Muhyiddin cuba bebaskan Najib dari segala tuduhan, dapat bertanding PRU15

TUN DR MAHATHIR MOHAMAD
Ramai yang menasihat saya supaya sokong dan bekerjasama dengan Perdana Menteri Muhyiddin

Ingin saya jelaskan kenapa saya tidak dapat bekerjasama dengan Muhyiddin.

Dia bersama dengan saya dan beberapa kawan lain menubuh Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) khusus untuk menjatuh Kerajaan Kleptokrasi Najib Razak.

Rakyat percaya inilah perjuangan kami dan rakyat beri kemenangan kepada kami bersama parti rakan lain.

Tetapi Muhyiddin bersama dengan ahli UMNO yang masuk Bersatu telah rancang untuk jatuhkan Pakatan Harapan (PH) dan diri Kerajaan baru bersama dengan kleptokrat yang kami telah kalahkan.

Bagi saya ini adalah satu pengkhianatan terhadap rakyat. Ia juga mengkhianati rakan dalam PH yang menjayakan perjuangan kami. Tanpa PH Muhyiddin tidak mungkin menang, tidak mungkin jumpa pintu belakang.

Ya. Memang dalam PH ada DAP. Walaupun DAP menang 42 kerusi, DAP hanya dapat 6 Menteri Kabinet, sama dengan Bersatu yang menang hanya 13 kerusi tetapi dapat 6 Menteri juga. Dan ahli Bersatu dipilih sebagai Perdana Menteri dalam Kabinet 28 Menteri.

Tak mungkin sama sekali DAP kuasai Kabinet dengan 6 orang Menteri. Segala keputusan dalam Kabinet perlu persetujuan 28 orang Menteri.

Anggapan bahawa 6 Menteri Kabinet boleh kuasai 22 Menteri lain tidak masuk akal. Lagipun persetujuan saya sebagai Perdana Menteri perlu didapati.

Bukan DAP yang boleh hancur orang Melayu. Orang Melayu yang boleh hancur DAP jika Menteri Dalam Negeri Melayu hanya batal sahaja pendaftaran DAP.

Kuasa membatal ada pada Muhyiddin Yassin, jika ia nampak DAP akan hancur Melayu. Tetapi yang Muhyiddin berminat ialah mengguna DAP untuk menakut orang Melayu supaya mereka menyertai gerakan untuk jatuh PH dan dia menjadi Perdana Menteri dengan sokongan UMNO dan PAS.

UMNO menyokong Muhyiddin jadi Perdana Menteri supaya usaha untuk lepas Najib dari dipenjara dapat dilakukan. Kita dapat lihat usaha ini sedang berjalan.

Jauh dari menunai janji untuk jatuhkan Najib, Muhyiddin sekarang sedang berusaha supaya Najib bebas dari segala tuduhan dan dapat bertanding dalam PRU 15. Di waktu itu Najib tidak perlu Muhyiddin lagi, kerana Najib berhasrat menjadi Perdana Menteri.

Muhyiddin sekarang ini berusaha supaya Bersatu hilang pemimpin dengan melucut keahlian mereka.

Dalam PRU 15 UMNO akan lawan dengan Bersatu yang tinggal terkuntang-kanting tanpa sokongan PH.

Bukan sahaja Muhyiddin yang akan kalah tetapi semua calon Bersatu akan kalah. Maka tamatlah riwayat Bersatu dan bermaharajalela UMNO dengan “Cash is King”nya.

Sejarah akan catat pengkhianatan Muhyiddin kepada rakyat yang telah beri kemenangan kepada PH.

Saya tidak ingin bersama dengan Muhyiddin dan pengkhianatannya.


* Artikel ini pertama kali terbit di blog Chedet dengan tajuk Nasihat.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan