerajaan/Agong-pilih-Muhyiddin-sebagai-Perdana-Menteri).

Tidak berapa lama setelah itu pihak PH pula menyatakan bahawa mereka pula yang ada sokongan majoriti ahli-ahli parlimen. Maka, fitnah kononnya TSMY menipu jumlah SD mula ditularkan oleh pihak PH.

TSMY angkat sumpah selaku PM8 pada 1 Mac manakala Tun M telah tidak lagi diterima mengadap YDPA. Ketika ini DSMM telah keluar dari group WhatsApp MPT setelah mempersoalkan jumlah sokongan ahli-ahli parlimen dari BERSATU terhadap TSMY di mana ia telah dijawab oleh TSMY dengan jelas.

Tun M dan DSMM membuat sidang media menuduh TSMY sebagai pengkhianat (sila rujuk: https://www.sinarharian.com.my/article/72064/KHAS/Peralihan-Kerajaan/Muhyiddin-khianati-persaudaraan-kesetiaan) dan kononnya TSMY telah lama mahu menjadi PM.

Tun M juga menuduh Anwar sebagai “gila-gila” mahu jadi PM (sila rujuk: http://www.astroawani.com/berita-politik/anwar-memang-gila-gila-nak-jadi-perdana-menteri-tun-mahathir-232241) hingga menyebabkan kerajaan PH akhirnya jatuh.

*Penulis ialah Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi Bersatu.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan