4 Mei menyambung kehidupan di tengah Covid-19

Kembali hidup di tengah Covid-19
Jahabar Sadiq


Perintah kawalan pergerakan yang dilonggarkan membolehkan rakyat menyambung semula kehidupan walaupun berdepan risiko virus.

PEMBUKAAN semula ekonomi Malaysia pada Isnin selepas lebih enam minggu dikurung mengejutkan sebahagian rakyat yang percaya keadaan di luar masih belum selamat.

Memang tidak selamat. Selagi vaksin ditemui dan itu akan mengambil masa berbulan-bulan, kalau pun bukan bertahun.

Namun hidup mesti diteruskan, sama seperti puluhan ribu petugas barisan hadapan yang berkhidmat dengan perkasa dan berani diri untuk membendung pandemik korronavirus yang menyebarkan Covid-19 di Malaysia, lama sebelum 18 Mac.

Ada yang kini mempersoalkan kebijakan Malaysia membuka semula ekonominya tanpa satu pelan yang jelas, tidak seperti sesetengah negara di Eropah atau Australia, New Zealand dan Afrika Selatan yang melakukannya secara beransur-ansur.

Bagaimanapun ada beberapa notis dikeluarkan melalui saluran Telegram milik Majlis Keselamatan Negara yang seharusnya menjadi panduan bagi kita semua, melainkan ada patah balik selepas ini.

Lebih mustahak, orang tidak perlu keluar melainkan atas kehendak mereka atau mereka diminta oleh majikan untuk kembali bekerja.

Majikan ini perlu mematuhi garis panduan yang ditetapkan oleh kerajaan bagi pejabat, kedai, tempat kerja, dan kilang. Ia tidaklah begitu kelam kabut atau sembrono seperti yang dibayangkan oleh sesetengah orang.

Garis panduan ini harus dipenuhi, dan mungkin memerlukan masa beberapa hari selepas 4 Mei, kalau tidak sempat pada Isnin ini, untuk memastikan adanya saringan suhu badan yang diwajibkan, tempat berkenaan dibersihkan dengan menyeluruh tempat berkenaan serta pembersihan tiga kali sehari.

Barangkali orang tidak percayakan cara kerajaan mengendalikan keadaan kerana pengalaman mereka sebelum ini, daripada soal penangguhan pembayaran balik pinjaman bank dan faedahnya, sampailah kepada pembukaan kedai gunting dan salon rambut.

Pengalaman itu menunjukkan kepada mereka sebuah kerajaan yang tidak begitu pasti akan kedudukan undang-undang serta kesan dasar-dasarnya.

Barangkali kita percaya Ketua Pengarah Kesihatan Dr Noor Hisham Abdullah dan hanya akan bergerak kalau beliau kata keadaan sudah aman.

Masalahnya, beliau belum boleh kata begitu kerana virus itu berjangkit dan tanpa patuh pada garis panduan yang ditetapkan, kita tidak akan boleh menjalani hidup dan bekerja di luar rumah.

Namun keputusan untuk keluar rumah adalah keputusan kita, bergantung pada kebebasan yang diberikan oleh pihak berkuasa sepanjang tempoh penularan wabak ini.

Apatah lagi, perintah kawalan pergerakan (PKP) yang bermula pada 18 Mac bagi tempoh dua minggu dan kemudian dilanjutkan sebanyak tiga kali bertujuan untuk “melandaikan lengkung” jangkitan bagi membolehkan pihak perkhidmatan kesihatan mempersiapkan diri dan merawat semua orang dengan saksama tanpa sebarang kekurangan.

Seperti yang dapat kita lihat, semua itu berjalan dengan baik kecuali malangnya bagi yang berpusu-pusu balik ke kampung pada 17 Mac, kluster tabligh, kluster gereja dan kes import melalui rakyat Malaysia yang pulang ke tanah air.

Sekarang, selepas lebih kurang enam minggu, kerajaan memutuskan bahawa kita sudah cukup matang untuk keluar rumah dengan bertanggungjawab dan bekerja dengan selamat.

Bagi mereka yang selesa duduk dan bekerja di rumah, teruskanlah. Namun tidak semua orang seperti mereka.

Banyak yang perlu bekerja untuk menampung sewa kediaman, membayar duit kereta dan sebagainya bagi menanggung apa saja gaya hidup mereka di bandar dan di luar bandar.

Mereka adalah bahagian daripada ekonomi Malaysia yang keseluruhannya rugi RM63 bilion sejak 18 Mac.

Kerugian itu boleh mencecah RM100 bilion menjelang akhir Mei. Mereka harus kembali bekerja, kembali membuka perniagaan dan berharap dapat merampung apa yang tersisa untuk tahun 2020 ini.

Mereka ini sama dengan yang selama ini bekerja sepanjang PKP – pemungut sampah, tukang sapu jalan, penghantar makanan, anggota polis, tentera, bomba, jururawat, doktor, petugas kesihatan, peniaga kedai runcit, pemotong daging, penjual sayur, penjaja ikan, juruwang dan penyusun barang di pasar raya.

Risikonya tinggi tetapi mereka bekerja. Sekarang, rakyat Malaysia yang lain yang terpaksa menderita tidak boleh berbuat apa-apa sejak 18 Mac, semuanya perlu mencari nafkah – daripada penjual nasi lemak sampailah pemilik restoran, tauke kedai perkakasan, jurujual di pasar raya serbaneka, dan mekanik.

Kalau semua orang boleh duduk di rumah bersenang lenang, mereka tentu mahu. Namun hakikatnya, tidak semua orang boleh begitu. Mereka perlu kembali memulakan hidup secepat mungkin.

Makanya, apa pun yang akan terjadi, 4 Mei kita bermula. – 1 Mei, 2020.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan