Masalah dengan Umno Johor boleh tular ke negeri lain, kata pemimpin Bersatu

Mohd Farhan Darwis
PERTELINGKAHAN dengan Umno di Johor perlu diselesaikan segera untuk mengelakkan masalah itu merebak ke negeri lain, kata Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi Bersatu Wan Saiful Wan Jan.

Katanya masalah itu boleh menular memandangkan kerjasama dengan Umno dalam gabungan Perikatan Nasional (PN) antara kedua-dua parti masih mentah.

Pemimpin Bersatu mengakui berlakunya kemelut antara Umno dan Bersatu di Johor ketika ini dan memohon perbincangan peringkat atasan dilakukan segera kerana situasi di sesebuah negeri dilihat akan turut mempengaruhi negeri lain.

Beliau menegaskan, jangan disebabkan ada yang mahu menjadi hero di satu tempat, habis tempat lain juga rosak sama.

“Saya juga menyokong pandangan Ahli Majlis Tertinggi Umno Dato Sri Tajuddin Abdul Rahman bahawa pemimpin atasan Bersatu dan Umno perlu berbincang segera untuk menamatkan perdebatan mengenai situasi di Johor,” katanya lagi.

“Jika para pemimpin ikhlas memperjuangkan agenda penyatuan dan bukan hanya mementingkan diri sendiri, seharusnya mereka berusaha memastikan kesatuan, bukan mengapi-apikan ke arah perpecahan.

“Cakap-cakap yang seolah-olah sengaja hendak memecah belahkan gabungan baru ini perlu dihentikan.

“Jangan ada yang menangguk di air keruh sengaja mahu jadi batu api pemecah belah di peringkat dalaman untuk kepentingan peribadi mereka sahaja,” katanya.

Menurut Wan Saiful dalam kenyataan itu, beliau menyifatkan Perikatan Nasional (PN) adalah satu gabungan baharu.

Katanya, Majlis Pimpinan Tertinggi Bersatu sendiri hanya meluluskan kemasukan ke dalam PN pada 23 Februari lalu, iaitu baru sekitar dua bulan lebih sedikit.

“Sudah pasti dalam masa yang singkat, pengurusan gabungan baru ini agak kompleks,” katanya.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan