'Langkah Sheraton' dan Covid-19

Sebulan selepas 'Langkah Sheraton'
Hasmi Hashim


DR Li Wen Liang mati. Dia merupakan doktor pertama yang merawat pesakit yang terkena koronavirus di Hospital Besar Wuhan, Disember tahun sudah.

Mulanya Dr Li menyangkakan pesakitnya dihinggapi virus SARS – yang pada 2003 juga pernah menggegar dunia dan meragut lebih lapan ribu jiwa. Di dalam grup WeChat, Dr Li memberitahu kawan-kawan doktor yang pernah belajar bersamanya, bahawa “SARS kembali”! Kembali ke China.

Pemerintah China mengesan perbualan Dr Li di dalam talian. Dia kemudiannya ditahan dan disoal-siasat. Tidak cuma itu, Dr Li turut ditekan dan dipaksa agar tidak menyebarkan apa yang ditemuinya, kepada umum.

Ternyata virus berkenaan bukan SARS, tapi koronavirus. Pesakit yang dirawat Dr Li pula nampaknya bukan satu-satunya yang sudah terhinggapi. Pada ketika sama, perayaan Tahun Baru Cina pun tiba.

Antara lain, perayaan utama dan besar di China itu telah menjadi tapak menyebarnya Covid-19. Memang ada laporan awal yang menyebutkan kerajaan China cuba menutup cerita wabak berkenaan serta di satu waktu, memberikan angka yang dibuat-buat, termasuk kepada Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO).

Atas sifatnya Parti Komunis yang memerintah China, akhirnya Covid-19 menular ke puluhan negara lain – akibat tiada ketelusan dan berita yang benar.

Ketika Dr Li meninggal, ratusan orang menghantar jambakan bunga ke halaman hospital. Dr Li dianggap wira nagara.

Di sebalik cerita ini, di Malaysia, bagi segelintir orang, mereka juga mahu tetap menutup mata.

Mereka menolak untuk mempercayai fakta bahawa, wujud hubungan “Langkah Sheraton” dengan gelombang kedua wabak Covid-19 yang kini menjangkiti lebih 1500 orang, membunuh 14 jiwa dan “membekukan” aktiviti di seluruh negara.

Merebaknya virus ini sah berpunca daripada perhimpunan jemaah tabligh di Sri Petaling. Belum wujud kluster lain yang lebih besar dan signifikan. Perhimpunan itu diadakan dari 27 Februari hingga 3 Mac lalu.

Dan ia telah berjaya diadakan dalam keadaan kekosongan pentadbiran kerana rampasan kuasa yang berlaku pada 24 Februari – tiga hari sebelum perhimpunan jemaah tabligh bermula.

Dalam kekosongan itulah, tiada pengawalan oleh mana-mana pihak – negara belum punya perdana menteri dan anggota Kabinet.

Ketua Pengarah Kesihatan, Dr Noor Hisham Abdullah dalam sedar atau tidak telah mengakui perkara ini.

Dalam sidang media harian pada 22 Mac, beliau menjelaskan tidak dimaklumkan mengenai perhimpunan jemaah tabligh.

Dr Noor Hisham hanya dimaklumkan oleh rakan sejawat dari Brunei. Kes pertama di Brunei datangnya daripada seorang peserta jemaah di Sri Petaling. Di sinilah titik balik yang membongkar segala-galanya.

Tapi sayang bagi kerajaan tajaan Muhyiddin-Azmin kerana sepertinya sudah terlewat untuk mengekang gelombang kedua.

Sayang juga kerana Dr Noor Hisham sudah begitu berkesan ketika menjalankan tugas bersama Dr Dzulkefly Ahmad yang sebelumnya merupakan menteri kesihatan di bawah kerajaan Pakatan Harapan (PH) – yang digulingkan.

Sebagai rekod, sehingga 24 Februari ketika berlakunya “Langkah Sheraton”, jumlah pesakit Covid-19 ialah 22 orang. Memetik kenyataan Dr Noor Hisham lagi, kesemua pesakit itu telah pulih dan dibenarkan keluar wad.

Dalam kata mudah, tanggungjawab Dr Dzulkefly sebagai menteri kesihatan ketika gelombang pertama sudah selesai, dengan tanpa korban nyawa.

Pesakit yang meninggal sepertimana yang dilaporkan sejak 17 Mac merupakan kes daripada gelombang kedua.

Oleh itu, sekali lagi, bagaimanakah ada orang yang tetap mahu menutup mata atau memutar fakta-fakta di atas dengan penafian bahawa ketiadaan kerajaan selepas rampasan kuasa bukan sebab utama wujudnya gelombang kedua?

Apa yang menyedihkan, kelompok yang membuat rampasan kuasa sebahagiannya memang berada dalam kerajaan PH sejak awal.

Mustahil kesemuanya – yang duduk dalam Kabinet – tidak tahu bahawa dua hari sebelum mereka melancarkan “Langkah Sheraton”, sekurang-kurangnya dua kota di Itali sudah dikuncitara atau “lockdown”.

Bayangkan kalau di Itali pada tarikh-tarikh yang sama wujud rampasan kuasa seperti di Malaysia, tentulah keadaan akan menjadi sangat-sangat buruk lagi.

Sesiapa pun tidak akan mampu membayangkan, betapa di saat satu dunia sedang berdepan dengan epidemik Covid-19, orang politik di negara ini sanggup meletakkan keselamatan dan nyawa rakyat di hujung tanduk.

Lebih sukar diterima, “Langkah Sheraton” itu pula digerakkan hanya kerana mahu menyekat Anwar Ibrahim daripada menjadi perdana menteri.

Alasan mahu mendirikan “kerajaan Melayu-Islam” nampaknya hanyalah alasan untuk memainkan sentimen. Atas alasan itu jugalah, maka PAS dan Umno telah menjadikan lesen besar untuk menyokong satu tindak khianat paling besar dalam sejarah politik tanah air.

Pada ketika ini, nampaknya begitu sukar sekali untuk mencari seorang “Dr Li” dalam versi bangsa kita.

Selepas sebulan “Langkah Sheraton”, bahkan tidak ada tanda kekesalan. Apatah lagi maaf – betapa pun kesusahan yang menimpa rakyat, dan betapa pun nyawa yang melayang.

Semua ibarat boleh diselesaikan dengan pakej rangsangan ekonomi yang bakal diumum nanti.

Tepat pukul 2.08 pagi, Jumaat 7 Februari, doktor 34 tahun itu pergi setelah bertarung bukan hanya dengan penyakit, tapi dengan kuasa yang mahu menutup suaranya. Di situ, Dr Li tidak pernah kalah. Hitam tidak boleh jadi putih di mata seorang yang bersih hatinya. – 24 Mac, 2020

Tiada ulasan:

Catat Ulasan