MUHYIDDIN KEMBALI SERTAI UMNO?

Shahbudin Husin
Membaca coretan Pengarah Komunikasi Amanah, Khalid Samad berhubung hasil pertemuannya dengan Tun Mahathir Mohamad baru-baru ini, apa yang paling menarik dicoretnya ialah tentang hasrat bekas Perdana Menteri itu untuk kembali menguasai Bersatu.

Menurut Tun Mahathir, apa yang mahu dilakukannya ialah mendapatkan kembali parti Bersatu yang dirasakannya telah dirampas daripada beliau melalui penipuan dan pengkhianatan.

“Dan apa yang Tun mahu lakukan selepas berjaya dapatkan semula (Bersatu)?” tanya Khalid lagi kerana melihat kesungguhan Tun Mahathir mahu melaksanakan usaha tersebut.

“Adakah Tun ingin Bersatu kekal dalam PN (Perikatan Nasional) atau menyertai kembali PH (Pakatan Harapan)?”

Tun Mahathir kemudian menjawab: “Kembali kepada PH”.

Coreten penuh Khalid itu boleh dibaca di sini – https://m.malaysiakini.com/news/516227

Dengan pendirian berterus-terang Tun Mahathir itu bermakna, pemilihan Bersatu yang bakal diadakan selepas 30 Jun nanti sudah pasti merupakan “pertembungan hidup dan mati” antara beliau dengan Muhyiddin Yassin.

Berikutan Tun Mahathir sudah diisytiharkan menang tanpa bertanding sebagai Pengerusi Bersatu dan Muhyiddin pula bakal dicabar oleh Mukhriz Mahathir bagi jawatan Presiden, ini bermakna memenangkan anaknya dalam persaingan tersebut adalah fardu wajib dan kemestian bagi tujuan beliau dapat menguasai kembali parti itu.

Tidak cukup dengan itu, untuk menguasai kembali Bersatu juga, kalau pun pasukannya tidak mampu memenangi kesemua jawatan yang dipertandingkan, setidak-tidaknya penguasaan secara majoriti kerusi MPT adalah sangat perlu.

Kalau tidak, hasrat Tun Mahathir untuk mengusai kembali Bersatu tidak akan berjaya dan sia-sia.

Sekaligus, dengan hasrat Tun Mahathir mahu menguasai semula Bersatu dan membawanya kembali menyertai PH, tugas berat juga sedang menanti Muhyiddin dan pasukannya dalam pemilihan parti nanti.

Kalau Muhyiddin menang berlawan dengan Mukhriz dan pasukannya dapat memenangi majoriti jawatan yang dipertandingkan, barangkali tidak ada apa-apa akan berlaku kepada Bersatu, kedudukannya sebagai Perdana Menteri dan status parti itu dalam PN.

Paling-paling pun Tun Mahathir akan terus membuat bising dan melakukan gangguan kepada Muhyiddin dan PN seperti mana yang dilakukannya sekarang.

Tetapi, bagaimana jika Muhyiddin tewas dan pasukan Tun Mahathir dapat menguasai kembali Bersatu?

Kalau itu berlaku dan Tun Mahathir akhirnya membawa semula Bersatu menyertai PH, manakala Muhyiddin pastinya tidak setuju dengan tindakan tersebut, pilihannya baginya ialah keluar parti dan menjadi Ahli Parlimen Bebas.

Tidak pelikkah, khususnya di mata UMNO yang memiliki jumlah Ahli Parlimen paling banyak, seseorang yang tanpa parti terus menjadi Perdana Menteri?

Maka, ke mana arah tuju Muhyiddin selepas itu?

Adakah bellau akan memilih untuk menyertai UMNO?

Dan jika ditakdirkan Zahid Hamidi dan Najib Razak akan menghuni penjara kemudiannya atas kes masing-masing yang sedang dibicarakan, apakah Muhyiddin akhirnya akan menjadi Presiden UMNO dalam pemilihan parti itu tahun 2021 nanti? (ShahbudinHusin 24/03/2020)

Tiada ulasan:

Catat Ulasan