PH anggap pelantikan Noh Omar terajui Umno Selangor 'berita gembira'

M Fakhrull Halim

Diterbitkan 3 jam lepas
Dikemaskini 3 jam lepas


A
+
A
-
Pelantikan semula ahli parlimen Tanjung Karang Noh Omar sebagai Pengerusi Perhubungan Umno Selangor 'dialu-alukan' pemimpin PH yang menyifatkan ia akan memudahkan lagi mereka untuk terus mempertahankan PH di Selangor.

Meskipun rata-rata mengucapkan tahniah buat lantikan semula Noh itu, mereka juga menganggap berita itu sebagai berita gembira buat PH.

Contohnya Timbalan Pengerusi PKR Selangor, Hee Loy Sian yang membangkitkan rekod Noh yang pernah mengepalai Umno Selangor ketika parti itu kalah teruk pada pilihan raya umum (PRU) lalu.

“Baguslah macam tu. Lebih senang untuk mengekalkan kerajaan PH di Selangor,” katanya kepada Malaysiakini ketika dihubungi semalam.

“[...] Lebih baik kita menghadapi dia (Noh). Sebab dia kurang kecekapan untuk mentadbir Umno untuk menang.

“Jadi ini menunjukkan Umno kekurangan pemimpin, orang lama yang tak perform (menunjukkan prestasi baik), yang kalah teruk pun dilantik semula. Senang untuk kita kerja di masa akan datang,” kata Adun Kajang itu lagi.

Untuk rekod, BN (dianggotai Umno, MCA dan MIC) tewas di Selangor kepada Pakatan Rakyat (dianggotai PKR, DAP dan PAS ketika itu) pada PRU-12.

Meskipun selepas Pakatan Rakyat terkubur dengan PAS meninggalkan gabungan itu - dan menyaksikan penubuhan Pakatan Harapan - kerusi dipegang Umno di negeri itu terus menyusut.

Rekod terburuk adalah pada PRU-14 lalu, apabila BN hanya memperoleh dua kerusi Parlimen (kini tinggal satu - iaitu kerusi Noh) dan empat kerusi DUN (kini lima setelah pilihan raya kecil Semenyih).

Perlukan pembangkang yang kuat

Sementara itu, bagi Pengerusi Amanah Selangor, Izham Hashim, Noh wajar menggunakan kesempatan kali ini untuk memantapkan Umno Selangor yang menurutnya lemah dan ketandusan pemimpin yang berwibawa.

“Kita perhatikan di kawasan masing-masing pun agak tak bermayalah pergerakan Umno ni, peranan di Dewan (DUN) pun tak begitu terserlah. Jadi baikilah dari segi prestasi dan peranan di DUN supaya berjalan dengan lebih baik.

“Kita pun nak juga pembangkang yang kuat di Selangor, supaya (dapat) semak dan imbang,” kata Adun Pandan Indah itu ketika dihubungi hari ini.

Bagi Adun Seri Serdang Siti Mariah Mahmud, dari Amanah, meskipun melihat lantikan semula Noh itu satu khabar baik buat PH, tetapi katanya, PH tidak boleh bersikap sambil lewa dalam meraih sokongan pengundi, lebih-lebih lagi di kawasan-kawasan yang majoriti orang Melayu.

“Kami tak akan leka. Tapi kami yakin apa yang PH Selagor lakukan untuk rakyat selama ini adalah lebih baik daripada apa BN biasa lakukan.

“Muafakat Nasional akan menyebabkan fragmentasi masyarakat Selangor sebab nuansa bangsa dan agama tak berapa diterima oleh rakyat Selangor,” katanya ketika dihubungi hari ini.

Semalam, Noh memberitahu bahawa beliau akan memberi tumpuan untuk meningkatkan kerjasama Muafakat Nasional di negeri itu bagi memastikan gabungan terbabit dapat merampas semula Selangot daripada PH.

Waspada taktik kotor

Naib Pengerusi DAP Selangor, Ng Suee Lim pula berkata, meskipun PH mempunyai pengalaman berdepan dengan Umno di bawah Noh, katanya, PH masih perlu sentiasa berjaga-jaga dengan pelbagai taktik kotor yang mungkin digunakan untuk merampas Selangor.

