Kita mesti menjadi pemaaf

Al-Abror Mohd Yusuf

"Aku duduk di belakang seorang lelaki sambil mencekiknya dan memaksa dia membawa aku, dan aku meyakinkan diriku dan orang lain bahawa aku bersimpati kepadanya dan ingin meringankan bebannya dengan apa saja cara, kecuali dengan turun dari belakangnya." - Leo Tolstoy.

Suatu pagi bertahun-tahun yang lalu. Seorang menteri sepatutnya menghadiri majlis perasmian di sebuah stesen minyak pada jam 9 pagi. Seperti biasa, tetamu, jemputan dan wartawan menunggu di lokasi itu lebih awal.

Adab kita menyambut orang kenamaan, begitulah. Sedangkan majlis anugerah kecemerlangan di sekolah rendah pun ibu bapa dimestikan masuk ke dewan lebih awal, menunggu dan berdiri semasa tetamu jemputan masuk tersengih-sengih, sudah tentu meraikan menteri berlebihanlah lagi takzimnya.

Ia adalah budaya yang membonsaikan banyak akal fikiran. Juga menebalkan rasa jiwa hamba.

Sedikit sebanyak ia juga merupakan sejenis doktrin yang diprogramkan agar orang awam mendewakan orang bergelar yang kadang-kadang cuma bernasib baik mendapat jawatan atau kedudukan tertentu.

Tapi itulah. Alangkan di peringkat prasekolah lagi kita sudah diprogramkan agar sebegitu, apa sangatlah yang kita pelikkan jika ia terus dipaksakan di peringkat lebih tinggi.

Sehingga jam 11 pagi, menteri itu belum tiba. Orang ramai gelisah. Menanti bukan suatu kerja yang menyeronokkan, terutama apabila ia kerana dipaksa.

Kuman bawa perubahan

Kira-kira 11.30 barulah menteri berkenaan datang. Dia disambut, dialu-alukan dan - seperti rukun untuk seorang menteri hadir di sesuatu majlis - berucap. Sehingga ke sudah dia tidak meminta maaf walaupun sedikit.

Dia seolah-olah tidak berbuat apa-apa salah. Sepertinya memang dia dijadualkan hadir pada jam 11.30 pagi, bukan dua jam lebih awal. Dan tidak ada sesiapa menyergahnya kerana lewat.

Bertahun-tahun kemudian kita pun faham - sepatutnya - bahawa menjadi tabu untuk menteri atau orang kenamaan meminta maaf atas kesilapan mereka. Meminta maaf kira-kira sama macam seorang Muslim mengunyah daging babi.

Kemudian datanglah sejenis kuman yang tidak pernah kita kenal sebelum ini. Pedulilah sama ada kita percaya ia wujud secara semula jadi dengan kelawar menjadi sebab ia merebak dari Wuhan, atau kita mahu yakin kepada kebebalan Donald Trump, kuman berkenaan mewujudkan perubahan.

Kita menamakan fenomena itu sebagai kelaziman baru. Ia baru, tetapi akan menjadi lazim. Misalnya, di masjid dan surau, hanya azan yang kedengaran. Orang setempat terpaksa mendengar saja laungan hebat berkenaan tetapi tidak boleh ke tempat ia dikumandangkan.

Masjid sebelum ini selalu diimarahkan dengan pelbagai majlis. Ada solat berjemaah, ada majlis tadabbur al-Quran, ada takzirah. Di sana juga ada kuliah dan ceramah 'agama' yang kadang-kadang lebih politik berbanding pencerahan tentang Islam.

Hasilnya ialah sekumpulan orang Islam yang percaya apa yang mereka dengar itu adalah kebenaran yang mutlak dan penuturnya tidak mungkin tersilap. Kalau silap pun, wajar dimaafkan.

Kesalahan mereka mesti dilihat dengan "mata yang jernih" sedang maksud "jernih" itu adalah hak mereka untuk menentukannya. Orang lain tidak ada hak.

Sebab itu kadang-kadang kita terfikir juga, selain membolehkan masjid, surau dan musola menjalani proses nyah kuman, Covid-19 juga mungkin diutus tuhan untuk membersihkan tempat ibadah itu daripada kuman-kuman jahat dalam kepala orang yang menanamkan kebencian serta pembohongan.

Silap orang bergelar

Kini kelaziman baru sudah ada. Azan berkumandang, tetapi orang ramai yang tidak dapat berbuat apa-apa kecuali menahan diri daripada gejolak rasa gundah-gulana mahu mendapatkan kelebihan beribadah di masjid dan surau.

Kalau dilayan rasa itu, ada risiko yang perlu didepani. Bukan calang-calang punya risiko. Untuk ke masjid seseorang itu bukan saja mungkin dijangkiti kuman bernama Korona itu, malah kalau silap hari bulan, boleh ditangkap.

Lainlah orang kenamaan.

Orang kenamaan memang manusia biasa. Mereka tidak mungkin terlepas daripada melakukan silap, keliru atau terlanjur. Cuma bezanya ialah, mereka 'orang penting'. Kerana itu mereka menjadi orang bergelar.

Silap orang bergelar dan kenamaan tidak pernah sama dengan silap orang awam. Ia mungkin pernah sama, tetapi kejadian sebegitu sudah berlalu ratusan - kalau pun tidak ribuan - tahun silam.

Kemudian beberapa abad lalu, ada kelaziman baru iaitu orang kenamaan itu silapnya boleh dimaafkan tanpa mereka memintanya pun. Pada 2020 memang ada muncul beberapa kelaziman baru, kecuali untuk ahli politik atau orang kenamaan mengaku salah dan meminta maaf.

Mengaku buat salah itu satu hal. Meminta maaf adalah hal yang lain dan untuk ahli politik, ia seperti minyak dan air. Tidak akan bercampur kalau mengikut hukum akal.

Bagi orang kenamaan, mereka memang terdedah kepada kesilapan. Besar atau kecil, ia tidak penting. Lebih daripada itu, kalau terlanjur, pantang meminta maaf.

Tidak ada keperluan untuk mereka untuk meminta maaf - kecuali jika sudah benar-benar terjerat. Atau mengikut istilah orang sekarang: terciduk.

Lainlah orang awam. Perintah kawalan pergerakan (PKP) dilaksanakan dari satu fasa ke satu fasa. Mengikut penjelasan kerajaan - dan pengguna telefon pintar sepatutnya arif benar akan hal itu kerana saban hari mereka akan disapa mesej Majlis Keselamatan Negara (MKN) melalui pesanan ringkas - ia sentiasa lebih keras dan tegas.

Mula-mula polis akan memberi nasihat. Kemudian kompaun. Yang terakhir, khabarnya pengingkar PKP akan ditahan dan didakwa di mahkamah. Silap hari bulan, jadi banduan.

Dan sukar untuk membayangkan individu yang dituduh di mahkamah itu tidak akan meminta maaf dan menyatakan rasa kesal mereka di depan hakim sebelum hukuman dijatuhkan.

Kerana keangkuhan

Cuma itulah, maaf manusia ini kadang-kadang mungkin tidak sama. Seperti kluster Tabligh, kluster kayangan dan kluster wakil rakyat.

Daripada kluster wakil rakyat itu, mungkin ada pula subkluster lain. Anak wakil rakyat, misalnya. Atau setiausaha wakil rakyat, pegawai menteri dan sebagainya.

Ada kemungkinan mereka tidak menerima mesej pesanan ringkas daripada Majlis Keselamatan Negara berkenaan. Maklumkan, mereka golongan atas kayangan.

Itulah, barangkali kuman Korona itu dihantar untuk menegur kita. Ia adalah makluk yang halus dan lemah saja, sebenarnya. Bayangkan, dengan hanya sabun biasa, ia boleh terlerai dan hancur dari badan kita. Tak perlu cecair yang mahal atau canggih untuk melawan kuman itu. Cuma sabun.

Untuk memusnahkan kuman Korona di tangan jauh lebih mudah berbanding menanggalkan lemak sup tulang atau daging kambing panggang.

Tetapi mengapa kuman itu masih berjaya menjangkiti lebih 2.6 juta orang di seluruh dunia? Mengapa kuman yang mudah dimusnahkan itu menjadi asbab kepada kematian kepada lebih 185,000 orang di empat pelusuk bumi?

Jawabnya, kerana keangkuhan, kedegilan dan kejahilan. Manusia sesetengahnya selalu enggan peduli walaupun ada peraturan yang memagari. Tambahan pula jika ada kelebihan atau keistimewaan. Ia suatu kelebihan.

Ke sana, ke sini. Ke sana, ke sini. Atas nama rakyat - macam selalu - mereka menghalalkan perbuatan masing-masing. Entah rakyat yang mana, kita tidak perlu tahu. Sedangkan rakyat yang memilih mereka menjadi wakil sukar terlepas daripada hukuman kerana melanggar PKP.

Ada kemungkinan pengundi memilih mereka - biasanya empat atau lima tahun sekali - hanya untuk membolehkan mereka yakni ahli politik dan yang berhormat terbabit diam-diam mentertawakan kita.

Adakah kita perlu menghukum mereka? Jangan! Maafkan saja, waima mereka tidak memintanya. Mereka kluster atas daripada kayangan. Mereka kluster suci lagi terpilih. Sepatutnya tiada langsung istilah "maaf" dalam kamus hidup mereka.

Mengaku berbuat salah, mungkin ada. Maaf, jangan sekali-kali. Pantang datuk nenek untuk ahli politik dan wakil rakyat meminta maaf. Kalau ada yang mengkritik, akan ada pula alasan di sana sini yang boleh dinukilkan.

Paling mudah, labelkan saja sesiapa yang membuat kecaman sebagai ejen CIA, Freemason, KGB, Israel, Mossad atau seumpamanya. Jika mahu ramuan cita rasa tempatan, kaitkan saja dengan DAP. Kerana apa saja yang ada hubungan dengan DAP mesti wajib direjam ke neraka jahanam.

Jadi, memang, tidak perlu ada permohonan maaf daripada wakil rakyat kita. Tanpa meminta maaf pun, sangat sesuai jika kita maafkan saja yang berhormat-yang berhormat berkenaan.

Apa sangatlah perlunya maaf daripada mereka kerana oleh kerajaan yang menguruskan kita sekarang sendiri tidak pernah meminta maaf kerana dibina bukan dengan mandat, kan?

Tiada ulasan:

Catat Ulasan