Muhyiddin gadai Johor untuk jawatan PM

AMNI JAGAT
Lumrah untuk membuktikan sesuatu perjanjian yang sulit, pasti cagaran juga besar. Hakikatnya pengadaian sesuatu hak itu akan dibuat sebagai tanda perjanjian telah termaktub dan terlaksana dengan berjaya. Angan-angan dan cita-cita yang besar pula akan menenggelamkan segala prinsip yang selama ini dipegang.

Atas alasan semangat bangsa dan agama – kononnya – perjanjian menyerahkan Johor kepada Umno dibuat. Inilah yang berlaku sehingga Muhyiddin Yassin terpaksa menidakkan orang yang paling taat kepadanya di Johor (Sahruddin Jamal) dan menggadaikan partinya untuk mengejar angan-angan serta cita-citanya.

Apalah sangat jawatan MB Johor jika hendak dibanding dengan jawatan Perdana Menteri Malaysia. Pasti ukurannya sejauh langit dan bumi. Namun yang tidak menjadi bijaknya apabila parti PPBM yang sebelum ini menjadi ‘abang besar’ di Johor terus dibuli.

Bagaimana pembulian ini boleh berlaku? Jawapannya ada pada Presiden PPBM sendiri yang membiarkan ahli serta orang bawahan parti itu menjadi mangsa. Masa telah menceritakan segalanya bahawa Umno bukanlah rakan yang baik untuk berkerjasama.

Parti purba itu sebelum ini telah lama menonjolkan diri mereka sebagai pengkhianat sejak sekian lama serta matlamat parti itu hanyalah demi kepentingan dan kuasa. Jelas perkara itu disenaraikan dari satu babak ke babak yang lain.

Sebelum ini Umno ketika kuat di tahun 2004 yang lalu, tidak terlintas pun di kepala pemimpin mereka untuk bergabung dengan parti melayu seperti Pas dan parti-parti yang lain. Selepas kekurangan kuasa pada tahun 2008, mereka mula berdagang wakil rakyat.

Pada tahun 2013, perjanjian-perjanjian sulit seperti Penyatuan Ummah mula didengari berbisik dengan pertemuan belakang kelambu bersama pemimpin Pas ketika itu (sebagai parti majoriti melayu) wujud.

Dalam sejarah itu, ‘master mind’nya adalah Hassan Ali dan Nasharudin Mat Isa yang telah diambil tindakan oleh partinya dan akibat dari syak wasangka yang memuncak, akhirnya parti itu terpecah dua menjadi Amanah dan Pas hari ini.

Ramai mengetahui sejarah ini dan pastinya tok dalang perpecahannya adalah Umno. Membuat perjanjian dengan Umno samalah erti seperti menerima hantu raya dari keturunan yang terdahulu. Jika kita membelanya kita akan terkorban dan jika kita menolaknya kita akan berlawan sehabis daya dengannya.

Perkara ini telah jelas terpampang apabila perjanjian untuk berkawan atau membela Umno itu wujud di Johor dengan korban yang terpaksa digadai adalah sebuah maruah perjuangan PPBM. Bukan sahaja maruah malah jawatan tertinggi di negeri, suara ahli bawahan terus dibisui dan yang paling malang sekali pastinya tindakan membela Umno itu akan mengecilkan kekuatan PPBM.

Terbukti juga apabila kita menolak hantu raya tersebut, perlawanannya pasti sengit. Namun perkara itu boleh diselesaikan dengan mewujudkan pertahanan yang kuat untuk berhadapan dengan perlawanan tersebut agar diri kita terbela dari segenap serangan lawan tersebut.

Ternyata, bila diri lemah pastinya mudah kita mengaku kalah dan akhirnya prinsip serta jati diri yang utuh akan terkorban. Hantu raya yang dimaksudkan pastinya akan dibela dan menjadi kawan yang akan memakan diri.

Itu perumpamaan dari sejarah orang-orang dulu. Perumpamaan itu tepat dan layak untuk ditujukan kepada tindak tanduk Muhyiddin yang awal-awal mengalah kerana merasakan gagasan PH sebelum ini tidak kuat untuk menangkis gelombang perkauman dan sentimen agama yang dimainkan oleh Umno bersama Pas.

Mungkin itu alasan untuk membenarkan perlakuan Muhyiddin dalam mencapaikan cita-citanya. Alasan sebegitu adalah alasan orang malas dan sombong. Luahan hati orang bawahan seperti ahli biasa PPBM tidak langsung didengari oleh Muhyiddin dan ini jelas.

Usaha Presiden PPBM itu juga dilihat lemah untuk menyakinkan orang melayu terhadap parti yang dinaungi beliau. Akhirnya pengabungan dengan Umno dilakukan dengan melacurkan jawatan MB Johor kepada Umno sebagai galang ganti untuk mendapatkan jawatan PM.

Hujah dan suara ahli PPBM yang mendedahkan rasa tidak puas hati mereka telah menimbulkan persoalan di mana Muhyiddin pada hakikatnya membuat keputusan tanpa mengira kesan jangka masa panjang parti PPBM yang pasti akan dimakan oleh Umno.

Dari segi percaturan pembahagian exco pun dilihat berat sebelah dengan meletakkan 4 Adun PPBM sahaja dalam barisan jawatankuasa negeri itu. Selebihnya empat dari Umno, satu MIC dan seorang bebas.

Kedudukan Umno dalam Majlis Mesyuarat Kerajaan adalah lima (termasuk MB) dan ini membawa maksud bahawa dalam konsesus itu, PPBM akan menjadi minoriti apatah lagi sekiranya Umno bergabung dengan MIC dan mampu berdagang dengan seorang dari Bebas itu.

Pastinya PPBM akan menjadi empat berlawan dengan tujuh. Bagaimana teorinya untuk menunjukkan bahawa dalam pembahagian ini PPBM akan menjadi juara untuk membawa matlamat dalam perjuangan mereka sedang suara mereka hanya minoriti dalam perkongsian kuasa bersama Umno.

Sudah pastinya Umno hanya akan mempergunakan PPBM sebagai alat untuk mereka terus kekal berkuasa setelah hilang segala-galanya pada 9 Mei 2018 yang lalu. PPBM seharusnya mengekalkan kuasa mereka dalam PH kerana pastinya platfom bersama PH lebih mencerahkan peluang mereka untuk membina kekuatan parti berkenaan.

Muhyiddin juga harus berhati-hati dengan sabotaj dari ahli partinya sendiri kerana baraan ketidak puasan hati ahlinya kian marak untuk menunjukkan sikap terhadap tindakan Presiden mereka. Ahli PPBM juga mampu untuk berfikir panjang sehingga ada yang meluahkan pandangan soal pembahagian kerusi pada PRU kelak.

Ternyata fokus kemenangan untuk ketiga-tiga parti melayu (Umno, Pas dan PPBM) adalah di kawasan melayu di mana kawasan tersebut adalah kerusi yang bertindan pada PRU yang lalu. Ada pula yang bersuara soal gagasan yang dibuat di peringkat pusat tidak jelas dan rapuh tidak seperti PH atau BN.

Kita akan perlihatkan suatu sabotaj yang kuat bakal berlaku dari dalam PPBM di Johor kerana masih wujud golongan yang bermaruah dalam parti muda tersebut. Ada yang memberikan respon kepada saya berkenaan dengan pergolakkan yang dahsyat sedang berlaku dalam PPBM. Nantikan!

Tiada ulasan:

Catat Ulasan