Lebih-lebih lagi, katanya, Selangor sememangnya menjadi negeri idaman untuk dirampas semula oleh BN memandangkan ia merupakan peneraju ekonomi Malaysia.

“Kita akan lebih bersiap-sedia dan berjaga-jaga, kerana apa-apa (mungkin) akan berlaku. Mereka akan gunakan pelbagai taktik kotor, seperti apa yang mereka lakukan yang telah kita nampak termasuk menggunakan pengkhianatan pintu belakang dan sebagainya.

“Jadi jangan pandang mudah. Nasihat saya kita (PH) akan terus waspada (terhadap) segala gerak strategi mereka,” kata Adun Sekinchan itu ketika dihubungi hari ini.

Beliau dipercayai merujuk 'Langkah Sheraton' serta pembentukan Perikatan Nasional di peringkat pusat di antara Umno, Bersatu dan PAS, disokong oleh Gabungan Parti Sarawak (GPS) dan Gabungan Bersatu Sabah (GBS) serta wakil bebas, sehingga menyebabkan kerajaan PH tumbang.

Bagi ketua pembangkang di Selangor, Rizam Ismail dari Umno, lantikan semula Noh dilihat sebagai pemilihan tepat berdasarkan pengalaman Noh sebelum ini yang pernah mentadbir Umno Selangor dari 2013 hingga 2018, malah pernah menjawat jawatan menteri.

“Jadi dengan pengalaman luas beliau, saya harap beliau dapatlah menjadi pengerusi baru dengan jayanya,” kata Adun Sungai Air Tawar itu ketika dihubungi hari ini.

Sementara itu, satu-satunya Adun PAS di Selangor, Dr Ahmad Yunus Hairi berkata parti mereka menerima lantikan Noh itu dan tidak mempunyai apa-apa masalah memandangkan ia keputusan dalaman parti berkenaan.

Malah, pesuruhjaya PAS Selangor itu turut memberikan pandangan senada dengan Noh semalam bahawa konsep “yang diterima” di Selangor adalah Muafakat Nasional, berbanding PN.

“Itu ikatan dah ada piagam termeterai antara PAS dan Umno, memang dalam Muafakat Nasional. Yang lain itu (PN) belum, hanya di peringkat pusat.

“Dan di Selangor (pun) kita belum ada satu jawatankuasan (berkaitan PN). Kita tunggu itulah,” kata Ahmad Yunus yang juga Adun Sijangkang ketika dihubungi.

Perkembangan ini menimbulkan tanda tanya terhadap status kerjasama PN di peringkat pusat yang nampaknya tidak turut terjelma di Selangor antara Umno, PAS dan Bersatu.

Bersatu pada asalnya mempunyai lima kerusi DUN di Selangor di bawah PH. Namun, dengan 'Langkah Sheraton' dan penyertaan dua Adun PKR - Mohamed Azmin Ali (Adun Bukit Antrabangsa) dan Hilman Idham (Adun Gombak Setia) - statusnya kini terpecah dua di antara PN dan PH.

Empat Adun Bersatu yang asal (Adun Kuang, Adun Jeram, Adun Batang Kali dan Adun Dengkil) menyatakan sokongan buat PH, meskipun di peringkat pusat Bersatu sudah menjadi komponen PN.

Manakala Adun Selat Klang, bersama Azmin dan Hilman menyokong PN, menjadi pembangkang di Selangor.

Bagi Adun Selat Klang, Abdul Rashid Asari yang juga pengerusi Bersatu Selangor, status Bersatu di Selangor akan dimuktamadkan setelah pemilihan parti itu selesai- yang kini tertangguh ekoran wabak Covid-19.

“Kemudian (selepas pemilihan selesai), baru kita akan berbincang dengan Tan Sri Noh tentang PN di Selangor.

“Bila Bersatu Selangor dah siap, semua dah bermesyuarat, kita dah tahu siapa ketua-ketua bahagian yang baru, kita akan mengadakan satu mesyuarat khas selepas Covid-19 (surut).

“Selepas pemilihan, kemudian barulah kita akan fokus pada PN Selangor,” katanya ketika dihubungi hari ini.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan