Bekas penasihat media perdana menteri, A Kadir Jasin membangkitkan persoalan jika “peminggiran” pemimpin Bersatu di Johor mencerminkan rancangan Perdana Menteri Muhyiddin Yassin untuk “pulang ke pangkuan Umno”
“Melihat ini semua, khususnya peminggiran Bersatu di Johor, saya tertanya-tanya adakah Tan Sri Muhyiddin sedang melakukan perjalanan balik ke pangkuan Umno?” soalnya.
Bekas pengarang kumpulan The New Straits Times Press (M) Bhd itu menyifatkan presiden Bersatu yang tidak bersedia melawan permainan Umno.
“Setelah hampir dua bulan menjadi perdana menteri, nyata bahawa dia tidak cukup bersedia dan tidak cukup kuat untuk melawan "perancangan" (scheming) oleh para panglima perang Umno, sama ada yang menganggotai kabinet atau yang berada di luar.
“Akibatnya, pejuang-pejuang asal Bersatu yang mengambil risiko bertarung melawan kleptokrasi Umno, semakin hari semakin dipinggirkan akibat tekanan rakan-rakan baru Muhyiddin dari Umno dan PAS.
“Ironinya ialah yang paling teruk didera dan dianiaya adalah pejuang-pejuang asal Bersatu di Johor.
“Mula-mula sekali Bersatu hilang kerusi Menteri Besar kepada Umno dan kini jawatan-jawatan lain juga telah dirampas oleh atau sedang diancam,” katanya dalam satu hantaran di Facebook beliau hari ini.
Beliau mengulas mengenai isu antara Umno dan Bersatu yang dikatakan wujud perasaan tidak puas hati dalam kerajaan negeri selepas ia ditadbir bawah PN.
Semalam, Anggota Dewan Undangan Negeri (Adun) Permas, Che Zakaria Mohd Salleh berkata apa yang menjadi pertikaian wakil rakyat Bersatu Johor melibatkan perkara-perkara kecil yang tidak ditangani dengan betul.
Menurut Kadir, insiden yang berlaku di Johor itu mengingatkannya kepada peristiwa pilihan raya umum 1982 ketika beliau mengikuti bekas timbalan perdana menteri, Musa Hitam ke Desaru untuk memilih calon Umno Johor bagi PRU tersebut.
“Di situlah saya mula mengenali dan menyedari exclusivity (keterangkuman) politik Johor dan cengkaman Umno ke atas negeri itu.
“Sejak itu, saya sering mendengar ungkapan Umno dan istana tidak dapat dipisahkan atau Umno lahir di Istana Johor,” katanya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan